Lirik lagu 'Ibu' yang dinyanyikan oleh Azzam, kanak-kanak istimewa cacat penglihatan dari Indonesia mengundang rasa hiba dan sayu.
Azzam tidak memiliki kelopak mata dan hidup bersama keluarga yang sangat tabah. Beliau masih kecil iaitu enam tahun namun memiliki bakat besar dalam bidang nyanyian.
Lagu 'Ibu' ini mengisahkan keiginan seorang anak yang buta untuk melihat bunga yang cantik. Beliau meminta ibunya menceritakan kecantikan bunga dan berpesan supaya ibu tidak letih melayan kerenahnya.
Ibu ceritakan padaku
Tentang indahnya bunga
Ibu ceritakan padaku
Tentang isi dunia
Ibu jangan pernah kau bosan
Menemani aku
Ibu jangan pernah kau lelah
Menuntun langkahku
Aku hanya bisa meraba
Tanpa bisa melihat indahnya bunga
Aku hanya mendengar tentang cerita
Keindahan dunia ooo
Aku hanya mengenal dengan meraba
Tentang semua benda di dunia
Terima kasih ibu
Engkau yang selalu mengasihi aku
Ibu engkaulah mataku
Ibu engkaulah malaikatku
Ibu engkaulah segalanya
Di dalam hidupku
Harapan kanak-kanak ini ialah dapat merasai dan melihat kecantikan bunga melalui kata-kata ibunya.
Selain Azzam, ramai lagi kanak-kanak istimewa kurang upaya yang sedang melalui pelbagai cabaran hidup. Ada yang dilayan dan ditatang dengan penuh kasih sayang sebaliknya ada yang dibiarkan dalam kesusahan dan penderitaan kerana keluarga dan masyarakat sekitar yang tidak mampu membawa harapan baru kepadanya. Kanak-kanak ini terperap di rumah tanpa diberi pendedahan dan latihan yang boleh memperkasa kehidupannya dalam tempoh jangka masa panjang.
Kejayaan kanak-kanak istimewa kurang upaya wajar diangkat ke dalam masyarakat supaya ramai yang mendapat idea untuk membantu keluarga mereka.
Di peringkat global, kanak-kanak seperti ini mengambil langkah aktif melibatkan diri dalam program kemasyarakatan yang membantu ramai orang mengikis stigma sedih kehidupan. Ada juga yang didedahkan dengan industri peragaan untuk meningkatkan keyakinan diri.
Di Malaysia sendiri, seorang kanak-kanak istimewa yang cacat wajah, Siti Musliha, pernah terkenal dengan lagu-lagu manusiawi. Beliau menghasilkan dua album iaitu Siti Musliha dan Mutiara Hati.
Selepas usia meningkat, beliau lebih banyak menyepi dari bidang nyanyian.
Artis lain adalah Siti Salmiah yang cacat penglihatan dan terkenal dengan lagu-lagu rakyat di sebelah utara Malaysia.
Perubahan hidup dan perjalanan masa hadapan kanak-kanak istimewa ini ditentukan oleh siapa yang berada di sekitar mereka dan bagaimana masyarakat memberi reaksi terhadap kehadiran mereka. Ibu bapa yang memiliki kesedaran akan mencari pelbagai cara untuk memastikan anak-anak istimewa dapat hidup dalam persekitaran yang sesuai dengan keperluan dan kehendak mereka. Keadaan akan menjadi lebi baik jika masyarakat menjadikan kebajikan kanak-kanak istimewa sebagai keutamaan.
Kerajaan wajar memperkasa Dasar-Kanak-Kanak Negara dengan memberi tumpuan kepada keperluan kumpulan khas ini supaya mereka juga mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara.
No comments:
Post a Comment