Friday, March 06, 2015

Tiga ciri sasaran









Saya yakin dan percaya bahawa menetapkan matlamat dan sasaran yang jelas amat penting. Namun kita perlu tahu fungsi minda kita. 

Ya, kita perlu tahu bagaimana minda kita bekerja terlebih dahulu. Minda kita tidak mampu fokus dengan baik selagi tidak memiliki objektif yang jelas. 

Objektif atau sasaran yang jelas ada tiga ciri iaitu sangat jelas supaya boleh dijadikan fokus, dapat dicapai dan boleh mengubah hidup. Tiga ciri ini boleh menjadi permulaan ke arah tuju yang hendak dilalui. Matlamat tadi perlu ditulis supaya kita sentiasa ingat. 

Tidak perlu bimbang jika kita rasa matlamat kita terlalu kecil kerana sekurang-kurangnya kita telah membuat tindakan awal iaitu memberi arah di mana hendak pergi.


Thursday, March 05, 2015

Memberi fokus dalam hidup








Ketika muda, badan masih sihat dan fikiran masih cergas, kita cenderung membahagikan masa kita kepada banyak perkara. Kalau boleh kita hendak buat semua. Keadaan ini sememangnya lumrah kepada setiap orang kerana masih tercari-cari rentak hidup yang sesuai. 

Pada saya, semasa muda dan masih belajar atau mula mendapat pekerjaan pertama, kita wajar mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri, kesesuaian dalam sesuatu bidang ataupun jangkaan perubahan diri yang boleh dicapai. 

Apabila kita menjumpai rentak hidup ini, insya Allah kita telah mula memfokuskan arah tuju hidup, laluan kejayaan dan seluas mana lingkungan sosial yang hendak dibentuk. 

Semakin meningkat usia kita atau pengalaman hidup kita, keperluan memfokuskan pemikiran juga semakin bertambah.



Wednesday, March 04, 2015

Cabaran berniaga Pakcik Osman








Pakcik Osman kecewa. Air mukanya tidak lagi menunjukkan keceriaan seperti selalu. Senyumnya sudah pun tawar. Gerai makan yang diusahakan bersama isterinya tiga tahun lalu sudah ditutup. Tapak perniagaan pasar tani di RTC Melaka tidak lagi menjadi lubuk rezeki Pakcik Osman. Kawasan tersebut akan menjadi kawasan parkir untuk pelanggan RTC dan orang ramai.

“Bermula dengan pendapatan harian RM16, saya kini boleh dapat RM600 hingga RM700 sehari”.

Pakcik Osman mengeluh. Kini dia sudah tidak ada tempat berniaga.

Semasa saya menemuinya berhampiran gerai makan, dia sedang menunggu lori untuk memunggah semua perkakas memasak. Kalau tidak disegerakan, mungkin dirampas kerana notis arahan telah pun dikeluarkan.

Pakcik Osman tidak menyertai mana-mana persatuan usahawan, saya rasa sukar baginya untuk membuat rayuan atau mencari tempat gentian dalam masa terdekat. Dia harus menempuh cabaran bisnes bersama isterinya. buat masa terdekat dia belum memutuskan untuk berniaga kerana hendak menenangkan fikiran.

Ketika bisnes Pakcik Osman tengah maju, gerai makannya sentiasa sesak. Pelanggan yang sudah tahu menu masakan akan memenuhi gerainya pada waktu makan tengah hari. Saya juga suka dengan laksa utara yang disediakan.

Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi di sekitar Jalan Hang Tuah di samping kakitangan RTC Melaka dan orang ramai. Walaupun kecil, gerai makannya sentiasa penuh setiap hari.

Kisah kejayaan tiga tahun lalu tidak akan berulang lagi. Pakcik Osman perlu berani meneroka peluang di tempat lain. Dia mesti bersedia menerima risiko dalam perniagaan kerana sebagai usahawan kecil-kecilan, dia perlu belajar selok-belok berniaga supaya lebih banyak ilmu yang akan diperolehi.

Kepada Pakcik Osman, saya ucapkan selamat maju jaya, Insya Allah rezeki Allah swt amat banyak. Berusaha dan berikhtiarlah supaya Pakcik Osman akan mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.



Tuesday, March 03, 2015

Pengaruh sosioekonomi perusahaan Resort Restu Ibu










1.0 Pengenalan

Suatu projek telah dijalankan berkenaan subjek Pembangunan Sosioekonomi Malaysia tentang kajian yang berkaitan dengan hubungan sosioekonomi penduduk setempat bagi suatu kawasan kajian projek. Kajian ini berkaitan “Pengaruh Sosioekonomi Perusahaan Resort Restu Ibu (RRI) Terhadap Penduduk Setempat” yang lokasinya terletak di Kg. Ulu Kalong, Ulu Yam Bharu, Selangor. Kajian dilakukan berdasarkan objektif yang diketengahkan iaitu mengetahui statistik  bilangan pengunjung di kawasan kajian, mengetahui faktor-faktor pengaruh pelanggan untuk berkunjung ke tempat tersebut dan lain-lain lagi.

Salah seorang daripada ahli kumpulan kami, Mohd Faridz telah membuat kunjungan dan menemuramah pengusaha kawasan (resort) tersebut iaitu Mohd Kamal Wahab. Segala soalan yang bakal diutarakan telah disusun atur bagi mendapatkan maklumat dan bukti-bukti pelaksanaan kajian dan ianya telah pun disertakan dalam laporan projek ini.

1.1 Objektif Kajian

Objektif yang pertama ialah mengkaji jenis ekonomi yang dijalankan di Resort Restu Ibu tersebut. Sepertimana yang kita sedia maklum, satu perusahaan keluarga melibatkan ahli yang terdapat dalam keluarga tersebut. Dengan ini, perusahan resort ini dapat diklasifikasikan sebagai ekonomi sara diri. Namun begitu, ekonomi sara diri yang dijalankan ini bukan dikelaskan sebagai ekonomi sara diri yang susah sebaliknya ekonomi sara diri yang mampu menjana pendapatan lumayan pemilik perusahaan resort itu. Secara tidak langsung, hal ini telah menunjukkan bahawa minat orang tempatan untuk melibatkan diri dalam perniagaan atau perusahaan seperti ini sudah semakin meningkat.

Objektif kedua ialah mengkaji aktiviti kekeluargaan yang dapat dijalankan di kawansan kajian (kawasan resort). Di sini, kajian ingin melihat sejauhmana perusahaan ini dapat menyumbang kepada aktiviti yang berfaedah terhadap pengunjung-pengunjung yang datang berkunjung ke resort tersebut. Hal ini sangat penting dalam usaha menarik minat pelancong bukan sahaja dari dalam mahupun luar negara. Jika pelbagai variasi aktiviti yang diadakan, sudah tentu mampu menarik minat lebih ramai pengunjung untuk datang ke resort tersebut.


2.0 Latar Belakang

Sejarah penubuhan kawasan pembangunan projek iaitu Resort Restu Ibu telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2008 oleh Ketua Kampung Ulu Kalong, Ulu Yam Bharu iaitu Tuan Haji Abdullah Sani. Resort Restu Ibu (RRI) terletak dalam kawasan Kg. Ulu Kalong, Ulu Yam Bharu, Selangor Darul Ehsan yang terletak berdekatan dengan Bandar Bharu Batang Kali, Selangor. Pada mulanya lokasi projek masih belum dikenali ramai dan hanya dikenali oleh penduduk setempat. Pengusaha resort ini ialah Mohd Kamal Wahab. Nama Resort Restu Ibu (RRI) diberi atas penghargaan dan pemergian arwah ibu kepada pengusaha resort tersebut sebelum resort ini dibuka secara rasmi.

Kawasan projek yang berkeluasan lima ekar ini di kelilingi hutan dan dusun buah-buahan. Kawasan ini juga terdapat dusun buah-buahan, kebun sayur-sayuran, sungai dan pondok. Tarikan pengunjung untuk berkunjung ke RRI ini sangat menarik dengan adanya sungai, chalet, kemudahan tertentu dan lain-lain lagi. Terdapat tiga chalet besaiz sederhana, dua chalet bersaiz famili dan beranjung, dorm, dewan besar dan pondok wakaf disediakan. “Harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan keselesaan adalah dijamin dan pelanggan adalah keutamaan kami”, kata pengusaha resort ini.

Pekerja berkemahiran juga diperlukan bagi membina dan mereka bentuk sesebuah chalet yang cantik dan kreatif bagi menarik minat pengunjung untuk bermalam di resort tersebut. Bilangan pekerja yang diambil adalah tujuh orang dan bilangannya bertambah pada tahun lepas sehingga sepuluh orang atas sebab kekurangan tenaga pekerja untuk menampung dan membantu kerja-kerja perkhidmatan yang ada di RRI. Selain itu, dusun buah-buahan juga terdapat di kawasan RRI seperti manggis, langsat, durian, pulasan dan tidak ketinggalan juga petai. Pengunjung sendiri dapat menikmati buah-buahan tersebut apabila datangnya musim buah-buahan.

Matlamat lain yang telah ditetapkan ialah melihat sejauh mana hubungan sosioekonomi masyarakat tentang komitmen dan sumbangan mereka terhadap pembangunan resort dalam kawasan Kg. Ulu Kalong. Perkara ini telah ditekankan sepanjang menjalankan kajian lapangan ini sama ada sepanjang pembangunan resort ini wujud impak atau kesan terhadap penduduk atau masyarakat sekeliling.

Objektif atau sasaran yang terakhir dalam kajian ini ialah ingin mengetahui statistik jumlah pengunjung yang datang berkunjung ke resort tersebut. Statistik ini secara tidak langsung memberi gambaran tentang sektor perlancongan di negara kita sama ada semakin maju ataupun sebaliknya.


3.0 Metodologi Kajian

Berdasarkan  latar belakang projek yang bercirikan alam sekitar, pelbagai aktiviti yang dapat dilaksanakan di kawasan berdekatan resort tersebut. Kebanyakan pelanggan memilih untuk beriadah, bersantai dan ada kalanya mereka memilih untuk menerokai kawasan hutan. Antara aktiviti menarik yang disediakan adalah seperti “jungle tracking” ke jeram dan kolam air panas, “night walk”, memancing, “paint ball”, sukan air dan lain-lain lagi. Aktiviti ini juga boleh dirancang mengikut permintaan pelanggan itu sendiri.

Seterusnya, jika sesuatu program atau acara dilakukan seperti kem motivasi, kebiasaannya pihak penganjur atau pelanggan itu sendiri akan meminta untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti senam robik, “jungle tracking”, aktiviti sukan air, aktviti laluan berhalangan dan lain-lain lagi. Semua aktiviti yang lakukan boleh dikendalikan oleh pihak resort ataupun pihak penganjur. Caj perkhidmatan akan dikenakan jika ia dikendalikan oleh pihak resort sepenuhnya. Aktiviti sukan air boleh dipelbagaikan seperti permintaan pelanggan-pelanggan yang pernah hadir ke resort tersebut seperti tarik tali dalam air, berakit buluh, bola tampar air dan banyak lagi.

Selain itu, bagi yang memilih untuk beriadah dan berkelah, aktiviti yang biasa dilakukan adalah aktiviti mandi-manda, barbeku dan bersantai di tepi sungai. Set karaoke juga disediakan bagi sesiapa yang ingin melepaskan gian menyanyi dan berseronok dan hanya disediakan pada hari Ahad. Bagi kanak-kanak, pelampung juga disediakan untuk disewa. Apabila tibanya musim buah-buahan, para pelanggan dapat menikmati buah-buahan yang segar dari dusun yang terletak berhampiran kawasan resort dan juga ianya juga dimiliki oleh pengusaha resort tersebut, Mohd Kamal. Pelbagai tanaman buah-buahan yang ada iaitu pokok maggis, pokok durian, pokok langsat, pokok duku, pokok pulasan dan banyak lagi. Buah-buahan ini selalunya ada mengikut musim sahaja dan bagi yang bernasib baik, mereka dapat menikmatinya dan boleh membeli secara borong dengan harga yang murah.

Manakala bagi yang ingin bermalam di sana, chalet dan dorm juga disediakan untuk disewa dengan harga yang berpatutan. Harga sewa adalah mengikut harga sewa sebuah chalet dalam kadar masa tertentu dan bukan mengikut harga bilangan pelanggan. Terdapat tiga chalet sederhana untuk tiga hingga lima orang, chalet beranjung yang boleh memuatkan dua keluarga dan dorm yang boleh memuatkan sebanyak 10 hingga 15 orang mengikut keselesaan masing-masing. Khemah juga boleh disewa dan boleh menampung lima hingga tujuh orang. Perkhidmatan katering juga disediakan bagi kemudahan pengunjung untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Selain itu, bagi yang membeli bahan mentah juga boleh menyewa set alatan memasak yang disediakan dan ia lebih menjimatkan.


4.0 Dapatan Kajian

Dari pemerhatian yang telah dijalankan di Resort Restu Ibu, resort ini merupakan tempat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti yang menarik bagi setiap pengunjung yang datang berkunjung ke sana. Secara keseluruhannya resort ini menyediakan aktiviti yang sesuai dilakukan seisi keluarga tanpa mengira peringkat umur. Antara aktivitinya disediakan ialah:

·         Jungle tracking ke jeram
·         Jungle tracking ke kolam air panas
·         Night walk
·         Paint ball
·         Berakit buluh
·         Memancing
·         Sukaneka air & darat
·         Tarik tali dalam air
·         Bola jaring dalam air
·         Tangkap itik dalam air

Walau bagaimanapun, semua aktiviti yang tersenarai akan dijalankan atau disediakan mengikut permintaan pelanggan yang berkunjung ke resort tersebut. Aktiviti yang menjana minda atau merapatkan ukhuwah amat penting dalam memberi tarikan kepada pihak luar untuk berkunjung atau mengadakan aktiviti motivasi bagi persatuan atau kumpulan tertentu. Antara pelanggan yang hadir adalah seperti pelajar-pelajar sekolah, jawatankuasa kampung, persatuan-persatuan serta syarikat swasta.

Jenis ekonomi yang terdapat di kawasan kajian adalah ekonomi sara diri seperti pekebun. Kebanyakan penduduk di kawasan itu mempunyai beberapa dusun sendiri dan hal ini memberi peluang kepada penduduk untuk meluaskan perniagaan mereka. Antara buah-buahan yang terdapat di kawasan kajian ialah langsat, rambutan, manggis dan durian.

Selain itu ada juga ekonomi yang berasaskan perusahaan sendiri. Perkembangan yang positif yang dapat dilihat di kawasan kajian ialah penduduk sekeliling sudah berani membuka cawangan atau perusahaan sendiri. Apa yang lebih membanggakan mereka sanggup mengambil risiko untuk membangunkan perusahaan mereka walaupun bilangan pengunjung yang hadir tidak menentu. Antara perusahaan yang dijalankan ialah perusahaan resort, kedai-kedai runcit dan kedai-kedai makan.

Komitmen dan sumbangan masyarakat terhadap kawasan kajian seperti daripada penduduk setempat, alam sekitar serta masyarakat luar sendiri amat penting.


5.0 Kekuatan dan Kelemahan

5.1 Kekuatan

Peniaga. Projek perniagaan ini dirancang bertujuan untuk menceburi bidang perniagaan dan minat yang di tanam sejak kecil oleh Kamal.  Beliau bersungguh-sunggguh mencari cara dan jalan unutuk memulakan perniagaan ini. Dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan, akhirnya projek perniagaan tersebut dijalankan hasil komitmen yang ada dalam diri beliau di samping bidang perniagaan banyak mendatangkan hasil pendapatan. Beliau telah berani mengambil risiko dan telah menyediakan atau menyiapkan mental yang kuat bagi memulakan perniagaan ini kerana beliau tahu ianya memerlukan satu usaha yang sangat kuat. Beliau pernah mengambil bidang pengurusan semasa zaman belajarnya. Hal ini membolehkan beliau menerajui perniagaan ini dengan baik dan pandai mengambil peluang yang ada serta menyusun strategi yang teratur dalam usaha memajukan peniagaannya. Beliau juga pernah bekerja di banyak restoran semasa zaman bujangnya serta pernah bekerja dalam bidang pemgurusan kewangan selama dua tahun sebelum menukar arah untuk menceburi bidang perniagaan ini bersama-sama adiknya.

Kualiti peribadi adalah aset penting yang dapat memangkin perniagaan ke arah kejayaan. Kamal seorang yang berdedikasi serta disiplin yang diamalkan sejak zaman belajar serta menerapkan sikap tekun, bermotivasi serta tidak berputus asa. Sikap ini amatlah perlu bagi seseorang peniaga untuk kekal lama dalam bidang perniagaan.

Aspek pengurusan. Resort ini mengamalkan satu sistem yang baik iaitu mesra pelanggan. Para pekerja resort ini dilatih serta dipupuk untuk melayan pengunjung dengan lemah-lembut dan baik serta mengutamakan pengunjung setiap masa. Hal ini secara tidak langsung membuatkan para pengunjung tertarik untuk berkunjung buat kali kedua dan seterusnya. Selain itu, resort ini mengutamakan kreativiti dan inovasi di mana pengurusan akan cuba sedaya upaya untuk menperbaharui setiap perkara yang diperlukan oleh pelanggan.

Kawasan resort. Kawasan resort terletak agak dalam ke kawasan pandalaman di mana ianya boleh dikatakan agak tersorok daripada kota metropolitan Kuala Lumpur walaupun perjalanan hanya mengambil kurang dari dua jam. Jarak yang dekat ini telah membuatkan ia satu daya tarikan kepada pengunjung yang memilih untuk lari dari kesesakan kota yang bising bagi menenangkan fikiran dalam jangka masa beberapa hari ataupun minggu.

Keindahan alam sekitar yang terdapat pada kawasan sekitar jugak merupakan salah satu daya tarikan yang kuat bagi menarik para pengunjung datang berekreasi di kawasan tersebut. Pengunjung perlu melalui kawasan kampung serta dusun buah-buahan sebelum sampai ke kawasan resort. Hal ini membolehkan para pengunjung merasai suasana seakan-akan berada di kampung halaman. Sungai yang terdapat di kawasan resort juga merupakan daya penarik utama untuk sesiapa berkunjung ke kawasan tersebut.

Pakej menarik. Pihak resort mengenakan harga yang boleh dikatakan agak sesuai serta murah untuk para pengunjung yang bertandang. Pihak resort juga menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan untuk ke perkhemahan serta pakej keluarga untuk bercuti selama beberapa hari menikmati keindahan alam sekitar. Mereka juga ada membuat acara sukaneka kepada mana-mana persatuan atau sekolah-sekolah yang membuat tempahan.

5.2 Kelemahan

Kewangan. Pengusaha menghadapi masalah kewangan sewaktu perniagaan telah beroperasi selama lima bulan. Pihak resort memerlukan dana bagi membaiki kawasan resort yang rosak akibat hujan lebat yang mengakibatkan kerugian yang tinggi dan banyak bagi membaiki serta menaik taraf kawasan resort. Pengusaha memakan masa yang agak lama pada masa tersebut bagi menunggu kelulusan pihak bank untuk meluluskan pinjamannya.

Masalah keselamatan. Pengusaha giat meningkatkan kawalan keselamatan daripada ancaman hidupan liar yang bedekatan di kawasan resort. Hal ini kerana terdapat monyet serta ular yang muncul di kawasan resort selepas waktu hujan.

Masalah musim. Salah satu daya tarikan di resort tersebut adalah buah-buahan yang dijual dengan harga murah semasa musim tiba. Ramai pengunjung yang membuat tempahan ke resort  semasa musim buah-buahan kerana harga yang murah. Ini membuatkan jumlah pendapatan resort tidak sekata setiap bulan dan hanya meningkat semasa musim buah-buahan sahaja

Masalah cuaca. Sungai serta kawasan alam sekitar yang cantik merupakan salah satu daya tarikan yang kuat di resort tersebut. Musim hujan dan cuaca yang tidak menentu serta banjir mengurangkan jumlah pengunjung yang bertandang ke kawasan tersebut yang mahu menikmati  keindahan  sungai dan alam sekitar.

5.3 Impak Sosioekonomi

Penubuhan sesuatu tempat pelancongan sudah pasti memberi kesan atau impak yang besar terhadap masyarakat setempat dan juga negara. Semestinya impak yang tercetus ini adalah impak yang positif kerana banyak memberi kelebihan kepada masyarakat, kawasan penempatan dan negara.

Begitu juga bagi Resort Restu Ibu di mana terdapat pelbagai kesan yang baik kepada masyarakat setempat dan negara sejurus selepas pembinaannya. Antara impak sosiekonomi resort ini kepada masyarakat setempat ialah masyarakat di kawasan tersebut dapat meningkatkan taraf hidup mereka menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Zaman ini taraf hidup semakin tinggi menjadikan kehidupan rakyat semakin sukar. Oleh sebab itu, dengan penubuhan resort ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan taraf hidup serta dapat menampung perbelanjaan seharian. Sebagai contoh, terdapat peluang pekerjaan untuk penduduk setempat apabila resort ini ditubuhkan. Sudah semestinya resort ini memerlukan pekerja untuk kerja-kerja pembersihan dan juga kawalan keselamatan serta pelbagai lagi.

Sebelum ini, kawasan Ulu Yam tidak terkenal malah tidak diketahui orang ramai kerana kawasan ini dulunya hanya kawasan hutan. Namun, selepas penubuhan resort ini, kesan positif yang dapat dilihat adalah resort ini membantu mempromosikan tempat tersebut iaitu Ulu Yam supaya menjadi satu aspek pelancongan yang terkenal. Kesannya Ulu Yam semakin dikenali orang ramai termasuk juga pelancong asing.

Apabila ramai pelancong tidak kira dari dalam atau luar negara, sektor pelancongan negara akan menjadi lebih maju seterusnya mengukuhkan lagi ekonomi negara. Penting bagi sesebuah negara untuk mengukuhkan ekonomi kerana banyak kesan buruk apabila ekonomi tidak kukuh memberi pelbagai masalah kepada masyarakat di negara tersebut. Oleh sebab itu, Malaysia menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu sumber ekonomi kerana terdapat pelbagai kawasan menarik serta bersejarah terdapat di Malaysia dan salah satu contohnya Resort Restu Ibu ini yang terkenal dengan kawasan rekreasi untuk seisi keluarga.


6.0 Permasalahan yang Dihadapi dan Penyelesaiannya

Masalah sentiasa terdapat dalam sesuatu perkara. Begitu juga bagi Resort Restu Ibu ini di mana mengalami beberapa masalah yang sedikit sebanyak mengganggu perniagaan ini. Antara masalah yang dihadapi ialah mencari pekerja berkemahiran terutamanya dalam bidang pengurusan. Dengan adanya pekerja yang mahir, ia dapat membantu melicinkan lagi pengurusan resort ini dan seterusnya resort ini dapat berkembang dengan lebih maju.

Masalah yang kedua yang dialami oleh resort ini adalah daya tarikan sampingan yang tidak menentu. Dusun buah-buahan adalah antara perkara tarikan yang terdapat di resort ini. Musim buah-buahan yang tidak menentu menyukarkan lagi keadaan kerana bilangan pengunjung akan lebih ramai pada musim buah-buahan.

Selain itu, masalah cuaca yang tidak menentu juga adalah antara masalah yang sering dihadapi. Memang tidak dapat dielakkan lagi sekiranya cuaca yang buruk melanda kawasan tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bilangan pengunjung semakin berkurangan apabila tibanya musim hujan. Pengunjung lebih suka berada di rumah berbanding keluar rumah apabila waktu hujan kerana bagi mereka berada di rumah lebih selamat berbanding berada di luar rumah.

Masalah terakhir yang dihadapi oleh resort ini adalah masalah keselamatan. Masalah keselamatan yang dihadapi bukanlah masalah pencuri tetapi ia adalah masalah binatang buas. Hal ini kerana kawasan ini berdekatan dengan kawasan hutan. Ini akan menakutkan pengunjung untuk menginap di resort ini kerana sudah semestinya masalah ini akan membahayakan nyawa mereka sendiri.

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga bagi resort ini di mana beberapa langkah diambil supaya dapat mengatasi masalah yang dihadapi. Antara langkah yang dilakukan oleh pihak resort ini adalah mengadakan promosi yang lebih menarik untuk pengunjung yang hadir. Sebagai contoh, menyediakan pakej makanan yang terbaik, tempat letak kereta percuma dan pelbagai lagi. Hasilnya reaksi positif diberikan oleh pelancong yang pernah berkunjung ke resort ini.

Selain itu, pihak resort juga telah mempelbagaikan aktiviti menarik bagi pengunjung dan penduduk setempat. Lebih banyak aktiviti menarik yang dianjurkan lebih menarik minat pelancong untuk berkunjung ke resort ini. Antara aktiviti yang dilakukan di resort ini adalah mengadakan hari keluarga, aktiviti sukaneka dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik khas untuk seisi keluarga.

Malahan penduduk juga ditawarkan peluang untuk bekerja di resort ini. Contohnya sebagai pengawal keselamatan berikutan daripada masalah yang dihadapi oleh pihak resort iaitu masalah binatang buas yang berkeliaran di kawasan sekeliling resort. Ini sedikit sebanyak dapat membantu penduduk setempat mendapatkan pekerjaan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Penyelesaian terakhir yang dilakukan oleh pihak resort adalah meningkatkan infrastruktur resort dan kawasan sekeliling kepada tahap yang lebih baik. Hal ini kerana infrastruktur yang baik akan menjamin keselesaan pengunjung yang hadir. Antara infrastruktur yang dinaik taraf ialah pondok di kawasan dusun. Pondok ini digunakan oleh pengunjung untuk bersantai sambil menikmati kelazatan buah-buahan tempatan. Selain pondok, chalet di resort ini juga dibaik pulih seperti mengecat semula supaya nampak lebih ceria dan perabot-perabot di dalam chalet tersebut diubah suai supaya memberi keselesaan dan kepuasan kepada pengunjung resort ini.


7.0 Cadangan dan Potensi Masa Hadapan

Pelbagai cadangan untuk meningkatkan kemajuan resort ini pada masa hadapan yang diberikan kepada kami oleh pihak resort. Cadangan yang pertama adalah pihak kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak dana dalam sektor ini. Hal ini kerana sektor pelancongan merupakan antara penyumbang yang besar dalam ekonomi negara. Oleh sebab itu, dana yang banyak akan memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha resort seperti ini untuk memajukan lagi perniagaan mereka seterusnya dapat meningkatkan lagi ekonomi negara pada masa hadapan.

Selain itu, pihak resort juga ingin mengadakan kursus mengendalikan resort bagi masyarakat setempat yang berminat supaya apabila masyarakat mengikuti program ini, diharap mereka juga akan membuka resort seperti ini dan seterusnya memajukan diri dan keluarga masing-masing.

Pihak resort juga berharap dapat memperbanyakkan resort bagi menampung pelancong yang semakin ramai. Pembukaan cawangan lain sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi populariti resort ini. Malahan pembukaan cawangan lain penting kerana dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.

Penglibatan masyarakat setempat dalam membangunkan sektor ini juga adalah harapan pihak resort pada masa hadapan. Pelbagai perkara boleh dilakukan dalam sektor ini kerana tidak semestinya membuka resort, mereka juga boleh membuka “homestay” yang semakin popular pada masa kini kerana pengunjung dapat merasai pengalaman berada di kawasan lain yang berbeza daripada tempat tinggal mereka. Malahan pengunjung juga dapat mengenali adat-adat yang terdapat di kawasan tersebut.

Akhir sekali, pihak resort berharap agensi-agensi luar perlu mengambil langkah lebih aktif pada masa hadapan supaya kedua-dua pihak akan lebih maju kerana membantu antara satu sama lain. Contohnya agensi-agensi luar yang ingin mengadakan kursus-kursus syarikat memilih lokasi untuk mengadakan kursus tersebut di resort ini.


MZ Zainudin, Ahmad Faiz Amat Naib, Ahmad Syahir ‘Izzat Mohd Johari, Mohd Faridz Mohd Kamal, Megat Fadzli Radzuan, Ameer Hafetz Johar



Monday, March 02, 2015

Memoir Abdul Halim Nasir dari Kampung Sekolah ke menara gading







Tahun: 1998
Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.
Muka Surat: 275

Kalendar masihi bergerak detik demi detik ke penghujung tahun 1954. Inggeris masih memerintah Tanah Melayu dan rakyat pula gelisah menuntut kemerdekaan.

Lenggong sebuah pekan kecil di Tanah Melayu hanya mampu menawarkan jawatan penoreh getah kepada Abdul Halim Nasir yang meningkat usianya enam belas tahun. Dengan kelulusan darjah enam yang baik, permohonannya untukmenjadi guru ditolak hanya kerna latar belakang keluarganya yang dhaif dari segi hubungan dengan orang tertentu.

Beliau merajuk.

Kerana tidak mahu dunianya terus sempit seperti katak di bawah tempurung, Halim menyahut cabaran teman dan keluarganya lalu bekerja sebagai aperentis di sebuah janakuasa elektrik di Trong tetapi muncul semula di Kampung Sekolah, tanah tumpah darahnya sehari kemudian.

Beliau membawa diri ke Triang, Pahang, ke rumah seorang saudaranya tetapi tidak betah juga lalu pulang semula ke Lenggong, berjinak dengan kera, ular dan harimau yang menjadi temannya sementara menantikan beliau cukup dewasa.

Setahun kemudian, Halim dengan menaiki kereta api berhijrah ke Kuala Lumpur, menganggur selama dua bulan sebelum menjadi pendawai elektrik. Pekerjaan ini mengizinkan beliau menerobos gedung besar dan kecil di ibu kota hingga ke dalam kamar yang sulit dan mendedahkan beliau kepada banyak perniagaan gelap yang ditawarkan perempuan untuk berseronok, asalkan tutup mulut.

Sejak itu bermulalah penghidupannya di Kuala Lumpur sebagai tukang masak, pelukis jalanan dan akhirnya ditarik oleh Mubin Sheppard untuk berkhidmat di Muzium Negara sebagai penolong pelukis.

Halim dan Muzium Negara ibarat benih dan pulau yang subur. Kedua-duaya saling menubuhkan dan membesarkan. Kejaya Halim berkembng di situ. Muzium Negara juga banyak mendapat manfaat daripadanya.

Beliau terus matang bersama Shahrom Yub sehingga bersara secara pilihan pada tahun 1988. Sumbangannya dalam bidang penulisan dan penyelidikan lapangan mendapat pengiktirfan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Sastera dan perlantikannya sebagai Karyawan Tamu 1989-97 di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan di Jabatan Persuratan Melayu, di universiti yang sama.


  

Sunday, March 01, 2015

Menangkis propaganda IS






Islamic State (IS) semakin menyerlah dari segi propaganda. Tindakan kumpulan ini dari semasa ke semasa tampil bersama tawanan dari pelbagai negara dengan pelbagai cara dan bentuk pembunuhan menarik perhatian seluruh masyarakat dunia. Ada dalam kalangan tawanan ini dipenggal kepala, dibakar dan ditembak beramai-ramai. Kejadian terbaru melibatkan 21 orang tawanan waganegara Mesir yang dipenggal menyebabkan kemarahan di pihak kerajaan Mesir. Sebelum itu beberapa orang tawanan dari Britain, Jerman dan Jepun menerima nasib yang sama.

Oleh kerana kerap muncul dalam klip video memenggal kepala tawanan, si tukang penggal akhirnya dikenal pasti sebagai Mohamad Emwazi dari London. Beliau berasal dari Kuwait. Gelaran untuknya adalah Jihadi John yang telah dikenali lebih awal oleh penyiasat namun tidak didedahkan untuk melindungi operasi pihak berkuasa. Belajar di University Westminster, London dalam jurusan sains komputer dan bergraduat pada tahun 2009. Mahir berbahasa Inggeris dan Arab dan bercita-cita membina kerjaya yang hebat di negara Arab.

Emwazi muncul kali pertama untuk memenggal wartawan Amerika, James Foley. Seterusnya beliau memenggal sekali lagi wartawan Amerika, Steven Sotloff, diikuti pekerja bantuan Britain, David Haines dan pemandu teksi, juga dari Britain iaitu Alan Henning. Dua rakyat Jepun menjadi mangsa seterusnya iaitu Haruna Yukawa dan Kenji Goto Jogo.

Bekas tawanan menyifatkan Jihadi John merupakan sebahagian daripada pengawal tawanan Barat di “the box”, gelaran untuk sebuah penjara di Idlib, Syria. Seorang yang pendiam, pintar dan sangat berhati-hati. Mereka mengatakan Emwazi dan kumpulannya semakin menguasai peranan penting dalam ISIS.

Media Barat mengambil kesempatan terhadap beberapa tindakan IS untuk memburukkan Islam. Semua bentuk penampilan yang berkaitan Islam diberi gambaran negatif sehingga mendorong beberapa negara Eropah merangka polisi yang condong ke arah menghalang pergerakan masyarakat Islam. Perancis mengambil langkah mengenakan hukuman ke atas wanita yang memakai purdah manakala Austria meluluskan undang-undang yang mengharamkan organisasi Islam menerima dana dari luar negara dan mensyaratkan imam mesti menguasai bahasa Jerman.

Kemunculan IS melalui pergolakan politik di Syria dan Iraq membuka ruang kepada ribuan pemuda Islam yang berfikiran radikal dan bersemangat tinggi untuk mewujudkan sebuah iklim politik baru di Timur Tengah. Mereka tidak bersetuju dengan iklim politik sedia ada dan mahukan tindakan lebih agresif dan segera. Justeru, mereka lebih senang mengangkat senjata berbanding melaksanakan dakwah dan tarbiyah. Sebahagian daripada pemuda ini adalah rakyat Malaysia yang bergerak ke Syria dan Iraq menggunakan pelbagai cara dan helah.

Pelajar atau pekerja Malaysia yang berada di Timur Tengah menggunakan kesempatan tersebut untuk menyusup masuk ke medan pertempuran manakala sebahagiannya dari Malaysia menggunakan lapangan terbang menuju ke Turki. Kes terbaru melibatkan seorang pelajar wanita berumur 14 tahun yang ditahan di KLIA sebelum sempat menaiki pesawat.

Sejauhmana pengaruh IS ke atas umat Islam Malaysia tidak diketahui dengan mendalam tetapi menunjukkan ada kelompok tertentu yang mempengaruhi dan membiayai perjalanan mereka yang terpengaruh. Laporan media berkaitan sejumlah tangkapan berkaitan gerakan IS di Malaysia tidak dapat memberi gambaran tentang tahap penglibatan sebenar kumpulan ini.

Justeru, kita masih belum mengenal pasti secara tepat punca yang menyebabkan ada orang yang terpengaruh dengan IS. Perbincangan hanya mengaitkan pengaruh ini dengan keinginan untuk berjihad, cetek ilmu agama dan meraih populariti.

Konsep jihad yang difahami menjadi faktor kritikal mempengaruhi minda golongan muda. Terdapat beberapa saluran yang digunakan oleh IS untuk mengesahkan perjuangan mereka seperti laman sesawang, blog dan ulasan yang mewajibkan umat Islam berkumpul di Syria. Antaranya adalah kenyataan bahawa kemunculan IS bertepatan dengan peristiwa akhir zaman. Oleh kerana itulah Syria menjadi tumpuan masyarakat berfahaman syiah, kristian, yahudi dan orang Islam sendiri.  Tumpuan lain adalah Imam Mahdi akan menyambut turunnya Nabi Isa AS di Damsyik seperti yang pernah disebut dalam hadis Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun di Menara Putih itu ketika solat subuh dan disambut oleh Imam Mahdi.

Kefahaman begini disambut oleh pendokong dan penyokong dari pelbagai negara seperti ini, “Insya Allah Imam Mahdi dan Nabi Isa Ibnu Maryam segera tiba. Buktinya panji hitam, pasukan sukses Imam Mahdi iaitu ISIS tapi jangan hairan banyak kalangan umat Islam yang menganggap ISIS adalah teroris...”

Pandangan seperti ini akan terus dilontarkan dalam media sosial untuk mempengaruhi kelompok radikal dan melihat kejayaan Islam dari kaca mata peperangan. Menghalang pengaruh IS memerlukan komitment tinggi semua pihak khususnya keluarga. Unit penting masyarakat ini merupakan pusat pembangunan kesejahteraan hidup yang menjadi lubuk kepada perkembangan individu khususnya anak-anak muda. Pihak kerajaan mesti selangkah ke hadapan dengan memberi mesej jelas kepada keluarga supaya menjaga ahli keluarga masing-masing. Institusi pendidikan juga berperanan memantau aktiviti pelajar supaya tidak cenderung ke arah kekerasan.

Menangkis maklumat salah berkaitan Islam amat dialu-alukan, justeru peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan mendedahkan hadis palsu amat dihargai. Sekurang-kurangnya lebih ramai masyarakat Islam sedar bahawa kejayaan Islam hanyalah jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW iaitu dakwah dan tarbiyah.