Tuesday, January 01, 2019

Tahun baru yang mencabar






Tahun 2019 disambut meriah di seluruh dunia. Dari China ke Afrika Selatan dan Brazil, bunga api menjadi simbol harapan yang tinggi untuk kemakmuran dan kebahagiaan hidup. Di Malaysia, tahun ini juga adalah kritikal kerana bakal menjadi penentu kepada pencapaian status negara maju 2020.

Lanskap politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan budaya Malaysia telah berubah selepas 9 Mei 2018. Rejim baru pemerintahan yang sedanng menerajui negara diberikan harapan yang sangat tinggi untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih makmur dan dihormati. Impian juga diberikan supaya kerangka asas pembentukan Malaysia iaitu kontrak sosial dan perpaduan berada dalam keadaan baik dan terpelihara.

Keberanian golongan muda Malaysia yang menamatkan 61 tahun pentadbiran kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional mendapat perhatian masyarakat dunia. Perubahan ini adalah simbol kepada keberanian berfikir dan membuat perubahan yang akan melonjakkan status dan maruah bangsa. Motivasi ini harus dikekalkan dan diteruskan dalam tempoh lebih lama.

Sama seperti tahun-tahun lalu, detik 2019 akan diserikan dengan kejayaan dan kecemerlangan di sebalik pelbagai cabaran dan masalah.

Namun, satu perkara yang kita mahu lihat ialah keupayaan dan kekuatan nilai ringgit yang banyak mempengaruhi turun naik kualiti hidup rakyat. Nilai ringgit yang jauh lebih rendah menjadikan kos hidup lebih tinggi kerana perlu membayar lebih banyak akibat kenaikan harga barang. Pada tahun 1980-an, nilai ringgit antara tertinggi di rantau Asia namun nilainya semakin rendah sejak 20 tahun lalu.

Nilai ringgit yang rendah juga menjejaskan kehidupan rakyat. Pengaruh psikologi lain ialah jati diri rakyat yang rendah kerana berpendapat ringgit tidak memberi kebanggaan kepada rakyat Malaysia. Nilai satu ringgit adalah 30 sen dolar Singapura atau dolar Brunei atau 25 sen dolar Amerika.

Cabaran besar ketika ini ialah keupayaan Malaysia menjadi negara tuan rumah kepada mangsa keganasan agama dan etnik di Asia dan Timur Tengah. Isu Palestin, Rohingya dan Uyghur kerapkali menjadi perhatian masyarakat antarabansga kerana pergolakan yang berterusan.

Malaysia menjadi destinasi idaman etnik Rohingya yang mahu melarikan diri daripada diskriminasi etnik majoriti di Mynmar. Banyak bantuan yang disediakan oleh badan bukan kerajaan untuk mendidik etnik itu mendapat pendidikan dan kemahiran hidup. Bantuan yang diberikan ini selari dengan ketegasan kerajaan Malaysia yang menentang sebarang langkah diskriminasi etnik Rohingya yang dipaksa mencari tempat perlindungan di Bangladesh.

Penindasan kerajaan China terhadap masyarakat Islam Uyghur turut menjadi sebahagian daripada masalah luar Malaysia. Pada tahun lepas kerajaan Malaysia melepaskan sekumpulan etnik Uyghur yang ditahan di Malaysia kerana melarikan diri dari tahanan di penjara Thailand. Tindakan ini dikecam China namun perdana menteri Malaysia menyifatkan kumpulan berkenaan tidak melakukan apa-apa kesalahan. Semuanya berlepas ke Turki.

Isu-isu antarabangsa yang lain ialah keganasan di sempadan Thailand dan Filipina yang berkait dengan keadaan masyarakat Islam Melayu dan Moro. Walaupun kerajaan Malaysia menjadi pendamai, hasrat kedamaian dan keamanan masih lagi belum nampak.

Isu dalam dan luar negara yang berterusan menjadi perbincangan umum dijangka terus menjadi trend pada tahun 2019 ini. Namun, kerajaan harus memberi tumpuan kepada isu-isu sosial, ekonomi dan budaya masyarakat yang tertekan dengan kenaikan kos hidup dan kemakmuran bermasyarakat.

No comments:

Post a Comment