Sunday, December 12, 2010

Serlahkan potensi diri

Orang berjaya menukar peluang kepada kejayaan atau ganjaran. Mereka ini merupakan orang yang belajar bagaimana untuk menempa kejayaan. Contohnya, hari ini ramai orang muda yang bersaing untuk mencari pekerjaan. Dalam persaingan ini, yang bernasib baik, mempunyai tahap pendidikan yang lebih baik, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kokurikulum, tentulah pencari kerja jenis ini mendapat tawaran kerja yang baik. Mereka yang gagal mendapat pekerjaan tentu berasa kecewa dan ‘frust’, mungkin juga merajuk dan memasukkan dirinya dalam kategori ‘penganggur.’

Hakikatnya, orang yang gagal seperti itu boleh menempa kejayaan melalui kerja-kerja lain. Bekerja di sektor swasta adalah pilihan mudah tetapi bekerja sendiri adalah pilihan paling tepat. Kita sering mendengar ceramah tentang hasil rezeki adalah sembilan per sepuluh datang daripada perniagaan.

Saya mengenali seorang usahawan berjaya baru-baru ini yang ada bau-bau bacang dengan keluarga saya. Saya masih ingat, ketika kecil dahulu dia belajar di sekolah kampung dan bersusah-payah mencari pekerjaan. Selepas puas bekerja makan gaji, dia mula meneroka dunia usahawan. Saya agak terlopong apabila melihat dia datang ke rumah dengan Nissan Murano. Saya panggilnya Pakcik Ismail saja. Kini dia memiliki tenaga kerja seramai 40 orang dan memberi fokus pada bisnes senggaraan tanaman dan pembinaan. Pakcik Ismail bukannya pandai sangat semasa di sekolah namun semangat dan kegigihannya untuk berjaya sebagai usahawan telah mencetuskan revolusi baru dalam hidupnya.

Jadi, apabila ada orang berkata ‘mengaji tidak pandai, tidak akan jadi kaya’ tidak boleh lagi dijadikan alasan untuk menganggur kerana ramai yang membuktikan bahawa keinginan dan semangat hendak berjaya dalam bisnes telah menyerlahkan potensi diri mereka walaupun pada masa silamnya mereka ini tidak pernah mendapat nombor satu dalam peperiksaan di sekolah.

No comments:

Post a Comment