Monday, July 14, 2014

Panduan dan strategi motivasi diri






Penulis: Sharifah Akmam Syed Zakaria
Tahun: 2005
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 200

Buku ini merupakan panduan bagi mereka yang mahu mengharungi kehidupan seharian tanpa mengira bidang yang diceburi. Ia bertujuan mendorong diri ke arah kekuatan dan ketahanan mental dan spiritual.

Motivasi juga merupakan sebahagian daripada aspek pengurusan diri. Kadangkala seseorang itu mempunyai semangat yang tinggi dalam menjalani kehidupan seharian tetapi ada ketikanya semangat berkobar-kobar itu hilang entah ke mana. Melalui buku ini, diharapkan para pembaca boleh membantu diri agar terus bersemangat meneruskan perjuangan hidup.

Buku ini juga diharapkan boleh membantu ke arah penambahbaikan dalam beberapa aspek penting kehidupan. Ia menyediakan langkah demi langkah untuk mencari jawapan bagi beberapa persoalan yang sering ditanyakan kepada diri sendiri. Terdapat beberapan latihan berbentuk penilaian diri dan penekanan tertentu yang memberikan peluang untuk menangani sebarang masalah yang berkait dengan diri sendiri.

Buku ini bukan sekadar menyampaikan isi kandungan tentng motivasi diri tetapi memberi panduan tetang "bagaimana hendak melakukan dan melaksanakannya".

Sunday, July 13, 2014

Lupakan masalah








Ada banyak cara untuk melupakan masalah. Penyelesaian masalah dengan cara yang salah akan mengundang masalah lain pula. 

Kesilapan biasa apabila berhadapan dengan masalah ialah mengambil tindakan yang merosakkan tubuh badan seperti murung, tidak makan ataupun menyibukkan diri dengan hal-hal yang melalaikan. 

Cara ini adalah salah. Saya cadangkan cara mengatasi masalah ialah dengan melupakan masalah. 

Bagaimana teknik ini berfungsi? 

Masalah dikaitkan dengan tenaga negatif, memikirkan masalah menyebabkan fikiran menjadi negatif. Melupakan masalah memberi tenaga positif, tidak berfikir tentang kesedihan atau kepayahan. 

Jika memberi fokus kepada penyelesaian, Insya Allah masalah dapat diselesaikan. 


Saturday, July 12, 2014

Karektor pemimpin







Pakar-pakar teori bisnes berpendapat poin terpenting dalam memimpin organisasi ialah visi melahirkan pandangan yang realistik, kredibel dan menjangkakan masa hadapan yang menarik, suatu keadaan yang lebih baik daripada sekarang. 

Sebenarnya setiap bentuk kepimpinan berbeza-beza kerana pemimpin yang berbakat boleh muncul dalam pelbagai bentuk kerana latar belakang tidak sama. Ada pemimpin yang berbakat ini suka bercakap, pendiam, pemalu, serius, kelakar dan peramah. 

Jadi, kita perlu menghormati karektor pemimpin ini supaya mereka dapat memberikan masa hadapan yang lebih baik.

Friday, July 11, 2014

Jawatan dan pengaruh








Dalam kehidupan kita, ramai yang hendak atau teringin menjadi pemimpin. Namun, adakah pemimpin itu dikagumi kerana jawatan yang disandang atau pengaruh yang dimiliki? 

Bagi menjawab soalan ini, saya berkongsi kisah seorang presiden pasukan bola sepak yang membawa sekumpulan kanak-kanak melihat stadium yang besar. Dia membawa kanak-kanak ke dalam stadium, menyentuh tiang gol dan duduk di bangku simpanan pemain. 

Sebaliknya rombongan ini dilarang masuk ke kawasan pemain memanaskan badan oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas. 

Sudah tentu presiden pasukan bola sepak itu boleh memberitahu yang beliau berhak untuk masuk tetapi memilih untuk tidak melakukannya. Selepas itu, beliau menulis surat terima kasih kerana pengawal keselamatan itu telah berjaya melaksanakan tugas. 

Ternyata seorang pemimpin boleh menjadi hebat kerana tahu bagaimana berinteraksi dengan orang lain.



Fahami dahulu






Tidak ada orang yang tidak boleh diubah hati, pemikiran dan tindakannya melainkan orang yang menutup keinginannya untuk berubah. 

Prinsip asas kepada perubahan hati, fikiran dan tindakan ialah menyampai atau menerima mesej melalui komunikasi yang berkesan. 

Kita boleh memberitahu dengan bercakap secara langsung, menggunakan pihak ketiga atau bersemuka secara diplomasi. 

Kaedah yang lebih baik ialah memahami sesuatu perkara dari kaca mata orang lain, memberi penghargaan yang jujur dan menunjukkan cara bagaimana perubahan membawa kejayaan.



Thursday, July 10, 2014

Mula dengan usaha yang kecil







Seorang perunding pembangunan diri, Dale Carnegie telah menulis buku “How to win friends” yang terjual sebanyak 30 juta naskah dan diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. 

Bagaimana beliau melakukannya? 

Dale Carnegie bermula dengan memberi ceramah berpandukan pengalaman sendiri. 

Seterusnya idea-idea ditulis ke atas kad kecil, kemudian kad ini digantikan dengan risalah. 

Selepas itu risalah ini digantikan dengan buku kecil bersiri. Selepas 15 tahun, dia menghimpunkan semua idea dan pengalamannya dalam sebuah buku untuk dikongsi. 

Jika kita ada idea, mulakan dengan catatan kecil kumpulkan dan tulis sehingga menjadi sebuah buku.


Wednesday, July 09, 2014

Kesedaran keselamatan motosikal di IPTA: kajian kes di UTeM


 
 


 
1.0 Pengenalan

Penggunaan motosikal merupakan suatu kebiasaan yang digunakan oleh pelajar-pelajar dan staf UTeM di mana kewujudannya boleh ditafsir daripada pelbagai aspek. Dari aspek sosiobudaya, pelajar UTeM menjadikan penggunaan motosikal sebagai satu cara hidup untuk menghadiri kelas dengan mudah manakala staf UTeM menggunakannya untuk ke tempat kerja. Perkara ini biasa kita lihat dalam pelbagai situasi. Kebanyakan pelajar UTeM tidak menghiraukan keselamatan motosikal sama ada di kampus atau di tempat kediaman berbanding staf UTeM yang sudah biasa menggunakan motosikal. Sikap sambil lewa yang diamalkan boleh menyebabkan kerugian harta benda. Tingkah laku ini wajar dihentikan bagi membentuk golongan pelajar yang berwawasan. Faktor umur turut mempengaruhi pandangan mereka terhadap keselamatan motosikal. Mereka sedar akan pentingnya keselamatan motosikal tetapi tidak mengindahkannya dan mengetepikan keselamatan tersebut serta mementingkan aspek yang lain.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui tahap kesedaran keselamatan motosikal dalam kalangan penunggang motosikal di UTeM, mengetahui kesalahan yang kerap dilakukan oleh penunggang motosikal serta mencadangkan langkah-langkah keselamatan motosikal.


2.0 Sorotan Kajian

Motosikal merupakan kenderaan berenjin dua roda yang menjadi sebahagian besar dalam kelompok kenderaan peribadi selepas kereta. Penggunaan motosikal menjadi popular disebabkan ianya mudah dikendalikan, selain harga kenderaan tersebut boleh katakan murah dan praktikal serta boleh dipercayai (Conrad et al., 1996; Kulanthayan et al., 2000; Pang et al., 1999; Hsu et al., 2005; Ibrahim et al., 2006). Senario ini boleh dilihat di kebanyakan negara-negara membangun seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Loas, Kemboja dan termasuk negara Asia lain yang menjadikan motosikal sebagai kenderaan penting dalam aktiviti perjalanan dan pengangkutan mereka.

Menurut laporan perangkaan yang dikeluarkan PDRM (2009) dan JPJ (2010), bilangan jumlah motosikal berdaftar di Malaysia didapati kian meningkat sehingga melebihi angka lapan juta. Peningkatan jumlah motosikal berdaftar sejak 1998 hingga 2009 iaitu daripada 4,692,183 ke 8,940,230 atau 90.5% dalam tempoh tersebut. Senario ini bagaimanapun tidak bermakna satu perkembangan yang baik, sebaliknya negara berhadapan dengan kesan dan akibat terhadap peningkatan kemalangan dan kematian di jalan raya.

Keselamatan jalan raya menjadi isu serius dan agenda penting di Malaysia. Bermula titik tolak melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia pada tahun 1995 untuk menilai semula aspek keselamatan jalan raya dengan membuat sasaran sebanyak 30% pengurangan kematian di jalan raya. Ini melibatkan pendekatan yang bersepadu melalui pelbagai agensi-agensi yang bertangungjawab terhadap keselamatan jalan raya dalam negara (Radin 2005, 2007). Maka, Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di UPM telah diberi mandat melaksanakan tugasan dan membangunkan sasaran yang lebih realistik, sementara agensi-agensi lain digesa untuk menyediakan program intervensi mereka berdasarkan pendekatan sainstifik. Antara strategi-strategi tersebut ialah kawalan pendedahan, pencegahan dan pengurangan kemalangan, kawalan kecederaan, dan pengurangan selepas kecederaan (Law et al., 2005; Radin 2007). Selain itu, program keselamatan juga difokuskan dan disepadukan kepada pengguna motosikal, pejalan kaki dan pengguna kereta. Perincian program tersebut adalah seperti berikut (Radin 2005, 2007):

i. Peningkatan sistem pengkalan data kemalangan kebangsaan
ii. Pengenalan penyiasatan kecelakaan kemalangan 20
iii. Pelaksanaan lima peringkat audit keselamatan jalan raya
iv. Pelaksanaan program titik hitam kebangsaan
v. Memasang lampu kepala siang hari inisiatif untuk motosikal
vi. Kempen keselamatan jalan raya kebangsaaan
vii. Pengubalan Akta Pengangkutan Jalan 1999
viii. Penguatkuasaan bersepadu semasa musim perayaan
ix. Topi keledar standard MS1-1996
x. Topi keledar kanak-kanak
xi. Polisi lorong motosikal eksklusif dan tidak eksklusif

Seterusnya kerajaan Malaysia telah meletak sasaran baru untuk sepuluh tahun akan datang negara akan menerima pakai tanda aras sebagaimana di negara-negara maju dengan menurunkan kadar kematian kurang daripada 2.0 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar, 10 kematian setiap 100,000 populasi dan 10 kematian setiap bilion kilometer kenderaan bergerak. Begitu pun, sasaran 10 kematian masih terlalu jauh untuk dicapai dan disebabkan kadar kematian penunggang motosikal lebih tiga kali ganda pengguna kereta, maka keselamatan penunggang motosikal perlu difokuskan dan diberi keutamaan (Radin 2007).



3. Metodologi Kajian

Kajian ini adalah berdasarkan penyediaan soalan kaji selidik. Soalan-soalan ini dijawab oleh staf dan pelajar UTeM. Seterusnya adalah proses mengalisis kembali semua data yang telah diterima kembali untuk soalan-soalan kaji selidik yang mana telah siap dijawab oleh responden.


4.0 Hasil Kajian 

Rajah 1: Jantina

Sebanyak 20 borang soal selidik di mana 16 responden (80%) responden adalah lelaki dan empat orang (20%) perempuan.

Rajah 2: Fakulti

Pecahan pelajar dan staf UTeM menunjukkan lapan daripadanya dari FKP, dua dari FTMK, empat FKEKK, lima dari fakulti FKE dan seorang dari FKM.

Rajah 3: Kaum

Responden terdiri daripada 14 Melayu (61%), lima Cina (22%) dan seorang responden India (17%).

Rajah 4: Cara menitikberatkan keselamatan motosikal sangat penting

Empat responden tidak pasti keselamatan motosikal sangat penting, berbeza dengan 18 resonden yang bersetuju.

Rajah 5: Sistem keselamatan motosikal sangat penting dalam kehidupan seharian

Seramai 11 responden mengakui sistem keselamatan motosikal sangat penting dalam kehidupan seharian manakala lapan responden memilih setuju untuk menjawab soalan yang dikemukakan manakala seorang daripadanya bingung dengan soalan yang dikemukakan.

Rajah 6: Info keselamatan motosikal banyak memberi pengetahuan yang berguna

Sepuluh responden bersetuju bahawa info keselamatan banyak memberi pengetahuan yang berguna. Tiga responden yang lain sangat setuju manakala enam yang lain tidak pasti.

Rajah 7: Mendapat lesen motosikal dapat menjamin keselamatan motosikal

Seramai 11 responden tidak setuju bahawa mendapat lesen motosikal dapat menjamin keselamatan motosikal manakala empat responden menjawab tidak pasti, lapan yang lain setuju.

Rajah 8: Kerap melakukan kecuaian di jalan raya 

Tujuh responden setuju bahawa mereka kerap melakukan kecuaian di jalan raya. Lima responden tidak setuju dan selebihnya tidak pasti bahawa mereka kerap melakukan kecuaian di jalan raya.

Rajah 9: Peminjaman motosikal kepada orang lain sangat digalakkan

Majoriti responden tidak setuju peminjaman motosikal kepada orang lain sangat digalakkan. Tiga responden menjawab tidak pasti dan tiga yang lain sangat setuju.

Rajah 10: Pemasangan alat keselamatan motosikal dengan baik sangat penting

Majoriti 14 responden berpendapat bahawa pemasangan alat keselamatan motosikal dengan baik sangat penting. Empat responden yang lain hanya bersetuju manakala dua responden tidak pasti.

Rajah 11: Meletakkan penggera pada motosikal dapat menjamin keselamatan motosikal

Seramai sembilan responden berpendapat bahawa meletakkan penggera pada motosikal dapat menjamin keselamatan motosikal. Lima responden tidak setuju penggera perlu diletakkan pada motosikal bagi menjamin keselamatan motosikal.

Rajah 12: Meletakkan motosikal di kawasan yang sunyi merupakan keselamatan yang baik

Majoriti responden sangat tidak setuju bahawa meletakkan motosikal di kawasan yang sunyi merupakan langkah keselamatan yang baik. Hanya dua responden berpendapat tidak pasti.

Rajah 13: Tahap keselamatan motosikal perlu membabitkan pihak berkuasa

Tujuh responden sangat setuju bahawa tahap keselamatan motosikal perlu membabitkan pihak berkuasa manakala empat responden sangat tidak setuju. Lima responden tidak pasti.


5.0 Kesimpulan

Artikel ini telah mengupas pelbagai mod tahap keselamatan motosikal yang telah digunakan oleh pelajar dan staf UTeM untuk menunggang di kawasan tempat tinggal dan kampus. Tahap kesedaran keselamatan motosikal ini digunakan bagi pelbagai tujuan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pelajar dan staf UTeM tidak mengamalkan keselamatan motosikal dan telah mendatangkan pelbagai kesan sama ada ke atas persekitaran ataupun keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Bagi mengatasi masalah ini, beberapa langkah telah dicadangkan supaya para pelajar dan staf UTeM dapat mengambil berat keselamatan tahap keselamatan motosikal mereka supaya berada dalam keadaan baik.


Rujukan

Ahmad Hariza H., Kulanthyan S., Mohd Nasir, T. & Radin Umar R.S. (2002). Keberkesanan kempen keselamatan motosikal ke atas penunggang motosikal. Malaysian Journal of Consumer and Family Economics 5: 99-107.

Che Su, I. (2000). Keberkesanan program keselamatan motosikal di kalangan penunggang motosikal. Tesis M.Sc. Universiti Utara Malaysia.

Fah, L.Y. & Hoon, K.C. (2010). Pengenalan kepada analisis statistik dalam penyelidikan sains sosial siri 3. Selangor: Venton Publishing.

Fazrina, I. (1995). Perkaitan antara tahap pengetahuan dan sikap dengan amalan semasa di jalan raya. Tesis Sarjana Muda. Universiti Pertanian Malaysia.

Polis Diraja Malaysia. (2009). Laporan perangkaan kemalangan jalan raya Malaysia 2007. Cawangan Trafik Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Radin Umar R.S. (1998). Model kematian jalan raya di Malaysia: Unjuran tahun 2000. Pertanika Journal Science and Technology 6(2): 107-119.



Zahir Zainudin, Muhammad Adib Ismail, Syahrul Zhafri Basri, Muhammad Faisal Ishak, Muhammad Azizi Mohd Nazir, Azizil Hakim Isnin, Muhammad Naim Ab Rahman



Tuesday, July 08, 2014

Berubah








Sebelum negara Jepun menjadi sebuah negara maju dan kuat dalam ekonomi, masyarakat Jepun berhadapan dengan kelembapan ekonomi dan kemusnahan infrastruktur akibat peperangan. 

Bagaimana Jepun yang lemah boleh bertukar menjadi kuat? Apakah resepinya? 

Satu petua yang hebat ialah mereka mahu belajar daripada kesilapan, mendapatkan nasihat dan panduan dariada pakar-pakar tentang bagaimana hendak berubah. 

Kepada kita, jika hendak berjaya, wajarlah melihat kelemahan diri dan mencari jalan untuk mengubahnya.



Monday, July 07, 2014

Terbuka terhadap perubahan








Persekitaran sentiasa berubah. Lebih-lebih lagi pada hari ini. 

Masyarakat berubah seiring dengan perubahan di sekitar mereka. Perubahan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada fikiran, sikap, tingkah laku ataupun boleh berlaku dalam bentuk objektif dan objektif. 

Jadi, kita wajar mengamalkan sikap terbuka terhadap perubahan. Orang yang memandang kehadapan mengambil pendekatan mengalu-alukan perubahan yang dapat mencetuskan kemajuan, dinamik dan inklusif. 

Hanya dengan membuat penelitian dan melihat kembali idea dan pendapat kita, barulah kita dapat bergerak maju.


Sunday, July 06, 2014

Pengorbanan dan kecekalan hati







Hidup perlukan pengorbanan, pengorbanan perlukan perjuangan, perjuangan perlukan keyakinan, ketabahan perlukan keyakinan, keyakinan pula menentukan kejayaan, seterusnya kejayaan menentukan kebahagiaan. 

Kitaran kehidupan kita kerapkali bermula dengan pengorbanan membentuk hati yang cekal dan berkeyakinan tinggi, jarang merasa terancam dengan perkataan atau perbuatan yang remeh, sebaliknya tumpuan ke arah mencapai matlamat. 

Kita menjadi arkitek kepada kehidupan dan masa hadapan kita. Marilah kita membina asa hadapan ini untuk kebahagiaan.