Sunday, March 29, 2015

Konflik dalaman punca perpecahan










Pada pandangan Lim Guan Eng, presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang adalah seorang pemimpin yang tidak jujur. Ia susulan sikap pemimpin itu yang berterusan mengingkari perjanjian sesama pemimpin Pakatan Rakyat khususnya pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Usaha terbaru kerajaan Kelantan yang mendapat sokongan penuh ahli Dewan Undangan Negeri menjadikan persepsi Lim Guan Eng terhadap Haji Abdul Hadi berubah serta-merta.

Gesaan supaya Dap memutuskan hubungan dengan presiden Pas menjadi bukti bahawa Lim Guan Eng tidak dapat lagi mendiamkan diri. Cadangan mewujudkan blok “Selamatkan Malaysia” oleh Lim Kit Siang menunjukkan kedua-duanya sudah berpatah arang dengan pemimpin Pas itu.

Konflik yang berterusan antara Pas dan Dap mula memberi impak terhadap kedua-dua parti terbesar dalam Pakatan Rakyat. Dap di Sabah dan Sarawak membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Pas tetapi di negeri-negeri lain masih belum jelas. Bagaimanapun Dap Kedah tidak mengikut arahan pimpinan parti sebaliknya meneruskan hubungan dengan Pas.

Konflik, tuduh-menuduh, tindakan balas dendam dan kecaman peribadi merupakan sebahagian daripada simptom organisasi yang bermasalah. Pakatan Rakyat sebagai sebuah organisasi politik juga berhadapan dengan masalah, sebuah masalah yang sangat besar kerana melibatkan maruah pemimpin. Perbezaan pendapat dan hala tuju perjuangan menjadi punca kenapa dan bagaimana pakatan ini akan berakhir. Ia ditambah lagi dengan masalah peribadi pemimpin yang tidak kompeten dan melemahkan keyakinan orang ramai kepada mereka.

Melihat kepada kesungguhan Pas menerajui undang-undang syariah baru-baru ini, ia menjadi perdebatan umum yang mengundang pelbagai pandangan, sama ada pemimpin Islam dan bukan Islam, pertubuhan bukan kerajaan ataupun masyarakat awam sendiri.

Perdebatan ini diketengahkan melalui tulisan, video atau sesi temubual yang mengundang pelbagai kritikan, sama ada yang membina ataupun sebaliknya.

Ada tiga kelompok yang wujud kesan daripada kelulusan undang-undang syariah ini iaitu kelompok yang menyokong penuh, kelompok yang menentang dan kelompok yang bersikap tunggu dan lihat.

Kelompok agamawan dan sebahagian besar masyarakat Islam sangat yakin dan percaya undang-undang syariah boleh dilaksanakan di negara ini. Mereka tidak ada keraguan untuk melihat ia menjadi kenyataan. Bagi mengukuhkan pendirian mereka, pelaksanaan undang-undang syariah di Brunei dijadikan panduan dan titah Sultan Brunei turut dijadikan rujukan.

Kelompok “moderate” dan sekular enggan menerima undang-undang syariah begitu sahaja. Alasan yang dikemukakan adalah sukar dilaksanakan undang-undang ini dalam masyarakat pelbagai etnik dan budaya. Ia termasuk Parti Keadilan Rakyat dan kumpulan G25 yang telah mengeluarkan kenyataan mereka baru-baru ini. Parti-parti politik yang dikuasai bukan Islam di Sabah dan Sarawak berpakat menolak pelaksanaannya di Malaysia.

Perjalanan undang-undang syariah di negara ini telah lema berlaku. Suara yang mahukan undang-undang ini dilaksanakan tidak dapat lagi disekat kerana kesedaran beragama masyarakat Islam sudah meningkat. Mereka mahu melaksanakan apa-apa sahaja yang diperintahkan Allah swt.

Penentangan terhadap cara hidup sebagai sebuah sistem kehidupan yang sempurna berlaku sejak zaman Rasululah saw. Ia berlarutan sehingga kini. Kaedah terbaik untuk berhadapan dengan penolakan dan salah faham ini tidak boleh dilakukan secara ganas dan kekerasan sebaliknya dengan hikmah dan bijaksana sebagaimana saranan Allah swt kepada Rasulullah saw dalam ayat 52 surah al-furqan yang bermaksud, “Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir dan berjuanglah dengan hujah-hujah al-quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh”.



No comments:

Post a Comment