Monday, August 18, 2008

Hormati hak orang Melayu

Oleh Mohd Amin Jalil

Seminar Islam dan Cabaran Semasa sempena Muktamar Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Ke-37 yang berakhir di sini, kelmarin, meluluskan enam resolusi, termasuk mengingatkan semua pihak agar tidak cuba melunturkan hak istimewa orang Melayu dan pelbagai aspek berkaitan kepentingan bangsa itu.

Resolusi itu meminta supaya angin perubahan yang melanda atas nama globalisasi, liberalisasi dan hak asasi tidak dijadikan alasan untuk melunturkan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi seperti termaktub dalam perlembagaan Persekutuan.

Seminar disertai 800 peserta dari seluruh negara itu juga meluluskan resolusi mengingatkan semua pihak tidak membentuk persepsi baru mengenai pensejarahan Malaysia kerana ia akan mengundang bahaya terhadap kestabilan dan keharmonian masyarakat.


Resolusi ketiga meminta rakyat prihatin dan cintakan keamanan mempertahankan kontrak sosial sebagai asas pembinaan negara serta bangsa dan pembentukan masyarakat majmuk, selain menolak usaha mencetuskan ketidakharmonian hubungan kaum.

Seminar juga mendesak kerajaan memperbaharui komitmen dasar utama pendidikan, kebudayaan untuk pembinaan perpaduan nasional.

[Berita Harian Online, 18/08/2008]

Friday, August 15, 2008

Para advokat kini berusaha ke arah perlindungan penyusuan susu ibu untuk wanita di Malaysia

Oleh Jeswan Kaur

Penyusuan susu ibu merupakan satu isu yang serius bagi presiden dan pengasas Persatuan Penyusuan Susu Ibu Malaysia, Siti Norjinah Moin, yang telah menyusu kesemua anaknya. Kerja keras ibu kepada lima orang anak ini selama tiga dekad agak kabur memandangkan terdapatnya penurunan amalan penyusuan susu ibu di negara ini.

“Apabila persatuan ini dimulakan pada tahun 1974, memang sukar untuk mendidik orang ramai tentang manfaat-manfaat yang dibawa oleh penyusuan susu ibu. Sehingga pada tahun 1981, ia kelihatan seolah-olah penyusuan susu badan semakin menurun dan mendatar kerana tidak ramai doktor dan jururawat yang telah dilatih tentang topik ini. Penyusuan susu ibu bukanlah keutamaan bagi mereka,” kata Siti Norjinah (59).

"Hanya 14.5 peratus bayi di Malaysia telah diberikan susu ibu sepenuhnya pada usia enam bulan ke bawah pada tahun 2006."

Kementerian Kesihatan

Kementerian Kesihatan, sebagai maklumbalas, telah memperkenalkan Dasar Penyusuan Susu Ibu Kebangsaan pada tahun 1993 di mana ianya telah mengikuti Inisiatif Hospital yang Mesra Bayi yang telah diperkenalkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Badan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1991.

Dasar ini telah dikaji semula 12 tahun kemudian berdasarkan Resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang telah menyarankan agar penyusuan badan sepenuhnya patut dilakukan pada enam bulan pertama dan diteruskan sehingga dua tahun dengan pemakanan tambahan dan ini juga adalah mengikut Panduan Pemakanan untuk Bayi oleh UNICEF dan WHO.

Penyusuan susu ibu semakin menurun di Malaysia

“Walaupun dengan pelbagai inisiatif, hanya 14.5 peratus bayi-bayi di Malaysia telah diberikan susu ibu sepenuhnya pada enam bulan yang pertama pada tahun 2006,” keluh Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan, Dr Safurah Jaafar.

“Tambahan pula, hanya 19.3 peratus bayi-bayi telah diberikan susu ibu pada empat bulan yang pertama.”


Berbanding dengan hasil penemuan yang didapati pada Soal-Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2 (1996), terdapat penurunan sebanyak 9.7 % di dalam prevalensi penyusuan susu ibu sepenuhnya pada empat bulan yang pertama dan terdapat peningkatan di dalam prevalensi bayi yang telah diberikan susu ibu pada kebanyakan masa tetapi juga diberikan air.

“Analisis terhadap corak penyusuan susu ibu yang menunjukkan bahawa secara umum, kadar penyusuan susu ibu sepenuhnya pada dua bulan yang pertama adalah tinggi tetapi menurun secara mendadak selepas mencapai umur dua atau tiga bulan,” tambah Dr Safurah.

“Hasil yang ditemui juga telah menunjukkan pada umur dua bulan, lebih daripada separuh bayi-bayi yang telah diberikan susu ibu telah diberikan susu formula dan lain-lain makanan seperti makanan bayi komersil atau makanan bayi yang telah dimasak sendiri manakala 20 peratus bayi-bayi yang telah diberikan susu ibu ini telah diberikan air biasa”.

Mitos dan kurangnya sokongan terhadap wanita yang bekerja

Dr Safurah menyalahkan kepercayaan budaya, mitos-mitos dan juga kejahilan yang menyebabkan kurangnya penyusuan susu ibu di negara ini.

“Mitos tentang bayi yang diberikan susu ibu perlu air sebagai tambahan kepada susu ibu adalah amat ketara di negara ini. Kurangnya pengetahuan dan kemahiran bagi ibu untuk memulakan makanan tambahan dan bagaimana untuk mengekalkan penyusuan susu ibu juga merupakan faktor-faktor penghalang yang lain,” terang Dr. Safurah.

“Makanan tambahan, termasuk air, hanya perlu diperkenalkan pada umur enam bulan”.

Menurut Dr. Safurah lain-lain factor adalah kurangnya manfaat dan kemudahan-kemudahan untuk menggalakkan dan membantu menerapkan amalan penyusuan susu ibu di kalangan wanita-wanita yang juga merupakan separuh daripada populasi bekerja di negara ini. Ini termasuklah ketiadaan cuti bersalin yang panjang, kurangnya masa bekerja yang fleksibel dan juga ketiadaan tempat-tempat penjagaan kanak-kanak di tempat-tempat kerja.

Menangani masalah

“Pihak Kementerian berharap untuk memulakan satu badan petugas pelabagai agensi untuk membentuk strategi-strategi yang boleh memperbaiki amalan penysusuan susu ibu di Malaysia. Ia termasuklah memperkukuhkan kepentingan penyusuan susu ibu dengan memastikan terdapatnya cuti bersalin yang lama dan juga adanya kemudahan-kemudahan penyusuan susu ibu di tempat awam dan tempat kerja,” jelas Dr. Safurah.

Dengan penerimaan komitmen pihak Kerajaan untuk menggalakkan dan melindungi penyusuan susu ibu untuk kanak-kanak dan wanita, Siti Norjinah masih bimbang akan tahap komitmen daripada majikan.

“Pada tahun 1983, saya telah memulakan program untuk ibu-ibu yang bekerja. Apabila kami memulakan Kempen Perlindungan Selepas Bersalin pada tahun 2000, Persekutuan untuk Para Majikan telah memulaukan forum kami kerana mereka takut kami akan meminta lebih banyak cuti bersalin. Saya hanya meminta cuti bersalin selama 120 hari,” terang Siti Norjinah.

”Saya bimbang akan kurangnya sokongan daripada para majikan yang akan memaksa ibu-ibu yang bekerja ini untuk beralih kepada susu formula,” tambah advokat yang merasakan penyusuan susu ibu ini sesuatu yang amat dekat di hati.

“Bersempena dengan Minggu Penyusuan Susu Ibu pada bulan Ogos ini, saya akan meletakkan program ibu selepas bersalin di dalam agenda. Saya amat berharap agar pihak Kerajaan akan menunjukkan sokongannya agar kita dapat memastikan kejayaan penyusuan susu ibu untuk semua kanak-kanak di Malaysia!”


Diolah oleh Indra Nadchatram
Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin


[unicef Malaysia]

Persepsi masyarakat ke atas pengukuhan integriti dalam perkhidmatan awam

Dalam sehari dua ini, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dilihat sebagai sebuah organisasi penguatkuasaan yang sangat aktif. Beberapa orang pegawai tinggi kerajaan telah dikenakan pendakwaan salah laku rasuah manakala terdapat sebilangan lagi yang akan dikenakan tindakan yang sama.

Antara yang ditahan ialah bekas Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia cawangan Kelantan dan beberapa orang pemimpin politik yang sedang disiasat kerana rasuah politik.

Manakala kes Proton Perdana dan Piala Monsoon pula melibatkan siasatan ke atas agensi penyedia perkhidmatan.

Kes-kes seperti ini telah mendapat liputan meluas oleh media massa dan elektronik negara yang memberi mesej bahawa kerajaan sedang melaksanakan langkah-langkah tegas bagi mengangani rasuah. Persepsi masyarakat juga mula terarah kepada persoalan “sejauh mana amalan rasuah telah berlaku dalam perkhidmatan awam di Malaysia?”

Mendedahkan perlakuan perasuah adalah satu tanggungjawab yang dipikul bersama supaya masyarakat dapat keluar daripada rasa takut atau menerima perkhidmatan yang tidak berkualiti. Dalam jangka masa panjang, rasuah hanya memusnahkan daya saing dan melembapkan perkembangan ekonomi negara. Seterusnya pelaburan dari negara luar akan berkurang dan mewujudkan golongan masyakarat yang menganggur.

Bebanan negara akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat sendiri di mana mereka terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi.

Bagi mereka yang pernah melancong atau berurusan di negara-negara yang kadar rasuahnya sangat tinggi, setiap perkhidmatan perlu dibayar. Contohnya ialah mengisi borang imigresen. Tanpa membayar seringgit dua, borang berkenaan tidak akan diproses dan pasport tidak akan dicop.

Tindakan seperti ini hanya memberi mesej yang negatif ke atas negara terbabit.

Di Malaysia, walaupun kerajaan Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia IIM) sebagai satu usaha menguatkan integriti dan membasmi rasuah, ia tidak begitu memberi kesan besar kepada penjawat awam.

Sejak diperkenalkan beberapa tahun yang lalu, masih terdapat pegawai kanan yang didakwa kerana terlibat dalam salah guna kuasa dengan meminta suapan ke atas sesuatu perkhidmatan yang diberikan. Di fikiran masyarakat, anggapan mereka adalah sama iaitu kenapa kerajaan perlu memperuntukkan wang yang banyak untuk mendidik penjawat awam yang berintegriti sedangkan kes-kes didakwa bukannya pekerja bawahan sebaliknya ketua jabatan.

Sudah sampai masanya sebuah institusi yang lebih berkesan daripada IIM atau PIN ditubuhkan supaya peruntukan yang besar ke atas kedua-dua institusi ini dapat disalurkan kepada pelaksanaan program yang lebih baik. Manfaat daripada IIM juga tidak dirasai oleh masyarakat sebaliknya pemikiran dan kehidupan sebahagian rakyat Malaysia dibebani oleh penjawat awam yang rakus dan inginkan kehidupan mewah dalam jangka masa pendek.

Kerajaan harus memikirkan untuk merancang program yang lebih tersusun bermula dari peringkat sekolah dan menjadikan institusi keluarga sebagai fokus. Apa yang dapat kita lihat sekarang ialah program meningkatkan integriti hanya bersifat musim dan tidak ada kaitan di antara kejayaan dalam kehidupan berkeluarga dan bernegara. Jadi, kumpulan sasar beranggapan mereka hanya perlu menjadi baik dan penuh integriti pada masa-masa tertentu sahaja.

Memperkasa institusi pendidikan tinggi Melayu

Salah satu daripada institusi penting bagi mengubah hidup orang Melayu ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kemajuan universiti ini telah memberi ruang dan peluang kepada masyarakat Melayu khususnya dari golongan menengah dan rendah. Dari Perlis hingga ke Sabah, UiTM menjadi agen perubahan terpenting sosiobudaya masyarakat ini.

Saranan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya UiTM menawarkan sepuluh peratus kouta kepada pelajar bukan Melayu disambut dengan bantahan keras daripada pelajar-pelajar universiti berkenaan. Perbarisan panjang yang diuruskan oleh majlis perwakilan pelajar menunjukkan mereka enggan menerima cadangan daripada Khalid.

Ramai alumni UiTM turut tidak berpuas hati dengan idea berkenaan. Pertubuhan bukan kerajaan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah membuat laporan polis kerana beranggapan cadangan tersebut adalah satu gerakan agresif untuk menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim pula mencadangkan menteri besar itu membina universiti sendiri untuk semua kaum kerana ideanya mengenai UiTM belum tentu mendapat sambutan. Ini kerana, bagi Dr. Khoo, pelajar-pelajar bukan Melayu kurang berminat untuk hidup bersama-sama pelajar Melayu yang ramai di UiTM kerana perbezaan budaya dan bahasa di samping perlu mengadaptasi diri mereka dengan suasana persekitaran yang baru. Justeru kouta sepuluh peratus berkenaan tidak perlu diteruskan.

Tan Sri Khalid membawa idea ini kerana pemikirannya yang lebih cenderung ke arah liberalisasi dalam pendidikan Malaysia dari perspektif peluang untuk belajar kepada semua rakyat Malaysia. Bagi beliau, institusi pendidikan seperti UiTM wajar mengambil pelajar-pelajar yang terdiri dari pelbagai latar belakang supaya wujud elemen keadilan dan kesaksamaan.

Di sini, elemen keupayaan individu diutamakan berbanding keperluan-keperluan lain seperti latar belakang ekonomi, taraf hidup dan kecemerlangan akademik. Ia juga membawa aspirasi bahawa Malaysia adalah untuk semua kaum dan bukannya milik Melayu sahaja.

Pemikiran liberal seperti ini dapat kita lihat di negara-negara Barat yang maju seperti Amerika Syarikat atau Kesatuan Eropah. Pemimpin negara-negara ini lebih yakin dengan sistem yang terbuka seperti itu kerana mereka memerlukan rakyat yang dapat mengekalkan momentum persaingan di peringkat global. Jika Malaysia ingin maju dan kekal dengan daya saing yang tinggi, Khalid yakin antara jalan penyelesaiannya ialah dengan menggalakkan persaingan secara terbuka.


Walau bagaimanapun adakah dengan memperkenalkan kaedah berkenaan akan dapat menjadikan pelajar-pelajar Melayu lebih cemerlang dan mampu berjaya dalam semua bidang? Belum tentu ia akan berlaku kerana masih banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.

Saranan Menteri Besar Selangor hanya akan menjadi kenyataan jika sistem pendidikan kita telah bersedia sepenuhnya dan setiap pelajar telah mendapat peluang yang sama. Tanpa ada persediaan ini, cadangan ini boleh dilupakan sahaja.

Bisnes dengan WAYN

WAYN (Where Are You Now) adalah laman web jaringan sosial yang dilancarkan di London pada 2002. Ideanya ialah menghubungkan seberapa ramai pelayar Internet. Ia berkembang dari 45,000 ahli kepada 10 juta ahli pada hari ini.

Laman web ini sangat popular di kalangan remaja berusia 18 hingga 25 tahun, malah mereka yang berumur 35 hingga 45 tahun juga menunjukkan minat untuk menggunakan laman web ini sebagai jaringan sosial.

WAYN memberi peluang kepada anda yang kreatif dan berbakat untuk menjual produk istimewa. Sebaik sahaja dijemput oleh rakan anda untuk menyertai jaringan sosial ini, segala bentuk cerita, berita, gambar, pengalaman mengembara dan kisah hidup seharian boleh dikongsi. Lebih beruntung jika di antara mereka ada yang mempunyai minat yang sama dengan anda.

Dengan keahlian yang semakin meningkat, pasaran terbuka luas untuk anda memasarkan produk. Apa saja produk yang boleh dijual dan dibeli.

Contohnya saya menerima e-mail daripada salah seorang kenalan baru di WAYN. Beliau merupakan seorang daripada anggota pasukan WAYN.COM yang bertanyakan tentang produk mereka iaitu mendekorasi mesej untuk disampaikan kepada seseorang. Saya tertarik dengan tawaran itu kerana tajuknya juga menarik: Ideas for Valentines Day?

Produk yang ditawarkan ialah reka cipta belon yang mengandungi mesej istimewa kepada rakan dan kenalan. Selain belon, hiasan lain ialah kad, bunga dan gambar-gambar yang menarik. Bayarannya juga tidaklah mahal, hanya di sekitar US$1 hingga US$2.

Beginilah caranya mencari wang jika kemahiran anda dapat dimanfaatkan dengan teknologi Internet.

Monday, August 11, 2008

Hikmat Puasa

Pengarang: Ahmad Syafi'i Khatib
Penerbit: Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur
Muka surat: 230

Buku Hikmat Puasa ini merupakan buku yang akan membincangkan tentang amalan puasa dari pelbagai sudut. Sebagaimana sudah dimaklumi puasa adalah rukun Islam yang keempat dan sangat tinggi kedudukanya sebagai salah satu amalan wajib bagi umat Islam. Selain membincangkan secara ilmiah dan fiqiah buku ini juga turut memperkatakan peranan puasa dari dimensi sosial dan kemasyarakatan.

Friday, August 08, 2008

Pemimpin perlu bijak memimpin

Oleh Lokman Ismail

Tanggungjawab sebagai pemimpin amat berat untuk dilaksanakan. Ia tidak sekadar dinilai di dunia, bahkan adalah antara amalan yang menjadi perhitungan berat di akhirat kelak. Setiap pemimpin akan menghadap Allah dan disoalkan apakah yang telah dilakukan berkaitan amanah sebagai pemimpin.

Antara ciri pemimpin yang baik ialah mengasihi dan mengambil berat soal kebajikan orang dipimpin, menyediakan keadaan selamat, selesa dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Oleh itu setiap pemimpin perlu mempunyai visi dan misi untuk kepentingan semua pihak. Semua perancangan dilakukan dengan teliti, bijak, fleksibel, berasas dan memahami keperluan semasa bagi membantu kejayaan.

Pemimpin yang baik tidak sekadar melaungkan slogan retorik, tetapi apa lebih penting ialah memahami kebenaran dan kesan terhadap apa yang diucapkan.

Pemimpin yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan tidak bermegah dengan jawatan dipegangnya.

Mana-mana pemimpin yang menggunakan slogan, hukum, kata-kata dan keputusan mutlak daripadanya sebagai senjata mengabuli mata rakyat, sedangkan ia tidak benar dan tidak mampu dilaksanakan, sebenarnya telah melakukan pendustaan yang menyesatkan diri dari jalan kebenaran.

Sesungguhnya setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa diucapkan. Ucapan pemimpin adalah janji, arahan, kenyataan dan mungkin juga dianggap hukum. Sebab itu, pemimpin tidak wajar mengeluarkan kata-kata ikut sedap mulut.

Individu bergelar pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji dusta sebagai perangkap meraih sokongan.

Perbuatan itu wajib dijauhi kerana ia adalah antara kezaliman lidah yang melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur-unsur kebenaran.

Justeru, pemimpin perlu menjauhkan perbuatan dusta dan mengubah perkara yang berkaitan kepentingan umum secara sewenang-wenangnya untuk kepentingan diri. Perbuatan itu samalah perbuatan khianat terhadap kepercayaan yang diberikan oleh rakyat atau ahli.

Satu lagi sifat mulia yang perlu dimiliki pemimpin ia sanggup menerima kritikan daripada orang bawahan. Kritikan adalah cara memperbaiki keburukan dilakukan pemimpin. Pemimpin juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.

Pemimpin yang mengaku kesilapan sebenarnya pemimpin paling amanah dan benar.

[Utusan Online, 08/08/2008]

Thursday, August 07, 2008

Wanita dakwa suami warga Pakistan larikan bayi

Seorang wanita tempatan mendakwa suaminya seorang rakyat Pakistan melarikan bayi lelaki mereka yang berusia hampir tiga bulan ke Dubai bulan lalu.

Salwanis Maaz, 31, berkata, suaminya, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, menghilang bersama Muhammad Bilal Nasir Mahmood Qadri selepas keluar dari rumah pada 26 Julai lalu atas alasan hendak menunjukkan bayi mereka itu kepada sepupunya di sini yang mahu pulang ke Pakistan.

''Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 7 pagi. Dia tidak membenarkan saya mengikutnya atas alasan ini adalah perjumpaan peribadi.

''Ketika itu saya rasa hairan sedikit kerana ini kali pertama dia tidak benarkan saya ikut dia," katanya.

Salwanis menyatakan demikian pada sidang akhbar di Pejabat Sekretariat Putera UMNO di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abd. Rahim.

Menurutnya, dia yang risau selepas gagal menghubungi dan mencari suami serta anaknya pada hari yang sama mengambil keputusan membuat aduan di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di Sepang.

Bagaimanapun dia terkejut apabila dimaklumkan oleh polis yang membantunya menghubungi pegawai Jabatan Imigresen bahawa suaminya telah menaiki penerbangan pada pukul 11.14 pagi menuju ke Dubai.

Tidak sangka

''Saya tidak sangka kejadian malang ini akan menimpa kerana suami saya seorang yang baik malah dia tidak pernah mengasari saya dan anak," ujarnya.

Menceritakan lebih lanjut, Salwanis berkata, suaminya merupakan ahli perniagaan dan mereka bersama-sama membuka sebuah pasar raya di Serdang Perdana dekat sini.

Dia mengenali suaminya menerusi Internet pada Mac tahun lalu dan kemudian melangsungkan perkahwinan di sini selepas lima bulan berkenalan.

''Sebenarnya, ibu bapa saya tidak menyetujui perkahwinan kami namun mereka akhirnya terpaksa akur dengan kehendak kami,'' katanya.

Menurutnya, dia kini terpaksa menanggung beban kewangan kerana perlu membayar pinjaman kereta dan sewaan premis perniagaan mereka.

[Utusan Online, 07/08/2008]

Wednesday, August 06, 2008

Urutan tradisonal

Ketika menghadiri kursus di Langkawi baru-baru ini, saya berjalan keluar dari sebuah motel untuk melihat deretan kedai di sekitar pantai, saya terpandang sebuah papan tanda yang tertulis "urutan tradisional Thai" yang digantung di hadapan sebuah kedai.

Kelihatan dari jauh beberapa orang lelaki keluar dan masuk termasuk pelancong asing. Saya juga berhajat untuk melihat apakah perkhidmatan yang ditawarkan di situ.

Rupanya kedai ini menawarkan khidmat urut tradisonal Thai yang berbeza dengan urutan biasa. Di samping itu, ia juga menyediakan urutan refleksiologi titik tumpu pada kaki. Jika refleksiologi biasa menggunakan jari, urutan di sini menggunakan kayu khas untuk menekan titik tumpu di kaki.

Oleh kerana ingin mengetahui keenakan urutan tradisional ini, saya mengambil keputusan untuk merasainya sendiri. Mengurut badan setelah seharian berkursus amat melegakan tekanan, membetulkan aliran darah dan menyegarkan kembali anggota badan yang lemah.

Lokasi tempat ini sangat mudah untuk dijumpai kerana berada di tepi jalan di samping deretan kedai menjual pakaian, sewa motosikal dan kedai makan. Ketika meletakkan badan di atas pangkin, kita akan disambut dengan alunan muzik Thai yang lemah gemalai sambil diterangi dengan deretan lilin di dalam balang kaca yang bersusun cantik.

Muzik menenangkan perasaan. Ditambah lagi dengan urutan yang sesuai, pelanggan akan pasti berpuas hati. Apatah lagi di sini ahli terapi memang mendapat latihan khusus dari Thailand untuk memberikan pengalaman sebenar kepada pelanggan.

Caj rawatan tidaklah mahal, sekitar RM43 hingga RM73 sama ada separuh badan, seluruh badan atau refleksiologi sahaja.

Monday, August 04, 2008

Homosexuality

Editor: Robert Winters
Tahun: 2007
Penerbit: The Gale Group, USA.
Muka surat: 166

Buku ini mengandungi empat bab yang berkaitan dengan homoseksualiti di Amerika Syarikat. Ia menyentuh mengenai peranan mahkamah di negara itu dalam hal aktiviti homoseksual dan perkahwinan serta hak-hak yang wajar diperoleh oleh pasangan homoseksual.

Beberapa kes terpilih dimuatkan di dalam buku ini sebagai panduan dan iktibar di sebalik tuntutan sebahagian pengamal homoseksual ini seperti kelayakan mengundi, berkeluarga dan pandangan terhadap diskriminasi undang-undang kepada golongan ini.

Bab pertama bertajuk 'States can outlaw sodomy' yang mengetengahkan kes Bowers c. Hardwick (1986), bab kedua ialah 'Gay people mat not be singled out for discrimination' yang mengaitkan Romer v. Evans (1996) sebagai kajian kes. Manakala bab ketiga 'Sodomy laws are unconstitutional' berkaitan dengan Lawrence v. Texas (2003) yang mana mengaitkan keputusan Mahkamah Agung dengan diskriminasi terhadap golongan homoseksual.

Bab keempat 'The question of same-sex marriage' adalah berkaitan kes Goodridge v. Deparment of Public Health (2003). Dalam salah satu huraian kes ini, ketua Mahkamah Keadilan Massachusetts berpendapat mengharamkan perkahwinan sejenis telah melanggar jaminan perlembagaan ke atas kebebasan setiap warganegara.

Masalah mendapatkan hak bagi pengamal homoseksual seringkali mendapat perhatian di Amerika Syarikat. Dari semasa ke semasa, tafsiran ke atas perlembagaan negara itu menjadi sebahagian daripada hujah golongan pro kebebasan individu bagi mengesahkan aktiviti seks mereka.