Monday, October 02, 2017

Kebaikan dan keburukan peperiksaan kepada pelajar







oleh Abdul Rahim Abdul Rahman

Peperiksaan membawa kebaikan dan keburukan kepada pelajar. Tujuan peperiksaan adalah menguji cara pelajar menampilkan bakat dan menggunakan ilmu serta kebolehan mereka yang diperolehi.

Selain itu, peperiksaan bukan sekadar mempertikaikan kebolehan pelajar malah menguji minda pelajar supaya sentiasa cergas berfikir. Ia mengajar pelajar untuk sentiasa berhati-hati ketika menjawab soalan. Justeru, keputusan peperiksaan bergantung pada diri pelajar. Jika seseorang pelajar itu belajar tanpa perhatian yang cukup dan malas, ternyata pelajar ini akan mendapat keputusan gagal.

Peperiksaan merupakan batu loncatan yang terpenting kepada pelajar kerana peperiksaan memberi pelajar satu pentas yang membolehkan mereka untuk menunjukkan kebolehan mereka secara baik. Pelajar tidak wajar merugikan peluang keemasan ini dan menggunakannya dengan baik sekali. Hal ini dapat mengharumkan nama negara dan nama mereka sendiri.

Kebaikan peperiksaan yang dikupas adalah peperiksaan dapat merangsang pelajar-pelajar supaya belajar dan berusaha bersungguh-sungguh. Keburukannya pula adalah peperiksaan boleh memberi tekanan terhadap pelajar yang berjiwa lemah kerana terlalu sibuk belajar sahaja.

Namun, peperiksaan sebenarnya membawa kebaikan yang banyak berbanding keburukan. Segala keburukan peperiksaan dapat diselesaikan jika pelajar dapat mengurus masa dan bersedia lebih awal.

Selain itu, peperiksaan boleh mengajar seseorang pelajar bahawa ilmu pengetahuan adalah kunci kejayaan. Peperiksaan akan memberi peluang kepada pelajar untuk menilai dan membaiki diri sebagai persediaan ke dunia pekerjaan.

Di samping itu, peperiksaan juga dapat meningkatkan kedudukan pelajar yang lemah kerana dengan adanya dorongan yang sempurna mereka akan bersemangat untuk mencuba lagi sehingga berjaya.

Seterusnya, peperiksaan mampu mengubah seseorang pelajar yang tidak berakhlak dan bodoh kepada pelajar yang dikagumi dan berakhlak tinggi kerana melalui peperiksaan kita akan dapat mempelajari pentingnya ilmu pengetahuan.

Konklusinya, memang tidak syak lagi bahawa terdapat banyak kebaikan peperiksaan kepada pelajar. Setiap pelajar hendaklah pandai menguruskan masa untuk belajar dan bermain agar tidak stres dan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Di samping itu, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dengan menyusun sistem peperiksaan yang bagus dan efektif kepada pelajar. Akhir sekali, ibu bapa perlu memberi galakan dengan membeli buku latihan dan tidak mendidik anak seperti melepaskan batok di tangga.



No comments:

Post a Comment