Monday, December 02, 2013

Issues and challenges of social policy: east and west






Penulis: Roziah Omar dan John Doling
Tahun: 2000
Penerbit: University of Malaya Press, Kuala Lumpur, Malaysia.
Muka Surat: 230

Semua negara industri dan maju mempunyai sistem kebajikan sosial yang telah dibangunkan sejak lama sebagai tindak balas kepada persepsi nasional ke atas keperluan ekonomi, kepentingan politik dan keseriusan masalah sosial. Oleh kerana persepsi ini semakin berubah, ia memaksa kerajaan turut menyesuaikan dasar sedia ada melalui pengenalan dasar baru atau mengubah suai dasar yang ada.

Dalam buku ini dibincangkan 12 bab yang berkaitan dengan dasar sosial antara Malaysia dan Britain dengan mengambil kira kekuatan kedua-dua buah negara. Isu dan cabaran ini merangkumi perumahan, kesihatan, jenayah, masyarakat penyayang, kewangan usia emas, keselamatan sosial dan kerja kebajikan.

Memahami keseluruhan isi kandungan buku ini membuatkan kita menyimpulkan bahawa proses globalisasi berperanan mengubah dasar sosial sedia ada untuk bersaing dalam pembangunan ekonomi.

 

Saturday, November 30, 2013

Kasih tidak pernah pudar




Kasih sayang sentiasa mekar


Pelarian selama 30 tahun aktivis politik, Siti Aishah Abdul Wahab berakhir apabila doa dan harapan keluarganya dimakbulkan Allah swt. Dikatakan menjadi hamba kepada pasangan suami isteri berketuruan India di Britain, Siti Aishah sudah pun berusia 69 tahun dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Malah pihak polis tidak berminat untuk menghalangnya kembali ke kampung halaman di Jelebu, Negeri Sembilan. Masyarakat Malaysia juga tidak menunjukkan minat yang sungguh untuk menyambut kepulangan beliau kerana ideologi komunis tidak lagi menjadi ikutan.

Peristiwa lepas telah berlalu dan Siti Aishah wajar melihat masa depan beliau masih ada sinar di negara sendiri khususnya dapat berjumpa dengan adik-beradik dan sanak-saudara yang merindui kehadirannya.

Pengajaran paling istimewa dalam kes ini ialah kasih sayang keluarga tidak pernah putus walaupun 30 tahun berpisah. Kisah hilang dan jumpa ini akan menjadi iktibar kepada masyarakat khususnya berkaitan perjuangan untuk mencari ahli keluarga tidak pernah padam. Usaha dan ikhtiar tetap dilakukan dengan harapan akan bertemu suatu hari nanti.

Kasih sayang adalah anugerah Allah swt yang sangat unik kepada manusia lebih-lebih yang ada hubungan saudara. Kasih sayang mengikat dua hati malah jutaan hati untuk bersatu dan hormat-menghormati. Beruntunglah orang yang memiliki kasih sayang ini yang disandarkan dengan iman dan taqwa kepada Allah swt.

Siti Aishah dikatakan seorang pelajar pintar namun kepintaran itu telah melorongnya memilih pendekatan yang salah. Kehidupannya tidak ke mana berbanding rakan-rakan yang sederhana pencapaiannya, menikmati kehidupan berkeluarga dan tahu matlamat hidup. Tindakan Siti Aishah sukar dicari jawapannya kecualilah beliau sendiri yang mahu berkongsi inspirasi dan sebab-musababnya.

Kelompok yang memperjuang fahaman komunis dan sosialis tidak lagi mendapat tempat dalam masyarakat dunia hari ini. Selepas menolak komunis pada tahun 1989, negara-negara terlibat mula menukar rejim dan mengambil pendekatan baru dalam mengurus masyarakat dan negara. Sedikit demi sedikit kebebasan beragama mula muncul dan seiring dengan masa, fahaman komunis berkubur.

Golongan pejuang komunis hilang ruang untuk mengembangkan ideologi mereka. Di Malaysia, abu mayat pemimpin komunis yang telah mati tidak dibenarkan berada di tanah air kerana kezaliman dan kekejaman yang dilakukan ketika era 40-an hingga 60-an dahulu.

Dalam kes Siti Aishah, menjadi hamba kepada ideologi yang berlawanan dengan fitrah manusia bukanlah satu pengalaman yang hebat untuk dikenang seumur hidup.

Friday, November 29, 2013

Gadis penjual susu yang jujur





Masak makanan sendiri


Khalifah Umar al Khatab terkenal sebagai pemimpin yang gemar meronda pada waktu malam. Sebagai pemimpin negara, beliau perlu mengetahui apakah aktiviti rakyatnya pada malam hari. Umar berjalan-jalan di tepi sebuah rumah yang usang, lantas telinganya tertangkap akan perbualan si penjual susu yang miskin dan anak gadisnya.

“Wahai anakku, hari ini kita memperoleh bekalan susu yang sedikit, apa kata jika campurkan ia dengan air supaya kelihatan banyak sebelum matahari terbit,” kata si ibu.

Terkejut gadis itu, lantas dia menjawab, “kita tidak boleh berbuat seperti itu wahai ibuku, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang berbuat demikian,”.

Penjual susu itu berkata lagi, “tidak mengapa anakku, jika di antara kita tidak membocorkan rahsia ini kepada sesiapa tentunya Amirul Mukminin tidak akan tahu,”.

“Benar, biarpun beliau tidak tahu, tetapi tuhan kepada Amirul Mukminin mengetahuinya,” jawab si gadis sunti itu.

Sebaik mendengar jawapan gadis itu, mengalir air mata Umar, terdetik di hati jujurnya anak gadis itu. Sampai di rumahnya, Umar meminta anaknya, Asim menikahi gadis tersebut. Umar mengatakan, akan lahir daripada keturunan gadis ini bakal pemimpin Islam yang hebat, disegani yang bakal memimpin orang-orang Arab dan Ajam.

Asim, seorang anak yang menurut perintah, maka berkahwinlah Asim dan gadis anak si penjual susu yang miskin itu. Hasil pernikahan tersebut mereka beroleh anak perempuan dinamakan Laila dikenali sebagai Ummu Asim. Kemudiannya Ummu Asim dinikahkan dengan Abdul Aziz bin Marwan. Perkongsian hidup itu lahirlah pembesar negara yang ulung, Umar bin Abdul Aziz.

(Sinar Harian, 22 November 2013)

Thursday, November 28, 2013

Rakyat yang menghayati nilai





Pupuk nilai mulia melalui hubungan formal dan tidak formal


 
oleh Sidek Baba

Nilai adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Ia adalah ukurtara memandu manusia membuat pilihan. Nilai yang diambil daripada sumber agama, tamadun, budaya dan etika adalah penting kerana manusia memerlukan pedoman terbaik dalam kehidupan.

Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) memerlukan setiap murid sekolah rendah dan menengah melibatkan diri dalam khidmat komuniti.

Bagi murid sekolah menengah, elemen khidmat komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan sekolah menengah. Kurikulum Pendidikan Agama Islam bagi murid Islam dan Kurikulum Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam akan diperkukuhkan supaya akan merangkumi tumpuan yang lebih kepada pemahaman tentang nilai-nilai perpaduan dan hubungan baik sesama insan.

Pada asasnya nilai bagi Pendidikan Islam merujuk kepada nilai paling utama (supreme values) yang sifatnya tauhidik. Nilai tauhid ini merentasi asas ibadah dan syariah supaya terbangun pekerti teladan yang baik. Pelajar yang insaf-ketuhanan (God-conciousness) akan sentiasa terpedoman dan tidak terkeluar dalam landasan yang bercanggah dengan aqidah, ibadah dan syariah.

Bagi pelajar bukan Islam nilai-nilai interaktif (interactive values) yang diambil daripada sumber agama, budaya, falsafah dan tradisi yang sifatnya sejagat perlu dipupuk supaya ia memberikan pedoman terhadap amalan moral dan etika yang baik.

Nilai yang telah dipelajari akan diamalkan dalam kehidupan harian yang sepatutnya menghasilkan tingkah laku sivik, seperti peningkatan dalam aktiviti sukarela, penerimaan individu berlainan bangsa, agama dan etnik, menghindari perbuatan rasuah dan jenayah serta menunjukkan tingkah laku amanah dan berintegriti.

Selain itu, setiap murid yang tamat persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri dan keluarga mereka atau sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih besar serta negara.

Isu nilai ini mempunyai kaitan rapat dengan contoh teladan yang dimiliki oleh penjaga dan pendidik. Di rumah ibu bapa menjadi sumber teladan yang menghasilkan nilai kepada anak-anak dan di sekolah guru menjadi sumber ikutan bila melakukan
pengajaran dan pendidikan.

Satu hal yang penting dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran ialah kesan penghayatan. Pendidikan bukan sekadar suatu proses memindahkan maklumat, ilmu dan kemahiran tetapi ianya adalah suatu proses transformasi insan.

Justeru ilmu yang benar dan bermanfaat dan terkandung nilai dan etika yang tinggi bakal menyuburkan akal budi insan. Maklumat yang sifatnya mekanistik dan bebas nilai (value free) mungkin berguna untuk keperluan tertentu tetapi tidak menjadi pedoman untuk membentuk watak manusia yang mendukung nilai-nilai luhur.

Sebab itu corak kehidupan yang pragmatik tanpa nilai boleh menyebabkan anarki terjadi. Meraikan realiti tanpa idealisme tinggi boleh menyebabkan kehidupan hilang arah dan celaru. Nilai agama dan moral menjadi batasan menentukan sesuatu tindakan atau sebaliknya.

Bagi masyarakat Islam nilai tauhidik menjadi nilai paling utama (supreme values) kerana ada asas kesatuan di dalamnya. Keyakinan terhadap Pencipta dan hubungannya dengan alam dan kehidupan sifatnya saling berhubung dan tidak boleh dipisahkan.

Bila hal ini difahami manusia memiliki jiwa ruku dan sujud yang membawa kepada sifat kehambaan yang tinggi dan menyebabkan manusia memiliki sifat taat, patuh, akur dan tunduk. Inilah juga gambaran sunnatullah di mana semua faktor alamiah tunduk atas ketentuan Pencipta.

Hal yang sama nilai-nilai interaktif menjadi landasan hubungan manusia sesama manusia atas pertimbangan nilai dan etika supaya ada keserasian nilai-nilai sejagat dengan nilai-nilai yang lain dan sifatnya tidak bercanggah tetapi melengkapi.

Inilah asas litaarrafu iaitu kekenalan dan kesalingan yang terungkap dalam al-Quran (al Hujurat:13) dalam erti kata yang luas supaya wujud manfaat berbanding antara agama, falsafah, budaya dan tradisi yang sifatnya saling mengukuhkan pegangan diri yang coraknya tidak indoktrinatif atau bercanggah.

Nilai amanah, adil, telus dan telus umpamanya adalah nilai-nilai agama, falsafah dan budaya. Ianya bersifat sejagat. Sekiranya nilai ini menjadi sumber amalan ia bakal menghasilkan persefahaman yang tinggi dan manusia dididik untuk mengamalkan persamaan dan bertolak ansur mengenai perbezaan dan menghormati orang lain.

(Sinar Harian, 28 November 2013)

Wednesday, November 27, 2013

Media sosial jana pendapatan




Lebih mudah promosi dengan internet


Penggunaan internet sebagai penjana pendapatan mula mendapat perhatian di peringkat negara. Usahawan yang menjual rumpai laut di Sabah mampu menarik pelanggan dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun melalui Youtube, Facebook, Twitter dan Instagram kerana konsep berniaga dan mencari pasaran telah berubah.

Perubahan ini disebabkan minda masyarakat peniaga dan pembeli telah berubah dan menolak pendekatan tradisional secara beransur-ansur. Tokoh Anugerah Nobel, Muhammad Yunus pernah berkata iaitu corak pemikiran seseorang menentukan tindak-tanduknya dan jika dia bersedia menerima pembaharuan dan pembangunan, ia pasti boleh dilaksanakan. Seseorang juga tidak boleh statik atau beku dengan pemikiran tradisional kerana tentu sukar menerima kemajuan.

Dalam konteks negara, Malaysia memberi peluang yang banyak kepada generasi muda khususnya untuk membuka minda meneroka bidang-bidang baru yang dapat menjana pendapatan dan mengurangkan pengangguran. Justeru dari semasa ke semasa ita dapat melihat anak-anak muda yang baru menamatkan pengajian di universiti telah menunjukkan ciptaan yang kreatif dan inovatif bagi melahirkan produk baru atau pasaran baru.

Media sosial telah menggerakkan banyak perubahan positif dalam masyarakat. Generasi muda hari ini tidak kekok menggunakan telefon pintar atau tablet sesentuh malahan kanak-kanak dua atau tiga tahun sudah dibiasakan dengan gajet ini. Terdapat kajian yang merumuskan bahawa generasi baru era ini lebih dinamik dan berfikiran positif serta berani membuat perubahan supaya beredar daripada takuk lama.

Masalah pengangguran yang menjadi perencat kepada ekonomi negara boleh diatasi melalui galakan perniagaan melalui media sosial. Galakan ini merangkumi bantuan kewangan, kepakaran teknikal dan bimbingan keusahawanan supaya mereka yang terlibat dalam industri ini dapat mengembangkan perniagaan walaupun dengan modal kecil. Kerajaan boleh menggerakkan bantuan dana supaya penerokaan bidang baru dapat dilakukan. Institusi pengajian tinggi boleh menyediakan tenaga pakar dalam pelbagai bidang di samping sebagai sebahagian daripada khidmat kepada komuniti.

Kepentingan media sosial sebagai sumber pendapatan masih boleh ditingkatkan di negara ini. Promosi dan bantuan yang bersesuaian khususnya kepada pelajar di insitusi pengajian tinggi perlu dilakukan secara tersusun supaya mereka berminat menjadi usahawan dan membantu mengurangkan pengangguran di samping meningkatkan aktiviti ekonomi negara.

Tuesday, November 26, 2013

7 panduan realisasi agenda perpaduan





Aras perpaduan kaum boleh dikaji

Datuk Seri Najib Razak menggariskan tujuh panduan yang perlu patuhi bagi menjayakan agenda perpaduan nasional rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, paling utama ialah menjadikan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan pemimpin terdahulu sebagai panduan, selain tidak melakukan perkara yang boleh mencabar undang-undang tertinggi negara. 
 

Panduan lain yang perlu dijadikan asas ialah keamanan dan keharmonian negara, Rukun Negara dan gagasan 1Malaysia.

Jadi landasan

Dalam soal keamanan dan keharmonian negara, kerajaan memberi sepenuh komitmen. Apa pun kita lakukan mestilah berlandaskan kepada peruntukan Perlembagaan.

Sebarang percubaan untuk mencari keputusan yang melanggar prinsip Perlembagaan pasti akan mengundang permasalahan besar kepada kita.

Rukun Negara juga dijadikan panduan kepada kita walaupun wujud sekian lama tetapi sampai sekarang masih relevan.


Jangan apa yang kita lakukan menyakiti orang lain dan jangan orang lain pula menyakiti kita. Kalau kita boleh terima perkara ini, selamatlah kita, katanya ketika pelancaran Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN), di sini, semalam.

Ketepi lensa kaum, agama

Beliau berkata, jika tujuh panduan itu dapat dihayati dan dipatuhi, kemuncak pembangunan negara boleh dicapai apabila rakyat tidak lagi melihat satu sama lain melalui lensa agama atau kaum.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyerahkan watikah Ahli Majlis MKPN, antaranya Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa; aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir dan personaliti televisyen, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot.

MPKN diberi masa enam bulan untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung agenda penyatuan nasional dan ia akan dibincang oleh Kabinet sebelum membuat sebarang keputusan.


(Berita Harian, 27 November 2013)

Monday, November 25, 2013

Unstoppable






Penulis: Nick Vujicic
Tahun: 2012
Penerbit: WaterBrook Press, Colorado, Amerika Syarikat.
Muka Surat: 240


Nick Vujicic merupakan seorang penceramah motivasi, pendakwah, penulis dan pengarah kepada pertubuhan bukan kerajaan Life Without Limbs. Nick menjadi sumber inspirasi yang hebat kepada ramai orang di seluruh dunia, berucap di khalayak tentang menghadapi cabaran dan mencapai impian hidup.

Beliau tinggal agak lama di Australia namun kini menjalani kehidupan di Selatan California bersama isteri, Kanae. Jutaan orang seluruh dunia mengenali Nick melalui senyumannya dan mesej-mesej motivasi yag disampaikan.

Di sebalik kelahiran tanpa lengan atau kaki, cabaran hidup Nick yang dilalui tidak pernah menghalangnya untuk merasai nikmat hidup sepertimana orang normal lain, mendapat kerjaya yang sesuai dan juga merasai nikmat bercinta.

Nick menghadapi semua ujian dan kesusahan hidup dengan memberi tumpuan kepada kenyataan bahawa dirinya diciptakan dengan keunikan untuk tujuan tertentu iaitu hidupnya ada nilai dan merupakan hadiah kepada orang ramai. Biar apa pun kekecewaan dan masa-masa sukar dalam hidup, Tuhan sentiasa bersama.

Dalam buku Unstoppable ini, Nick berkongsi pelbagai cabaran dan kesusahan hidup merangkumi krisis peribadi, perhubungan, cabaran kerja dan kerjaya serta keprihatinan terhadap kesihatan dan kecacatan.

Melalui kisah sebenar kehidupannya dan pengalaman pelbagai orang, Nick menerangkan bagaimana kita dapat memberi reaksi kepada pelbagai isu di atas.

Memiliki buku ini memberi inspirasi kepada kita untuk menghadapi isu-isu peribadi yang mungkin tidak dapat difahami oleh orang lain, yang tidak difahami oleh isteri, rakan-rakan, ketua ataupun kejiranan.


 

Thursday, November 21, 2013

PPPM: Kemahiran berbahasa




Kemahiran bahasa boleh dipupuk sejak kecil


oleh Sidek Baba

Bahasa adalah medium pengajaran dan pembelajaran. Kurikulum tidak boleh disampaikan tanpa kemahiran berbahasa dan kefahaman tidak akan berlaku tanpa murid-murid menguasai bahasa dengan baik.

Anjakan kedua memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan.

Pendekatan memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah strategi yang dirancang dengan baik supaya kedua-dua bahasa itu menjadi medium menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Bahasa mempunyai kaitan dengan ilmu supaya sifat bahasa itu memiliki kebakuan dalam istilah dan sebutan tetapi terkandung isi yang mampu mengangkat martabat insan.

Bahasa dalam status tinggi mengungkapkan nilai-nilai falsafah, kemanusiaan dan saintifik supaya ia terus hidup dan berfungsi untuk menyuburkan pemikiran dan amalan.

Sebab itu bahasa yang mati dan terpinggir sebagai bahasa basahan dan sukuan tidak mampu mengungkap ide-ide besar yang sifatnya sezaman, melainkan bahasa itu diaplikasi dalam sistem pendidikan di setiap tahap dan sentiasa terbuka untuk menerima pengaruh dari sumber-sumber lain.

Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua yang penting untuk memanfaatkan perkembangan global terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Telah terbukti pendekatan memartabatkan bahasa Melayu di setiap tahap pendidikan negara menghasilkan ribuan graduan yang berkualiti dan mampu ke luar negara mempelajari ilmu yang bersifat kepakaran.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu harus dimartabatkan penggunaannya di setiap peringkat supaya asas fundamental bagi Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan (Perkara 152) tidak sahaja menjadi bahasa komunikasi untuk hubungan sosial yang lebih baik tetapi menjadi bahasa ilmu dan rujukan untuk kemajuan negara.

Menjelang 2016, Kementerian Pelajaran akan menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Tambahan penyediaan mata pelajaran bahasa lain di semua sekolah rendah dan menengah akan diperkukuh supaya setiap murid berpeluang mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025.

Dalam tradisi Islam tidak ada apa yang dikatakan linguistic chauvinisme atau kefanatikan berbahasa. Lebih banyak bahasa yang dikuasai secara jangka panjang adalah lebih baik kerana ruang untuk ilmu pengetahuan berkembang adalah bertambah baik.


Ilmuwan Islam seperti Ibn Sina, Al Biruni, Al Khawarizmi, Abu Qasim az Zahrawi dan ramai lagi menguasai berpuluh-puluh bahasa dan menjadikan mereka ilmuwan tersohor dalam bidang masing-masing.

Literasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diperkasa dan murid yang ketinggalan akan mengikuti kelas pemulihan sehingga mereka dapat mengikuti kurikulum aliran perdana. Guru yang mengajar murid lemah ini akan menerima bimbingan khusus daripada pembimbing guru peringkat daerah.


(Sinar Harian, 21 November 2013)

Tuesday, November 19, 2013

Penyatupaduan kaum perkasa ketahanan nasional





Perkukuh kefahaman agama elak perpecahan
 


Minggu lalu berlangsung Kongres Profesor Negara yang Kedua yang mana tema utamanya ialah gagasan penyatupaduan nasional. Wujud kebimbangan cerdik pandai tanah air bahawa isu perpaduan nasional khususnya selepas tamatnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 
 

Pada sebelum dan selepas PRU-13 lalu, kita dapati banyak isu sensitif perkauman dan agama dibangkitkan secara terbuka di ruang awam khususnya media massa. Rakyat Malaysia pelbagai kaum memperdebatkan isu itu secara terbuka juga melalui media baru seperti Facebook dan Twitter yang dilihat boleh menjejaskan hubungan antara dan sesama kaum itu sendiri.


Perdebatan, misalnya berkenaan isu mempergunakan kalimah Allah, Syiah, rumah ibadat dan hak asasi manusia sekiranya tidak ditangani secara rasional boleh menjejaskan hubungan keharmonian dalam negara.

Akibat perbalahan politik

Malah, perbalahan politik negara antara kerajaan dan pembangkang masih tidak kunjung padam pada pasca PRU-13 ini. Tidak salah perdebatan ini membawa kepada bentuk dasar negara yang konstruktif demi kebaikan umum kepada negara. Namun, sekiranya perdebatan ini membawa kepada kelemahan kepada daya ketahanan negara, ini sudah pasti akan menjejaskan kewibawaan negara nanti.

Isu luar negara seperti pengintipan Amerika Syarikat dan Australia terhadap Malaysia perlu ditangani semua pihak kerana ia membabitkan kedaulatan negara yang dicabuli oleh pihak luar.

Kepentingan kepada perpaduan nasional digarap dengan menarik sekali oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika menyampaikan titah ucapan pada Kongres Profesor Negara Kedua, Ahad lalu. Baginda menyatakan bahawa dinamik politik yang sedang berlaku hendaklah dijadikan cerminan kepada usia negara yang menjangkau umur 56 tahun sejak merdeka pada 1957. Maka, masyarakat majmuk yang wujud memerlukan kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi dalam menentukan kelangsungan negara pada masa hadapan.

Raja Nazrin dengan indah sekali berhujah bahawa ‘subjek penyatupaduan nasional, kini begitu terapung di laut fikir, menggerak lidah ke tasik kata. Penyatupaduan nasional ketika ini bagaikan rangkai kata yang kalut berlegar di minda warga, semakin diperkatakan, semakin dijadikan subjek perbualan, semakin dijadikan tema seminar - tema diskusi.

“Penyatupaduan nasional pada hakikatnya adalah satu kemestian bagi sesebuah negara demi memastikan kelangsungan hayat sesebuah negara, seperti perlunya kehadiran oksigen di atmosfera untuk meneruskan talian hayat, kehadirannya diambil secara lewa, tetapi ketiadaannya akan menyemputkan nafas.”

Pelbagai cabaran menunggu

Kita tahu bahawa cabaran besar sedang menghadapi negara pada masa hadapan. Di dalam Kongres Profesor Negara Kedua itu menggariskan lima cabaran atau gagasan yang perlu diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan dalam usaha ke arah penyatuan nasional iaitu mewujudkan konsep penyatupaduan nasional yang sebenar dan terkini, penekanan kepada keadilan sosioekonomi, pemantapan sains dan pendidikan, pengukuhan jati diri dan patriotisme serta keteguhan menghadapi globalisasi melalui ketahanan nasional.

Cabaran yang terakhir iaitu globalisasi dan ketahanan nasional dilihat amat penting masa kini.

Kita tahu bahawa kemenangan Vietnam di dalam perangnya dengan Perancis dan Amerika Syarikat pada abad ke-20 lalu bukan disebabkan kekuatan ketenteraan Vietnam, tetapi kekuatan ketahanan nasional rakyatnya yang kukuh mempertahankan maruah dan jati diri negara daripada dicabuli oleh bangsa asing.

Adakah rakyat Malaysia sudah bersedia mempertahankan negara sekiranya negara dicabuli atau diceroboh oleh pihak luar? Kekukuhan dan ketahanan negara menghadapi anasir luar adalah bergantung kepada perpaduan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia untuk sama-sama menentang anasir luar itu.

Kejutan melalui pencerobohan Sulu pada awal tahun ini sudah membuatkan rakyat Malaysia tersentak kerana tidak menyangkakan yang kedaulatan Malaysia akan dicabuli pada masa itu. Isu jenayah antarabangsa melangkaui sempadan dan pemerdagangan manusia, selain jenayah bersenjata di dalam negara menjadikan unsur ketahanan negara sebagai keperluan mendesak untuk diterapkan di dalam minda rakyat Malaysia.

Malah, proses globalisasi yang datang bersamanya pengaruh ekonomi dan perdagangan dominasi kapitalisme, penyebaran ideologi khususnya liberalisme dan extremisme melalui media baru internet dan penyebaran budaya luar yang kuat dari Hollywood, Bollywood dan K-Pop menjadikan kita bimbang identiti dan ketahanan jati diri dalam negara.

Apa yang pasti, Malaysia sudah membuktikan melalui sejarah bahawa perpaduan nasional boleh wujud. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui ucapan beliau di kongres yang sama juga menegaskan bahawa konsep ‘1Malaysia’ sebenarnya merujuk kepada matlamat penyatupaduan nasional yang juga agenda kesinambungan pemimpin terdahulu. Meskipun agenda kepelbagaian budaya dalam negara masih tidak sempurna, perbalahan dan peperangan antara kaum seperti yang berlaku di Sri Lanka, Rwanda dan Bosnia Herzegovina dapat dihindari.

Maka, jaminan kepada perpaduan nasional ialah ketahanan nasional pemimpin dan rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran dan dugaan dalam memastikan kemakmuran negara terpelihara.

Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia 

 
(Berita Harian, 19 November 2013)


Monday, November 18, 2013

Solat Rasulullah



Susunan: Mustaffa Suhaimi
Tahun: 2002
Penerbit: Progressive Publishing House Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Malaysia
Muka Surat: 163


Sembahyang atau solat adalah ibadah yang paling penting dalam Islam. Setiap orang mukmin baik kanak-kanak atau orang dewasa wajib menunaikannya. Namun ramai juga orang mukmin masih kurang mendapat panduan yang betul dalam ibadat solat mereka.

Buku panduan solat ini disusun berdasarkan hadis Rasulullah saw yang diamalkan oleh para sahabat dan disahkan oleh para ulama mujtahidin dalam kitab-kitab mu'tabar mereka.

Setiap orang mukmin wajib mempelajari kaedah solat yang betul seperti yang dikerjakan oleh Rasulullah kerana baginda telah bersabda,

"Solatlah seperti kamu lihat aku solat".

Justeru tajuk buku ini diberi nama Solat Rasulullah.

Isi kandungan buku ini dibahagikan kepada dua iaitu solat Rasulullah dan Himpunan Solat Sunnat di mana kedua-dua tajuk ini sangat penting dibaca dan dipelajari oleh setiap orang mukmin kerana kedua-duanya dapat memimpin ke arah ibadat yang sempurna.