Monday, January 31, 2011

Banjir di Alor Gajah

Hujan lebat dua hari berturut-turut di Alor Gajah, Melaka mengundang cemas penduduk sekitar bandar itu. Seawal jam 4 pagi, saya menerima pesanan ringkas daripada seorang rakan yang memaklumkan banjir sudah mula melanda Alor Gajah dan penduduk di sebuah taman perumahan berhampiran Masjid Daerah Alor Gajah terpaksa dipindahkan.

Selepas subuh, paras air naik mendadak melepasi dada dan ramai penghuni rumah tidak sempat membawa keluar barang-barang sedia ada kecuali dokumen dan beberapa barang penting termasuk kereta dan motosikal. Pada pukul 12 tengah hari, mangsa banjir ditempatkan di Dewan Ar-Rashidin Masjid Daerah Alor Gajah dengan bilangan mencecah 147 orang.

Perkarangan masjid penuh dengan deretan kereta yang dipindahkan, manakala agensi kerajaan yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Alor Gajah, Rela dan Polis Diraja Malaysia. Terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang membantu mangsa memindahkan barang-barang mereka ke tempat yang lebih selamat.

Seorang sukarelawan dari Haluan Malaysia, Mohd Farid turut membantu rakannya, Surail, pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam berhampiran memunggah barang dan dokumen ke tempat lain.

Paras air di kawasan taman perumahan tersebut masih belum surut sepenuhnya. Sepanjang perjalanan saya meredah air, semua rumah ditenggelami air paras pinggang khususnya rumah yang berada berhampiran alur sungai di belakang taman.

Terdapat beberapa buah kereta dan motosikal yang tidak sempat dibawa keluar dan terendam tanpa dapat dibuat apa-apa. Pakaian yang masih dijemuran tidak diusik menunjukkan penghuninya tidak sempat membawa keluar pakaian mereka melainkan barangan peribadi sahaja.

Banjir kali ini mengundang rasa cemas dalam kalangan penduduk taman perumahan berkenaan kerana kekhuatiran mereka terhadap hujan yang turun berterusan. Kemungkinan besar banjir kali kedua akan datang tidak dapat ditentukan kerana mangsa banjir yang terlibat di kawasan Tampin, Negeri Sembilan telah ramai dipindahkan. Kerugian dianggarkan beribu-ribu ringgit dan mangsa dijangka pulang ke rumah masing-masing dua atau tiga hari lagi bergantung pada paras air.

Dalam pada itu, orang perseorangan dan persatuan digalakkan membantu mangsa banjir dengan menyediakan pakaian dan barangan keperluan untuk kanak-kanak kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak sempat membawa pakaian yang cukup untuk tinggal di tempat pemindahan banjir berkenaan.

Saturday, January 29, 2011

Azam untuk berubah

Azam dan tekad untuk menjadi berani, kuat dan berkuasa mesti lahir daripada kesedaran yang jitu terhadap perubahan. Sebarang kelemahan diatasi dengan membina dan mengukuhkan azam sedikit demi sedikit supaya lahir keyakinan untuk bertindak. Apakah contoh-contoh keazaman yang boleh dibuat atau dibentuk sedikit demi sedikit ini?

1. Mahu baiki keadaan diri seperti menambah pengetahuan melalui pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan kemahiran khusus atau mengubah penampilan diri supaya lebih menarik. Kita ambil contoh rakan-rakan kita yang memiliki berat badan yang berlebihan atau lebih mudah disebut sebagai obes. Ketika obes, memanglah ramai yang enggan berdamping sebaliknya jika kurus sedikit, tentulah ramai pula yang ingin menjadikan kawan. Maknanya, azam untuk mengurangkan berat adalah satu tanda ke arah membaiki diri.

2. Mahu jadi lebih baik daripada pesaing. Keadaan ini sering menjadi trend hari ini khususnya dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan sumbangan kepada masyarakat. Kadang-kadang dua orang rakan karib berlumba-lumba belajar ke tahap yang lebih tinggi, malah dalam kalangan adik-beradik ada yang bersaing untuk masuk ke universiti ternama. Elemen mahu menjadi lebih baik adalah sifat semula jadi yang sentiasa ada dalam jiwa setiap orang dan boleh disuburkan.

3. Berubah daripada keadaan sekarang kepada suatu yang lebih baik seperti jawatan, keputusan peperiksaan dan rekod pencapaian peribadi. Banyak kisah orang yang berubah hidup mereka selepas beberapa tahun berada dalam 'zon sengsara'. Seorang pengutip sampah boleh menjadi kaya-raya selepas bekerja siang malam mencari sampah dan menabung pendapatan yang diperoleh. Ada juga kisah pengutip sampah yang mampu membeli lori sendiri untuk membawa sampah.

4. Azam membara mahu mencapai kejayaan. Hidup kita sentiasa ada tanggungjawab iaitu sebagai anak, suami, isteri, ibu, ayah atau anggota masyarakat. Setiap tanggungjawab ini perlukan dorongan untuk dilaksanakan dengan sempurna. Dorongan yang paling hebat ialah azam yang sentiasa disuburkan setiap masa, setiap keadaan dan setiap ketika.

Bergantung kepada diri sendiri, azam hanya akan digerakkan apabila kita mengangkat kaki dan menghayunkan tangan untuk melaksanakannya. Azam akan layu jika punggung kita berada kukuh di atas pangkin kerana tidak mungkin kejayaan dizahirkan tanpa berbuat apa-apa.

Friday, January 28, 2011

Maju dengan disiplin diri

Disiplin diri merupakan keupayaan diri untuk mengambil tindakan tanpa menghiraukan keadaan emosi- marah, kasihan atau cemburu.

Bayangkan apa yang kita akan capai jika bertindak mengikut rasa hati tanpa menghiraukan apa yang bakal berlaku? Gambarkan diri kita adalah seorang yang sangat malas dan tiba-tiba berbisik kepada diri sendiri, ‘tiga bulan dari sekarang aku mesti dapat RM10,000’. Tanpa disiplin diri, niat yang terdetik di hati tidak akan menjadi kenyataan. Ia hanya angan-angan kosong, umpama mimpi di siang hari.

Disiplin diri adalah satu mekanisme memajukan diri yang wajar diberi perhatian. Tentunya ia bukan ubat bagi segala masalah yang ada pada setiap orang. Namun, cabaran-cabaran dalam mendisiplinkan diri, jika dapat diatasi, bakal menjadi pendorong kepada usaha meningkatkan kualiti diri.

Disiplin diri dapat memperkasa sebarang kelemahan diri. Ia dapat menekan sifat malas, membazir masa dan tidak peduli. Tambahan pula, jika digabungkan dengan sifat sabar, berorientasi matlamat dan perancangan, kombinasi sifat-sifat ini dengan disiplin diri akan memzahirkan individu yang serba-serbinya hebat.

Thursday, January 27, 2011

Kemahuan adalah asas untuk bertindak

Kemahuan adalah asas untuk melakukan sesuatu tindakan. Contohnya seseorang mahu bekerja sendiri kerana tidak mahu terikat dengan orang lain, tidak mahu terikat dengan peraturan ataupun tidak mahu diarah, dia dikatakan memiliki kemahuan yang tinggi untuk berdikari.

The first principle of success is desire – knowing what you want. Desire is the planting of your seed.

Pepatah Melayu menyebut ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Kita mesti ada usaha dan inisiatif untuk berubah. Inisiatif berubah dalam corak perbelanjaan kewangan ialah dengan cara mengetahui teknik menguruskan wang. Inisiatif berubah dalam meningkatkan kualiti kerja ialah dengan cara hadir kursus atau menjalani latihan yang berterusan.

Cara-cara berubah terpulang kepada pilihan kita kerana kita sendiri yang tahu mana satu yang terbaik. Mungkin cara berubah ini ada kalanya melibatkan kos yang mahal seperti menghadiri kursus tetapi ada juga cara lain yang melibakan kos yang sangat minimum. Jadi, bergantung kepada kita untuk membuat pilihan asalkan matlamat membuat perubahan akan tercapai.

Wednesday, January 26, 2011

Adab Rasulullah saw dalam pelbagai situasi

Dalam buku ‘Pendidikan Anak-anak Dalam Islam’ yang ditulis oleh Abdullah Nasih Ulwan, terdapat beberapa adab yang wajar disemai ke dalam jiwa anak-anak. Adab-adab ini membantu mereka mengembangkan watak dan membentuk personaliti yang menarik sesuai dengan masyarakat kita.

1. Berdiri untuk orang yang datang

Adab ini sesuai untuk tetamu, musafir, orang alim atau orang yang lebih dewasa kerana amalan ini dianggap sebagai satu amalan sosial yang diterima oleh semua jenis manusia.

Bukhari, Abu Daud dan Al-Tarmizi telah meriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a katanya: Saya tidak pernah melihat seorang pun yang menyerupai Nabi saw dalam perawakannya, lemah-lembutnya, perjalanannya ketika bangun dan duduk seumpama Fatimah, puteri Rasulullah saw sendiri. Apabila Siti Fatimah datang menemui Nabi saw,baginda sentiasa bangun menyambutnya dan menciumnya, kemudian baginda mendudukkannya di sisi. Begitu juga apabila baginda saw datang kepadanya, Siti Fatimah terus bangun menyambutnya, menciumnya lalu mendudukkan di sisinya.

2. Menyebarkan salam

Orang berkenderaan memberi salam kepada orang berjalan kaki. Orang berjalan kaki memberi salam kepada orang duduk seterusnya kumpulan kecil memberi salam kepada kumpulan yang lebih besar dan ramai. Riwayat Muslim menyatakan: Bahawa Rasulullah saw sering menemui kanak-kanak di perjalanan sambil memberi salam kepada mereka.

3. Meminta izin

Terdapat tatacara yang baik untuk kita ikuti sebelum masuk ke rumah atau mengambil barang kepunyaan orang lain. Pertama, memberi salam supaya ada makluman tentang kehadiran kita. Kedua, sekiranya ada nama, gelaran atau sifat orang berkenaan, adalah lebih baik menyebutnya sebagai tanda hormat. Contohnya, andai kata orang berkenaan bergelar Datok, mulakan dengan menyebut panggilan gelaran diikuti namanya. Malah kalau ada sifat-sifatnya yang isitimewa, lebih baik juga disebut seperti ‘Datok Mat yang baik hati.’

Ketiga, sebaik-baiknya meminta izin sebanyak tiga kali kerana ia dianggap mendesak kalau meminta izin berkali-kali. Keempat, elakkan dari mengetuk pintu dengan keras dan berterusan. Kelima, selesai meminta izin, jarakkan sedikit daripada pintu. Akhir sekali, jika tuan rumah meminta datang esok, usah bermasam muka kerana mungkin pada saat itu dia belum bersedia untuk bertemu atau ada keperluan lain yang lebih penting.

4. Duduk dalam majlis

Rasulullah saw menunjukkan beberapa adab yang mudah tetapi sangat praktikal untuk membina persahabatan yang berpanjangan.

Pertama, bersalaman dengan orang yang ditemui dalam majlis. Sabda Rasulullah saw: Berjabat tanganlah kamu, nescaya dengki akan terhapus dan bertukar-tukar hadiah, nescaya kamu akan lebih sayang menyayangi dan terhapuslah permusuhan.

Kedua, duduk di samping orang ramai bukannya di tengah-tengah orang ramai. Abu Daud meriwayatkan dengan isnad yang baik daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a: Bahawasanya Rasulullah saw pernah melaknati orang yang duduk di tengah-tengah dalam satu bulatan.

Ketiga, tidak duduk di antara dua orang melainkan dengan izin. Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi dan Abu Daud daripada Amru bin Syuaib, daripada ayah dan datuknya, bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda: Tidak dibenarkan bagi seseorang itu untuk memisahkan duduk di antara dua orang melainkan dengan izin keduanya.

Keempat, jangan berbisik-bisik apabila majlis itu hanya tiga orang. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda: Jika kamu tiga orang, makan janganlah dua orang di antara kamu berbisik serta membiarkan yang ketiga kerana yang demikian itu akan mendukacitakannya.

5. Adab berbicara

Pertama, memberi perhatian penuh kepada si pembicara. Nabi saw sentiasa memberi perhatian penuh kepada sesiapa sahaja yang berbicara dengannya. Baginda saw sering menaruh minat dengan segala pendengarannya serta selalu berlemah-lembut kepada mad’unya.

Abu Daud telah meriwayatkan daripada Anas r.a: Aku tidak pernah melihat seorang muslimin yang berbisik-bisik ke telinga Nabi saw lalu baginda menarik kepalanya daripada orang itu melainkan setelah orang itu menarik kepalanya terlebih dahulu daripada Nabi saw.

Kedua, pembicara wajar menumpukan perhatiannya kepada semua orang yang duduk berbicara dengannya. Ini perlu dilakukan sehingga setiap orang yang ada di hadapannya merasakan bahawa perbicaraan itu ditujukan kepadanya.

Tuesday, January 25, 2011

Bersediakah untuk bersara?

Oleh Noor Fazrina Kamal
fazrina.kamal@utusan.com.my

Bila mendengar perkataan 'bersara', ada yang tersenyum dan tak kurang juga yang mula risau. Tersenyum kerana pasti sudah bersedia dan mempunyai perancangan lengkap untuk detik tersebut, tapi bagi yang belum tentu mula gelabah.

Memang ramai juga golongan yang menganggap tidak perlu gusar apabila memikirkan hal itu memandangkan perbelanjaan mereka di hari tua ditabung menerusi duit simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pencen, gratuiti, tabungan atau wang pelaburan menjamin kelangsungan hidup selepas bersara.

Persoalannya sejauh mana rakyat Malaysia sebenarnya bersedia untuk menghadapi kehidupan selepas bersara?

Apakah yang mula difikirkan menjelang usia 40-an dan apakah antara strategi yang menjadi punca pendapatan selepas bersara? Cukupkah pendapatan yang ditabung untuk menampung kehidupan selepas tidak lagi bekerja?

Laporan Skop Persaraan Axa 2010 oleh Syarikat Axa Affin Life Insurance Berhad, sekali lagi menerbitkan hasil kajian mereka. Antara intipati laporan tersebut memberitahu, undang-undang Malaysia menetapkan umur persaraan rasmi ialah 55 tahun.

Namun undang-undang negara ini juga membenarkan untuk seorang pekerja itu bersara pada usia 60 atau 50 tahun bergantung kepada keadaan.

Tinjauan Skop Persaraan Axa 2010 yang bertujuan mengukur dan menentukan sejauh mana rakyat negara ini bersedia menghadapi persaraan mereka, mendapati dua pertiga daripada rakyat Malaysia bersara pada usia 55 tahun.

Jumlah itu menjadikan Malaysia negara yang ketiga tertinggi bersara pada usia 55 tahun selepas India dan China.

Salah satu hasil tinjauan yang telah dijalankan oleh Axa Affin Life Insurance Berhad, baru-baru ini mendapati bahawa paksaan persaraan awal telah menurun secara dramatik sejak tahun 2007. Tetapi persaraan awal secara sukarela pula telah meningkat dan ia dapat dilihat di kalangan pekerja wanita berbanding lelaki.

Fakta dalam kajian tersebut juga menunjukkan umur persaraan paling tinggi di dunia ialah di kalangan warga Amerika Syarikat iaitu kira-kira 58 hingga 64 tahun, diikuti Australia, Eropah, United Kingdom dan Perancis yang rata-rata masih bekerja pada usia 63 tahun.

Manakala umur persaraan majoriti di kelima-lima buah negara maju ini ialah antara 57 hingga 61 tahun.

Hasil tinjauan Skop Persaraan Axa 2010 mendapati sebanyak 38 peratus pekerja mula bersedia untuk bersara apabila umur mereka menjangkau 40 tahun dan selebihnya hanya mula melakukan persediaan bila usia menjelang 50 tahun.

"Malaysia adalah salah satu negara di mana populasi bekerja sedar tentang pendapatan mereka lepas bersara seperti wang KWSP, tabungan dan sebagainya. Namun keyakinan bahawa mereka mempunyai pendapatan yang cukup lepas bersara kelak menurun sejak 2007.

"Hanya 14 peratus pekerja yang pasti tentang pendapatan mereka lepas bersara , manakala 37 peratus lagi berupaya memikirkan pencen mereka mencukupi untuk kehidupan selepas bersara nanti," memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Axa Affin Life Insurance Berhad tersebut.

Kajian juga menunjukkan bahawa tiada desakan bagi rakyat Malaysia untuk melakukan perancangan bersara mereka terlalu awal. Biasanya mereka yang mula merancang pula kerana adanya anak ataupun kerana sudah mempunyai perancangan untuk berkahwin.

"Adanya anak adalah punca utama mengapa rakyat Malaysia mula memikirkan tentang strategi selepas bersara. Ramai yang menganggap duit pencen adalah punca pendapatan terbaik selepas bersara, namun untuk memaksimumkan pendapatan ada juga yang mengambil langkah proaktif seperti melakukan tabungan sejak usia muda. Malah cara simpanan yang disukai rakyat negara ini ialah pelaburan dan tabungan. Buktinya lebih 50 peratus memilih tabungan peribadi. Jika dibandingkan dengan India mahupun Amerika Syarikat, rakyat Malaysia lebih yakin dengan tabungan yang mereka buat sendiri dan demi meneruskan pendapatan selepas bersara pula mereka memilih untuk melabur atau simpanan lain."

Kesimpulannya, walau apa jua cara anda selepas bersara, pastikan anda melakukan persediaan mental dan fizikal demi memastikan kehidupan masa depan yang berkualiti dan baik.

(Utusan Malaysia, 25 Januari 2011)

Hidup mesti ada cita-cita

Dalam kelas hari ini, saya memberitahu pelajar bahawa seorang pengutip sampah yang telah melalui berbagai-bagai jenis pekerjaan sehinggalah memilih untuk mengutip sampah enam tahun yang lalu, kini memperoleh pendapatan RM14 ribu sebulan. Tempoh masa yang diambil untuk mendapat wang sebanyak itu bukanlah mudah kerana Zabidi yang memiliki enam orang anak, harus lalui 30 tahun untuk berada dalam keadaan sekarang.

Zabidi, si pengutip sampah telah berjaya di Kuala Lumpur kerana dia memiliki keberanian dan mahu mengharungi semua cabaran hidup. Pernah bekerja sebagai pemandu lori dan menjual di pasar malam, kini dia berbangga apabila memiliki tiga buah lori dan lima orang pekerja. Paling penting di sini ialah Zabidi memiliki cita-cita untuk berjaya dalam hidup biarpun sebagai pengutip sampah.

Saya membawa contoh ini kepada pelajar supaya mereka melihat bahawa masa depan adalah di tangan orang-orang yang memiliki cita-cita yang membara, mekar dan sentiasa diberi suntikan semangat untuk dicapai. Orang-orang yang malas dan tidak sanggup menghadapi cabaran akan ditinggalkan di belakang dan terus hilang. Begitu juga pelajar yang bising dalam kelas, tidak mahu memberi tumpuan kepada syarahan dan makan tidak tentu masa tetap akan berada di belakang kerana keseluruhan hidupnya penuh dengan masalah adab dan disiplin.

Kejayaan hidup ramai orang yang terkenal adalah disebabkan kerana mereka memiliki tahap adab yang sangat tinggi, mendisiplinkan diri dan sentiasa mendekati idea-idea baru yang boleh diterapkan dalam hidup. Biar apa pun kita, kejayaan adalah bersama orang-orang yang memiliki cita-cita hidup yang selalu segar dan menarik orang lain untuk bersama dengannya.

Monday, January 24, 2011

Bersara dengan tangan kosong

Dr George Burch adalah seorang pakar dalam bidang usia manusia dari University Tuline. Dia memberitahu terdapat banyak perkara yang menentukan jangka hayat seseorang. Antaranya ialah berat badan, keturunan, cara pemakanan, tekanan hidup dan tabiat peribadi. Semua ini menjadikan kesihatan kita terganggu dan mati dengan cepat.

Semua sebab ini memang kita dapat lihat dan rasainya dengan jelas.

Ada satu lagi yang dikatakan oleh Dr Burch iaitu ‘cara yang paling cepat menghabiskan umur ialah dengan bersara dan tidak melakukan apa-apa.’

Maksudnya sangat mudah. Dengan bangun pagi dan duduk bersantai di rumah, makan dan minum sambil melihat matahari turun, kita melihat dengan jelas usia yang berlalu. Persaraan dengan tidak melakukan apa-apa adalah racun kehidupan yang sangat cepat untuk melemahkan perjalanan hidup.

Tanpa sesuatu untuk dicari, cita-cita untuk dicapai, kita akan membiarkan usia dengan sangat pantas. Orang lain bersungguh-sungguh mencipta kejayaan, kita membiarkannya dengan senang hati. Lalu bolehlah dikatakan ‘bersara dengan tangan kosong.’

Sunday, January 23, 2011

Pendidikan tinggi, gaji pun tinggi

Setiap orang mempunyai tempat kegemaran masing-masing untuk mencuci kereta. Ada yang memilih premis yang selesa, kualiti cucian yang memuaskan dan bayaran yang berpatutan. Ada yang memilih cucian menggunakan mesin kerana lebih pantas dan harganya pun lebih murah. Jika cucian tangan dikenakan RM8 hingga RM10, cucian mesin automatik hanya RM4.

Semua pengguna kereta bersetuju menyatakan cuci tangan lebih baik, bersih dan sempurna. Namun, jarang benar dalam kalangan kita yang mengambil inisiatif berbual-bual dengan pekerja pencuci kereta kerana banyak sebab. Sepatutnya kita mengambil usaha untuk berbual-bual tentang latar belakang pencuci kereta supaya kita maklum keadaan hidup dan impian sebenar mereka.

Saya juga mencari jalan untuk berbual-bual dengan seorang pencuci kereta yang masih muda sementara menunggu kereta dibersihkan luar dan dalam. Saya lihat pencuci ini sangat tangkas bekerja. Sekejap ke hadapan dan sekejap ke belakang kereta. Tumpuannya sangat jelas kerana dia sedang menikmati kerjanya tanpa gangguan.

Selesai mencuci kereta, dia datang kepada saya sambil tersenyum. ‘Abang, tolong alihkan kereta ke sana, saya tak tau bawa kereta,’ sambil memegang kunci untuk diberi kepada saya.

Ketika mengelap kereta, saya bertanya kepadanya tentang kerja dan keluarganya. Sebelum beredar, saya berkata, ‘Orang kaya boleh membayar yuran untuk belajar dan menjadi cemerlang, tetapi kamu tidak dapat peluang seperti mereka. Kamu mesti kuat bekerja dan Insya Allah akan jadi taukeh kedai cuci kereta suatu hari nanti.’

Saturday, January 22, 2011

Mulakan simpanan hari ini

Prinsip ‘kemajuan hanya boleh dicapai satu langkah pada satu masa’ umpama ‘setiap pencapaian yang besar biasanya bermula dengan satu siri pencapaian yang kecil-kecilan.’

Contohnya begini. Seorang pekerja yang baru mendapat gaji pertama bercita-cita ingin memiliki simpanan masa depan, katakan tempoh yang ditetapkannya ialah 25 tahun. Lalu dia membuka akaun simpanan di bank dan akan membuat potongan secara tetap RM100 setiap bulan.

Setiap tahun dia akan menyimpan RM1200 dan bagi tempoh 25 tahun, jumlah simpanannya ialah RM30,000. Bergantung pada jenis simpanan yang dipilihnya, jumlah berkenaan boleh meningkat jika pelaburannya mencatatkan keuntungan.

Merancang pelaburan biar pun dalam jumlah yang kecil dapat membantu kehidupan masa hadapan. Anak-anak yang baru lahir wajar disediakan tabungan bulanan yang diselia oleh ibu bapa supaya beban kewangan untuk pendidikan menjadi kurang. Alangkah baiknya jika kita mengambil inisiatif memulakan simpanan sejak kecil kerana pada masa depan, kebanyakan harga barang-barang keperluan akan meningkat naik.