Monday, November 07, 2016

Pengetahuan masyarakat pelbagai etnik terhadap perayaan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Hari Deepavali







Zainudin MZ, Ng Chok Tong, Ahmad Saifuddin Shuib, Mohammad Faezzie Ezzrie Mohd Ariffin,  Muhammad Izzat Ngatimin


Abstrak

Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis perayaan yang istimewa terutama perayaan utama yang terdapat di setiap kaum. Ia menjadi sebahagian keunikan dan identiti bagi mengenali lebih dekat sosial dan budaya sesuatu kelompok masyarakat di negara ini. Objektif utama kajian ini ialah untuk mengenali lebih mendalam tentang perayaan yang terkenal tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India selain mengetahui keunikan yang ada pada setiap jenis perayaan tersebut. Objektif lain yang turut dikaji ialah tahap kefahaman masyarakat ke atas perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Kajian ini menggunakan kaedah kaji selidik dalam kalangan pelajart sekitar kampus FTK UTeM yang terdiri daripada pelbagai kaum. Untuk kaji selidik, terdapat 50 orang responden yang telah dipilih secara rawak untuk menyertai kajian ini dan berdasarkan maklumat yang telah diperoleh, hubungan etnik antara kaum melalui perayaan bagi setiap kaum adalah memuaskan. Oleh itu, perayaan memainkan peranan yang penting dalam memupuk perpaduan kaum.

Kata Kunci: perayaan, etnik Malaysia


1.0 Pengenalan

Perayaan merupakan suatu aktiviti yang diraikan oleh sesebuah masyarakat ataupun kaum. Sesuatu perayaan itu disambut adalah bertujuan untuk memperingati peristiwa penting yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu. Selain itu, perayaan juga akan disambut mengikut adat resam masing-masing dan berdasarkan agama yang dianuti seseorang.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat pelbagai etnik dan disebabkan itu juga terdapat pelbagai jenis perayaan untuk disambut pada setiap tahun. Terdapat tiga kaum majoriti yang menduduki Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Perayaan yang paling terkenal bagi kaum Melayu ialah perayaan Hari Raya Aidilfitri manakala kaum Cina meraikan perayaan Tahun Baharu Cina dan kaum India meraikan perayaan Deepavali. Masyarakat negara ini mengamalkan amalan berkongsi “perayaan” dengan cara membuat rumah terbuka dan sebagainya. Mereka juga akan saling hormat-menghormati perayaan kaum lain dengan mengucap selamat, memberi hadiah dan sebagainya.


2.0 Sorotan Kajian

Perkongsian perayaan mempunyai manfaat tertentu seperti dapat mengukuhkan perpaduan dan kesepakatan masyarakat di negara ini. Melalui perkongsian perayaan ini dapat membangunkan nagara Malaysia menuju ke arah maju dan makmur. Dari dahulu lagi Malaysia merupakan antara negara yang unik dengan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Ramai yang tidak tahu bahawa negara Malaysia juga diduduki oleh kaum-kaum minoriti seperti Kadazan, Iban dan sebagainya. Malaysia juga mempunyai banyak bangsa dari luar negara yang menetap di sini. Boleh dikatakan setiap kaum di Malaysia mempunyai keunikan dan adat dalam menyambut perayaan masing-masing. Kesemua perayaan di Malaysia disambut bersama-sama tidak mengira bangsa dan agama. Hal ini kerana wujudnya kesefahaman dan perpaduan yang utuh dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Perayaan di Malaysia adalah satu aktiviti yang selalu disambut oleh pelbagai etnik dan telah menjadi tradisi yang penting dari satu generasi ke generasi yang lain sejak dahulu lagi. Perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali telah dijadikan sebahagian daripada perayaan umum di Malaysia sejak kedatangan kaum Cina dan kaum India, justeru Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai perayaan yang terbanyak di dunia. Dengan kepelbagaian perayaan yang ada di Malaysia, tercetusnya perbezaan kebudayaan dan adat, disebabkan inilah negara Malaysia telah menjadi negara yang amat istimewa daripada negara-negara lain.

Bidang kebudayaan ini boleh dilihat melalui nilai dan norma yang merangkumi perkara seperti peraturan-peraturan, adat resam, “folk-ways & mores”, gaya dan perlakuan, pantang larang, upacara dan nilai-nilai keagamaan dan bersopan santun. Kesemua nilai dan norma ini adalah aset yang amat penting untuk mewujudkan suasana perayaan yang bermoral dan meriah. Kebudayaan ini dapat dilihat melalui perayaan-perayaan yang disambut oleh kaum-kaum tertentu. Contohnya, kaum Melayu meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri manakala kaum Cina pula menyambut Tahun Baharu Cina dan kaum India akan menyambut Hari Deepavali.


3.0 Metodologi Kajian

Reka bentuk kajian merupakan cara untuk mendapatkan maklumat dan data yang berkait dengan tujuan kajian diajalankan. Reka bentuk kajian membimbing ke arah mendapatkan maklumat dan data yang berhubung dengan tujuan kajian dijalankan. Salah satu tujuan menyediakan reka bentuk kajian adalah untuk mencari jawapan kepada persoalan kajian (Kerlinger, 1973).

Kajian ini adalah berbentuk kajian kuantitatif yang digunakan untuk mengkaji tahap kefahaman dan pengetahuan seseorang responden mengenai tajuk pengetahuan masyarakat pelbagai etnik etnik terhadap perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali. Menurut John W. Creswell (2003), kajian kuantitatif adalah kajian ilmiah yang sistematik terhadap bahagian-bahagian dan fenomena serta hubungan-hubungannya. Tujuan kajian kuantitatif adalah mengembangkan dan menggunakan model-model matematik, teori-teori atau hipotesis yang berkaitan dengan fenomena alam. Istilah kajian kuantitatif sering dipergunakan dalam ilmu-ilmu sosial untuk membezakannya dengan kajian kualitatif.

3.1 Instrumen Kajian

Kaedah yang sesuai dijalankan untuk mengumpul dan menjayakan kajian ini ialah melalui soal selidik. Hal ini disebabkan soal selidik sangat relevan, lebih pratikal dan berkesan digunakan untuk kajian yang dijalankan dalam populasi yang besar untuk mendapatkan maklumat berkenaan denagn topik mengenai sukan yang manakah paling sesuai dijadikan sebagai medium perpaduan berbagai etnik di Malaysia.

Setiap pernyataan dalam soal selidik adalah piawai dan serupa kepada semua responden. Pemberian soalan mampu memberi berbagai-bagai dapatan kajian atau sampel kajian bertindak balas tanpa dipengaruhi oleh penambahan atau pengurangan arahan. Kaedah soal selidik lebih mudah memperolehi data berbanding kaedah-kaedah lain bagi menjawap persoalan kajian yang telah dibentuk.

Instrumen kajian menyediakan satu set soalan yang mengandungi 12 soalan tentang tajuk pengetahuan masyarakat pelbagai etnik terhadap perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali. Soalan kajian ini membantu memperolehi maklumat bagi mencapai objektif kajian. Berdasarkan rasional yang sesuai, kajian ini mempunyai dua set soal selidik yang telah digunakan bagi mendapatkan maklumat berkait dengan kajian.

Set tersebut ialah Bahagian A berkaitan maklumat diri iaitu maklumat diri respondan lelaki dan wanita. Maklumat diri yang diperoleh daripada soal selidik ini adalah jantina, umur dan bangsa. Respondan dikehendaki melengkapkan kenyataan dengan jawapan yang bersesuaian dengan diri mereka sahaja. Manakala Bahagian B adalah soal selidik mengenai pengetahuan masyarakat pelbagai etnik terhadap perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali.


4.0 Dapatan Kajian

4.1 Bahagian A: Latar Belakang Responden

Jadual 4.1 menunjukkan taburan bilangan dan peratusan jantina responden mengikut demografi. Daripada 50 orang responden, seramai 31 responden (62%) lelaki dan selebihnya iaitu seramai 19 responden (38%) perempuan.

Jadual 4.2 menunjukkan taburan bilangan dan peratusan responden mengikut bangsa. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, bilangan responden Melayu adalah 80 orang (46%), Cina 16 orang (32%) dan India 11 orang (22%).

4.2 Bahagian B: Soal Selidik Mengenai Pengetahuan Masyarakat Pelbagai Etnik Terhadap Perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina Dan Hari Deepavali.

Bahagian B terdiri daripada sepuluh soalan yang berbentuk pertanyaan pendapat responden terhadap penyataan-penyataan mengenai kefahaman tentang pengetahuan masyarakat pelbagai etnik terhadap perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina an Hari Deepavali. Soal selidik ini mengandungi sembilan soalan objektif dan tiga soalan subjektif yang mana sembilan soalan hanya perlu menandakan ( / ) di kotak yang telah disediakan manakala tiga soalan subjektif menanyakan pengetahuan dan pendapat respondan. Begitu juga dengan Bahagian B.

Soalan 1: Adakah anda tahu tentang tiga perayaan ini iaitu Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Hari Deepavali?

Rajah 4.3 menujukkan jumlah serta peratus responden mengenai penyataan di atas. Seramai 48 responden (96%) sangat memilih jawapan Ya dengan soalan di atas. Selain itu, tiada responden yang memilih Tidak dan dua responden (4%) yang tidak pasti dengan soalan di atas. Secara majoritinya hampir kesemua pelajar mempunyai pengetahuan tentang perayaan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Hari Deepavali.

Soalan 2 dan 3: Bulan bilakahkah perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri disambut?

Rajah 4.4 dan 4.5 menujukkan jumlah serta peratus responden mengenai penyataan di atas. Untuk soalan perayaan Tahun Baru Cina seramai 14 responden (28%) memilih bulan Januari dan 29 responden(58%) memilih bulan Februari. Selain itu, tiada responden yang memilih bulan Mac dan 7 responden (14%) yang tidak pasti dengan kenyataan di atas manakala. Manakala bagi soalan perayaan aidilfitri seramai lima responden (10%) memilih bulan Jun, 17 responden (34%) memilih bulan Julai, empat responden (8%) memilih bulan Ogos dan 24 responden (48%) tidak pasti dengan kenyataan di atas. Secara majoritinya responden memilih bulan bulan Februari untuk perayaan Tahun Baru Cina manakal untuk perayaan Aidilfitri ramai yang tidak pasti tentang bulan perayaannya.

Soalan 4: Berapa lamakah perayaan Hari Deepavali disambut?

Rajah 4.6 menujukkan jumlah serta peratus responden mengenai penyataan di atas. Seramai lima responden (10%) memilih tiga bulan dan tiada responden yang memilih 10 bulan. Selain itu, seramai 15 responden (30%) telah memilih 12 bulan dan 30 responden (60%) yang tidak pasti dengan soalan di atas. Secara majoritinya ramai responden tidak pasti dengan soalan di atas.

Soalan 5: Adakah perayaan tersebut dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara masyarakat berbilang kaum?

Rajah 4.7 menujukkan jumlah serta peratus responden mengenai penyataan di atas. Seramai 35 responden (70%) memilih Ya dan enam responden (12%) yang memilih Tidak. Manakala seramai 9 responden (18%) telah memilih tidak pasti dengan soalan di atas. Secara majoritinya responden merasakan bahawa perayaan dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat berbilang kaum.

Soalan 6: Adakah perayaan dapat menyelesaikan masalah-masalah atau pergaduhan yang lama?

Rajah 4.8 menujukkan jumlah serta peratus responden mengenai penyataan di atas. Seramai 34 responden (68%) memilih Ya dan empat responden (8%) yang memilih Tidak. Manakala seramai 12 responden (24%) telah memilih tidak pasti dengan soalan di atas. Secara keseluruhannya responden merasakan bahawa perayaan dapat menyelesaikan masalah-masalah atau pergaduhan yang lama.

Soalan 7: Apakah aktiviti perayaan yang dapat mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai etnik?

Rajah 4.9 menujukkan jumlah serta peratus responden mengenai penyataan di atas. Seramai 17 responden (35%) memilih kunjung-mengunjung sesama masyarakat dan tiga responden (6%) yang memilih berkelah bersama-sama dapat meneratkan hubungan sesama masyarakat. Selain itu, seramai 29 responden (58%) telah memilih rumah terbuka dan hanya satu responden (2%) yang memilih lain-lain untuk soalan di atas. Secara majoritinya kebanyakan responden memilih rumah terbuka ketika perayaan dapat mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai etnik.

Soalan 8: Apakah yang anda akan lakukan untuk menunjukkan anda prihatin terhadap
perayaan kaum lain?

Rajah 4.10 menujukkan jumlah serta peratus responden mengenai penyataan di atas. Seramai 34 responden (68%) memilih ucap selamat sesama etnik yang menyambut perayaan dan sembilan responden (18%) memilih mengirim kad ketika perayaan. Selain itu, seramai lima responden (10%) telah untuk memberi hadiah dan hanya dua responden (4%) yang memilih lain-lain dengan soalan di atas. Secara majoritinya ramai responden memilih ucap selamat ketika perayaan kerana ia lebih mudah dah dan lebih terbuka bagi semua perayaan.

Soalan 9 dan 10: Selain perayaan kaum sendiri, perayaan yang manakah anda ingin hadir? Berdasarkan jawapan 9, sila nyatakan sebab jawapan tersebut adalah pilihan anda.

Rajah 4.11 menujukkan jumlah serta peratus responden mengenai penyataan di atas. Seramai 12 responden (40%) ingin menyambut perayaan Aidilfitri dan 20 responden (24%) memilih untuk menyambut Tahun Baru Cina. Manakala seramai sepuluh responden (10%) ingin menyambut perayaan Deepavali dan lapan responden (16%) memilih tiada perayaan yang ingin disambut selain perayaannya. Dari soalan 10 dapat disimpulkan kebanyakan responden memilih perayaan Aidilfitri kerana ia mempunyai pelbagai jenis makanan yang sudah sebati dengan masyarakat Malaysia. Bagi yang ingin menyambut perayaan Tahun Baru Cina pula kerana perayaan ini terdapat budaya memberi duit pemberian ketika perayaan atau dikenali sebaga “angpau”. Manakala bagi yang ingin menyambut perayaan Deepavali juga kerana makanan ia yang semakin sebati dengan masyarakat Malaysia. Bagi yang memberi jawapan lain-lain pula tidak mempunyai jawapan yang begitu jelas.

Soalan 11: Apakah perbezaan antara perayaan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan
Hari Deepavali?

Hasil daripada jawapan yang diberikan oleh responden antara jawapan yang dapat disimpulkan ialah perbezaan agama kerana setiap perayaan di atas disambut atas kepercayaan agama masing-masing. Selain itu, bangsa dan kaum juga menjadi antara jawapan kegemaran responden yang mana setiap kaum dan bangsa menyambut perayaan masing-masing yang mempunyai identiti dan ciri-ciri etnik sejak dari zaman dahulu lagi. Akhir sekali, terdapat juga jawapan seperti makanan dan pakaian yang mempunyai ciri-ciri perayaan masing-masing.

Soalan 12: Pada pandangan anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan perayaan
pelbagai etnik semakin jarang disambut?

Terdapat pelbagai jawapan bagi soalan ini antara jawapan yang paling ketara ialah kemajuan teknologi yang membuatkan manusia tidak berinteraksi secara berdepan tetapi mereka hanya selesa menyambut dengan ucapan di laman sosial mereka sahaja. Selain itu terdapat juga jawapan yang menyatakan kegawatan ekonomi yang menyebabkan masyarakat hanya menyambut perayaan secara sederhana sahaja.

4.3 Perbincangan Hasil Kajian

Bagi kaum Melayu, mereka menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Perayaan ini merupakan perayaan masyarakat yang hanya beragama Islam tetapi berbilang bangsa yang disambut pada setiap 1 Syawal tahun Hijrah mengikut kalender Islam yang mana bermula dengan ibadat puasa di bulan Ramadan. Puasa pula bermakna menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perakara yang dapat membatalkannya dari terbit matahari sehingga terbenam matahari. Perayaan ini disambut sebagai meraikan kemenangan pada bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa. Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara, iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Taqwim Hijriyah. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik. Namun, selalunya anak bulan tidak dapat dilihat di Malaysia kerana langit yang diliputi awan tebal. Jadi sebagai penggantinya, bulan Syawal bermula setelah bulan Ramadhan digenapkan kepada 30 hari (ditentukan secara hisab).

Ketika tarikh Hari Raya Aidilfitri sudah ditentukan, di situlah para umat Islam akan bertakbir dan bertahmid sambil memuji kebesaran Allah iaitu Tuhan mereka. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah antara terbenamnya matahari (hari terakhir bulan Ramadan) sehingga sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah.

Amalan-amalan yang sering dilakukan oleh umat Islam pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Bermula pada pagi Hari Raya Aidilfitri (selalunya sebelum dan sejurus sesudah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri), umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara atau orang yang tersayang akan mengunjungi pusara mereka dan menyedekahkan Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin atau bertahlil kepada si mati. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan memaafkan  kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya Aidilfitri adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan dalam kalangan umat Islam terutama kenalan yang tinggal berjauhan di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah swt.

Manakala bagi kaum Cina pula mereka akan meraikan perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut oleh masyarakat Cina pada setiap tahun bagi menandakan kedatangan tahun baharu menurut kalendar mereka sendiri. Keunikan bagi perayaan ini ialah setiap kedatangan tahun baharu merupakan titik permulaan binatang yang baharu untuk selama 12 bulan. Kalender masyarakat Cina mempunyai 12 binatang yang menaungi kalendar mereka seperti tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap binatang akan membawa maksud dan nasib yang berbeza berdasarkan tarikh kelahiran seseorang.

Sebelum hari pertama Tahun Baharu Cina, masyarakat Cina akan pulang ke kampung mereka untuk makan besar dan mereka menamakan sebagai “Reunion Dinner” pada malam ke-30 mengikut kalender Cina. Selain itu, mereka akan membersihkan rumah untuk membuang nasib yang lama daripada rumahnya supaya dapat menyambut Tahun Baharu Cina dengan selesa. Tujuan membersihkan rumah adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga sendiri kerana telah berjauhan sekian lama. Apabila tibanya hari pertama Tahun Baharu Cina, bagi keluarga yang sudah berumah tangga, mereka akan mengadakan satu upacara seperti menghidangkan teh kepada orang yang lebih tua iaitu ibu dan bapa dan memberi “angpau”, iaitu sejenis sampul merah sebagai tanda memberi nasib baik kepada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat yang belum berumah tangga terutama kepada kanak-kanak.

Makanan bagi kaum Cina pada Tahun Baru Cina seperti buah limau mandarin dan biskut Cina merupakan perkara yang wajib untuk meraikan Tahun Baharu Cina serta boleh menjadi hidangan kepada tetamu. Tarian singa yang selalu ditunjukkan  juga dimainkan pada masa perayaan untuk memberi berkat kepada orang yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina. Akhirnya, kaum Cina akan menyambut perayaan “Chap Goh Meh” sebagai penutup perayaan Tahun Baharu Cina.

Perayaan masyarakat India pula adalah Hari Deepavali. Perkataan Deepavali bermaksud  merupakan gabungan perkataan “Dipa” yang bererti cahaya dan perkataan “Gavali” yang bererti barisan. Perayaan ini akan disambut pada hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) di Tamil Nadu dan Malaysia, dan juga dikenali sebagai pesta cahaya. Deepavali juga bermaksud “sebaris pelita”. Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.

Hari Deepavali di negara Malaysia disambut pada bulan ketujuh kalendar suria Hindu dan dijadikan cuti umum. Bermula pada pagi Deepavali, penganut agama Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan pembakar semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil yang mana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.

Pada pintu masuk rumah penganut Hindu terdapat hiasan “kolam”, hiasan bunga halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya dibuat daripada bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan “kolam” atau juga dikenali sebagai “rangoli’ mempunyai maksud iaitu sosial, kerohanian dan simbolik. Ia merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi, Dewi Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan “kolam” di pintu masuk rumah mereka. Melakar “kolam” merupakan cara bagi wanita Tamil bagi berdoa pada Lakshmi.


5.0 Kesimpulan

Pada zaman moden ini, masyarakat Malaysia agak jarang mengambil berat tentang perayaan kaum lain ini kerana meraka kurang pengetahuan atau tidak tahu langsung sambutan perayaan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Hari Deepavali yang bukan perayaan meraka sambut malah perayaan kaum minorit seperti Iban, Kadazan dan lain-lain juga tidak diketahui.


Rujukan

Mohd Adham Che Abdullah, Mohd Firdaus Shaffudin, Mohd Norhafizan Ibrahim, Muhammad Nurzami Ab Sota, Muhammad Azlan Zabaniah, Law Xue Ni, Nur Izzati, Bagavathi, Lim Sing Wee. (2009). Apakah itu perayaan?
http://perayaanmalaysia.blogspot.my/2009/03/apakah-itu-perayaan.html

Mohamad Zahir Zainudin. (2015). Persepsi masyarakat terhadap pelbagai perayaan di Malaysia. http://zahirzainudin.blogspot.my/2015/05/persepsi-masyarakat-terhadap-pelbagai.html.

Nurrulaidawati Ahmad. (2011). Perayaan di Malaysia, http://nurrulaidawati.blogspot.my/.

Mohd. Taib Osman, Kadir Yusoff. (1983). Kajian budaya dan masyarakat di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Warisan Pak Matlob. (2008). Warna-warni perayaan di Malaysia. Kuala Lumpur:  Pustaka Yamien.

Maruwiah. (2010). Siri perayaan di Malaysia. Kuala Lumpur: Delima Ilmu.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. (2006). Hari-hari perayaan masyarakat Malaysia.

Redwan Majid, Zulkifli Ismail. (2004). Remaja yang berwawasan. Utusan Publications and Distributors.

                  

No comments:

Post a Comment