Saturday, March 14, 2020

Pengupayaan mualaf melalui keusahawanan







Puan Hana, seorang mualaf berketurunan Cina, ibu tunggal dan mempunyai tiga orang anak perempuan. Seorang daripadanya sudah mendapat pekerjaan dan dua orang lagi masih bersekolah. Mereka sekeluarga tinggal di rumah sewa di Kampung Sungai Buluh, Jalan Muara. Beliau menjalankan perniagaan makanan dan minuman.

Tempat perniagaannya di lobi bangunan Pusat Dakwah Islamiah sejak pertengahan tahun 2019 melalui inisiatif Unit Pengupayaan Mualaf.

Dua orang anak Puan Hana yang sedang bersekolah menerima bantuan pendidikan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (Japem) sejak tahun 2015 sebanyak B$65 sebulan manakala bantuan modal perniagaan dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) diterima pada tahun 2017 bagi menjalankan perniagaan melalui pembelian peralatan masakan sebanyak B$2000.

Beliau mencari agensi kerajaan yang memberi bantuan melalui inisiatif sendiri. Selepas berhadapan dengan masalah rumah tangga, Puan Hana memberanikan diri bertanya kepada jabatan kerajaan yang difikirkannya dapat menyediakan bantuan sara hidup khususnya bantuan yang dapat mengurangkan beban kewangan pendidikan anak-anak. Ketika berada di jabatan-jabatan ini beliau dimaklumkan pelbagai kriteria yang perlu dipenuhi sebelum bantuan diberikan.


Transformasi Sosial

Keadaan hidup sebelum menerima bantuan amat mencabar. Beliau sekeluarga pernah tidak makan nasi selama tiga hari, makan nasi goreng kosong dan kerap kali kehabisan wang perbelanjaan. Puan Hana melalui situasi ini dengan keadaan emosi yang tidak stabil kerana berhadapan dengan krisis rumah tangga.

[Beliau mempamerkan kesedihan melalui wajah yang sedih, mengalirkan air mata dan sebak. Hidungnya kelihatan agak kemerahan menahan sedih]

Keadaan hidup keluarga mula berubah apabila dua orang anaknya mendapat bantuan pendidikan pada tahun 2015. Bantuan ini telah mengurangkan sedikit sebanyak beban kewangan sekolah anak-anaknya, justeru beliau dapat memikirkan sumber pendapatan lain bagi membeli barangan keperluan harian.

Berita gembira yang beliau terima adalah mendapat bantuan modal perniagaan dari YSHHB pada tahun 2017. Melalui bantuan ini Puan Hana memulakan perniagaan makanan dan minuman secara kecil-kecilan dari rumah. Seterusnya beliau mendapat peluang menjaga kiosk di Pusat Dakwah Islamiah dan diberi upah dalam bentuk komisyen hasil daripada penjualan barangan di situ. Beliau juga menjual produk makanan dan minuman di kisok berkenaan.


Transformasi Ekonomi

Dalam perniagaan, beliau berhadapan dengan persaingan daripada pembekal-pembekal lain yang menyediakan produk yang hampir sama. Bagi mengatasi persaingan ini, beliau sentiasa melakukan penambahbaikan cita rasa, harga dan penampilan produk khususnya logo dan maklumat nutrisi.

Selain itu, beliau melakukan pemasaran melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp. Beliau mengemas kini maklumat produk supaya rakan-rakan sosial dapat menilai dan membuat pilihan. Promosi juga dibuat melalui perjumpaan bersama rakan-rakan ketika majlis ilmu atau aktiviti kejiranan. Kini, purata pendapatan harian beliau sekitar B$40 sehari.

Dari segi pembangunan kemahiran pengurusan kewangan, beliau mendapat banyak tunjuk ajar dari YSHHB yang menyediakan pelbagai kursus kewangan sehingga mendorongnya memperuntukkan sebanyak 50 peratus simpanan daripada keuntungan perniagaan. Melalui cara ini beliau dapat merancang perbelanjaan perniagaan khususnya untuk mencari tempat sewa jualan pada masa hadapan.

Puan Hana juga mempelajari kemahiran masakan, jahitan dan solekan yang disediakan oleh Pusat Dakwah Islamiah bagi mempelbagaikan kemahirannya. Di samping itu menghadiri kursus anjuran Pusat Pembangunan Belia dan IBTE. Melalui kursus ini beliau dapat meluaskan pengalaman dan fikirannya bagi memilih jenis perniagaan yang mahu diusahakan.


Jaringan Sosial

Tumpuan Puan Hana terarah kepada persatuan muslimah di Kampung Pulaie iaitu perkumpulan yang giat menjalankan aktiviti mengaji dan kebajikan serta keilmuan. Antara aktiviti yang beliau sertai adalah belajar membaca al-quran, ceramah agama dan ziarah. Beliau juga dapat menambah pendapatan melalui perkhidmatan sajian makanan dan minuman untuk majlis-majlis yang dianjurkan. Penglibatan dalam persatuan ini telah membantu menambah pendapatan beliau.


Kesimpulan

Secara umum, Puan Hana telah dapat merasai perubahan hidup selepas menerima bantuan dari Japem dan YSHHB apabila tidak lagi berhadapan dengan bebanan kewangan khususnya dapat membeli barangan keperluan dapur, membayar sewa rumah dan menguruskan pendidikan anak-anak.

Inisiatif beliau untuk menjana pendapatan melalui bantuan modal perniagaan menunjukkan sikap beliau yang aktif untuk mengubah hidup dan mendorongnya bekerja lebih gigih sehingga mampu membuat simpanan keuntungan sebanyak 50 peratus. Kemahuannya dalam kursus-kursus perniagaan dan peningkatan kemahiran ini menunjukkan keinginan yang tinggi untuk mengubah kehidupan diri dan keluarganya.

Tuesday, March 03, 2020

Centrik Melayu dalam politik Malaysia






Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan pada 1 Mac 2020 mencatat sejarah baru dalam politik negara. Penzahiran perdana menteri kelapan ini disempurnakan dalam majlis angkat sumpah dan taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipilih kerana mempunyai majoriti sokongan undi dan diminta menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ucapan tahniah tidak henti-henti diberikan kepada beliau dan diiringi doa mengharapkan Malaysia dalam keadaan aman dan maju.

Perjalanan kejayaan Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri bermula apabila gabungan parti yang membentuk kerajaan Malaysia iaitu Pakatan Harapan (PH) telah tumbang dan hilang majoriti di Parlimen Malaysia. Seramai sebelas orang ahli parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar dari PH dan bergabung dengan kelompok pembangkang yang didominasi oleh Barisan Nasional, Muafakat Nasional, GPS dan parti-parti kecil di Sabah dan Sarawak. Seterusnya Bersatu yang bertindak keluar dari PH bergabung dengan kelompok parti ini.

Pagi hari sebelum bertolak ke Istana Negara untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong, Tan Sri Muhyiddin berbaris bersama pimpinan parti-parti yang menyokong beliau. Ketika ini beliau menyatakan gabungan mereka dinamakan Perikatan Nasional (PN).

Sepanjang tempoh seminggu, suasana panas dalam politik negara menggusarkan ramai orang. Beberapa keputusan yang berbolak-balik seperti menarik balik peletakan jawatan, surat sumpah, penafian dan berpindah sokongan telah menjadikan proses perdamaian konflik semakin sukar difahami.

Kejatuhan PH belaku kerana komponen parti bertindak keluar dari gabungan tersebut. Ia berlaku kerana terdapat perbalahan dari segi tarikh yang perlu diberikan oleh Tun Dr Mahathir untuk melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia juga ada kaitan dengan terdapatnya permintaan untuk jawatan timbalan perdana menteri oleh Datuk Seri Anwar.

Walau bagaimanapun isu-isu yang berlaku ini kerap dibincangkan oleh beberapa orang pengulas politik di YouTube seperti Raja Petra Kamarudin (RPK), Lokman Adam dan Papagomo.

RPK menyebut kegelabahan DAP apabila Perikatan Nasional dibentuk oleh UMNO dan PAS. Inti patinya adalah DAP menganggap Malaysia akan gagal apabila semua Melayu (ahlli parlimen) membentuk kerajaan. Beliau memberi hujah terhadap pandangan rasis dan Islamofobia DAP yang menganggap apa sahaja yang dikaitkan dengan orang Melayu atau Islam adalah satu keburukan. DAP juga memberi gambaran bahawa pengundi telah memilih kerajaan PH dan menukar kerajaan dianggap melanggar demokrasi.

Berikut adalah kronologi kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.


2018

9 Mei
Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional.

10 Mei
Tun Dr Mahathir, 92 tahun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

16 Mei
Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pangampunan Diraja.


2020

21 Februari (Jumaat)
Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju memberi kebebasan kepada Tun Dr Mahathir menentukan peralihan jawatan perdana menteri.

Tun Dr Mahathir memaklumkan akan melepaskan jawatan selepas APEC 2020.


22 Februari (Sabtu)
PAS tidak jadi meneruskan rancangan undi percaya kepada Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri.


23 Februari (Ahad)
Pemimpin Bersatu, UMNO dan GPS mengadakan perjumpaan berkenaan spekulasi menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Perjumpaan Bersatu, UMNO, PAS, GPS dan kumpulan Azmin Ali bersama YDA.

Majlis makan malam ahli parlimen di Hotel Sheraton. Ia dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’.


24 Februari (Isnin)
Perjumpaan Tun Dr Mahathir bersama Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

PKR dan DAP mengadakan mesyuarat tergempar bersama.

PKR memecat Azmin dan Zuraida serta 9 ahli PKR.

Pakatan Harapan tumbang selepas Bersatu keluar.

Tun Dr Mahathir melepaskan jawatan pengerusi Bersatu.

YDA melantik Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim. Kabinet Malaysia dibubarkan.


25 Februari (Selasa)
Tun Dr Mahathir berjumpa pimpinan Bersatu, DAP, PKR, Amanah, UMNO, PAS dan Azmin.

YDA berjumpa dengan 83 Ahli Parlimen.

BN, PAS dan PBRS memutuskan pilihan raya sebagai penyelesaian.


26 Februari (Rabu)
YDA berjumpa dengan baki ahli parlimen.

Tun Dr Mahathir mencadangkan kerajaan perpaduan.

Pakatan Harapan mencadangkan Datuk Seri Anwar sebagai perdana menteri.


27 Februari (Khamis)
Pakatan Harapan dan Bersatu bersetuju mengekalkan kerajaan Kedah.

Kerajaan Johor mendapat pimpinan baru apabila Bersatu menyertai BN dan PAS.

Tun Dr Mahathir kembali menjadi pengerusi Bersatu.


28 Februari (Jumaat)
Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas.

YDA memaklumkan tidak ada pemimpin yang mendapat majoriti dan Istana Negara meminta parti-parti politik menyerahkan nama yang baru.

Kumpulan Azmin menyertai Bersatu.

Bersatu, BN, PAS, PBRS mencadangkan Tan Sri Muhyidin sebagai calon perdana menteri.

Pakatan Harapan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Pengerusi UMNO Johor menjadi Menteri Besar Johor.


29 Februari (Sabtu)
Pakatan Harapan mencadangkan Tun Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan yakin mendapat sokongan majoriti.

Semua pemimpin parti dan ahli parlimen Bebas menghadap YDA untuk menyerahkan senarai calon.

Istana Negara memaklumkan Tan Sri Muhyidin Yassin akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020.


1 Mac 2020 (Ahad)
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan pada pukul 10.30 pagi di Istana Negara.


Pandangan lain diutarakan oleh Tan Sri Rais Yatim dalam tulisannya ‘Tsunami politik Melayu atau terbongkahnya politik Malaysia’ di akhbar Sinar Harian. Tulisan ini cuba mendedahkan beberapa kepincangan yang dilakukan oleh komponen PH iaitu DAP terhadap orang Melayu. Beliau berpandangan orang Melayu dan bumiputera kurang meyakini DAP dan PKR untuk pembentukan negara bangsa dan masa depan.

‘Daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) hingga ke majlis-majlis daerah seluruh negara, perwakilan bukan bumiputera kian bertambah dan kepentingan bumiputera menjirus hasil tadbir yang didapati berat sebelah. Di negeri-negeri yang ditawan DAP-PKR, tanah milik pekan dan bandar sedang ditimbang untuk diberi hak milik kekal, tidak lagi 66 tahun atau 99 tahun.’

Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengatakan PKR bukanya parti Melayu sebaliknya parti pelbagai bangsa. Secara tidak langsung dasar ini mengukuhkan dasar DAP. Di bandar, DAP mahu menguatkuasakan pilihan raya perbandaran yang diketahui merupakan kawasan dominasi bukan Melayu.

Beliau juga menyatakan kesantaian Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang kurang peka dengan kepentingan mempromosi dasar-dasar kerajaan PH menyebabkan masyarakat tidak sedar kebaikannya.

Begitu juga dengan kesungguhan DAP menjuarai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang bersaing dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sikap Dong Zong terhadap tulisan jawi dan meminggirkan politik ekonomi, sosialisasi dan sosialisasi majmuk.

Tulisan Rais Yatim ini menggambarkan kegelisahan pemimpin Melayu terhadap tindakan DAP dalam mentadbir kerajaan Malaysia. Mereka perlu melakukan sesuatu untuk menghalang rancangan ini berterusan melalui pemikiran saintifik kepentingan Melayu, Islam dan bumiputera di Malaysia.

Selepas melihat kembali semua episod yang berlaku, barangkali kita dapat merumuskan semuanya berlaku dengan perancangan yang rapi dan berkesan. Ucapan ‘Alhamdulillah’ Datuk Seri Azmin Ali selepas bekerja keras seminggu mempunyai maksud tersirat dan tanda tanya. Bagaimanapun perpaduan Melayu dan Islam kembali dimartabatkan oleh pemimpin politik yang matang dalam memahami ‘Malay centric’ di Malaysia.

Wednesday, February 19, 2020

Sambutan kemerdekaan Brunei ke-36





Di Brunei, setiap kali sambutan ulang tahun kemerdekaan tiba, semua premis perniagaan diminta memasang kain rentang yang menzahirkan rasa syukur.

Tahun ini menyaksikan kain rentang yang pelbagai warna dipasang di bahagian hadapan premis. Antara warna yang disediakan ialah hijau, merah dan biru.

Sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 pada tahun 2020 ini, upacara menaikkan bendera besar dilakukan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Acara-acara lain termasuk Larian Hari Kebangsaan 2020 (29 Mac 2020), Majlis Khatam Al-Quran 36 kali (5 Mac 2020), Pertandingan Bicara Berirama (9 April 2020), Kejohanan Gasing Pangkah Terbuka (13-15 Mac 2020), Pesta Buku Brunei (28 Februari - 8 Mac 2020) dan Program Belia Cinta Tanah Air kali Ke-15 (11-25 Februari 2020).

Tema sambutan adalah 'Menjayakan Wawasan Negara'.


Friday, February 14, 2020

Pelihara keturunan dan masyarakat






Keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang menolak permohonan seorang kanak-kanak Melayu Islam untuk meletakkan ‘bin’ kepada bapanya menerima perhatian masyarakat. Keputusan ini mengesahkan bahawa anak tidak sah taraf tidak boleh dibinkan kepada bapa biologi, seiring dengan keputusan jawatankuasa fatwa negeri-negeri yang telah menetapkan keputusan yang sama.

Antaranya selari dengan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1981 yang memutuskan anak zina atau anak luar nikah hendaklah dibinkan kepada Abdulah atau nama-nama Allah.

Di bawah undang-undang syariah, anak tidak sah taraf adalah kanak-kanak yang lahir kurang daripada enam bulan selepas pernikahan ibu dan bapa.

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan mentakrifkan anak tidak sah taraf atau anak luar nikah sebagai anak yang lahir atau terbentuk sebelum diadakan perkahwinan yang sah. Jika anak tidak sah taraf itu perempuan dan mahu berkahwin di kemudian hari, maka walinya adalah wali hakim.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara, antara tahun 2010 hingga 2018 terdapat 172,811 orang anak tidak sah taraf beragama Islam didaftarkan. Daripada jumlah ini, ia dibahagikan kepada anak yang lahir dalam ikatan sah tetapi gagal didaftarkan dan selebihnya adalah anak zina.

Hal ini kerana anak tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya, tidak kepada lelaki yang menjadi bapa biologinya.

Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjelaskan bahawa semua nafkah dan saraan hidup mereka menjadi tanggungjawab ibu.

Banyak masalah yang akan timbul apabila anak tidak sah taraf ini dibinkan kepada bapa biologi seperti kecelaruan keturunan, tuntutan hak dalam pewarisan, perpecahan keluarga, stres, bergaduh, penyebaran penyakit dan perlakuan tidak bermoral.

Pengkaji-pengkaji dalam isu ini memberikan pelbagai faktor yang menyebabkan bilangan anak tidak sah taraf ini semakin meningkat dan memberikan kesan kepada perundangan.

Adibah dan Siti Zubaidah (2017) menyatakan kelahiran anak tidak sah taraf menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengalami krisis akhlak yang sangat serius dan perlu dtangani. Kelahiran anak tidak sah taraf merupakan kesalahan yang paling serius berhubung akhlak kerana ia telah merosakkan nasab dan bertentangan dengan ajaran Islam dalam proses menyambungkan zuriat.

Mohd Salleh et al., (2019) melihat peningkatan trend penzinaan dalam masyarakat mampu menggugat kestabilan keluarga. Tanpa perkahwinan, keturunan bakal disabotal, diketepikan dan tidak dipedulikan.

Biarpun banyak kajian yang dikendalikan untuk mengetahui sebab-musabab kepada keruntuhan institusi keluarga dan pergaulan bebas, tidak banyak kajian yang diketengahkan untuk mengetahui bagaimana tindak balas masyarakat terhadap isu anak tidak sah taraf ini.

Kajian Ahmad Munawar et al., (2018) yang membuat kajian persepsi terhadap anak tidak sah taraf di Hulu Langat, Selangor menunjukkan keluarga dan masyarakat yang dikaji sedia memainkan peranan untuk menghilangkan stigma negatif terhadap anak tidak sah taraf.

Persoalan anak tidak sah taraf sedikit terungkai dengan keputusan yang dicapai ini. Ia memberi mesej kepada ibu bapa untuk menjaga akhlak anak-anak supaya berada dalam landasan hidup beragama. Pendidikan agama yang cukup dapat menjadi benteng kepada masalah sosial, pergaulan bebas dan akhlak buruk yang boeh disebarkan melalui rakan sebaya atau media sosial.


Rujukan

Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail. (2017). Kehamilan luar nikah dari perspektif undang-undang jenayah syariah di Malaysia dan pengawalannya melalui program pencegahan. Jurnal Undang-undang dan Masyarakat, Isu Khas.

Mohd Salleh, M.M., Ahmad, N.M. dan Zahalan, N.M.H. (2019). Pengurusan dan perlindungan anak tak sah taraf melalui ‘Baby Hatch’: Satu penilaian daripada perspektif maqasid syariah dan undang-undang Malaysia. Al-’Abqari: Journal of Islamic Social Sciences and Humanities. 13, (Feb. 2019), 87-102.

Ahmad Munawar Ismail danN. A. I. (2018). Perception of muslim community in Hulu Langat pertaining to illegitimate child. Malaysian Journal of Islamic Studies (MJIS), 2(2), 1-13.

Saturday, February 08, 2020

Ambuyat makanan popular







Makanan popular di Brunei yang mesti dicuba adalah ambuyat. Terdapat set pilihan yang sesuai untuk dua atau tiga orang yang berharga antara B$16 hingga B$22 mengikut cita rasa masing-masing.

Menu utama ambuyat adalah sagu, ikan atau daging, sayur, sambal binjai dan ulam-ulaman.

Jika dilihat pada jenis hidangan, ambuyat lebih seimbang dari segi pengambilan nutrisi. Ia mengandungi karbohidrat, protein dan pelbagai zat makanan khususnya yang terdapat dalam ulam-ulaman yang diambil secara mentah.

Cara makannya juga perlukan kemahiran.

Sagu dimakan menggunakan penyepit buluh, diguntil dan digulung lalu diangkat supaya cepat putus. Kemudian dicicah dengan sambal binjai.

Masakan ikan atau daging boleh dimakan begitu saja atau diceduk ke dalam pinggan dan dicicah bersama sagu.

Ulam-ulaman boleh dicicah dengan sambal binjai atau dimakan terus.

Antara restoran yang menyediakan ambuyat adalah rangkaian Restoran Aminah Arif di Batu Bersurat, Salambigar dan Sengkurong serta Restoran Pajo di Kampung Pintu Malim.

Mereka yang kali pertama mencuba ambuyat akan berasa susah menggunakan penyepit namun boleh menggunakan sudu dan garfu sebagai pilihan. 

Selain itu, mereka juga mengambil masa untuk menghabiskan semua makanan kerana banyak masa digunakan untuk mengguntil dan menggulung sagu sambil bercerita mengenai keunikan ambuyat.

Thursday, January 23, 2020

Kebaikan e-dompet







E-Tunai Rakyat yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada 15 Januari lalu merupakan inisiatif bagi menggalakkan budaya digital dan menyediakan masyarakat tanpa tunai. Kerajaan memilih tiga platform pengendali iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet bagi menggalakkan perbelanjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Inisiatif ini juga menggalakkan sektor industri kecil dan sederhana menggunakan e-dompet dalam urusan harian. Kaedah ini dapat menarik pelaburan yang lebih berkualiti dan menjana nilai lebih tinggi supaya jurang pendapatan dapat dirapatkan.

Peruntukan sebanyak RM450 juta kepada rakyat Malaysia melalui e-Tunai Rakyat telah menggalakkan pertambahan pelanggan kepada ketiga-tiga penyedia platform ini. Penerimaan wang RM30 melalui e-dompet meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mendaftar di ketiga-tiga platform tersebut.

Touch ‘n Go mencatat pertambahan sepuluh kali ganda kepada 7.3 juta pengguna, Boost mencatat 25 kali ganda manakala GrabPay mencatat enam kali ganda.

Selain daripada tiga syarikat di atas, terdapat penyedia lain yang menawarkan e-dompet di Malaysia seperti Lazada Wallet, Samsung Pay, Vcash, WeChat Pay, BigPay, Maybank Pay, Setel, AEON Wallet dan Razer Pay.

E-dompet atau e-wallet merupakan devais elektronik atau dalam talian yang membenarkan transaksi dilakukan melalui komputer atau telefon pintar. Kebanyakan e-dompet seperti kad kredit atau debit dihubungkan kepada akaun bank pengguna untuk membuat pembayaran. Selain itu, pengguna dihubungkan melalui imbasan kod QR. Penggunaannya dilindungi oleh kata kunci atau pengenalan peribadi. Transaksi melalui teknologi Near Field Connection (NFC) juga digunakan tetapi kebanyakannya tidak disokong telefon pintar.

Di Malaysia, penggunaan e-dompet adalah untuk bayaran bil, makanan, tol, petrol, barangan peribadi dan perbelanjaan runcit. Bank Negara Malaysia menganggarkan nilai transaksi e-dompet sebanyak RM10.6 bilion dari Januari hingga Ogos 2019. Syarikat perkhidmatan profesional PricewaterhousesCoopers Malaysia menganggarkan pertumbuhan e-dompet di Malaysia akan meningkat kepada US$20 bilion atau RM83.8 bilion pada tahun 2024.

Kelebihan penggunaan e-dompet berbanding tradisional adalah lebih laju, lebih selesa, lebih mudah, selamat, terkawal dan jaminan perlindungan data.

Dalam dunia internet hari ini, perkhidmatan yang pantas dan segera menjadi keutamaan pengguna. Kita sudah tentu tidak mahu menunggu dua atau tiga hari untuk melihat transaksi kewangan ketika membeli barang yang kita mahu, sebaliknya kita mahukan barang tersebut sampai ke rumah dalam masa satu atau dua hari selepas pembayaran. Begitu juga beratur membeli barang. Kita tidak perlu menghabiskan masa semata-mata beratur panjang di kaunter untuk membayar bil, tiket parkir atau barangan lain.

E-dompet menjadikan proses membawa wang lebih mudah dan selesa kerana tidak perlu membawa tunai. Nilai tunai RM1000 yang diletakkan di dalam dompet menjadikan dompet lebih tebal dan sukar dimasukkan ke dalam poket seluar. Keadaan ini boleh memberikan peluang kepada pencuri mengintai dan mencari masa menyeluk saku dan mengambil wang tanpa izin.

Penggunaan digital piawaian tinggi menjadikan data lebih selamat. Andainya kita kehilangan kad, telefon atau devais yang menyimpan maklumat perbankan, kita boleh menghalang penggunaan kad tersebut melalui bank. Agensi penyedia e-dompet juga boleh menghalang penggunaan tidak sah melalui kawalan kata kunci yang disahkan melalui mesej yang dihantar kepada telefon berdaftar. Penggunaan Transaction Authorization Code (TAC) yang mengandungi enam digit kod pengesahan adalah pelindung tambahan keselamatan untuk mengesahkan tuan punya nombor telefon.

Biasnya pengguna tidak dapat mengingati transaksi pembelian lepas, justeru melalui e-dompet mereka dapat melihat kembali semua transaksi pembelian kerana setiap transaksi akan direkodkan. Cara ini dapat membantu mereka menguruskan aktiviti pembelian dengan berhemah. Pengguna sendiri yang mengawal dan menentukan tabiat pembelian supaya dapat mengurus kewangan dengan lebih berhemat.

Agensi penyedia e-dompet terikat dengan undang-undang yang menghalang mereka daripada mendedahkan identiti pelanggan. Malahan sebelum sesuatu penyedia e-dompet dibenarkan beroperasi, mereka akan menguji tapisan tahap keselamatan dan membuktikan keupayaan teknologi untuk menguruskan sistem ini.

Penggunaan e-dompet turut menjimatkan wang perbelanjaan. Melalui kaedah tradisional, pengguna yang hendak membayar bil atau membeli barang perlu menggunakan kenderaan, membayar parkir dan beratur untuk pembayaran. Apabila sampai ke tempat yang dituju, mereka telah menggunakan perbelanjaan yang menyedut wang mereka. Dengan kaedah e-dompet, mereka hanya menggunakan telefon pintar atau komputer di rumah untuk membuat pembayaran atau memesan barang yang akan dihantar ke rumah.

Sistem ekologi e-dompet akan berkembang dan meluas di Malaysia. Orang ramai yang semakin kritikal dalam pengurusan perbelanjaan kewangan akan mencari platform yang dapat mengurangkan pengaliran keluar wang mereka untuk aktiviti pasif seperti beratur panjang untuk membayar bil elektrik. Masyarakat yang celik internet tidak akan menunggu lama untuk beralih menggunakan e-dompet berbanding wang tunai dalam urusan pembelian dan pembayaran, menjadikan kad kredit dan kad debit tidak lagi penting. Hanya dengan memiliki sebuah akaun bank, pengguna dapat mengoperasi e-dompet dalam tempoh yang singkat.


Sunday, January 19, 2020

Pelbagaikan jenis penyedut minuman






Setelah straw plastik tidak digalakkan penggunaannya di restoran dan kedai makan, pelbagai idea diutarakan sebagai ganti penyedut minuman plastik itu. Idea-idea ini kebanyakannya menyasarkan tekologi hijau sebagai penyelesaian.

Antara idea ini adalah serai, kercut, kertas kitar semula, kaca, agave (tumbuhan kaktus), mee kering, rumpai laut, buluh, besi dan silikon.

Di Vietnam, terdapat idea yang mesra alam iaitu menggunakan rumput liar 'gray's sedge'. Di negara kita ada juga warung yang menyediakan gelas minuman plastik yang tersedia sekali penyedut minuman.

Di seluruh dunia, terdapat keinginan yang kuat daripada orang ramai untuk mengurangkan penggunaan plastik seperti tidak menggunakan beg plastik di pasar raya. Jika ada pun ia digantikan dengan beg plastik yang mudah terurai seperti dilakukan di pasar raya Mydin,

Pengguna yang mahukan beg plastik mereka perlu membayar 20 sen. Namun kebanyakannya membawa beg sendiri untuk mengisi barangan.

Perubahan sikap sesebuah masyarakat terhadap idea baru perlukan sedikit masa. Ia bermula dengan pertembungan idea baru dan amalan lama yang sudah berakar umbi dalam masyarakat. Penggunaan penyedut minuman plastik sudah lama. Seruan supaya meninggalkan amalan ini sangat sukar kerana kita belum biasa minum tanpa straw.

Pengusaha restoran makanan dan minuman menyambut baik saranan ini kerana mereka dapat mengurangkan kos operasi. Namun, pengunjung sudah tentu tidak selesa apabila minum dalam gelas tanpa straw. Jika diberi masa, masyarakat akan sedia menerima budaya baru ini dan tidak menghadapi masalah menggunakan penyedut minuman serai.

Tuesday, January 14, 2020

Keberkesanan program pembasmian kemiskinan di Brunei







Pembasmian kemiskinan di Brunei memberi tumpuan kepada kelompok miskin relatif yang diusahakan melalui pelbagai agensi. Antara faktor kemiskinan di Brunei adalah hilang pekerjaan, kehilangan ketua isi rumah dan pengangguran.

Di Brunei tidak terdapat Pendapatan Garis Kemiskinan yang khusus bagi menentukan tahap kemiskinan, namun dalam satu kajian pada tahun 2014 menyatakan purata pendapatan bagi sepuluh peratus isi rumah termiskin ialah B$994 sebulan. Anggaran perbelanjaan untuk sehari ialah sekitar B$30 hingga B$35 sehari.

Agensi yang terlibat secara langsung dalam pembasmian kemiskinan dan bantuan kebajikan di Brunei adalah Jabatan Pembangunan Masyarakat (Japem), Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB). Ketiga-tiga agensi ini diuruskan secara profesional dan mempunyai kumpulan sasar masing-masing. Model pengurusan juga berbeza kerana penerima bantuan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Pertubuhan bukan kerajaan juga membantu agensi kerajaan dan institusi yayasan mengurangkan kemiskinan seperti Majlis Keselamatan Masyarakat (MKM), Society for Community Outreach and Training (SCOT), Projek Bina Ukhwah dan Katakijau Humanitarian Relief Support Group (KatakIjau). Institusi bank seperti BIDB dan syarikat korporat seperti DST turut melaksanakan program bantuan mereka sendiri.

Jabatan Pembangunan Masyarakat (Japem), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei mempunyai skop perkhidmatan dan bantuan yang lebih umum dan meluas. Kumpulan sasar juga merangkumi kelompok miskin, orang susah, warga emas, kanak-kanak, kurang upaya dan yang ditimpa musibah.

Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Hak Ehwal Ugama Brunei yang bertanggungjawab menguruskan bantuan zakat kepada kumpulan yang dikenal pasti khususnya asnaf. Pelbagai program pembangunan dan keusahawanan diperkenal seperti Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) yang dikategorikan sebagai Propaz-PPB, Propaz-Perantis, Propaz-Ziraah dan Propaz-Keusahawanan.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) adalah entiti langsung daripada Kebawah Duli yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang membantu kelompok sasar melalui aktiviti pemerkasaan dan kebajikan. Fokus YSHHB adalah membantu penerima bantuan berdikari dan keluar dari kelompok miskin dengan menyalurkan dana untuk perniagaan, pendidikan dan pelbagai jenis bantuan. Pihak YSHHB juga menyediakan perkhidmatan intervensi seperti kelas tambahan kepada pelajar sekolah yang dikenal pasti dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

Bagi mengetahui keberkesanan program dan impak bantuan perniagaan ke atas penerima bantuan dari Japem dan YSHHB, satu sesi temubual telah diadakan bersama tiga orang responden. Penerima bantuan ini terdiri daripada dua orang wanita dan serang lelaki. Temubual ini bagi mengenal pasti sejauhmana perubahan sosial dan ekonomi sebelum dan selepas menerim bantuan perniagaan. Antara aspek yang ditanya adalah mengenai transformasi hidup, pengumpulan aset dan peranan melibatkan diri dalam persatuan.

Responden pertama, Encik A, merupakan seorang peniaga perabot rehal dan kabinet rumah. Beliau menerima bantuan dari YSHHB dalam bentuk peralatan mesin sejak tahun 2017. Perniagaan yang diusahakannya telah bermula lebih awal lagi dengan membuat tongkat namun menukarkannya kepada produk sekarang kerana permintaan tongkat tidak begitu menggalakkan. Kini beliau mempunyai tiga orang pekerja dengan keuntungan bersih sehingga seribu ringgit sebulan. Beliau tinggal di Rancangan Perumahan Negara Meragang.

Responden kedua, Puan D, mengusahakan perniagaan biskut, jahitan dan kraf manik di Kampung Salambigar dan Kampung Selayun. Beliau menerima bantuan pembelian peralatan memasak dari YSHHB bagi menghasilkan lebih banyak kuih. Sebelum itu beliau penerima bantuan dari Japem bagi meringankan beban kewangan kerana menguruskan seorang anaknya yang dimasukkan ke rumah kebajikan Kanak-Kanak Cacat (KACA). Di sini beliau mendapat tahu tentang bantuan perniagaan yang disedakan oleh YSHHB bagi membantu perniagaan. Melalui perniagaan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga B$3000 sebulan khususnya pada musim perayaan.

Responden ketiga, Puan J, pengusaha makanan di Berakas. Beliau menerima bantuan modal perniagaan peti ais sejuk beku dari YSHHB sejak awal tahun 2019. Sebelum itu beliau hanya menyimpan bahan mentah dan ayam di dalam peti ais yang kecil. Puan J memulakan perniagaan sendiri sejak tahun 2009 dengan menjual nasi katok dan ayam goreng dari rumah ke rumah di Berakas kerana mahu menampung perbelanjaan suami yang sering berkurangan. Gaji bulanan suaminya pernah berbaki hanya B$14 selepas ditolak semua perbelanjaan. Kini beliau mengusahakan masakan pizza, mee goreng dan ayam goreng.


Transformasi Sosial

Ketiga-tiga responden menyatakan sebelum ini mereka berhadapan dengan kesukaran kewangan untuk perbelanjaan keluarga.

Encik A berkongsi kesusahan hidup bersama keluarga kerana wujud persepsi negatif terhadap latar belakang beliau sebagai bekas penagih dadah dan pernah dipenjarakan selama lapan tahun. Oleh kerana tidak memiliki pekerjaan, beliau bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja di sebuah bank. Walau bagaimanapun penagihan dadah telah merosakkan pengurusan kewangan keluarga kerana perbelajaan digunakan untuk membeli dadah berbanding keperluan keluarga.

Selepas ditahan atas kesalahan dadah, beliau dimasukkan ke penjara selama lapan tahun. Beliau mendapat kemahiran membuat perabot semasa di penjara seterusnya mempraktikkan kemahiran tersebut selepas dibenarkan keluar. Mengenai bantuan modal perniagaan YSHHB, beliau mendapat maklumat berkenaan ketika wakil agensi tersebut memberi taklimat kepada banduan di penjara.

Selepas dibebaskan, beliau memulakan perniagaan tongkat namun bertukar kepada rehal dan kabinet rumah kerana permintaan yang lebih banyak daripada pelanggan. Bantuan perniagaan yang diterima dari YSHHB ialah peralatan mesin yang membantu mempercepatkan penghasilan produk perabot. Beliau juga melihat syarikatnya mula berkembang dan menggajikan tiga orang pekerja untuk membantunya menyiapkan tempahan yang semakin bertambah.

Kini, kehidupan Encik A telah banyak berubah. Pendapatan yang dijana melalui perniagaan perabot telah mengurangkan bebanan perbelanjaan harian dan bulanan keluarga. Beliau juga dapat menambah jaringan rakan-rakan sama ada dalam kalangan peniaga perabot atau pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaannya melalui sokongan peribadi atau galakan menghasilkan produk yang lebih berkualiti.

Sebelum menerima bantuan modal perniagaan, Puan D menerima bantuan kebajikan bulanan dari Japem bagi mengurangkan kesusahan hidup keluarga. Kehidupan yang sukar tanpa pendapatan tambahan menjadika hidupnya sentiasa dihimpit masalah kewangan. Namun, maklumat daripada rakan-rakan yang menghantar anak-anak ke rumah kebajikan KACA telah membuka fikirannya untuk mencuba mendapat bantuan modal bagi perniagaan kuih dan kraf manik.

Sebelum mendapat peralatan mesin, beliau membuat kuih dengan perkakas tradisional yang tidak dapat dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Jenis kuih juga tidak banyak kerana proses menyediakan satu jenis kuih mengambil masa. Selepas menerima peralatan mesin membuat kuih dari YSHHB, beliau dapat menyediakan lebih banyak jenis kuih dan memenuhi tempahan pelanggan khususnya ketika musim perayaan. Penjanaan pendapatan dari hasil jualan juga meningkat dengan keuntungan bersih di antara B$300 hingga B$400 sebulan. Jumlah ini turut disumbangkan melalui perniagaan kraf manik dan jahitan yang dijalankan.

Puan J, pengusaha makanan yang gigih dan mahu mengubah hidup keluarga. Beliau memiliki tujuh orang anak dan mengusahakan nasi katok dan ayam goreng di sekitar kawasan tempat tinggalnya. Beliau melakukannya sendirian iaitu dari proses menerima tempahan, memasak, membungkus dan menghantar makanan kepada pelanggan. Bagi pelanggan yang berdekatan, mereka akan datang mengambil sendiri makanan yang telah dimasak.

Kesukaran berbelanja untuk keluarga kerana kekangan kewangan menjadikan Puan J lebih gigih untuk mencari pendapatan. Kesusahan hidup ini menyebabkan beliau mencari agensi bantuan yang dapat menyediakan peralatan menyimpan makanan sejuk beku. Justeru beliau memohon bantuan modal perniagaan dari YSHHB untuk membeli peralatan berkenaan. Dengan peti sejuk beku ini beliau dapat menyimpan stok barang yang diperlukan dengan lebih baik, dapat mengurus belanja pembelian yang lebih sistematik dan memenuhi tempahan pelanggan dengan teratur. Ketika ini beliau semakin sibuk mengurus tempahan masakan melalui media sosial.


Transformasi Ekonomi

Encik A menyatakan perniagaannya ketika ini telah dapat menjana pendapatan keluarga. Jika sebelum ini beliau kerap memikirkan perbelanjaan keluarga kerana kekurangan wang sedangkan keperluan membeli barangan rumah semakin bertambah. Sejak menerima bantuan modal memberi peralatan perniagaan, beliau dapat menyimpan wang simpanan dan sedang menambah modal untuk membeli harta sebagai pelaburan masa hadapan.

Cabaran utama Encik A dalam perniagaan adalah meluaskan produk ke peringkat serantau dengan menjadikan produk pengeluarannya terkenal dan berkualiti. Ketika ini beliau kerap menyertai kursus dan pameran di dalam dan luar negara supaya dapat memperkenalkan syarikatnya kepada lebih ramai pelanggan.

Puan D juga melihat perniagaannya telah menjana pendapatan sehingga dapat menghantar anak-anak ke universiti. Beliau juga dapat membayar kembali hutang yang dipinjam daripada saudara-mara. Namun cabaran utama yang dihadapi ketika ini ialah memenuhi tempahan kuih, kraf manik dan jahitan yang diterima. Oleh kerana belum dapat mengambil pekerja, beliau perlu membahagikan masa menyiapkan tempahan mengikut jumlah tempahan yang lebih banyak. Contohnya, jika tempahan kuih yang banyak, beliau akan memberi tumpuan kepada pembuatan kuih dan begitu juga sebaliknya jika menerima tempahan untuk jahitan pakaian, beliau akan memberi tumpuan kepada jahitan.

Penjanaan pendapatan daripada jualan bulanan disimpan sebanyak 40 peratus kerana beliau bercita-cita membesarkan perniagaan, menambah peralatan memasak dan jahitan serta mengambil pekerja.

Perubahan ekonomi Puan J sangat jelas. Daripada baki wang gaji suami sebanyak B$14, beliau telah dapat menjana sehingga B$2000 sebulan. Beliau juga dapat merancang simpanan untuk perbelanjaan keluarga dan perniagaan. Dari segi cabaran, beliau masih lagi menguruskan perniagaannya secara sendirian di samping menggunakan media sosial bagi mempromosi masakannya. Dari segi pengumpulan aset, beliau berhasrat memiliki premis perniagaan sendiri pada masa hadapan.


Jaringan Sosial

Encik A dan Puan D melihat perubahan yang ketara apabila mereka mendapat bantuan modal dan menjalankan perniagaan. Puan J pula belum lagi melihat keperluan melibatkan diri dalam persatuan kerana belum merasakan ia satu keperluan.

Encik A merupakan pentadbir kepada kumplan media sosial penerima bantuan modal perniagaan YSHHB ketika ini yang mengumpulkan ahli seramai 49 orang. Di samping itu beliau juga menjadi ahli jawatankuasa masjid di kawasan tempat tinggalnya, ahli peratuan bekas penagih dadah dan beberapa buah persatuan di peringkat daerah. Di peringkat kebangsaan, pencapaian besar beliau adalah pernah dicalonkan bagi Anugerah Belia Negara.

Beliau melihat perubahan dalam tempahan produk jualannya sejak menyertai persatuan dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Di sini beliau mengembangkan lebih ramai kenalan, membantu masyarakat dan cakna terhadap keperluan orang lain.

Puan D tidak menyertai persatuan sama ada di peringkat komuniti atau daerah kerana lebih selesa dengan konsep perniagaan yang dijalankan ketika ditambah pula sibuk menguruskan tiga aktiviti perniagaan secara serentak. Namun, aktiviti perniagaan ini telah mengubah sikap introvert beliau kepada seorang yang berani bercakap, lebih yakin dan sedia berbincang. Biarpun tidak menyertai persatuan, jaringan sosialnya bertambah melalui pertambahan rakan niaga dan pelanggan.


Kesimpulan

Kesejahteraan hidup penerima bantuan perniagaan di bawah model YSHHB menjadi lebih baik kerana mereka dapat merasai transformasi sosial dan ekonomi. Kehidupan mereka juga tidak lagi bergantung kepada bantuan kebajikan sebaliknya memiliki keinginan yang kuat untuk berdikari mengubah hidup.

James Midgley yang memperkenalkan model piawaian pembangunan sosial menyatakan pelaburan sosial dan pelaburan ekonomi menjadi petunjuk bahawa kemiskinan dan kesusahan hidup boleh diubah melalui jaringan komuniti, peluang dalam perniagaan dan pembinaan aset. Bagaimanapun kedua-dua pelaburan ini perlukan penyertaan aktif daripada agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan pelbagai sumber sokongan ke arah pembasmian kemiskinan berkekalan.


Sunday, January 12, 2020

Hubungan kaum: Resah menjadi lelah






Semasa isu dekorasi Tahun Baru Cina di sebuah sekolah, tujuh orang menteri kabinet melawat sekolah berkenaan sebagai tanda sokongan. Mereka bergambar sambil memegang tanglung, senyum dan menggesa tanglung dipasang kembali.

Semasa isu tulisan Jawi mahu diperkenalkan di sekolah vernakular Cina dan Tamil seluruh negara, persatuan yang mewakili kepentingan 
pendidikan Cina di Malaysia bangkit membantah. Pengajaran Jawi ditentang oleh Dong Zong dan pemimpin Pakatan Harapan yang bukan Islam. Tidak ada seorang pun menteri kabinet yang mempertahankan tindakan berkenaan sebaliknya tekanan persatuan Cina ini telah berjaya mengurangkan enam helai tulisan khat Jawi kepada tiga helai.

Kesudahannya?

Menteri pendidikan diminta melepaskan jawatan. Sebahagian daripada perletakan jawatan itu disebabkan isu tulisan khat Jawi di sekolah vernakular.

Isu ini menjadi topik hangat dalam masyarakat Melayu kerana ia menyentuh fikiran dan jiwa mereka secara langsung. Tulisan Jawi adalah sebahagian daripada elemen Bahasa Melayu selepas pandangan semesta (worldview) mereka berubah dari Hindu-Buddha kepada Islam.

Kemajuan dan perkembangan tamadun Melayu bergerak seiring dengan pandangan semesta Islam sehingga mereka tidak lagi memerlukan akidah lain untuk menyuluh kehidupan. Mereka meninggalkan ajaran pluralisme dan mengambil tauhid sebagai pegangan hidup sehingga kini.

Isu ini diangkat ke arus perdana apabila tokoh media, Datuk Hussamuddin Yaacub dari Karangkraf melancarkan kempen "Uninstall Hatred dan Reboot Malaysia' kerana menyifatkan suasana hubungan kaum dan agama di Malaysia semakin parah sejak 20 tahun lalu dan boleh menghancurkan negara. Beliau membangkitkan beberapa isu bagi menyokong pandangannya.

Tajuk akhbar Sinar Harian pada 10 Januari 2020 adalah "Jangan hancurkan negara ini dengan kebencian" menarik perhatiankerana berwarna merah dan huruf besar. Ia memberi mesej bahawa terdapat sesuatu yang tidak menyelesakan hubungan kaum di negara ini.

Selepas 63 tahun merdeka, hubungan kaum masih menjadi sebahagian daripada kisah duka masyarakat. Ia kembali menjadi tumpuan selepas Pilihan raya Umum ke-14 lalu yang dilihat menghakis dominasi kuasa politik kaum Melayu. Era ini mencetus sengketa minda dalam kalangan ahli politik Melayu dan bukan Melayu di parlimen sehingga menjadi sentimen untuk meraih sokongan pengundi.

Respon dari masyarakat Islam sangat pantas, sama ada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan atau individu.

Respon pertama adalah gabungan penuh dua parti Melayu iaitu Umno dan Pas membentuk Muafakat Nasional di penghujung tahun lepas. Ahli-ahli parti ini tidak tunggu lama untuk bekerjasama dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan. Kebanyakan pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia dimenangi oleh Barisan Nasional manakala Dap menang di Sandakan.

Gabungan ini juga meleraikan permusuhan dan sengketa sesama masyarakat Melayu yang berbeza fahaman politik khususnya di kawasan kampung dan luar bandar.

Sebuah parti kecil yang memperjuangkan kepentingan kaum Melayu, Putra, turut menjadi lebih agresif membangkitkan isu-isu yang dilihat mengenepikan kaum Melayu seperti peminggiran pelajar Melayu dalam biasiswa kerajaan.

Pertubuhan bukan kerajaan yang diterajui kaum Melayu semakin aktif menonjolkan kekuatan ekonomi Melayu. Kumpulan Facebook yang menamakan diri mereka Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia melancarkan kempen 'Buy Muslim First' sebagai tindak balas terhadap bantahan tulisan Jawi di sekolah vernakular. Ahli kumpulan ini lebih daripada dua juta. 

Kempen ini memberi kesedaran betapa kekuatan ekonomi kaum Melayu boleh dijana bersama-sama kerana semua jenis perniagaan sememangnya diusahakan oleh masyarakat Melayu, cuma tidak diketahui secara meluas kerana berskala kecil.

Apabila kita meneroka alam media sosial, kita akan dapati krtikan demi kritikan sama ada terang atau tersembunyi ditujukan kepada kepimpinan Pakatan Harapan. Di laman Facebook Najib Razak, kita dapati pendedahan banyak perkara khususnya prestasi ekonomi. 

Begitu juga dengan siri komedi dalam dunia hiburan yang mengkritik prestasi kerajaan.

Kata-kata cacian dan makian secara individu sudah menjadi perkara biasa dek kerana kemarahan dan kebencian.

Situasi yang sedang dihadapi dalam masyarakat Malaysia ketika ini mesti diselesaikan. Ahli politik dilihat gagal membendung keresahan ini dan tanggungjawab beralih kepada pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan komuniti untuk memastikan hubungan kaum kekal harmoni.

Friday, January 10, 2020

Rencana hidup 2020







Permulaan tahun baru 2020 dibayangi pelbagai kisah dan cerita yang menggelisahkan. Sengketa dan mala petaka alam silih berganti membayangi cabaran besar tahun ini.

Di sebalik keghairahan sambutan bunga api dan sorak-sorai gembira tengah malam 31 Disember 2019, perjalanan tahun 2020 belum tentu segembira rakyat Malaysia melihat letusan dan letupan bunga api di angkasa raya Kuala Lumpur.

Bagi kita yang dapat merasai fajar dan sinaran matahari 1 Januari 2020, Allah swt masih sayangkan kita dan memberi rahmat untuk beramal ibadah. Allah swt mahukan kita melihat dunia sebagai tempat subur untuk melaksanakan kewajipan sebagai hambaNya. Kehidupan yang kita lalui sama ada 10 tahun, 20 ataupun 50 tahun, bukannya untuk bersuka-ria, sebaliknya untuk kita mengejar taqwa.

Ingatan terhadap hidup dunia yang bersifat sementara dan mengutamakan taqwa kerap dinyatakan secara tegas dalam al-quran.


"Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa, maka tidakkah kamu memahaminya". (Surah Al-An'am ayat 32)

"Dan tidaklah kehidupan dunia ni melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan kalau mereka mengetahui". (Surah Al-Ankabut ayat 64)

"Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan memnita harta-hartamu". (Surah Muhammad ayat 36)


Apakah pilihan yang kita ada untuk mengelak daripada menidakkan peranan taqwa dalam meneruskankehidu pan? Hanya orang yang enggan tunduk dan menerima mesej ilahi ini akan memperkecil dan memperlekeh kehidupan akhirat yang diberikan kepada orang bertaqwa.

Saban tahun juga kita melihat dan membaca senarai orang kaya. Kekayaan harta adalah lambang kesenangan hidup, kemewahan, status, penting dan berpengaruh. Hidup sebagai orang kaya sudah pasti berada dalam lingkungan kemewahan. Namun, kesenangan yang diperoleh hanyalah memperdaya.


"Kehidupan dunia hanyalah kesenangan (al-mataa') yang memperdaya (al-ghuruur)".
(Surah Ali Imran ayat 185)


Melihat kembali tahun 2019, ada rakan dan sahabat kita yang telah berubah keadaan hidup mereka. Barangkali ada yang semakin sihat, kerap bersenam dan kembali mengekalkan bentuk badan yang praktikal. Namun ada juga yang sudah mula menelan ubat pahit setiap hari kerana bacaan gula dalam darah yang mulai meningkat, mula menelan ubat mengurangkan paras kolestrol dan ada yang mula berkira-kira untuk berjumpa doktor pakar dalam tempoh tiga bulan.

Kehadiran pagi 1.1.2020 juga bermaksud umur fizikal semakin bertambah tetapi belum tentu menambahkan umur biologi. Ada yang berumur 94 tahun tetapi fizikal dan mental umpama 54 tahun tetapi ada berumur 40 tahun namun sudah tidak larat lagi menanggung derita fizikal kerana pelbagai jenis penyakit dalam badan.

Hati yang tenang dan tenteram akan redha dengan takdir yang menentukan setiap peristiwa kerana tiga perkara tidak dapat dielakkan iaitu ajal, jodoh dan rezeki. Ketiga-tiganya tidak dapat diketahui dengan tepat, tidak dapat ditolak dan tidak dapat dijemput tanpa masanya.

Oleh kerana masa hadapan tidak dapat dijangka, kita perlu merancang dan berdoa. Kekuatan utama untuk mencapai sasaran tahun 2020 adalah doa kerana doa akan menarik rasa kasih dan sayang Allah swt.

Contohnya, jika kita mahu selesaikan hutang kad kredit, banyakkan berdoa, solat hajat, solat dhuha dan sedekah yang berterusan. Keterikatan hati dengan talian hayat Allah swt ini membuka ruang kepada rezeki yang tidak disangka-sangka dalam pelbagai bentuk dan saluran. Minta sahaja apa yang hendak diminta sama ada rezeki dalam bentuk wang tunai, projek yang lebih banyak dan harta yang mencukupi.

Selepas itu berusaha dan bertawakkal sepenuh hati.

Saban hari orang mengeluh kerana barang-barang naik harga. Gaji yang diperoleh habis digunakan untuk membayar perbelanjaan rumah dan keluarga tanpa ada baki. Simpanan sendiri tidak pernah ada kerana perlu membayar lebih. Inilah cabaran besar tahun 2020 kerana pendapatan tidak meningkat sedangkan belanja bertambah dengan cepat. 

Jika ada bantuan dari kerajaan, ia dalam bentuk subsidi dan galakan mengurangkan belanja. Pemberian wang bantuan hidup, penyediaan pengangkutan awam yang canggih dan kemudahan berniaga menjadikan keluarga memiliki wang simpanan. Namun ia perlu digandakan supaya keluarga tidak terbeban dengan tekanan hidup dan penyakit.

Malaysia, sebuah negara yang sedang menuju sebuah masyarakat berpendapatan tinggi, sedang giat dengan pelbagai pelaburan dalam dan luar negara. Aktiviti ekonomi yang rancak merentas semua kawasan dan menggesa setiap orang untuk bekerja dan berusaha mencari pendapatan. Jika duduk dan diam, ia akan ditinggalkan. Pencarian wang ringgit dan harta ini menjadikan masyarakat lupa kepada tugas hakiki yang sepatutnya diberi tumpuan.


"Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu". (Surah Az-Zariyat ayat 56)


Inilah tujuan hidup dan tindakan akhir kehidupan kita. Bekerja siang dan malam seharusnya melalui laluan dan prespektif ketuhanan supaya memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Perspektif tujuan hidup kerana bermatlamat Allah swt dapat meleraikan masalah hidup yang kusut-masai dan sukar diselesaikan. Di akhirat juga dapat membebaskan diri dan keluarga dari azab api neraka.


"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhaka kepada Allah apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan". (Surah At-Tahrim ayat 5)


Meletakkan persepktif ketuhanan dalam merangka azam dan matlamat dapat menyelamatkan masa dan tenaga kita setiap masa kerana kita tidak tahu bila masanya ajal akan datang menemui kita. 

Pada hari ini, kematian dilihat tidak mengenal masa, usia dan keadaan. Ada orang yang kali terakhir kita lihat sentiasa senyum dan ceria pada sebelah pagi, namun pada sebelah petangnya sudah berada di hospital dan malamnya telah meninggal dunia.

Begitu mudah kematian datang kepadanya.

Bersedia dan merancang untuk hari akhirat yang pasti tidak merugikan apa-apa. Bersedia dengan amal soleh supaya kita menghadapnya dengan hati yang bersih.


"(Iaitu) pada hari (ketika) harta benda dan anak-pinak tidak berguna kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang bersih". (Surah Asy-Syu'raa ayat 88 hingga 89)


Kebahagiaan dan ketenteraman hati perlukan usaha dan insiatif yang berterusan. Hasil akhirnya adalah membawa amal soleh ketika bertemu dengan Tuhannya.


"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu, oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapapun dalam ibadat kepada Tuhannya". (Surah Al-Kahfi ayat 110)