Wednesday, November 23, 2016

Rakhine kembali bergolak







Rakhine adalah sebuah wilayah di pantai barat Mynmar, dipisahkan daripada tengah Mynmar  oleh puncak Victoria. Perkataan Rakhine dipercayai berasal daripada Rakkhapura iaitu “tanah Rakhasan’. Nama ini diberi sebagai tanda penghargaan terhadap keupayaan penduduk wilayah itu mengekalkan warisan kebangsaan dan moral. Perkataan Rakhine bermakna ‘seseorang yang mengekalkan keupayaan bangsanya’.

Penduduk Rakhine berjumlah 3.1 juta orang didominasi oleh etnik Rohingya di samping etnik minoriti lain seperti Kamein, Chin, Mro, Chakma, Dainet, Bengali, Hindu dan Maramagri. Pada 2012, berlaku rusuhan antara penduduk Islam Rohingya dan etnik buddha Rakhin. Sebelum rusuhan meletus, terdapat khabar angin yang mengatakan etnik Rakhin bakal menjadi kelompok minoriti di negeri sendiri. Rusuhan sebenar berlaku selepas sepuluh orang muslim Mynmar dibunuh oleh etnik Rakhin dan pembunuhan seorang etnik Rakhin oleh masyarakat Rohingya.

Pergaduhan kedua-dua etnik menyebabkan 78 orang kehilangan nyawa, 87 orang cedera dan 140,000 kehilangan tempat tinggal. Kerajaan Mynmar mengisytiharkan perintah berkurung dan darurat pada 10 Jun 2012. Sepanjang masa darurat ini, pihak tentera mengambil bahagian dalam mengawal keselamatan pihak-pihak yang bertelagah. Pemerhatian oleh International Crisis Group menyatakan pihak tentera memberi perlindungan kepada kedua-dua pihak yang bersengketa.

Dalam bancian pada Julai 2012, kerajaan Mynmar tidak mengambil kira Rohingya sebagai salah satu daripada 135 etnik di negara itu sebaliknya Rohingya dikenali sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh dan dinafikan kewarganegaraan. Namun Bangladesh menyatakan Rohingya telah lama tinggal di Mynmar dan wajar diiktiraf sebagai warganegara. Jika diambil diaspora Rohingya, kelompok etnik ini boleh membentuk 42.7 peratus daripada penduduk wilayah Rakhine.

Rohingya telah lama dikenakan pelbagai sekatan oleh kerajaan Mynmar. Pada Mei 2013, pihak berkuasa Rakhine telah mengenakan peraturan mengehadkan bilangan anak dalam keluarga Rohingya. Peraturan ini membenarkan setiap keluarga etnik itu memiliki dua orang anak, bagaimanapun keluarga buddha dikecualikan.

Arahan ini menjadikan Mynmar satu-satunya negara di dunia yang mengenakan peraturan berdasarkan agama. Dasar ini dikenakan sebagai salah satu saranan suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan Mynmar kerana berasa bimbang pertumbuhan etnik itu sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada etnik Rakhin.

Konflik etnik yang baru tercetus di Rakhine meningkatkan kembali permusuhan baru. Beratus-ratus orang etnik Rohingya sedang berhadapan tindakan keras tentera Mynmar melalui pengusiran dan pemusnahan tempat tinggal. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh agensi antarabangsa untuk membantu meredakan konflik ini dan memastikan Rohingya mendapat jaminan keselamatan.


No comments:

Post a Comment