Wednesday, July 04, 2018

Penyelesaian kekal perkahwinan bawah umur








Perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur kembali menjadi perhatian umum. Kes terbaru di Kelantan melibatkan seorang lelaki berumur 40-an dengan kanak-kanak berumur sebelas tahun. Kanak-kanak itu juga merupakan isteri ketiga lelaki berkenaan.

Isu ini menarik perhatian umum kerana bercanggah dengan norma dan pemikiran masyarakat moden Malaysia yang prihatin dengan kes berkenaan. Dari masyarakat biasa hingga ke pemimpin negara, kebanyakannya menzahirkan kekesalan dan marah bagaimana kanak-kanak bawah umur boleh dikahwinkan dengan lelaki yang jauh lebih berusia.

Bagi memahami perkahwinan bawah umur yang berlaku di Malaysia, kita perlu meneliti latar belakang kes berkenaan. Kehidupan keluarga kanak-kanak ini dilingkungi kemiskinan dan kesusahan hidup. Pekerjaan kampung sebagai penoreh getah memberi gambaran sejauh mana kehidupan keluarganya, tahap pendidikan dan pendedahan terhadap impian hidup.

Kemiskinan menjadikan emosi dan sikap tidak begitu stabil dan menyerah kepada “orang luar” untuk membuat keputusan. Keadaan ini menjadi lebih parah apabila tidak ada instrumen yang dapat mengekang kemiskinan berkenaan. Instrumen yang dimaksudkan boleh jadi dalam bentuk kesedaran masyarakat sekitar atau seorang dua pemimpin yang prihatin dengan kemiskinan keluarga itu untuk menghentikan kitaran kemiskinan yang membelenggu kehidupannya.

Intervensi yang diusahakan oleh pelbagai pihak untuk menghalang perkahwinan berkenaan juga merupakan sebahagian kecil instrumen yang dapat menghalang kitaran ganas kemiskinan dari terus merebak. Walau bagaimanapun, impak yang paling berkesan ialah melalui perundangan iaitu dengan mendakwa lelaki berkenaan dan membubarkan perkahwinan itu jika wujud.

Pada masa yang sama, kanak-kanak itu dan keluarganya perlu diberi penerangan yang sempurna supaya menilai kembali tindakan yang dilakukan. Ia boleh melibatkan kaunselor keluarga bagi beberapa sesi kaunseling supaya mereka benar-benar sedar dan berupaya berfikir lebih rasional.

Agensi kerajaan yang terlibat dengan pembasmian kemiskinan juga boleh berperanan membantu meningkatkan pendapatan keluarga melalui didikan usaha tani atau memberi kemahiran baru yang bersesuaian dengan keadaan mereka.

Agensi pembangunan komuniti peringkat daerah boleh membawa keluarga itu untuk mengambil bahagian dalam aktiviti masyarakat supaya ahli keluarga dapat berinteraksi dan mendapat idea-idea baru dalam mengurus hidup. Penglibatan bersama komuniti ini dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk mengambil pandangan orang luar sebelum membuat keputusan-keputusan besar berkaitan masa hadapan anak-anak.

Membesarkan isu ini di media tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini sebaliknya menjadikannya lebih kusut dan berserabut. Perkahwinan bawah umur wajar dibincangkan dalam nada serius supaya penyelesaian kekal dapat diputuskan. Ia tidak patut berakhir dengan membubarkan perkahwinan tetapi mengambil kira jangka masa panjang seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan kualiti pendidikan, menambah pendapatan dan menggalakkan pembangunan komuniti supaya punca kepada isu ini dapat dihentikan.

No comments:

Post a Comment