Wednesday, August 08, 2012

Kerajaan tanggung 90 peratus belanja pendidikan tinggi




Kos pendidikan semakin meningkat setiap tahun

Kerajaan menanggung 90 peratus daripada kos pengajian tinggi rakyat negara ini, sekali gus menjadikan Malaysia satu-satunya negara yang menyediakan peruntukan besar untuk kos pendidikan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata subsidi itu meliputi pengajian di dalam dan luar negara. 

"Sebenarnya, pelajar di peringkat pengajian tinggi hanya menanggung kos sebanyak 10 peratus saja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Wang Pendahuluan Pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 832 pelajar kawasan Parlimen Temerloh, di sini. 

Beliau berkata, komitmen itu menunjukkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional bersungguh-sungguh untuk memajukan bidang pendidikan bagi melahirkan lebih ramai rakyat berilmu untuk mewarisi kepimpinan negara.

"Menerusi PTPTN misalnya, kerajaan memberikan pinjaman pendidikan dan biasiswa kepada kira kira 1.94 juta pelajar pelbagai kaum membabitkan peruntukan lebih RM44 billion setakat ini," katanya.

- BERNAMA  (Berita Harian, 8 Ogos 2012)

 

Tuesday, August 07, 2012

Gunakan peluang yang ada




Masa muda untuk belajar bersungguh-sungguh


Peluang tidak selalu datang. Jika kita hendak berjaya, gunakan setiap kesempatan yang ada di hadapan kita.

Inilah kaedah terbaik yang mampu membawa seseorang ke mercu kejayaan hidup. Peluang berharga mesti disedari supaya dapat dimanfaatkan.

Contohnya kita ada peluang belajar di sekolah. Inilah kesempatan terbaik untuk membina masa hadapan yang lebih baik.

Pendidikan telah banyak membantu orang yang miskin keluar daripada kemiskinan, membantu orang susah menjadi senang dan membantu orang yang biasa-biasa menjadi luar biasa.

Apatah lagi pendidikan di negara kita sangat diambil berat oleh ibu bapa, masyarakat dan kerajaan sendiri. Kita boleh pilih sama ada mahu belajar ataupun tidak.

Peluang seperti ini mesti diambil sebaik-baiknya.


Monday, August 06, 2012

Nilai dan kepercayaan terhadap kemiskinan







Nilai dan kepercayaan tentang kemiskinan mempengaruhi kaedah yang dipilih untuk mencegah kemiskinan. Idea kepercayaan ini dapat dikelompokkan dalam tujuh kategori iaitu pengajaran agama tentang kebajikan, kemiskinan adalah jenayah, kemiskinan sebagai motivasi hidup, pendekatan modal insan, budaya kemiskinan, peluang-peluang yang terhalang dan miskin selama-lamanya. 

Pengajaran agama tentang kebajikan

Kebajikan menjadi sebahagian daripada topik penting dalam ajaran agama-agama di dunia. Buddhisme mengajar bahawa “emancipation of the art through love and charity” adalah lebih baik daripada menjadi warak. Dalam Islam, kebajikan adalah kerana Allah dan tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Agama Yahudi melihat orang miskin wajar menerima keadilan iaitu orang miskin ada hak untuk menerima kebajikan. Manakala dalam Kristian, mengambil berat hal ehwal orang miskin adalah berkaitan dengan keadilan dan kebajikan. 

Pendekatan agama dalam kemiskinan tidak cuba menerangkan kenapa sesetengah orang miskin dan sesetengahnya tidak miskin. Kemiskinan dilihat sebagai keadaan masyarakat keseluruhan bagi menawarkan peluang dan melaksanakan kebajikan dalam pelbagai bentuk. Pandangan ini amat bertentangan dengan pendekatan yang melihat kemiskinan sebagai jenayah.

Kemiskinan adalah jenayah

Tindak balas yang lebih keras terhadap kemiskinan adalah kepercayaan bahawa sebahagian daripada orang miskin adalah pemalas dan perlu dihukum untuk mengatasi masalah hidup mereka. Kumpulan miskin yang dimaksudkan ini ialah individu yang sihat tetapi tidak mahu bekerja. Salah satu pendapat Alexis de Tocqueville selepas melawat Amerika Syarikat sebagai sebuah sebuah negara baru ialah terdapat hanya satu jenayah di negara itu iaitu menjadi miskin. Di England, pada abad ke-16, individu yang sihat tetapi menjadi peminta sedekah dikenakan hukuman sebat. 

Pendekatan moden terhadap orang miskin jarang sekali bersifat demikian. Orang miskin hari ini tidak lagi disebat tetapi dimalukan dan dipisahkan seperti tindakan pejabat kebajikan New York dalam notis di pintu pejabat: “Tidak kira pukul berapa temu janji anda, jika anda tidak berada di sini ada pukul 8.30 pagi, anda tidak akan dilayan.”

Kemiskinan sebagai motivasi

Sesetengah pihak berpendapat tidak ada kemiskinan individu sebaliknya kemiskinan di peringkat keluarga, komuniti dan negara keseluruhannya. Namun, individu tidak dibiarkan menghadapi saat-saat miskin seorang diri dan tidak pula diasing dan dibeza-bezakan. Konsep kemiskinan sebagai satu bentuk motivasi sangat diberi perhatian dalam ekonomi kapitalis kerana mereka perlukan kelompok miskin untuk memenuhi pasaran buruh. Kuat bekerja dan ada sifat malu dikaitkan dengan pengangguran adalah faktor pendorong yang membuatkan pekerja sanggup menerima gaji yang lebih rendah dan bersedia untuk bekerja dalam suasana kurang selesa. 

Pendekatan modal insan 

Sesetengah pihak pula menghuraikan dengan panjang lebar bahawa kemiskinan amat akrab dengan kemahiran, pendidikan dan pengalaman ataupun diistilahkan sebagai “modal insan” yang dibawa oleh seseorang ke dalam pasaran kerja. Menurut pandangan ini, orang miskin adalah mereka yang tidak punya atau tidak cukup kemahiran dan pengalaman kerja. Kedua-duanya iaitu individu atau komuniti tidak bertanggungjawab terhadap kemiskinan.

Dengan kepesatan perubahan teknologi, pekerja perlu sentiasa mengembangkan kemahiran-kemahiran baru, jika tidak, mereka tidak dapat bersaing dalam pasaran kerja dan kebarangkalian untuk dibuang kerja sentiasa ada. Seterusnya, pekerja ini mendapat gaji yang rendah dan dikatakan “dead end” iaitu tidak mendapat pendidikan atau latihan kemahiran yang boleh mendorong ke arah mendapat kerja yang lebih baik. 

Pengukuran tahap pendidikan dengan kadar kemiskinan seringkali menjadi perhatian. Jelas, orang yang berpendidikan tinggi menikmati risiko yang amat rendah untuk menjadi miskin. Satu cara yang popular untuk menguragkan kemiskinan melalui konsep ini ialah intervensi yang dikaitkan dengan latihan dan pendidikan kepada kelompok miskin. Pendekatan ini sangat berkesan dalam negara yang sedang berkembang maju khususnya negara dunia ketiga yang masih berusaha menyediakan peluang pendidikan kepada rakyat masing-masing.

Budaya kemiskinan 

Istilah budaya kemiskinan telah dicetuskan oleh Oscar Lewis, seorang pengkaji yang membuat kajian ke atas keluarga miskin di Mexico dan Puerto Rico. Baginya, budaya kemiskinan ialah penyesuaian dan tindak balas orang miskin terhadap peminggiran hidup dalam kelas sosial komuniti, bersifat individu dan cenderung kepada ekonomi kapitalis. Ia mewakili suatu usaha yang dicakupi oleh sifat tidak ada harapan dan kecewa yang terbina daripada keadaan tidak berupaya mencapai kejayaan mengikut nilai dan matlamat komuniti yang lebih besar. 

Budaya kemiskinan dilihat sebagai set nilai yang muncul dalam konteks tidak ada harapan. Nilai-nilai ini merangkumi orientasi masa kini yang nampaknya perlu diberi perhatian dalam jangka masa panjang. Pandangan ini melihat kemiskinan disebabkan oleh sifat malas, persepsi hidup yang singkat dan tidak ada kegembiraan. Tingkah laku miskin yang ditunjukkan adalah penyesuaian terhadap kehidupan yang turun-temurun dalam kemiskinan.

Antara tingkah laku ini penagihan dadah, hamil di luar nikah dalam kalangan remaja, jenayah dan kegagalan rumah tangga. Mangsa kemiskinan tidak dapat menggunakan peluang yang ada disebabkan oleh tidak mampu lagi membaiki kerosakan dalam budaya hidup mereka. Keinginan untuk merancang masa depan hampir tidak ada kerana nilai-nilai tadi telah mempengaruhi pemikiran mereka. Jalan keluar kepada budaya ini ialah pendidikan kepada generasi muda dan mengajar kanak-kanak tentang nilai-nilai baru yang lebih baik. 

Halangan peluang 

Teori ini muncul pada abad ke-21 yang memberi tumpuan kepada halangan-halangan struktur yang menyekat individu daripada mendapat pendidikan dan pekerjaan untuk memperoleh pendapatan. Konsep ini melihat terdapat diskriminasi institusi berasaskan gender, bangsa atau ciri-ciri lain yang menghalang kepada pencapaian pendapatan yang meningkatkan risiko kemiskinan. 

Antara anggapan ini ialah ketua ini rumah wanita lebih banyak halangannya berbanding lelaki, bangsa selain Caucasians lebih miskin, orang kurang upaya cenderung berpendapatan kurang dan kanak-kanak yang membesar tanpa cukup pemakanan menghadapi kemungkinan miskin adalah lebih besar. 

Miskin selama-lamanya 

Idea ini tidak unik dalam abad ke-20. Di bawah konsep ini, sistem kebajikan mewujudkan “pauper” atau orang miskin selama-lamanya iaitu kepercayaan bahawa kebajikan tidak melenyapkan kemiskinan tetapi menyebabkan kemiskinan dengan membentuk sikap bergantung kepada sistem yang memusnahkan keinginan untuk bekerja. 

Ancaman besar kepada dasar kemiskinan ialah hubungan yang sangat rapat antara nilai dan kepercayaan serta kerangka intervensi untuk mencegah atau menghalang kemiskinan. Apabila kemiskinan dilihat sebagai peluang untuk lebih ramai merasai keselesaan hidup, kebajikan dilihat dengan pandangan terbuka. Apabila kemiskinan dilihat sebagai satu jenayah, tindak balasnya ialah hukuman. Jika kemiskinan adalah sebagai motivasi yang mendorong kepada pekerjaan, ia satu tindakan sangat penting.

Jika kemiskinan adalah hasil daripada pengehadan kepada sumber manusia, jawapannya adalah pendidikan dan latihan kepada orang miskin. Jika wujud budaya kemiskinan, nilai dan kepercayaan dalam diri kanak-kanak  dan orang dewasa dengan pendapatan rendah mesti diubah. Jika kemiskinan adalah hasil daripada peluang yang terhad, mendapat kesaksaman peluang dapat meleraikan masalah ini. Jika kemiskinan disebabkan oleh kebajikan, jadi, dasar sosial harus mengurangkan penderitan orang miskin.   


Sunday, August 05, 2012

Bekerja sambil senyum





Hati senang la..la..la


"Kuat bekerja sambil tersenyum" adalah ungkapan yang menjadi inspirasi seorang pemimpin sebuah organisasi besar yang mahukan kakitangannya bekerja dengan seronok, ceria dan gembira.

Masa bekerja ada pasang dan surut. Emosi pun begitu juga.

Ada kalanya kita gembira, seronok dengan kerja lebih-lebih lagi hujung bulan. Namun ada masanya kita rasa tertekan, stres atau hilang "mood" untuk sempurnakan kerja.

Jadi, bagaimana hendak bekerja kuat sambil tersenyum ini?

Pada saya, ada masanya kita boleh senyum sepanjang hari dan ada masanya pula kita perlu serius supaya ada keseimbangan emosi. Kalau asyik senyum saja, persepsi orang lain mungkin berbeza.

Kalau bekerja di kaunter khidmat pelanggan, kenalah belajar senyum sepanjang masa.


Saturday, August 04, 2012

Cari kerja








Harga diri yang ada pada seseorang akan berubah apabila dia mendapat pekerjaan.

Orang yang bekerja tanpa mengira kerja asalkan halal, sebenarnya lebih berharga daripada orang yang tidak bekerja, bermalas-malasan atau menganggur.

Rasulullah saw sangat bangga melihat seorang pemuda yang bekerja kerana ketika usia mudanya, baginda saw sendiri pun bekerja. Tujuan yang kita idam-idamkan dalam hidup hanya tercapai dengan keluar mencari pekerjaan.

Beli telefon bimbit baru, kereta baru dan baju baru perlukan wang. Gigih bekerja akan dapat gaji, bonus, naik pangkat, penghargaan dan sebagainya.

Malas dan menganggur akan menghadiahkan penderitaan dan rendah diri. Derita kepada diri dan derita juga kepada orang lain yang melihatnya.

Bagi mereka yang masih menganggur dan enggan mencari kerja, ingatlah semakin lama kita menunggu kerja, semakin cepatlah harga diri berkurangan.

Keluar segera, dapatkan pekerjaan supaya harga diri dapat dinaikkan.


 

Friday, August 03, 2012

Dasar sosial di Malaysia








Di Malaysia, pembangunan sosial bergerak selari dengan pembangunan politik sejak 50 tahun lalu. Sejak itu, Malaysia telah melalui proses transformasi sosial yang pesat dan membanggakan. Diletakkan di bawah pemantauan kerajaan, perubahan sosial dan pembangunan telah menyerlahkan perubahan yang besar ke atas kehidupan masyarakat (Zakaria Ahmad, 2006).

Selepas beberapa tahun mendapat kemerdekaan dari Britain dalam tahun 1957, Bank Dunia menempatkan Malaysia sebagai negara berpendapatan menengah. Semenjak itu, negara ini terus menikmati kemakmuran ekonomi. Bermula sebagai negara pengeksport komoditi seperti getah, timah, minyak sawit dan petroleum, kini Malaysia meningkatkan jumlah pendapatan sehingga tujuh peratus sejak tahun 1970 hingga 2000.

Dari 2001 hingga 2010, pembangunan turun dan naik di antara empat hingga 5 peratus setahun kerana iklim ekonomi yang kurang memberangsangkan. Kesan besar peningkatan pendapatan ini ialah pengurangan kadar kemiskinan (2.5 peratus 2010) berbanding dengan separuh penduduk negara yang miskin pada 1970 (49.3 peratus).

Peningkatan per kapita penduduk yang meningkat kepada US$14,700 dalam 2010, menokok daripada US$13,900 pada 2009. Pencapaian ini menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan menengah atas, suatu keadaan yang menggambarkan pertumbuhan ekonomi yang pesat telah dialami sejak kerajaan memperkenalkan beberapa dasar yang menyokong usaha ke arah pembasmian kemiskinan dan penyusuan semula masyarakat.

Malaysia adalah sebuah negara yang meraikan masyarakat majmuk dengan penduduk Melayu dan bumiputera membentuk 66 peratus, Cina (26 peratus) dan India (8 peratus).Bagaimanapun, rusuhan kaum yang paling buruk dalam sejarah negara ini telah mengubah strategi dan pendekatan kerajaan untuk memakmurkan ekonomi.

Dalam tindakan pantas dan tegas, kerajaan telah merumuskan bahawa dasar ekonomi dan sosial harus mengambil kira pendapatan setiap kaum dan mengagihkan kekayaan yang sama rata kepada semua rakyat. Usaha-usaha yang berterusan selepas itu telah berjaya membendung jurang perbezaan pendapatan yang ketara dan peningkatan ekuiti Melayu dan bumiputera dapat digandakan.

Ketika merdeka, Malaysia mempunyai jumlah penduduk sebanyak 7.4 juta namun pertambahan penduduk semakin pesat sehingga mencecah 27.6 juta orang pada 2010. Peningkatan penduduk bumiputera lebih besar kerana kadar kesuburan kelompok itu lebih tinggi.

Sebelum 1957, kegiatan utama ekonomi rakyat ialah penanaman getah dan pengeluaran timah. Perusahaan lain ialah industri berskala kecil dan sebahagian besarnya berasaskan keluarga. Kerajaan menggalakkan kepelbagaian ekonomi dengan memberi perhatian kepada sektor industri dan perkhidmatan yang memberi pendapatan lebih besar dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

Perbandaran yang pesat telah menggalakkan pembukaan kawasan perumahan dan bandar-bandar baru. Pada 2005, dianggarkan sebanyak 63 peratus penduduk negara ini tinggal di kawasan bandar berbanding hanya satu perempat dalam 1957. Walaupun penghijrahan ke bandar lebih pesat pada hari ini, dari segi sejarahnya, masyarakat Melayu dan bumiputera masih dianggap sebagai penduduk luar bandar, manakala kaum Cina lebih ramai di bandar.

Sejak 1970, Malaysia telah merangka strategi pembangunan ekonomi kepada tiga fasa pembangunan jangka panjang iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970–90, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) 1990–2000 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) 2001‐10.

Walaupun penekanan dalam dasar pembangunan jangka panjang ini mempunyai impak ke atas pertumbuhan ekonomi, pembangunan yang dirancang itu telah memberi manfaat kepada semua kaum dan dilihat adil dalam agihan kekayaan ekonomi. Objektif DEB terus dibawa dalam dua dasar seterusnya dengan usaha pembasmian kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Selepas merdeka, pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dibahagikan kepada empat peringkat.

Pertama, dari 1957 hingga 1970, iaitu meneruskan tradisi sebagai pengeluar getah dan timah. Pembangunan pada ketika ini lebih menekankan kepada pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Rancangan Malaya Pertama hingga Rancangan Malaysia Pertama menggariskan aspirasi nasional iaitu meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, mewujudkan lebh banyak peluang pekerjaan, mempelbagaikan perusahaan serta memperbanyakkan kemudahan infrastruktur dan sosial.

Dasar perancangan di peringkat ini ialah menggalakkan penyertaan rakyat di luar bandar dalam program pembangunan kerajaan. Rancangan kerajaan pada ketika ini juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui perkembangan sektor industri domestik diharap dapat melimpahkan ruang untuk orang miskin turut serta dalam ekonomi negara.

Kedua, dari 1971 hingga 1990 iaitu langkah menstrukturkan semula ekonomi dan dianggap sebagai permulaan pembangunan dalam sejarah malaysia moden. Ketika ini diperkenalkan Rancangan Malaysia Kedua. Kepincangan dasar kerajaan yang sebelum ini telah dikaji dan diberi nafas baru melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang menekankan aspek kemiskinan dan usaha untuk penyusunan masyarakat. Sepanjang tempoh ini, Rancangan Malaysia Kedua,

Ketiga, Keempat dan Kelima telah mempunyai matlamat yang konsisten iaitu ke atah pembasmian kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Ini dicapai melalui rancangan yang lebih giat dalam pembangunan pertanian dan pembangunan luar bandar, penggemblengan sumber manusia secara lebih berkesan dan pengagihan kemudahan pembangunan secara sama rata antara wilayah dan strata penduduk.

Dasar baru dalam era ini menekankan elemen-elemen, 1) pembangunan luar bandar yang lebih intensif, 2) penyertaan rakyat dalam perancangan dan pembangunan, 3) peluang kemudahan pelajaran, kesihatan, perumahan yang sama rata, 4) peluang pekerjaan ditingkatkan dalam sektor swasta dan kerajaan, 5) kewujudan agensi berasaskan komoditi, penerima dan wilayah dengan kumpulan sasar yang telah ditetapkan, dan 6) peningkatan pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan dan perindustrian. 

Ketiga, dari tahun 1991 hingga 2010 iaitu fasa pertumbuhan yang sukar kerana berlakunya krisis kewangan Asia pengenalan kawalan pertukaran mata wang. Peringkat ini juga dianggap sebagai tempoh persediaan untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Iklim ekonomi global dilihat mengganggu rentak Malaysia ke arah status negara maju tersebut.

Pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) Kedua iaitu Dasar Pembangunan Nasional telah digubal untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 dan ianya adalah susulan daripada RRJP Pertama iaitu Dasar Ekonomi Baru yang lebih menjurus kepada matlamat untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi menghapuskan fungsi ekonomi mengikut kaum.

DEB berakhir pada tahun 1990. Ia digantikan dengan DPN. DPN sebenarnya adalah DEB dalam bentuk yang baru iaitu ia telah digubal dengan iktibar DEB. DPN dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun seperti yang direncanakan dalam RRJP2 (1991-2000). Ia merupakan satu pertiga daripada wawasan 2020 (1991-2020) yang sebenarnya mencakupi Rancangan Malaysia Ke-6 hingga Rancangan Malaysia Ke-11.

Keempat, pengenalan Penekanan pembangunan abad ke 21 ini diteruskan dalam Rancangan Rangka Jangka Panjang RRJP ketiga meliputi tahun 2001-2010. RRJP 3 merangkumi Dasar Pembangunan Nasional yang telah menggariskan beberapa strategi untuk membawa Malaysia ke arah negara maju pada abad ke 21.

Ia di bantu oleh Rancangan Malaysia Kelapan RMK 8 dengan matlamat mencapai objektif DPN ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan dan teguh disertai dengan pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu dan saksama menikmati pembangunan. Rangka kerja RMK-9 dibuat atas kesedaran untuk mencapai status negara maju berasaskan acuan dan kemampuan sendiri bagi membolehkan keupayaan bersaing di peringkat global, mengukuhkan perpaduan dan mengurangkan polarisasi kaum serta mewujudkan keseimbangan pendapatan dan kekayaan.

Mencapai Agenda Wawasan 2020 ke arah Negara Maju. Rangka kerja RMK-9 dibuat atas kesedaran untuk mencapai status negara maju berasaskan acuan dan kemampuan sendiri bagi membolehkan keupayaan bersaing di peringkat global, mengukuhkan perpaduan dan mengurangkan polarisasi kaum serta mengwujudkan keseimbangan pendapatan dan kekayaan.

Aspek penting dalam dalam RMK-9 adalah pembangunan modal insan iaitu, 1) memerlukan keupayaan dan keperibadian masyarakat, 2) tidak hanya memiliki “infrastruktur Kelas Pertama tetapi `Mentaliti Kelas Ketiga”, 3) melahirkan masyarakat `Mentaliti Kelas Pertama”, 4) menekankan kepada modal insan yang menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, nilai etika, minda yang progresif dan kesedaran budaya yang tinggi.

Lima teras Rancangan malaysia Kesembilan ialah 1) meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi (KDNK 6-6.5 setahun), 2) meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta “memupuk minda kelas pertama”, 3) menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif, 4) meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup, dan 5) mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.


Wednesday, August 01, 2012

Dasar sosial




Kebajikan warga emas diambil kira dalam dasar sosial


Dasar-dasar yang dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan dinamakan dasar awam. Dasar-dasar ini digunakan oleh kerajaan untuk menangani pelbagai isu utama yang ada impak ke atas hal ehwal sosial, ekonomi, persekitaran dan politik. Di seluruh dunia, kerajaan menggunakan pelbagai dasar untuk menyelesaikan masalah dan fungsi yang kompleks. Dasar digubal untuk mengawal undang-undang dan arahan, mempastikan keselamatan negara, mengurus pembangunan  ekonomi, melindungi alam sekitar, menggalakkan komunikasi dan mengawal kadar pertumbuhan perbandaran (Midgley dan Livermoore, 2009).
 
Dasar yang digubal untuk meningkatkan kebajikan atau kesejahteraan manusia dinamakan dasar sosial. Ia mengambil berat kebanyakan aspek kebajikan sosial seperti kesihatan, pendidikan, pendapatan, pemakanan dan sebagainya. Dasar sosial juga dirangka untuk memenuhi keperluan sekumpulan manusia seperti kanak-kanak, orang kurang upaya, keluarga berpendapatan rendah dan warga emas. Sesetengah dasar sosial dilaksanakan melalui sistem cukai dan program-program perkhidmatan sosial yang memberi manfaat kepada kelompok sasar ini.

Walaupun dasar sosial kerajaan menyumbang kepada kesejahteraan hidup komuniti dan negara, kebajikan keseluruhan tersebut tidak hanya ditentukan oleh dasar-dasar kerajaan. Banyak lagi program atau aktiviti serta penglibatan dalam komuniti yang memberi impak kepada kesejahteraan hidup seperti tahap pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan, pencapaian pendidikan, sokongan keluarga (juga rakan-rakan dan jiran), perkhidmatan yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan dan institusi agama, aktiviti masyrakat setempat, iklim ekonomi negara dan peranan agensi kerajaan. 

Bagaimanapun dasar sosial kerajaan menjadi sangat penting kerana tujuan dasar tersebut ialah meningkatkan kesejahteraan hidup dan mengurus sejumlah sumber untuk mencapai sasaran tertentu. Idea penglibatan kerajaan dalam merangka dasar sosial dengan matlamat-matlamat khusus sebenarnya masih baru iaitu ketika abad ke-21. Dalam sejarah kemanusiaan, kerajaan hanya memberi tumpuan untuk mempertahankan negara dari serangan. Hanya pada abad ke-19, kerajaan mula melihat sumber-sumber negara boleh digunakan untuk menambah baik pendidikan, menyediakan tempat tinggal, memberi subsidi dan membaiki taraf perkhidmatan kesihatan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti.

Sebelum itu, tanggungjawab ini dilakukan oleh keluarga dan komuniti setempat selain daripada institusi agama dan pertubuhan sukarela. Dalam abad ke-20, gerakan besar-besaran oleh reformis sosial, kesatuan sekerja, ahli politik dan penglibatan agensi kerajaan telah meningkatkan peranan kerajaan dalam penyediaan perkhidmatan sosial yang lebih besar. 

Oleh kerana peranan kerajaan dalam kebajikan sosial semakin meluas, perdebatan tentang dasar sosial tidak dapat disempitkan kepada program-program berbentuk kebajikan, sebaliknya perlu disertai oleh ahli akademik untuk mengkaji dasar dan program-program yang telah dilaksanakan. Antara kajian ini ialah bagaimana dasar sosial boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan sosial, perundangan, sistem cukai dan mahkamah, sejarah dasar sosial, kajian terhadap ideologi yang mempengaruhi proses pembuatan dasar sosial dan penilaian ke atas impak kebajikan sosial. 

Dasar sosial yang memberi impak positif dan menambah baik keadaan sosial dalam komuniti akan memberi lebih banyak ruang kepada kesejahteraan hidup. Secara langsung, dasar sosial menentukan aras kebajikan sosial individu atau komuniti. Kebajikan yang dimaksudkan ialah apabila keperluan-keperluan hidup dipenuhi, masalah dapat diuruskan dan peluang dimaksimumkan.

Kepentingan memenuhi keperluan hidup ialah supaya wujudnya keadaan kebajikan sosial untuk makanan, kesihatan, tempat perlindungan, keselamatan dan pekerjaan. Kepentingan mengurus masalah ialah dapat mengawal kadar jenayah dan delikuensi, penderaan, keganasan rumah tangga dan pengabaian kanak-kanak. Manakala maksud kewujudan peluang yang maksimum ialah apabila keadaan kebajikan sosial telah terbentuk, individu dan komuniti dapat memaksimumkan peluang bagi mencapai matlamat.


Tuesday, July 31, 2012

Banyak kematian dalam bulan puasa







Selepas sebelas hari kita berpuasa, kematian yang dilaporkan media boleh dikatakan berlaku setiap hari.

Ada yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya (sesuatu yang lumrah), ditembak, dipukul, bergaduh dan penyakit kronik. Namun dua kematian yang amat hiba melibatkan seorang isteri dan pekerja asing.

Pertama, media melaporkan kematian seorang kakitangan wanita syarikat media yang asalnya dikatakan membunuh diri. Punca bunuh diri adalah kerana merajuk. Pembedahan ke atas mayat menjelaskan bahawa mangsa mati kerana jerutan di leher dan suspek utama pembunuhan ialah suaminya sendiri. Pasangan ini ada seorang anak lelaki berusia dua tahun. Jarang sekali orang Melayu membunuh diri kerana merajuk kerana setidak-tidaknya sebagai anak perempuan yang ada masalah rumah tangga, keluarga sendiri biasanya akan menjadi tempat mengadu.

Dalam kes ini, suspek dilihat pandai membuat cerita sehingga pihak polis mengkelasifikasi kematian mangsa sebagai mati mengejut. Selepas pembedahan ke atas mayat, barulah pihak polis menilai kembali kes berkenaan. Baru kelmarin suspek dapat hidup bebas tetapi hari ini dia meringkuk dalam lokap kerana satu-satunya saksi kejadian adalah dirinya sendiri. Kes ini tidak sukar diselesaikan kerana suspek sudah ada dalam tahanan.

Kematian kedua melibatkan seorang pekerja asing yang meninggal dunia kerana mengalami kerosakan usus selepas perutnya dikembungkan dengan angin bertekanan tinggi. Puncanya ialah pergaduhan. Suspek membelasah mangsa sehingga lemah dan untuk menunjukkan kemarahannya, beliau menusuk hos angin ke dalam dubur mangsa dan melepaskan angin ke dalamnya. Kecederaan dalam usus menyebabkan mangsa menderita dan meninggal dunia.

Saban hari kita dihidangkan dengan kes-kes kematian yang mengerikan dan tidak pernah terfikir dalam sepuluh tahun lepas. Keadaan ini menunjukkan betapa keselamatan awam masih perlu dipantau dan diberi tumpuan. Mengatakan kadar jenayah menurun sedangkan ramai perompak, penyamun dan pencuri berkeliaran diumpamakan memperbodohkan masyarakat.

Kita ingin melihat usaha-usaha yang bersungguh-sungguh agensi penguatkuasa menggerakkan strategi dan teknik mengawal jenayah. Kenapa kadar jenayah jarangb urun mendadak sebaliknya naik mendadak? Barangkali kita perlu membuat tinjauan sejauhmanakah keberkesanan undang-undang dalam menangani jenayah yang berlaku setiap hari di negara kita.


Monday, July 30, 2012

Puasa amalan baik





Puasa membina taqwa

Berpuasa pada bulan Ramadhan adalan amalan agama yang dituntut.

Berpuasa mempunyai banyak hikmah yang memberi kebaikan kepada orang yang melaksanakannya. Selain orang Islam, terdapat juga orang bukan Islam yang cuba berpuasa beberapa hari kerana ingin merasai suasana berpuasa ini.

Seorang kenalan saya, berbangsa India dan beragama kristian menceritakan betapa isterinya bersusah-payah bangun sahur untuk berpuasa. Alasannya ialah orang gaji mereka beragama Islam dan berpuasa. Justeru bagi meraikan orang gaji ini, isterinya ikut berpuasa.

Ada juga seorang selebriti bukan Islam yang berhasrat berpuasa kerana teruja dengan semangat dan kebaikan puasa.

Di samping orang Islam dan bukan Islam yang berpuasa, selepas seminggu dalam bulan Ramadhan ini, kedapatan ada yang mula tidak mahu berpuasa kerana pelbagai sebab seperti musafir, pekerjaan yang berat dan berpenyakit. Islam memberi kelonggaran kepada kes-kes tertentu untuk tidak berpuasa namun bagi mereka yang badannya sihat dan kuat tenaga, meninggalkan puasa kerana "saja-saja" sangatlah rugi.

Kedapatan di jalan raya ada yang tidak segan silu menghisap rokok atau meneguk minuman. Kita juga membaca di akhbar seorang remaja lelaki yang makan di hadapan adiknya yang berpuasa, apabila ditegur ibu, langsung dicekik ibunya sebelum melarikan diri.

Kes-kes tidak berpuasa sebegini boleh ditangani jika keluarga mengamalkan amalan agama dan tidak mudah mengalah pada ajakan nafsu. Kebaikan dan manfaat puasa sangat banyak dan masa inilah kita perlu membuktikan bahawa suruhan dalam agama Islam ini dapat memberi kesihatan yang baik dan meningkatkan ketaqwaan.


Wednesday, July 25, 2012

Banyak keburukan bawa telefon bimbit ke sekolah





Harga komputer semakin murah


oleh Anwar Patho Rohman

Tahun depan, tidak mustahil poster bertulis, “Sila matikan telefon bimbit atau gajet anda ketika guru sedang mengajar” akan ditampal di bilik darjah.

Di kawasan sekolah pula, poster bertulis “Penggunaan telefon bimbit atau gajet dibenarkan sebelum dan selepas waktu sekolah atau pada masa rehat saja,” mungkin akan ditampal di papan kenyataan dan setiap koridor.

Poster berkenaan ditampal bertujuan mendisiplin murid sekolah, selain memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Pelajaran susulan murid dibenarkan membawa telefon bimbit atau gajet komunikasi ke sekolah pada 2013.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya akan menjadi kenyataan selepas undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996 dipinda, menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Pindaan itu perlu bagi menggalakkan pendidik dan pelajar menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pada abad ke-21 dan selaras langkah untuk melaksanakan pengajaran maya dan program ‘1Bestari’ di seluruh negara.

Bagaimanapun, keputusan Kementerian Pelajaran itu nampaknya mengundang kontroversi dan polemik kerana banyak pihak, khasnya ibu bapa termasuk guru menentangnya.


Tiada alasan kukuh dikemukakan, namun secara umumnya, ibu bapa dan pihak sekolah menganggap kebebasan itu hanya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan sama ada kepada murid, guru dan ibu bapa.

Pada masa sama, guru, masyarakat dan ibu bapa berpendapat, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak akan membantu meningkatkan mutu pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah seperti kemungkinan berlaku kes kecurian telefon bimbit atau gajet dibawa anak mereka.

Di samping itu, ibu bapa dan guru bimbang jika murid dibenarkan membawa serta menggunakan telefon bimbit, mereka akan menjadi leka untuk belajar kerana asyik ‘mengulit’ tanpa henti telefon bimbit dan gajet masing-masing.

Walaupun kebenaran membawa telefon bimbit dan gajet seperti tablet itu bersyarat, namun ibu bapa menganggap keputusan itu masih kurang relevan dan membebankan.

Umum mengetahui, sejarah melarang murid membawa dan menggunakan telefon bimbit ke sekolah dikuatkuasakan sejak 13 Mei 1997.

Walaupun Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah secara bersyarat menerusi satu pekeliling bertarikh 23 Disember 2005, namun ia ditarik balik oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 19 Januari 2006 atau 28 hari selepas pekeliling itu dikeluarkan.

Kini, cadangan membenarkan murid membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah disuarakan sekali lagi dan maklum balas awal yang diterima menunjukkan majoriti guru tidak bersetuju kerana keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.

Tambahan pula, jika diteliti, telefon bimbit yang dijual di pasaran kini ialah jenis telefon pintar iaitu mempunyai ciri-ciri dan aplikasi canggih yang memudahkan sesiapa saja melayari internet, bersembang dalam laman sosial, mengambil gambar, merakam video dan suara tanpa had batasan.

Dari sudut positif, penggunaannya dapat membantu mengembangkan minda dan kreativiti murid di sekolah khasnya untuk mencari maklumat, namun ia juga mampu mencetuskan lebih banyak isu disiplin kerana besar kemungkinan murid menyalahgunakannya untuk tujuan tidak bermoral.

Memang diakui, telefon bimbit dan gajet seperti tablet sudah menjadi fenomena serta keperluan dalam kehidupan kita sehari-hari, namun adakah ia berupaya mendorong murid di sekolah menggunakannya secara bijak dan terkawal apabila dibawa ke sekolah.


(Berita Harian, 25 Julai 2012)