Wednesday, April 04, 2018

Konsep keusahawanan Islam







Di peringkat global, kita sudah biasa terdedah dengan pelbagai jenama produk dan peralatan. Jika disebut Toyota, Honda atau BMW, fikiran kita akan mentafsir jenama berkenaan dalam bentuk imej kereta. Sebut sahaja Honda Civic, fikiran kita akan membayangkan kereta keluaran Honda itu dengan bentuk dan warnanya sekali. 

Jenama lain seperti Sony, Samsung ataupun Acer juga kita sudah biasa. Beribu-ribu jenama sama ada yang kita biasa dengar ataupun belum pernah dengar sebenarnya menyediakan pelbagai bentuk penyelesaian kepada pengguna dalam kehidupan lebih-lebih lagi dalam teknologi.

Kemunculan jenama-jenama ini berkait rapat dengan keusahawanan. Keinginan seseorang untuk mewujudkan sesuatu produk sebenarnya disebabkan oleh terdapat permintaan daripada pengguna yang mempunyai pelbagai keinginan. Pengusaha yang mendapat idea ini merasai mereka mempunyai peluang untuk memenuhi keinginan pengguna tersebut.

Peluang Inilah yang melahirkan usahawan yang boleh menjual dan berniaga dalam pelbagai jenis produk- dari yang berharga paling murah kepada yang berharga paling mahal. Melalui peranan usahawan, sesebuah masyarakat dan negara dapat dibangunkan.

Takrifan usahawan sentiasa dimurnikan dan diperjelaskan dari semasa ke semasa. Namun sifat dan nilai usahawan tetap sama seperti menanggung risiko, menggunakan peluang, membuat keuntungan, kembangkan teknologi dan berupaya membuat ramalan ataupun keputusan. Dalam era moden dan mencabar hari ini, sifat-sifat ini telah bertambah kepada mekanisme sosial iaitu mengembalikan keuntungan perniagaan kepada masyarakat.

Barangkali kita keliru di antara fungsi perniaga dan usahawan. Perniaga membentuk perniagaan baru dalam skala operasi yang kecil tetapi usahawan berupaya mengembangkan operasi perniagaan dari semasa ke semasa. Peniaga kurang mahir mengembangkan perniagaan kerana tidak berupaya mengenal pasti peluang perniagaan tetapi usahawan mampu mencari, melihat dan merebut peluang berniaga secara berterusan. Peniaga lebih cenderung mengelak risiko tetapi usahawan sanggup mengambil risiko setelah membuat pelbagai perincian. Akhir sekali, peniaga boleh mengembleng sumber-sumber sedia ada untuk meneruskan perniagaannya tetapi usahawan berupaya mengembleng sumber untuk membuka dan meneroka peluang perniagaan.

Konsep keusahawanan Islam berkait dengan dua elemen iaitu al-tijarah (perniagaan) dan al-bai' (jual beli). Dua elemen tambahan adalah dorongan dan akhlak.

Al-quran menyentuh konsep ini dalam ayat 29 Surah an-Nisa yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dengan jalan perdagangan yang berlaku atas dasar suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu”.

Manakala hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari sering mendapat perhatian adalah “Sembilan persepuluh rezeki datangnya daripada usaha-usaha perniagaan”. Keusahawanan Islam memiliki ciri-ciri istimewa yang membezakannya dengan keusahawanan semasa.

Kerangka keusahawanan Islam meliputi beberapa perkara. Pertama, menjadikan prinsip tauhid sebagai keutamaan. Dalam bahasa yang lebih mudah, keusahawanan Islam mengikut al-quran dan sunnah Rasulullah SAW. Usahawan Islam berusaha menjadikan setiap perniagaan mereka sebagai satu bentuk ibadah. Justeru, asasnya ialah keimanan kepada Allah SWT untuk mencapai kejayaan (al-falah) sama ada di dunia ataupun di akhirat.

Kedua, bersedia memenuhi tuntutan fardhu kifayah seiring dengan maqasid as-syariah supaya manfaat perniagaan tersebut dapat dirasai oleh masyarakat. Usahawan Islam juga sedia berusaha sedaya upaya memastikan kemaslahatan orang ramai dapat dipenuhi. Banyak tuntutan yang boleh dipenuhi seperti pendidikan. Kita masih lagi melihat pelajar yang bersekolah tidak mampu mendapat buku-buku yang berkualiti untuk pendidikan mereka. Ada juga pelajar-pelajar sekolah menengah yang tidak cukup makan ataupun tidak membawa sebarang wang saku semasa ke sekolah. Usahawan Islam boleh menawarkan khidmat mereka untuk membantu sebahagian anggota masyarakat menguasai ilmu melalui pendidikan di sekolah rendah, menengah atau universiti.

Antara usaha yang boleh dilakukan ialah menyediakan pakaian sekolah, membelikan peralatan persekolahan ataupun sekurang-kurangnya membantu yuran kelas tambahan supaya pelajar dapat menguasai ilmu dan mengubah kehidupan keluarga.

Ketiga, menyanjung tinggi nilai-nilai akhlak Islam yang telah ditunjukkan oleh para nabi dan rasul seperti amanah, jujur, rasa cukup (qanaah), syukur, istiqamah dan tawakal.

Keusahawanan Islam tidak dapat dipisahkan daripada keusahawanan sosial kerana dalam Islam faedah-faedah sosial sentiasa mengatasi faedah keuntungan kewangan. Instrumen perniagaan yang sedia ada dalam Islam seperti wakaf, zakat, sedekah, infak dan sebagainya merupakan saluran sedia ada kepada usahawan Islam untuk memanfaatkan kebajikan sosial masyarakat.

Contoh terbaik impak keusahawanan Islam ialah kesungguhan Saidina Uthman al-Affan membeli sebiji perigi daripada seorang Yahudi yang kemudiannya mewakafkan telaga tersebut kepada masyarakat Islam. Harta wakaf berbentuk telaga itu masih kekal hingga sekarang dalam kawasan hotel yang besar berhampiran Masjid Nabawi. Keuntungannya berjumlah jutaan ringgit setiap tahun. Sebahagian daripadanya dibelanjakan kepada keperluan anak-anak yatim dan fakir miskin serta disimpan dalam akaun bank Uthman al-Affan. Paling menarik adalah nama akaun dan bil elektrik hotel berkenaan masih dibuat atas nama beliau.

Saidina Uthman memahami benar konsep wakaf kerana mempraktifkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Wahai sahabatku, siapa sahaja antara kalian yang menyumbangkan hartanya untuk dapat membebaskan perigi ini, lalu menyumbangkannya untuk umat, maka akan dapat syurga-Nya Allah Ta'ala”. (Riwayat Muslim)

Usahawan Islam wajar berfikir untuk memberikan kemakmuran dan rasa bahagia kepada masyarakat. Kekayaan dan harta yang diperoleh melalui keusahawanan wajar dikembalikan kepada masyarakat dengan menyumbang semula keuntungan perniagaan dalam pelbagai bentuk dan kepada kumpulan sasar yang khusus. Sewajarnya usahawan Islam menjadi bank kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment