Makanan popular di Brunei yang mesti dicuba adalah ambuyat. Terdapat set pilihan yang sesuai untuk dua atau tiga orang yang berharga antara B$16 hingga B$22 mengikut cita rasa masing-masing.
Menu utama ambuyat adalah sagu, ikan atau daging, sayur, sambal binjai dan ulam-ulaman.
Jika dilihat pada jenis hidangan, ambuyat lebih seimbang dari segi pengambilan nutrisi. Ia mengandungi karbohidrat, protein dan pelbagai zat makanan khususnya yang terdapat dalam ulam-ulaman yang diambil secara mentah.
Cara makannya juga perlukan kemahiran.
Sagu dimakan menggunakan penyepit buluh, diguntil dan digulung lalu diangkat supaya cepat putus. Kemudian dicicah dengan sambal binjai.
Masakan ikan atau daging boleh dimakan begitu saja atau diceduk ke dalam pinggan dan dicicah bersama sagu.
Ulam-ulaman boleh dicicah dengan sambal binjai atau dimakan terus.
Antara restoran yang menyediakan ambuyat adalah rangkaian Restoran Aminah Arif di Batu Bersurat, Salambigar dan Sengkurong serta Restoran Pajo di Kampung Pintu Malim.
Mereka yang kali pertama mencuba ambuyat akan berasa susah menggunakan penyepit namun boleh menggunakan sudu dan garfu sebagai pilihan.
Selain itu, mereka juga mengambil masa untuk menghabiskan semua makanan kerana banyak masa digunakan untuk mengguntil dan menggulung sagu sambil bercerita mengenai keunikan ambuyat.
No comments:
Post a Comment