Thursday, January 23, 2020

Kebaikan e-dompet







E-Tunai Rakyat yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada 15 Januari lalu merupakan inisiatif bagi menggalakkan budaya digital dan menyediakan masyarakat tanpa tunai. Kerajaan memilih tiga platform pengendali iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet bagi menggalakkan perbelanjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Inisiatif ini juga menggalakkan sektor industri kecil dan sederhana menggunakan e-dompet dalam urusan harian. Kaedah ini dapat menarik pelaburan yang lebih berkualiti dan menjana nilai lebih tinggi supaya jurang pendapatan dapat dirapatkan.

Peruntukan sebanyak RM450 juta kepada rakyat Malaysia melalui e-Tunai Rakyat telah menggalakkan pertambahan pelanggan kepada ketiga-tiga penyedia platform ini. Penerimaan wang RM30 melalui e-dompet meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mendaftar di ketiga-tiga platform tersebut.

Touch ‘n Go mencatat pertambahan sepuluh kali ganda kepada 7.3 juta pengguna, Boost mencatat 25 kali ganda manakala GrabPay mencatat enam kali ganda.

Selain daripada tiga syarikat di atas, terdapat penyedia lain yang menawarkan e-dompet di Malaysia seperti Lazada Wallet, Samsung Pay, Vcash, WeChat Pay, BigPay, Maybank Pay, Setel, AEON Wallet dan Razer Pay.

E-dompet atau e-wallet merupakan devais elektronik atau dalam talian yang membenarkan transaksi dilakukan melalui komputer atau telefon pintar. Kebanyakan e-dompet seperti kad kredit atau debit dihubungkan kepada akaun bank pengguna untuk membuat pembayaran. Selain itu, pengguna dihubungkan melalui imbasan kod QR. Penggunaannya dilindungi oleh kata kunci atau pengenalan peribadi. Transaksi melalui teknologi Near Field Connection (NFC) juga digunakan tetapi kebanyakannya tidak disokong telefon pintar.

Di Malaysia, penggunaan e-dompet adalah untuk bayaran bil, makanan, tol, petrol, barangan peribadi dan perbelanjaan runcit. Bank Negara Malaysia menganggarkan nilai transaksi e-dompet sebanyak RM10.6 bilion dari Januari hingga Ogos 2019. Syarikat perkhidmatan profesional PricewaterhousesCoopers Malaysia menganggarkan pertumbuhan e-dompet di Malaysia akan meningkat kepada US$20 bilion atau RM83.8 bilion pada tahun 2024.

Kelebihan penggunaan e-dompet berbanding tradisional adalah lebih laju, lebih selesa, lebih mudah, selamat, terkawal dan jaminan perlindungan data.

Dalam dunia internet hari ini, perkhidmatan yang pantas dan segera menjadi keutamaan pengguna. Kita sudah tentu tidak mahu menunggu dua atau tiga hari untuk melihat transaksi kewangan ketika membeli barang yang kita mahu, sebaliknya kita mahukan barang tersebut sampai ke rumah dalam masa satu atau dua hari selepas pembayaran. Begitu juga beratur membeli barang. Kita tidak perlu menghabiskan masa semata-mata beratur panjang di kaunter untuk membayar bil, tiket parkir atau barangan lain.

E-dompet menjadikan proses membawa wang lebih mudah dan selesa kerana tidak perlu membawa tunai. Nilai tunai RM1000 yang diletakkan di dalam dompet menjadikan dompet lebih tebal dan sukar dimasukkan ke dalam poket seluar. Keadaan ini boleh memberikan peluang kepada pencuri mengintai dan mencari masa menyeluk saku dan mengambil wang tanpa izin.

Penggunaan digital piawaian tinggi menjadikan data lebih selamat. Andainya kita kehilangan kad, telefon atau devais yang menyimpan maklumat perbankan, kita boleh menghalang penggunaan kad tersebut melalui bank. Agensi penyedia e-dompet juga boleh menghalang penggunaan tidak sah melalui kawalan kata kunci yang disahkan melalui mesej yang dihantar kepada telefon berdaftar. Penggunaan Transaction Authorization Code (TAC) yang mengandungi enam digit kod pengesahan adalah pelindung tambahan keselamatan untuk mengesahkan tuan punya nombor telefon.

Biasnya pengguna tidak dapat mengingati transaksi pembelian lepas, justeru melalui e-dompet mereka dapat melihat kembali semua transaksi pembelian kerana setiap transaksi akan direkodkan. Cara ini dapat membantu mereka menguruskan aktiviti pembelian dengan berhemah. Pengguna sendiri yang mengawal dan menentukan tabiat pembelian supaya dapat mengurus kewangan dengan lebih berhemat.

Agensi penyedia e-dompet terikat dengan undang-undang yang menghalang mereka daripada mendedahkan identiti pelanggan. Malahan sebelum sesuatu penyedia e-dompet dibenarkan beroperasi, mereka akan menguji tapisan tahap keselamatan dan membuktikan keupayaan teknologi untuk menguruskan sistem ini.

Penggunaan e-dompet turut menjimatkan wang perbelanjaan. Melalui kaedah tradisional, pengguna yang hendak membayar bil atau membeli barang perlu menggunakan kenderaan, membayar parkir dan beratur untuk pembayaran. Apabila sampai ke tempat yang dituju, mereka telah menggunakan perbelanjaan yang menyedut wang mereka. Dengan kaedah e-dompet, mereka hanya menggunakan telefon pintar atau komputer di rumah untuk membuat pembayaran atau memesan barang yang akan dihantar ke rumah.

Sistem ekologi e-dompet akan berkembang dan meluas di Malaysia. Orang ramai yang semakin kritikal dalam pengurusan perbelanjaan kewangan akan mencari platform yang dapat mengurangkan pengaliran keluar wang mereka untuk aktiviti pasif seperti beratur panjang untuk membayar bil elektrik. Masyarakat yang celik internet tidak akan menunggu lama untuk beralih menggunakan e-dompet berbanding wang tunai dalam urusan pembelian dan pembayaran, menjadikan kad kredit dan kad debit tidak lagi penting. Hanya dengan memiliki sebuah akaun bank, pengguna dapat mengoperasi e-dompet dalam tempoh yang singkat.


2 comments: