Wednesday, August 31, 2022

Belajar di awal usia


Kanak-kanak yang berusia dua hingga tiga tahun sudah dapat mengenal dan menyebut ‘i-pad’ pada hari ini. Mereka tidak kekok untuk menyentuh paparan skrin i-pad untuk melayari klip video Upin dan Ipin. 

Kita boleh bayangkan apabila kanak-kanak ini berada di sekolah, mereka sudah mahir dengan komputer dan tidak seperti ‘rusa masuk kampung’ dengan teknologi maklumat. 

Berbeza dengan ibu bapa kerana ketika berumur 30 tahun, 40 tahun atau 50 tahun baharu dapat kenal dengan i-pad, i-phone dan sebagainya. 

Jika kanak-kanak senang hendak diajar, oang dewasa agak susah sedikit kerana dua atau tiga kali diajar belum tentu dapat mengingat dengan baik. 

Pesanan saya, jika hendak belajar, lebih baik dimulai sejak kecil kerana apabila sudah dewasa, minat belajar semakin pudar dan terikat dengan lebih banyak komitmen.

Tuesday, August 30, 2022

Kita sendiri tentukan


Kita jarang melupakan memori hidup yang indah. Begitu juga dengan peristiwa pahit yang pernah berlaku dalam hidup. 

Ada orang yang sukar melupakan zaman ‘pahit’ mereka sehingga tidak dapat menikmati kehidupan pada hari ini. 

Apakah yang dikatakan peristiwa pahit yang sangat sukar ini? 

Antaranya adalah pernah dilukai ketika bercinta sehingga enggan bercinta lagi, pernah dianiaya dan merasai kesan penganiayaan yang membawa kemusnahan hidup serta pernah menerima layanan buruk suatu ketika dulu dan tidak dapat melupakannya sama sekali. 

Banyak lagi peristiwa pahit yang ada berbagai-bagai versi. 

Ada orang yang tidak dapat melupakan peristiwa-peristiwa ini, ada yang boleh ‘move on’ dan ada orang yang memendam rasa. 

Pokoknya, ia bergantung kepada kita kerana kita sendiri yang mencorakkan masa hadapan.

Monday, August 29, 2022

Belum ada rezeki


Kali ini saya hendak berkongsi dengan anda tentang erti kegagalan. Kegagalan bukanlah bererti kita seorang yang gagal sebaliknya ia bererti ‘masih belum berjaya’. 

Kegagalan bukanlah tidak mendapat apa-apa sebaliknya adalah ‘telah belajar sesuatu’. Kegagalan bukan bererti bodoh kerana telah mencuba sebaliknya kita perlukan sedikit masa lagi untuk berjaya. 

Kegagalan bukan bermakna kita kecundang tetapi merupakan peluang baharu untuk memulakan cara lain yang lebih baik. 

Kita dapat mengubah persepsi terhadap usaha dan kegagalan andainya kita dapat memahami bahawa usaha-gagal-usaha-berjaya adalah amat rapat dengan masa. 

Kita gagal kerana beum sampai masanya untuk berjaya.

Sunday, August 28, 2022

Mental lelah


Kalau kita rajin membaca sejarah riwayat hidup pemimpin dan ketua negara, hampir semua daripada mereka terpaksa menghadapi kesulitan malah kegagalan dalam mengurus rakyat. 

Manusia pilihan seperti rasul dan nabi turut berhadapan dengan penolakan sebelum berjaya menawan hati orang ramai. Tokoh-tokoh ini boleh menjadi inspirasi kepada kita untuk bangkit daripada kekecewaan. 

Cuba cari mentor atau ‘role model’ untuk menguatkan jiwa kita. Orang yang berjaya telah gagal berulang-ulang kali, kita baru sekali dua gagal, bagaimana hendak berjaya kalau sekali dua gagal sudah mengalah? 

Kita mesti belajar menjadi orang yang berjiwa kental, kuat semangat dan bijak mengawal emosi.

Saturday, August 27, 2022

Jangan menyerah


Pada saya, gagal adalah sebahagian daripada asam garam hidup. Kegagalan sebenar hanya berlaku apabila kita berhenti daripada mencuba, berhenti berjuang, berhenti daripada mencabar potensi diri dan enggan belajar daripada kesilapan. 

Berhenti daripada mengaku kalah dalam apa juga perjuangan atau kerja yang kita sedang lakukan. 

Nasihat orang tua-tua kepada anak-anak muda yang gagal bercinta adalah sangat mudah iaitu ‘bila gugur satu, akan tumbuh 10 ribu’. 
Jadi, dapatkan pandangan, nasihat, baca buku-buku yang boleh memberi motivasi dan cari panduan untuk keluar daripada kegagalan hidup. 

Pengalaman orang yang melalui kegagalan demi kegagalan wajar kita pelajari. Salah satu daripada nasihat mereka adalah kegagalan menjadikan diri mereka lebih kuat, mantap dan semakin bijak.

Friday, August 26, 2022

Bukan gagal cuma belum berjaya


Walau apa pun kegagalan yang kita hadapi sama ada gagal bercinta, gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, gagal dalam ujian memandu dan gagal dalam perniagaan, hakikatnya bukanlah gagal sebaliknya dianggap ‘belum berjaya’. 

Tidak dapat memahami konsep ini menjadikan kita enggan lagi mencuba. Apabila kita meletakkan label yang gagal itu adalah diri kita, dengan serta-merta imej diri berubah. 

Tindakan dan pemikiran benar-benar menunjukkan bahawa kita seorang yang lemah dan tidak berupaya mencatatkan kajayaan. 

Akhir sekali, kita benar-benar gagal kerana kita menjadi seperti apa yang kita fikirkan. Rangsangan negatif telah meresap jauh ke dalam saraf minda yang mempengaruhi diri. 

Konsep yang betul adalah setiap kali gagal, kita hanya gagal mencuba bukannya tidak boleh berjaya.

Thursday, August 25, 2022

Padam, kawal dan dengar


Dalam siri-siri yang lalu, saya kerap membincangkan tentang masalah dalam hidup. Pada kali ini, saya hendak berkongsi dengan anda tentang langkah-langkah untuk menghadapi masalah. 

Pertama, kikis ataupun delete, buang jauh-jauh semua pemikiran yang tidak elok seperti takut gagal, tidak yakin dan takut dikritik. 

Kedua, kawal emosi dan tidak membiarkan emosi yang mengawal kehidupan kita. Kosongkan pemikiran kita daripada emosi yang menzahirkan kesedihan, muram dan kecewa kerana emosi seperti ini tidak membantu menyelesaikan masalah. 

Dan yang ketiga adalah cuba mendengar cadangan atau nasihat daripada orang lain seperti rakan-rakan supaya masalah dapat dipecahkan. 

Secara tidak langsung kita membuka ruang kepada lebih banyak penyelesaian.

Wednesday, August 24, 2022

Isolasi


Orang yang gagal seringkali terlupa dan gagal mengesan perubahan persekitaran hidupnya, tidak sedar keperluan orang lain dan tidak bersedia melibatkan diri dalam kehidupan seharian bersama masyarakat. 

Kita mesti sedar bahawa kita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat. 

Jika ada majlis perkahwinan, kematian dan musibah adalah lebih baik untuk kita hadir dan menunjukkan muka supaya kita dapat tahu apa yang berlaku. 

Pada hari ini, dengan perubahan gaya hidup, kadangkala orang-orang muda agak kurang memberi perhatian kepada masyarakat. Mereka agak jarang dilihat dalam majlis gotong-royong, kegiatan kesukarelawanan dan aktiviti kejiranan. 

Inilah antara cabaran gerasi pada hari ini iaitu mengekalkan penglibatan mereka bersama masyarakat di sebalik perubahan persekitaran yang sentiasa berlaku.


Tuesday, August 23, 2022

Banyak masalah, banyaklah pengalaman


Dalam hidup yang kita lalui, kita wajar menerima hakikat bahawa masalah hidup sangat banyak dan kita perlu menghadapinya dengan tabah, berani dan sedar. 

Ada di antara masalah ini sangat penting untuk diselesaikan seperti dilema memilih pekerjaan, dilema berkahwin atau bekerja dahulu dan sebagainya. 

Ada masalah yang remeh-temeh dan tidak penting langsung, malah kurang mencabar dan esok lusa boleh selesai. 

Secara prinsipnya, lebih banyak dan besar sesuatu masalah ganjarannya juga lebih besar. 

Sebagai contoh, seorang usahawan yang melabur sebanyak satu juta ringgit dan bisnesnya mendapat untung yang banyak, tentulah dia berasa sangat gembira dan puas hati. 

Orang seperti ini mahu mencabar keupayaan dirinya, tidak mudah mengalah, sanggup bersusah payah dan matlamatnya adalah kejayaan.


Monday, August 22, 2022

Rajin-rajinlah berfikir


Tabiat orang yang berjaya ialah kerap berfikir untuk merancang strategi, menyusun langkah dan mengatur kekuatan. 

Kenapa orang yang berjaya ini perlu berfikir berbagai-bagai perkara dari yang sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya? 

Kerana otak orang yang sentiasa berfikir umpama pisau yang sentiasa diasah, lama-kelamaan akan tajam dan sentiasa tajam. Jika pisau yang tajam digunakan untuk memotong daging, maka pemotongan menjadi mudah dan cepat. 

Begitu juga dengan otak kita. Kita mengasah otak dengan berfikir menyelesaikan masalah. Jika kita di sekolah, kolej atau universiti, setiap tugasan akan ada proses berfikir untuk menyelesaikan masalah. 

Tidak kira sama ada masalah di tahun satu ataupun tahun akhir universiti, proses menyelesaikan masalah adalah kerja rutin supaya pelajar dapat berkembang sebagai seorang pemikir, bukannya seorang yang difikir.