Kisah ketua balai polis diberkas kerana berdisko di balai polis memberi mesej kepada masyarakat awam iaitu penguatkuasa undang-undang turut tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Sedikit sebanyak imej pasukan polis turut tercalar gara-gara tindakan yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.
Membayangkan bagaimana kumpulan ini bersuka-ria dengan minuman keras dan air ketum, sudah tentu ia tidak berlaku sekali-sekala, mungkin telah berlaku berkali-kali cuma tidak dibesarkan. Namun kita menunggu hasil siasatan yang akan dijelaskan nanti.
Polis adalah institusi penegak undang-undang yang diamanahkan bagi memastikan keselamatan awam terjamin, persekitaran sekeliling yang tenteram dan masyarakat dapat melaksanakan peranan masing-masing.
Kejadian anggota polis melanggar undang-undang tidak selalu berlaku namun setiap kali berlaku ia umpama bom besar yang menarik perhatian umum. Terdapat kes melibatkan polis dalam jenayah rompakan, pembunuhan, maksiat dan dadah.
Faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku boleh dikatakan berbagai-bagai seperti tekanan kerja, peribadi dan pengaruh sekeliling.
Contohnya, jika seorang anggota tertekan dengan kerja yang di luar kemampuan seperti operasi yang mengambil masa lama untuk diselesaikan mungkin menjadikan kerinduan kepada keluarga sebagai tekanan.
Atau mungkin kerana terpaksa tunduk kepada ugutan atau pengaruh rakan-rakan menyebabkan ada anggota yang terpaksa mengikut kata. Namun faktor-faktor ini harus dikaji dengan lebih mendalam supaya punca sebenar kepada isu-isu dapat dikenal pasti.
Kejayaan pasukan polis menyelesaikan kes di peringkat daerah, negeri dan negara dilihat lebih banyak berbanding kes salah laku anggota. Namun pepatah Melayu menyebut 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga' wajar menjadi titipan dan sandaran dalam kerja. Apatah lagi pasukan polis merupakan jentera penguatkuasa yang besar dan sangat penting.
Latihan dan penilaian peribadi anggota wajar dilakukan dari semasa ke semasa supaya budaya kerja cemerlang menjadi sebahagian daripada kehidupan anggota polis. Banyak program pembangunan personal, aktiviti kerohanian dan ganjaran serta hukuman dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti anggota dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi polis.
Justeru, impak kepada imej pasukan seharusnya lebih baik, menarik dan memberi kebanggaan kepada pasukan.