Monday, April 10, 2017

Ke mana kita menyeru manusia?








Penulis: Hasan Al-Banna
Tahun: 2014
Penerbit: Iman Publications, Seri Kembangan, Selangor.
Muka Surat: 116

Kandungan buku ini sarat dengan kata-kata indah berbentuk peringatan yang diperlukan oleh hati yang dahagakan siraman rabbani. Bermula dari "Mukadimah" sehinggalah "Kejayaan", Hasan Al-Banna telah memberi inspirasi kepada rijal dan penegak dakwah untuk terus beristiqamah di atas landasan tasawwur Islamiah yang menjanjikan kejayaan.

Kupasan tajuk yang ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca merangkumi pelbagai sudut seperti tauhid, kejelasan matlamat, perancangan, politik, kesungguhan berjihad dan berinfak, menguatkan hati dengan persaudaraan serta meminta penegak dakwah memberi hati dan fikiran mereka ke arah pelaksanaan dakwah.

Saya pernah membaca beberapa buah buku fikrah penulisan beliau, namun buku ini memberi ringkasan yang mudah untuk dihazam biar pun pembaca kali pertama. Beliau mencatatkan pandangan dalam bab "Neraca" iaitu "...agar perbincangan menjadi lebih mudah dan jelas untuk difahami dan tidak berbelit-belit supaya para pembaca dapat mengambil faedah daripadanya".

Banyak petikan yang membangkitkan semangat dan keinginan pemuda dakwah untuk kembali meraih azam dan cekal.

"Al-quran sebenarnya telah memberikan penjelasan kepada kita tentang tujuan hidup dan sasaran yang harus dicapai di dalam hidup ini".

"...umat muslimin perlu bersedia untuk melakukan pengorbanan jiwa dan harta semata-mata kerana Allah swt".

"Selagi iman masih tetap dipertahankan oleh umat Islam, maka kejayaan akan semakin terserlah luas".

"Keluhuran sosial dapat dirasai seseorang ketika memanjatkan nasabnya kepada Allah swt".

"Jihad yang dilakukan tidak akan menghasilkan buah sekiranya tiada keyakinan untuk melihat hasilnya".

"Cita-cita yang terlaksana bagi mereka yang sanggup untuk memikul beban dakwah ini dan seruan kebenaran yang bergema di segala sudut".

Kerapkali juga beliau memetik ayat 111 dari surah At-Taubah sebagai ingatan terhadap balasan pengorbanan tersebut iaitu syurga. 


No comments:

Post a Comment