Peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengejutkan ramai pihak. Rakyat biasa hingga menteri, masing-masing masih bingung memikirkan alasan tindakan berkenaan. Dalam kebingungan ini, banyak pihak mengeluarkan pandangan dan perspektif yang dilihat tidak bersesuaian dengan martabat dan maruah raja-raja Melayu.
Antaranya adalah Eric Liew Chee Ling, Azham Akhtar Abdullah dan Nur Alia Astaman. Eric Liew adalah kakitangan Cisco ASEAN yang telah dibuang kerja baru-baru ini. Di samping itu terdapat syarikat yang mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan mereka yang telah mengeluarkan kenyataan merendah-rendahkan institusi raja di Malaysia khususnya selepas 6 Januari lalu.
Punca sebenar peletakan jawatan ini tidak didedahkan. Justeru, pelbagai khabar dan berita yang dibangkitkan. Namun, kita dapat mengagak ia tentulah ada kaitan dengan tempoh cuti dua bulan yang diambil oleh Sultan Muhammad V itu.
Penghinaan terhadap institusi raja-raja Melayu bukannya perkara baru. Ia berlaku secara berterusan dan dalam konteks yang berbeza-beza dan melibatkan pelbagai latar belakang. Penghina-penghina ini tanpa segan silu dan merasa takut memilih perkataan buruk dan jelek bagi menyatakan pendirian mereka tanpa ada sedikit pun penghormatan ke atas kedaulatan dan maruah raja-raja Melayu.
Hanya selepas polis mengambil tindakan, baharulah lutut mereka menggigil dan memohon maaf.
Malaysia tidak memiliki undang-undang ketat sepeti 'lese-majeste law' yang mengenakan hukuman berat ke atas sesiapa sahaja yang menghina raja, namun undang-undang sedia ada boleh memberi pengajaran kepada pelaku yang bersalah. Antaranya hukuman penjara tetapi jika melawan, hukuman lebih berat iaitu digantung hingga mati.
Fungsi Yang di-Pertuan Agong sangat besar dan sangat kritikal. Baginda merupakan ketua negara yang memerintah angkatan tentera, menjadi ketua agama Islam, keizinan mengurangkan hukuman dalam Lembaga Pengampunan dan membubarkan parlimen.
Elemen-elemen ini yang tidak difahami oleh penghina dan penista yang mengambil mudah kewujudannya. Tanpa Yang di-Pertuan Agong, urusan pentadbiran negara akan tergendala kerana banyak keputusan besar melibatkan perkenan baginda.
Pada masa yang sama, Yang di-Pertuan Agong juga perlu menjaga maruah institusi supaya terus dihormati dan disegani. Akhlak dan peribadi mereka disanjungi kerana nilai hormat yang diterapkan dalam diri rakyat meletakkan institusi raja perlu dilindungi. Kerajaan Malaysia turut mengambil tindakan menubuhkan Mahkamah Khas untuk membicarakan kes yang melibatkan raja-raja.
Kita berharap tidak ada lagi Yang di-Pertuan Agong meletakkan jawatan selepas ini. Biarlah episod duka yang berlaku pada awal tahun 2019 ini menjadi episod tunggal dan dilupai kerana memberi kesan kepada imej dan kehormatan institusi berkenaan.
No comments:
Post a Comment