Friday, August 03, 2012

Dasar sosial di Malaysia








Di Malaysia, pembangunan sosial bergerak selari dengan pembangunan politik sejak 50 tahun lalu. Sejak itu, Malaysia telah melalui proses transformasi sosial yang pesat dan membanggakan. Diletakkan di bawah pemantauan kerajaan, perubahan sosial dan pembangunan telah menyerlahkan perubahan yang besar ke atas kehidupan masyarakat (Zakaria Ahmad, 2006).

Selepas beberapa tahun mendapat kemerdekaan dari Britain dalam tahun 1957, Bank Dunia menempatkan Malaysia sebagai negara berpendapatan menengah. Semenjak itu, negara ini terus menikmati kemakmuran ekonomi. Bermula sebagai negara pengeksport komoditi seperti getah, timah, minyak sawit dan petroleum, kini Malaysia meningkatkan jumlah pendapatan sehingga tujuh peratus sejak tahun 1970 hingga 2000.

Dari 2001 hingga 2010, pembangunan turun dan naik di antara empat hingga 5 peratus setahun kerana iklim ekonomi yang kurang memberangsangkan. Kesan besar peningkatan pendapatan ini ialah pengurangan kadar kemiskinan (2.5 peratus 2010) berbanding dengan separuh penduduk negara yang miskin pada 1970 (49.3 peratus).

Peningkatan per kapita penduduk yang meningkat kepada US$14,700 dalam 2010, menokok daripada US$13,900 pada 2009. Pencapaian ini menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan menengah atas, suatu keadaan yang menggambarkan pertumbuhan ekonomi yang pesat telah dialami sejak kerajaan memperkenalkan beberapa dasar yang menyokong usaha ke arah pembasmian kemiskinan dan penyusuan semula masyarakat.

Malaysia adalah sebuah negara yang meraikan masyarakat majmuk dengan penduduk Melayu dan bumiputera membentuk 66 peratus, Cina (26 peratus) dan India (8 peratus).Bagaimanapun, rusuhan kaum yang paling buruk dalam sejarah negara ini telah mengubah strategi dan pendekatan kerajaan untuk memakmurkan ekonomi.

Dalam tindakan pantas dan tegas, kerajaan telah merumuskan bahawa dasar ekonomi dan sosial harus mengambil kira pendapatan setiap kaum dan mengagihkan kekayaan yang sama rata kepada semua rakyat. Usaha-usaha yang berterusan selepas itu telah berjaya membendung jurang perbezaan pendapatan yang ketara dan peningkatan ekuiti Melayu dan bumiputera dapat digandakan.

Ketika merdeka, Malaysia mempunyai jumlah penduduk sebanyak 7.4 juta namun pertambahan penduduk semakin pesat sehingga mencecah 27.6 juta orang pada 2010. Peningkatan penduduk bumiputera lebih besar kerana kadar kesuburan kelompok itu lebih tinggi.

Sebelum 1957, kegiatan utama ekonomi rakyat ialah penanaman getah dan pengeluaran timah. Perusahaan lain ialah industri berskala kecil dan sebahagian besarnya berasaskan keluarga. Kerajaan menggalakkan kepelbagaian ekonomi dengan memberi perhatian kepada sektor industri dan perkhidmatan yang memberi pendapatan lebih besar dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

Perbandaran yang pesat telah menggalakkan pembukaan kawasan perumahan dan bandar-bandar baru. Pada 2005, dianggarkan sebanyak 63 peratus penduduk negara ini tinggal di kawasan bandar berbanding hanya satu perempat dalam 1957. Walaupun penghijrahan ke bandar lebih pesat pada hari ini, dari segi sejarahnya, masyarakat Melayu dan bumiputera masih dianggap sebagai penduduk luar bandar, manakala kaum Cina lebih ramai di bandar.

Sejak 1970, Malaysia telah merangka strategi pembangunan ekonomi kepada tiga fasa pembangunan jangka panjang iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970–90, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) 1990–2000 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) 200110.

Walaupun penekanan dalam dasar pembangunan jangka panjang ini mempunyai impak ke atas pertumbuhan ekonomi, pembangunan yang dirancang itu telah memberi manfaat kepada semua kaum dan dilihat adil dalam agihan kekayaan ekonomi. Objektif DEB terus dibawa dalam dua dasar seterusnya dengan usaha pembasmian kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Selepas merdeka, pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dibahagikan kepada empat peringkat.

Pertama, dari 1957 hingga 1970, iaitu meneruskan tradisi sebagai pengeluar getah dan timah. Pembangunan pada ketika ini lebih menekankan kepada pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Rancangan Malaya Pertama hingga Rancangan Malaysia Pertama menggariskan aspirasi nasional iaitu meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, mewujudkan lebh banyak peluang pekerjaan, mempelbagaikan perusahaan serta memperbanyakkan kemudahan infrastruktur dan sosial.

Dasar perancangan di peringkat ini ialah menggalakkan penyertaan rakyat di luar bandar dalam program pembangunan kerajaan. Rancangan kerajaan pada ketika ini juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui perkembangan sektor industri domestik diharap dapat melimpahkan ruang untuk orang miskin turut serta dalam ekonomi negara.

Kedua, dari 1971 hingga 1990 iaitu langkah menstrukturkan semula ekonomi dan dianggap sebagai permulaan pembangunan dalam sejarah malaysia moden. Ketika ini diperkenalkan Rancangan Malaysia Kedua. Kepincangan dasar kerajaan yang sebelum ini telah dikaji dan diberi nafas baru melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang menekankan aspek kemiskinan dan usaha untuk penyusunan masyarakat. Sepanjang tempoh ini, Rancangan Malaysia Kedua,

Ketiga, Keempat dan Kelima telah mempunyai matlamat yang konsisten iaitu ke atah pembasmian kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Ini dicapai melalui rancangan yang lebih giat dalam pembangunan pertanian dan pembangunan luar bandar, penggemblengan sumber manusia secara lebih berkesan dan pengagihan kemudahan pembangunan secara sama rata antara wilayah dan strata penduduk.

Dasar baru dalam era ini menekankan elemen-elemen, 1) pembangunan luar bandar yang lebih intensif, 2) penyertaan rakyat dalam perancangan dan pembangunan, 3) peluang kemudahan pelajaran, kesihatan, perumahan yang sama rata, 4) peluang pekerjaan ditingkatkan dalam sektor swasta dan kerajaan, 5) kewujudan agensi berasaskan komoditi, penerima dan wilayah dengan kumpulan sasar yang telah ditetapkan, dan 6) peningkatan pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan dan perindustrian. 

Ketiga, dari tahun 1991 hingga 2010 iaitu fasa pertumbuhan yang sukar kerana berlakunya krisis kewangan Asia pengenalan kawalan pertukaran mata wang. Peringkat ini juga dianggap sebagai tempoh persediaan untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Iklim ekonomi global dilihat mengganggu rentak Malaysia ke arah status negara maju tersebut.

Pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) Kedua iaitu Dasar Pembangunan Nasional telah digubal untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 dan ianya adalah susulan daripada RRJP Pertama iaitu Dasar Ekonomi Baru yang lebih menjurus kepada matlamat untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi menghapuskan fungsi ekonomi mengikut kaum.

DEB berakhir pada tahun 1990. Ia digantikan dengan DPN. DPN sebenarnya adalah DEB dalam bentuk yang baru iaitu ia telah digubal dengan iktibar DEB. DPN dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun seperti yang direncanakan dalam RRJP2 (1991-2000). Ia merupakan satu pertiga daripada wawasan 2020 (1991-2020) yang sebenarnya mencakupi Rancangan Malaysia Ke-6 hingga Rancangan Malaysia Ke-11.

Keempat, pengenalan Penekanan pembangunan abad ke 21 ini diteruskan dalam Rancangan Rangka Jangka Panjang RRJP ketiga meliputi tahun 2001-2010. RRJP 3 merangkumi Dasar Pembangunan Nasional yang telah menggariskan beberapa strategi untuk membawa Malaysia ke arah negara maju pada abad ke 21.

Ia di bantu oleh Rancangan Malaysia Kelapan RMK 8 dengan matlamat mencapai objektif DPN ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan dan teguh disertai dengan pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu dan saksama menikmati pembangunan. Rangka kerja RMK-9 dibuat atas kesedaran untuk mencapai status negara maju berasaskan acuan dan kemampuan sendiri bagi membolehkan keupayaan bersaing di peringkat global, mengukuhkan perpaduan dan mengurangkan polarisasi kaum serta mewujudkan keseimbangan pendapatan dan kekayaan.

Mencapai Agenda Wawasan 2020 ke arah Negara Maju. Rangka kerja RMK-9 dibuat atas kesedaran untuk mencapai status negara maju berasaskan acuan dan kemampuan sendiri bagi membolehkan keupayaan bersaing di peringkat global, mengukuhkan perpaduan dan mengurangkan polarisasi kaum serta mengwujudkan keseimbangan pendapatan dan kekayaan.

Aspek penting dalam dalam RMK-9 adalah pembangunan modal insan iaitu, 1) memerlukan keupayaan dan keperibadian masyarakat, 2) tidak hanya memiliki “infrastruktur Kelas Pertama tetapi `Mentaliti Kelas Ketiga”, 3) melahirkan masyarakat `Mentaliti Kelas Pertama”, 4) menekankan kepada modal insan yang menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, nilai etika, minda yang progresif dan kesedaran budaya yang tinggi.

Lima teras Rancangan malaysia Kesembilan ialah 1) meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi (KDNK 6-6.5 setahun), 2) meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta “memupuk minda kelas pertama”, 3) menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif, 4) meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup, dan 5) mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.


No comments:

Post a Comment