Friday, July 06, 2018

Pengasuh tidak berdaftar undang kecelakaan








Perbuatan kejam pengasuh yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak  berusia lima tahun mengundang kemarahan banyak pihak. Ia merupakan perbuatan tidak berperikemanusiaan dan menimbulkan kerisauan berpanjangan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak di seluruh negara. Ia juga menimbulkan kesan trauma kepada ibu bapa yang pernah mengalami nasib yang sama.

Boleh dikatakan setiap tahun terdapat  kes yang melibatkan kematian bayi atau kanak-kanak di tangan  pengasuh. Punca-punca kematian disebabkan tersedak susu, pendarahan dan kelalaian ibu bapa yang masih menghantar anak-anak biarpun didapati anak-anak masih menghadapi demam panas yang berpanjangan.

Ada  kes yang telah pun diputuskan hukumannya dan ada kes yang masih berjalan di mahkamah.

Permintaan terhadap pengasuh sentiasa tinggi khususnya di kawasan bandar. Ia mengundang tarikan kepada sesetengah pihak untuk menawarkan diri menjadi pengasuh tanpa memiliki sebarang kelayakan ataupun memiliki sedikit pengalaman pengasuhan. Ada juga yang menjalankan perkhidmatan mereka melalui media sosial dan juga melalui rekomendasi daripada para pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatan.

Bayaran perkhidmatan juga sangat kompetitif. Pengasuh yang berdaftar biasanya meletakkan harga yang lebih tinggi manakala pengasuh yang tidak berdaftar biasanya meminta harga yang mampu dibayar oleh ibu bapa.

Walaupun terdapat perbezaan harga, ibu bapa yang berkemampuan memilih penjaga berdaftar kerana kemahiran dan keyakinan yang tinggi demi keselamatan anak-anak. Sebaliknya ibu bapa yang kurang berkemampuan dan mempunyai peruntukan yang sedikit melihat penjagaan anak-anak lebih utama berbanding keselamatan mereka.

Kerajaan boleh mengambil langkah intervensi supaya masyarakat tidak panik dengan isu ini. Agensi dan kementerian berkaitan boleh mengambil langkah-langkah jangka masa pendek dan panjang untuk menambah baik kelemahan sedia ada.

Mereka boleh melakukan proses pendaftaran pengasuh di seluruh negara melalui usahasama dengan persatuan penduduk di kawasan taman perumahan supaya bilangan pengasuh dapat dikenal pasti. Setiap pendaftaran perlulah mempunyai kesan faedah kursus yang dapat memberi dorongan kepada pengasuh berdaftar untuk menjadikan perkhidmatan mereka sebagai salah satu kerjaya profesional yang boleh memberi pendapatan.

Kerajaan boleh membanyakkan pusat pendaftaran pengasuh malah membuka pusat latihan kemahiran supaya calon-calon pengasuh dapat mempelajari teknik dan kaedah pengasuhan yang betul dan berkesan. Antaranya ialah menyediakan silibus berkaitan pengetahuan perkembangan emosi mental dan fizikal kanak-kanak, keperluan makanan sihat, kaedah komunikasi, kemahiran penjagaan asas seperti penyusuan dan pembersihan diri serta kaedah-kaedah kemahiran pengasuhan yang sesuai dengan keperluan semasa.

Sekiranya berdaya maju, kerajaan boleh membuka kursus jangka pendek di kolej komuniti bagi memudahkan pengasuh mendapatkan sijil kelayakan pengasuhan. Bagi mempercepatkan pengendalian kursus, ia boleh ditawarkan oleh mana-mana syarikat latihan berdaftar untuk menyediakan kemahiran berkenaan kepada mereka yang berminat.

Orang ramai boleh digalakkan untuk membuka pusat  pengasuhan komuniti melalui pengurusan persatuan penduduk dengan harapan ia dapat menjana pendapatan komuniti dan mengeratkan hubungan kejiranan. Sekiranya kaedah ini dilaksanakan, masalah pengasuhan dapat dikurangkan dan diatasi sedikit demi sedikit.

Idea ini boleh dilaksanakan di kawasan kejiranan yang memiliki struktur organisasi sendiri dan penduduk aktif mempromosi hubungan komuniti  yang berterusan. Perancangan yang tepat dan pengurusan yang  aktif dapat meningkatkan  keberkesanan pengasuhan di peringkat  komuniti.

Adaptasi kaedah pembangunan komuniti untuk mengatasi  sesuatu masalah boleh dipopularkan. Ia dapat mengurangkan bebanan agensi kerajaan dan kos-kos lain yang berkaitan dengan penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak.


No comments:

Post a Comment