Friday, August 15, 2008

Persepsi masyarakat ke atas pengukuhan integriti dalam perkhidmatan awam

Dalam sehari dua ini, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dilihat sebagai sebuah organisasi penguatkuasaan yang sangat aktif. Beberapa orang pegawai tinggi kerajaan telah dikenakan pendakwaan salah laku rasuah manakala terdapat sebilangan lagi yang akan dikenakan tindakan yang sama.

Antara yang ditahan ialah bekas Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia cawangan Kelantan dan beberapa orang pemimpin politik yang sedang disiasat kerana rasuah politik.

Manakala kes Proton Perdana dan Piala Monsoon pula melibatkan siasatan ke atas agensi penyedia perkhidmatan.

Kes-kes seperti ini telah mendapat liputan meluas oleh media massa dan elektronik negara yang memberi mesej bahawa kerajaan sedang melaksanakan langkah-langkah tegas bagi mengangani rasuah. Persepsi masyarakat juga mula terarah kepada persoalan “sejauh mana amalan rasuah telah berlaku dalam perkhidmatan awam di Malaysia?”

Mendedahkan perlakuan perasuah adalah satu tanggungjawab yang dipikul bersama supaya masyarakat dapat keluar daripada rasa takut atau menerima perkhidmatan yang tidak berkualiti. Dalam jangka masa panjang, rasuah hanya memusnahkan daya saing dan melembapkan perkembangan ekonomi negara. Seterusnya pelaburan dari negara luar akan berkurang dan mewujudkan golongan masyakarat yang menganggur.

Bebanan negara akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat sendiri di mana mereka terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi.

Bagi mereka yang pernah melancong atau berurusan di negara-negara yang kadar rasuahnya sangat tinggi, setiap perkhidmatan perlu dibayar. Contohnya ialah mengisi borang imigresen. Tanpa membayar seringgit dua, borang berkenaan tidak akan diproses dan pasport tidak akan dicop.

Tindakan seperti ini hanya memberi mesej yang negatif ke atas negara terbabit.

Di Malaysia, walaupun kerajaan Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia IIM) sebagai satu usaha menguatkan integriti dan membasmi rasuah, ia tidak begitu memberi kesan besar kepada penjawat awam.

Sejak diperkenalkan beberapa tahun yang lalu, masih terdapat pegawai kanan yang didakwa kerana terlibat dalam salah guna kuasa dengan meminta suapan ke atas sesuatu perkhidmatan yang diberikan. Di fikiran masyarakat, anggapan mereka adalah sama iaitu kenapa kerajaan perlu memperuntukkan wang yang banyak untuk mendidik penjawat awam yang berintegriti sedangkan kes-kes didakwa bukannya pekerja bawahan sebaliknya ketua jabatan.

Sudah sampai masanya sebuah institusi yang lebih berkesan daripada IIM atau PIN ditubuhkan supaya peruntukan yang besar ke atas kedua-dua institusi ini dapat disalurkan kepada pelaksanaan program yang lebih baik. Manfaat daripada IIM juga tidak dirasai oleh masyarakat sebaliknya pemikiran dan kehidupan sebahagian rakyat Malaysia dibebani oleh penjawat awam yang rakus dan inginkan kehidupan mewah dalam jangka masa pendek.

Kerajaan harus memikirkan untuk merancang program yang lebih tersusun bermula dari peringkat sekolah dan menjadikan institusi keluarga sebagai fokus. Apa yang dapat kita lihat sekarang ialah program meningkatkan integriti hanya bersifat musim dan tidak ada kaitan di antara kejayaan dalam kehidupan berkeluarga dan bernegara. Jadi, kumpulan sasar beranggapan mereka hanya perlu menjadi baik dan penuh integriti pada masa-masa tertentu sahaja.

No comments:

Post a Comment