Saturday, March 14, 2020

Pengupayaan mualaf melalui keusahawanan







Puan Hana, seorang mualaf berketurunan Cina, ibu tunggal dan mempunyai tiga orang anak perempuan. Seorang daripadanya sudah mendapat pekerjaan dan dua orang lagi masih bersekolah. Mereka sekeluarga tinggal di rumah sewa di Kampung Sungai Buluh, Jalan Muara. Beliau menjalankan perniagaan makanan dan minuman.

Tempat perniagaannya di lobi bangunan Pusat Dakwah Islamiah sejak pertengahan tahun 2019 melalui inisiatif Unit Pengupayaan Mualaf.

Dua orang anak Puan Hana yang sedang bersekolah menerima bantuan pendidikan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (Japem) sejak tahun 2015 sebanyak B$65 sebulan manakala bantuan modal perniagaan dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) diterima pada tahun 2017 bagi menjalankan perniagaan melalui pembelian peralatan masakan sebanyak B$2000.

Beliau mencari agensi kerajaan yang memberi bantuan melalui inisiatif sendiri. Selepas berhadapan dengan masalah rumah tangga, Puan Hana memberanikan diri bertanya kepada jabatan kerajaan yang difikirkannya dapat menyediakan bantuan sara hidup khususnya bantuan yang dapat mengurangkan beban kewangan pendidikan anak-anak. Ketika berada di jabatan-jabatan ini beliau dimaklumkan pelbagai kriteria yang perlu dipenuhi sebelum bantuan diberikan.


Transformasi Sosial

Keadaan hidup sebelum menerima bantuan amat mencabar. Beliau sekeluarga pernah tidak makan nasi selama tiga hari, makan nasi goreng kosong dan kerap kali kehabisan wang perbelanjaan. Puan Hana melalui situasi ini dengan keadaan emosi yang tidak stabil kerana berhadapan dengan krisis rumah tangga.

[Beliau mempamerkan kesedihan melalui wajah yang sedih, mengalirkan air mata dan sebak. Hidungnya kelihatan agak kemerahan menahan sedih]

Keadaan hidup keluarga mula berubah apabila dua orang anaknya mendapat bantuan pendidikan pada tahun 2015. Bantuan ini telah mengurangkan sedikit sebanyak beban kewangan sekolah anak-anaknya, justeru beliau dapat memikirkan sumber pendapatan lain bagi membeli barangan keperluan harian.

Berita gembira yang beliau terima adalah mendapat bantuan modal perniagaan dari YSHHB pada tahun 2017. Melalui bantuan ini Puan Hana memulakan perniagaan makanan dan minuman secara kecil-kecilan dari rumah. Seterusnya beliau mendapat peluang menjaga kiosk di Pusat Dakwah Islamiah dan diberi upah dalam bentuk komisyen hasil daripada penjualan barangan di situ. Beliau juga menjual produk makanan dan minuman di kisok berkenaan.


Transformasi Ekonomi

Dalam perniagaan, beliau berhadapan dengan persaingan daripada pembekal-pembekal lain yang menyediakan produk yang hampir sama. Bagi mengatasi persaingan ini, beliau sentiasa melakukan penambahbaikan cita rasa, harga dan penampilan produk khususnya logo dan maklumat nutrisi.

Selain itu, beliau melakukan pemasaran melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp. Beliau mengemas kini maklumat produk supaya rakan-rakan sosial dapat menilai dan membuat pilihan. Promosi juga dibuat melalui perjumpaan bersama rakan-rakan ketika majlis ilmu atau aktiviti kejiranan. Kini, purata pendapatan harian beliau sekitar B$40 sehari.

Dari segi pembangunan kemahiran pengurusan kewangan, beliau mendapat banyak tunjuk ajar dari YSHHB yang menyediakan pelbagai kursus kewangan sehingga mendorongnya memperuntukkan sebanyak 50 peratus simpanan daripada keuntungan perniagaan. Melalui cara ini beliau dapat merancang perbelanjaan perniagaan khususnya untuk mencari tempat sewa jualan pada masa hadapan.

Puan Hana juga mempelajari kemahiran masakan, jahitan dan solekan yang disediakan oleh Pusat Dakwah Islamiah bagi mempelbagaikan kemahirannya. Di samping itu menghadiri kursus anjuran Pusat Pembangunan Belia dan IBTE. Melalui kursus ini beliau dapat meluaskan pengalaman dan fikirannya bagi memilih jenis perniagaan yang mahu diusahakan.


Jaringan Sosial

Tumpuan Puan Hana terarah kepada persatuan muslimah di Kampung Pulaie iaitu perkumpulan yang giat menjalankan aktiviti mengaji dan kebajikan serta keilmuan. Antara aktiviti yang beliau sertai adalah belajar membaca al-quran, ceramah agama dan ziarah. Beliau juga dapat menambah pendapatan melalui perkhidmatan sajian makanan dan minuman untuk majlis-majlis yang dianjurkan. Penglibatan dalam persatuan ini telah membantu menambah pendapatan beliau.


Kesimpulan

Secara umum, Puan Hana telah dapat merasai perubahan hidup selepas menerima bantuan dari Japem dan YSHHB apabila tidak lagi berhadapan dengan bebanan kewangan khususnya dapat membeli barangan keperluan dapur, membayar sewa rumah dan menguruskan pendidikan anak-anak.

Inisiatif beliau untuk menjana pendapatan melalui bantuan modal perniagaan menunjukkan sikap beliau yang aktif untuk mengubah hidup dan mendorongnya bekerja lebih gigih sehingga mampu membuat simpanan keuntungan sebanyak 50 peratus. Kemahuannya dalam kursus-kursus perniagaan dan peningkatan kemahiran ini menunjukkan keinginan yang tinggi untuk mengubah kehidupan diri dan keluarganya.

No comments:

Post a Comment