Thursday, August 04, 2022

Jadilah seorang pemaaf


Sekali-sekala bermasam muka dengan rakan-rakan tentulah tidak menjadi masalah besar namun jika ia berterusan, banyak masalah yang akan muncul satu per satu. 

Suasana harmoni dan ceria akan bertukar menjadi suram dan tegang. 

Perasaan sakit hati, benci dan dendam yang berpanjangan menyebabkan pelbagai jenis penyakit di jiwa. Ia bermula dengan emosi negatif yang memberi kesan besar kepada keadaan fizikal. 

Satu-satunya cara yang sangat berkesan ialah memberi maaf dan memohon maaf. Satu petikan ayat al-quran dari surah An-Nisa’ ayat 149 boleh kita renungi bersama, ‘Jika kamu lahirkan kebaikan atau kamu sembunyikan atau kamu memaafkan kesalahan orang lain, sesungguhnya Allah itu pemaaf dan Maha Berkuasa’. 

Bertindak memberi maaf tidaklah menjadikan diri kita hilang maruah dan harga diri sebaliknya mendapat pengiktirafan daripada Allah swt.

Wednesday, August 03, 2022

Orang yang sensitif


Saya rasa ada dalam kalangan kita yang mudah berkecil hati kerana sensitif dengan hal yang remeh-temeh. Salah sikit ketika berucap pun sudah sensitif apatah lagi jika dimarahi. 

Bagi kita yang sukakan keharmonian, menjaga hati dan peka dengan orang yang mudah sensitif dapat meredakan keadaan yang tegang dan mencabar. 

Orang yang cepat sensitif dikatakan mempunyai rasa penghormatan diri yang rendah kerana emosinya tidak kebal. Kesannya amat negatif iaitu sukar menjalin hubungan dengan rakan-rakan sekerja atau jiran tetangga. 

Jika berkawan pun hanya untuk hal-hal tertentu yang ada kaitan dengan kepentingan diri. Ruang untuk mencari rakan-rakan baharu sangat terbatas dan lama-kelamaan orang lain tidak tidak lagi mengenalinya. 

Orang yang mudah kecil hati dan sensitif mesti membuka sedikit pemikiran mereka, bersedia menerima teguran dan nasihat supaya hidup menjadi lebih baik dan bahagia. 

Dalam masyarakat kita, lebih ramai orang yang terbuka fikirannya daripada berfikiran tertutup

Tuesday, August 02, 2022

Anak kunci bahagia


Anak kunci kepada rasa bahagia, senang hati dan redha adalah hati kita. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa jika kita baik hati, baiklah akhlak dan tingkah laku kita. 

Jika sebaliknya, hidup kita tentu susah hati. 

Apakah ciri-ciri atau tanda-tanda orang yang bahagia ini? 

Pertama, emosi dan spiritual berada dalam suasana harmoni. 

Kedua, boleh menerima hakikat bahawa hidup perlukan kesabaran. 

Ketiga, ada rasanya tanggungjawab dan keinginan untuk mengambil berat keadaan orang lain. 

Banyak lagi tanda orang yang bahagia ini seperti memaafkan, rasa cukup dengan apa yang ada dan lebih banyak memberi daripada menerima. Hati kita perlu didik dan diasuh untuk bahagia. 

Bahagia tidak datang dengan mudah tanpa ada usaha untuk mendidik dan membimbing hati. Setiap bulan kita mendidik hati untuk rasa bahagia dan rasa bahagia hilang selepas itu. 

Contohnya ialah ketika mendapat gaji, rasa bahagia mendapat gaji akan hilang sebaik sahaja kita selesai membayar bil dan hutang. Di sinilah kita perlu mendidik hati untuk rasa bahagia walaupun ketika tidak banyak wang.

Monday, August 01, 2022

Arca diri


Tanpa kita sedar, kita selalu mengkritik orang lain. Tidak kira sama ada kritikan itu positif ataupun negatif, kita sentiasa menilai prestasi oran lain dengan penuh keghairahan. 

Namun, pernahkah kita menilai diri kita sendiri seperti itu? 

Jika pernah, bilakah kali terakhir kita menilai diri? 

Dalam menilai diri, terdapat tiga perkara yang kita perlu tahu iaitu persepsi kita terhadap diri sendiri, persepsi orang lain terhadap diri kita dan diri kita yang sebenarnya. 

Ketiga-tiga persepsi ini menentukan reaksi kita dalam hubungan dengan orang lain. 

Sebelum kita diterima dan dapat memenangi hati orang lain, adalah lebih baik bagi kita untuk menerima diri kita, Percaya kebolehan diri dan bangga dengan kehidupan yang dilalui.

Sunday, July 31, 2022

Kekuatan daya fikir


Pemikiran atau gambaran mental adalah pusat penjana kuasa yang mengawal kehidupan dan menentukan masa hadapan. 

Sekiranya kita tidak mempunyai gambaran mental yang jelas tentang apa yang kita mahu, susahlah sedikit untuk merealisasikan apa yang kita mahukan. Sebuah rumah tidak dapat dibina jika tidak mempunyai pelan malah kita juga tidak dapat mengembara ke dunia luar jika tidak memiliki peta sebagai petunjuk jalan. 

Justeru, sangat penting untuk memilih perkataan, gambaran atau apa-apa sahaja yang masuk ke dalam fikiran kita supaya kita mendapat hasil yang terbaik. 

Jika kita berterusan memikirkan kegagalan, maka kita akan menarik kegagalan dan berterusan menjadi gagal. 

Jika kita sentiasa memikirkan kejayaan, kita akan sentiasa menarik banyak peluang ke arah mencapai kejayaan.


Saturday, July 30, 2022

Tuai apa yang ditanam


Memberi gambaran kepada mental sama seperti ‘menanam’ gambaran mental dan kita juga menuai apa yang kita tanam. Logiknya, apa yang kita tanam itulah yang akan kita tuai. 

Jika kita menanam pisang, pisang jugalah yang akan kita tuai. Jika nilai-nilai yang ditanam, insya Allah nilai-nilai kejayaan yang dituai. Sekiranya kita membajai kegagalan, akhirnya kita akan mendapat hasil kegagalan juga. 

Untuk menghalang kegagalan daripada terus menguasai mental, kita tidak boleh membiarkan pemikiran negatif membiak. 

Kita mesti mempunyai wawasan dan visi untuk menjadi pendorong ke arah pencapaian matlamat. 

Apabila kita mempunyai bentuk gambaran mental yang ingin dicapai, baharulah boleh ditetapkan dorongan yang kukuh ke arah kejayaan.

Friday, July 29, 2022

Buka fikiran untuk proses kejayaan


Kejayaan hanya dicapai oleh orang yang memiliki keghairahan untuk berjaya. Terdapat lima elemen yang boleh menjadi pegangan dan panduan untuk berjaya ini iaitu PRIDE. 

P ialah passion iaitu keghairahan, R adalah responsibility iaitu tanggungjawab, I adalah intellectual iaitu berilmu, D adalah disiplin dan E adalah ecosystem ataupun persekitaran.

Kejayaan adalah proses mencuba dan belajar. 

Sekali gagal tidak bererti gagal selama lamanya. 

Jika sekali mencuba dan gagal, janganlah kecewa atau ‘never give up’. Teruskan mencuba insya Allah akan berjaya. Berjaya perlukan tanggungjawab terhadap tugasan, berfikir dengan strategik dan menganalisis persekitaran supaya kita dapat menguasai kehendak dan keperluan untuk memenuhi syarat-syarat untuk cemerlang dan berusaha secara terancang untuk mencapai sasaran. 

Justeru kita mesti membuka fikiran terhadap proses mencapai kejayaan kerana laluan untuk berjaya sangat berliku-liku.

Thursday, July 28, 2022

Cara majikan pilih pekerja


Setiap tahun ramai lulusan universiti bergraduat dan memasuki alam pekerjaan. 

Jika kita bertanya kepada kebanyakan majikan tentang kriteria utama yang diletakkan untuk mengambil seseorang graduan bekerja bukanlah sekadar pencapaian akademik yang tercatat pada skrol. 

Sebaliknya, majikan tercari-cari calon yang memiliki set pakej individu yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan jaringan sosial yang unggul. Dengan kata lain, graduan yang dapat menggabungkan elemen ‘hard skills’ dan ‘soft skills’ akan menjadi pilihan. 

Saya memetik inti pati buku ‘It's Not How Good You Are, It’s How Good You Want To Be’ oleh Paul Arden Yang menyatakan bahawa hampir semua orang kaya dan berpengaruh bukan datang daripada mereka berbakat, pandai, cantik ataupun tampan, sebaliknya mereka menjadi kaya dan berpengaruh berdasarkan keinginan untuk menjadi kaya dan berpengaruh.

Wednesday, July 27, 2022

Sentiasa usaha dan tawakkal


Kejayaan yang kita dapat atau rakan-rakan kita yang mendapat kejayaan tidak pernah datang bergolek-golek. Tidak pernah kita dengar ada orang yang datang ke rumah kita dan tiba-tiba memberitahu kita telah mendapat satu juta ringgit. 

Untuk mendapat seringgit pun kita perlu berusaha apatah lagi sejuta ringgit. Usaha adalah tindakan semula jadi untuk bergerak ke arah perubahan. 

Kita perlu berusaha dahulu untuk berubah sebelum bertawakal. Terdapat satu hadis di mana seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw yang mana satu perlu dilakukan sama ada mengikat unta dahulu kemudian bertawakal atau melepaskan unta dan bertawakal. 

Rasulullah saw menjawab, ikat dahulu unta itu dan bertawakallah kepada Allah swt. 

Hendak menjadi kaya, hendak menjadi pandai atau hendak naik pangkat, gaji dan sebagainya perlulah berusaha. Bukan dengan mengatakan kononnya ini semua sudah ditakdirkan.



Tuesday, July 26, 2022

Gambaran mental


Sebuah bangunan rumah atau binaan yang akan didirikan, gambaran atau imej rupa bentuknya telah ada dalam fikiran seorang arkitek. 

Selepas itu, barulah gambaran tadi dipindahkan ke atas lakaran, difikirkan pelbagai bentuk dan dipindahkan kepada sebuah model. Daripada model ini, kontraktor akan memulakan pembinaan dalam proses yang panjang. konsep yang digunakan ialah ‘kita akan menjadi seperti apa yang kita fikirkan’. 

Apabila kita berfikir, kita akan menggambarkan gambaran mental mengenai apa yang kita fikirkan. 

Gambaran mental seolah-olah 'blueprint’ hidup yang mampu mengarahkan cara hidup. 

Oleh kerana pemikiran dapat menguasai dan mengawal hidup, kita perlu berhati-hati memilih matlamat dan mengisi minda kerana kita akan menjadi seperti apa yang kita fikirkan.