Tuesday, January 17, 2012

Pemalsuan dokumen adalah jenayah





Memalsukan dokumen untuk kenaikan pangkat atau mendapat emolumen yang lebih banyak adalah tindakan yang mencemarkan maruah dan kredibiliti seseorang penjawat awam. Perbuatan ini seharusnya tidak berlaku dan pelakunya wajar dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Pemalsuan dokumen ini boleh berlaku di semua peringkat dan yang terbaru melibatkan bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Soeraya Norsham yang berumur 38 tahun. Laporan akhbar menyatakan tindakannya memalsukan dokumen adalah untuk mempercepatkan kenaikan pangkat di jabatan berkenaan.

Tiga tuduhan alternatif lain ialah menipu seorang pembantu pentadbiran di Jabatan Sumber Manusia yang mendorongnya memproses bayaran sebanyak RM50,315.58 dalam tempoh tersebut. Beliau dituduh melakukan pemalsuan berkenaan dari Mac 2009 hingga April 2011.

Tempoh ini amat panjang dan kementerian mengambil masa yang lama untuk mengesan kecurangan ini. Walaupun agak lewat, ucapan tahniah kepada pegawai dan kakitangan kementerian yang telah mengambil tindakan supaya amalan pemalsuan dokumen dengan tujuan mempercepatkan urusan naik pangkat tidak menjadi ikutan kepada penjawat awam yang lain.

Walau bagaimanapun, beliau akan dibicarakan pada 22 Februari depan dan melalui perbicaraan ini kita dapat tahu apakah yang sebenarnya berlaku, apakah motif pemalsuan dan kesan terhadap masa depannya sebagai seorang penjawat awam.

Mendapat gelar 'Datuk' dalam usia yang muda adalah luar biasa memandangkan kebanyakan orang terpaksa menunggu hingga umur 50 tahun, aktif dalam politik atau memberi sumbangan yang besar kepada negara seperti yang diraih oleh Datuk Lee Chong Wee dan Datuk Nicol David.

Jasa mereka kepada pembangunan sukan dan imej negara di peringkat antarabangsa sangat besar. Namun, kita menghormati anugerah berkenaan dan mendoakan sumbangannya dalam menaikkan perkhidmatan veterinar di Malaysia.

Carian di Google berkaitan Datuk Dr Soeraya Norsham adalah seperti berikut:

-alumni Fakulti Perubatan Veterinar UPM
-disaman oleh tiga penternak lembu sebanyak RM1 juta kerana ternakan mereka terjejas selepas dibekalkan enam ekor lembu yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut, (Utusan Malaysia, 22 September 2011).
-pengerusi Biro Sosial dan Sukan Puspanita Kebangsaan sesi 2009 – 2011.
-peserta Bengkel ICT Puspanita 5 Ogos 2010.
-pemberitahuan pertukaran pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan.
-Mesyuarat Tangani Isu Binatang Liar bersama PMUKM, (Oktober 20, 2011).
-carta organisasi Jabatan Veterinar Malaysia.
-aktif dalam sukan dengan menjadi timbalan ketua kontinjen pasukan Sukma Negeri Sembilan di Melaka pada tahun 2010, (Bernama, 28 April 2010).

Berbalik kepada pemalsuan dokumen, ianya salah dan merupakan perbuatan jenayah dalam perkhidmatan awam. Soalnya, kenapa ada orang sanggup melakukannya?

Pemalsuan dokumen dengan pelbagai tujuan adalah aktiviti yang menyalahi undang-undang dan dilihat menjadi amalan biasa di tempat kerja. Kesannya melibatkan seluruh organisasi khususnya integriti dan imej yang hendak dipancarkan kepada masyarakat.

Contoh pemalsuan dokumen ialah rekod catatan kedatangan ke tempat kerja, rekod jualan dan apa sahaja maklumat yang pada akhirnya akan menjurus kepada kemerosotan reputasi dan integriti.

Di Amerika Syarikat, penipuan paling kerap berlaku dalam sektor insurans negara itu yang dianggarkan berjumlah US$100 bilion setiap tahun. Antara kaedah penipuan ini ialah pemalsuan dokumen dan penyata, mewujudkan tuntutan palsu, menipu laporan kecurian dan penipuan hartanah.

Pemalsuan dokumen tidak terhad kepada perkhidmatan dan insurans malah didapati juga pemalsuan yang berkaitan dengan pasport dan dokumen perjalanan, visa, kad pengenalan diri, sijil akademik seperti diploma dan ijazah, dokumen diri seperti sijil kelahiran, perkahwinan, penceraian atau sijil kematian. Malah ada juga yang sanggup memalsukan laporan polis.

Wikipedia menyatakan tujuan pemalsuan dokumen adalah untuk menipu orang ramai dengan mempercayai apa yang dipersembahkan adalah benar.

Pemalsuan dokumen dalam kalangan penjawat awam di Malaysia kerap kali berkaitan penggunaan sijil cuti sakit palsu untuk ponteng kerja atau membuat kerja sambilan.

Pendedahan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada tahun 2010 berkaitan perkara itu menunjukkan 45,000 atau tiga peratus daripada 1.5 juta kakitangan awam yang terlibat. Hukuman yang berat menanti pekerja awam yang didapati memalsukan sijil cuti sakit.

Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam menyatakan mana-mana kakitangan yang didapati menggunakan sijil cuti sakit palsu, boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti turun pangkat atau dibuang kerja.

Tindakan memalsukan dokumen untuk sebarang urusan merupakan tindakan bodoh seorang penjawat awam yang rakus. Adalah lebih baik menunjukkan prestasi sebenar yang dinilai oleh ketua jabatan daripada mencari dan menambah maklumat yang meragukan semata-mata untuk menonjolkan kebolehan diri.

Andai seseorang memalsukan apa sahaja butiran diri dan diberikan kedudukan yang lebih tinggi, lambat-laun penipuan berkenaan akan diketahui juga kerana sistem perkhidmatan awam di Malaysia meletakkan integriti sebagai prinsip kecemerlangan. Sistem berkenaan akan mengesan salah laku sebaik sahaja terdapat kecurigaan dalam komponen-komponennya.

 

Sunday, January 15, 2012

Sedia dengan risiko





Bagaimana kita boleh kembalikan tenaga dan keghairahan terhadap hidup dan masa depan? Ia biasa berlaku  dalam hidup kita iaitu ada kalanya kita bersemangat melakukan tugasan di pejabat, sekolah dan universiti, bersemangat dengan bisnes kita dan bersemangat dengan keluarga, namun ada masanya kita langsung hilang motivasi, fikiran berserabut dan tidak bahagia.

Tip untuk kembalikan semangat dan dorongan untuk ghairah dalam hidup ialah bersedia dengan risiko kerana bila-bila masa sahaja risiko akan datang.

Pemikiran terhadap risiko mesti dilatih dengan persepsi positif. Risiko mengundang rasa gerun dalam diri kita tetapi ia juga menjadikan kita lebih berhati-hati dalam menjayakan usaha dan ikhtiar. Keberanian menjangkakan risiko menjadikan kita dapat melihat lebih banyak peluang yang cerah berbanding orang yang tidak bersedia dengan risiko.

Jadi, risiko wajar dihadapi, sediakan strategi dan lakukan tindakan pada masa yang tepat.


Saturday, January 14, 2012

Kadar jenayah turun 11.1 peratus





oleh Johari Ibrahim

Kadar jenayah di negara ini menurun 11.1 peratus tahun lalu atau pengurangan 19,629 kes berbanding 2010, melepasi sasaran 10 peratus yang ditetapkan kerajaan.

Dalam masa sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kadar jenayah jalanan turut mencatatkan penurunan 39.7 peratus, hampir memenuhi sasaran 40 peratus.


“Antara usaha yang dilaksanakan di bawah pendekatan ini termasuk operasi khas membanteras kegiatan mencuri motosikal.

“Pada tahun lalu, 154,822 motosikal diperiksa menerusi empat siri Ops Lejang yang membawa kepada penahanan 930 orang. Polis juga sudah melancarkan Ops Rentap untuk membanteras kejadian kecurian kereta dengan 1,383 orang ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, bagi meningkatkan usaha membanteras jenayah tahun ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menumpukan kepada dua inisiatif utama iaitu menerusi meningkatkan kehadiran polis di jalanan dan pembabitan lebih ramai rakyat dalam kegiatan mencegah jenayah seperti program polis masyarakat.

Beliau yakin tahun ini, polis berupaya meningkatkan kehadirannya di jalanan dengan penggandaan anggotanya serta sukarelawan seramai 62,191 yang akan digerakkan di seluruh negara, berbanding 27,162 orang pada tahun lalu.

“Daripada 62,191 orang itu, 42,387 anggota polis, tambahan 20,273 berbanding 21,624 sedia ada untuk 2011.

“Pada masa sama, jumlah tambahan anggota sukarelawan adalah 14,266 pada tahun ini. Mereka terdiri daripada 11,452 anggota Rela (tambahan 7,521 daripada 3,931); 8,307 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tambahan 6,700 daripada 1,607 dan 45 lagi dari sumber lain,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, prestasi pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah bagi 2011 amat membanggakan dan kejayaan itu dilaporkan kepada Mesyuarat Penyampaian Pasukan Petugas NKRA yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Selain itu, katanya, berdasarkan soal selidik bebas yang dilaksanakan firma TNS International, sebanyak 70.5 peratus responden yang berurusan di pejabat dan balai polis menyatakan mereka puas hati dengan perkhidmatan polis, melebihi daripada jangkaan petunjuk prestasi utama NKRA (NKPI) iaitu 60 peratus.

Bagaimanapun, katanya, usaha penambahbaikan perlu diteruskan untuk mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selamat bagi rakyat kerana berdasarkan kajian sama, 52.9 peratus responden menyatakan kebimbangan menjadi mangsa jenayah.


(Berita Harian, 14 Januari 2012)

 

Thursday, January 12, 2012

Nils, dalam kenangan

 
 
 


Umurnya hanya sampai di sini. Kemalangan jalan raya telah meragut nyawa Nils, pelajar dari Fachhochschule Hannover University of Applied Sciences, German. Dalam gambar di bawah, Nils duduk di barisan hujung seorang diri.

Selama dua bulan, Nils hadir ke kelas Bahasa Melayu. Walapun agak pendiam dan kurang bercakap, dia lebih kerap senyum dan sengih. Apabila ditanya soalan, dia malu-malu untuk menjawab. Dalam ujian lisan dan kefahaman, sebutan ayatnya amat baik, boleh menjawab soalan dengan tepat, peperiksaan akhir juga amat baik bagi pelajar antarabangsa.
 
Sebelum cuti rehat antara semester, Nils memaklumkan saya untuk pergi bercuti ke Bali bersama rakan-rakan. Dalam kelas berikutnya, saya tanya ada hadiah dari Bali, katanya ada, nanti akan dibagi.
 
Kelas terakhir Bahasa Melayu merupakan kelas yang penuh keceriaan. Semua pelajar dalam mood yang gembira kerana sudah dapat bercakap dan menulis ayat-ayat pendek dalam Bahasa Melayu walaupun ringkas. Kami sempat bergambar bersama-sama dan itulah pertemuan terakhir kami bersama Nils.
 
 

Tuesday, January 10, 2012

Ikrar seorang Hassan




 
Pembebasan Anwar Ibrahim menjadi tajuk utama di kebanyakan akhbar dunia hari ini. Keputusan yang ditunggu-tunggu disambut gembira oleh penyokongnya di dalam dan luar negara selepas tiga tahun berulang-alik ke mahkamah. Antara akhbar ini ialah Independent UK, CNN, Al Jazeera , Sky News UK, ABC Australia, The Guardian, Wall Street Journal edisi Asia, New York Times, Financial Times dan Bloomberg.

Episod liwat II telah berakhir. Kini Anwar dapat menumpukan perhatiannya kepada pilihan raya yang akan datang. Fokus jentera Pakatan Rakyat tentunya Putrajaya, tempat yang pernah diduduki oleh Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan suatu ketika dulu.

Sebulan sebelum keputusan diumumkan, banyak perkara yang berlaku dalam politik semasa. Keputusan yang paling menarik dan sensasi ialah pemecatan Datuk Dr Hassan Ali sebagai ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS). Pemecatan serta-merta itu berpunca daripada tindakan Hassan sendiri yang mendedahkan konflik dirinya dengan parti kepada umum melalui media yang dikuasai musuh politik.

Pertemuan beliau dengan beberapa anggota tertinggi parti untuk menjernihkan suasana tidak memberinya peluang bagi mengetengahkan pandangan dan hala tujunya dalam politik PAS. Masyarakat umum yang melihat kelantangan Hassan menyuarakan pandangannya dalam akhbar dan media milik Barisan Nasional juga dianggap pelik kerana tindakan itu mendedahkan pekung sendiri.

Hassan Ali telah lama melibatkan diri dalam politik. Sebelum kemunculannya pada tahun 1999 bagi menyatakan sokongan ke atas Anwar, beliau dikatakan telah lama membantu masyarakat Islam dari segi bantuan kewangan, keperluan harian dan pendidikan.

Beliau suka membantu sekolah-sekolah agama persendirian dengan memberi beras, pakaian dan kemahiran motivasi kepada pelajar-pelajar ini. Anak-anak yatim dan masyarakat miskin adalah kelompok utama yang didampingi.

Pernah suatu ketika beliau memiliki beberapa buah syarikat sama ada langsung atau tidak langsung yang digunakan untuk membantu perkembangan Islam dan masyarakat Islam yang daif di Malaysia tanpa publisiti pun.

Kehebatannya memperkenalkan Summer Camp dan Akrab telah melonjakkan namanya dan ketika inilah beliau dapat membantu lebih ramai masyarakat Islam khususnya kesedaran beragama melalui Forum Hal Ehwal Islam yang dianggap sebagai rancangan "mesti tonton" pada pertengahan tahun 1990-an.

Summer Camp dan Akrab lenyap sedikit demi sedikit apabila beliau mengambil keputusan untuk menyertai politik dan masuk bertanding dalam pilihan raya 1999. Pada masa itu beliau tidak lagi memikirkan bisnes yang diusahakannya tetapi beralih kepada tekad dan azam untuk bersama-sama PAS memerangi ketidakadilan yang dikatakan telah berlaku ke atas Anwar Ibrahim.

Syarikat latihan dan perundingan Sabha yang ditubuhkan turut hilang pelanggan apabila satu demi satu badan korporat dan agensi kerajaan membatalkan program latihan. Kem Summer Camp di Sungai Lui turut hilang pelanggan apabila ibu bapa tidak lagi berminat dengan program anjuran Akrab.

Di sebalik semua yang berlaku kesan daripada keputusannya melibatkan diri dalam politik, populariti Hassan Ali naik bersama PAS dan beliau melalui pelbagai proses sebagai ahli politik. Tentulah kita menjangkakan beliau telah dan sedang melalui proses dakwah dan tarbiah yang ada dalam parti itu.

Persoalan kita ialah kenapa Hassan Ali begitu lantang menyanggah pasti sendiri sehingga dia dipecat? Adakah dengan mengkritik pasti sendiri, hukumannya ialah dipecat? Jika ini jawapannya, PAS tentu dianggap mengamalkan sekatan yang tidak adil terhadap ahli yang tidak setuju dengan pendirian parti. Kaedah ini turut digunakan oleh Barisan Nasional. Jadi kedua-duanya adalah sama sahaja dari segi itu.

Satu perkara yang harus disedari oleh Hassan Ali ialah partinya ada disiplin. Tindakan beliau sehingga dipecat adalah tindakan tidak berdisiplin seorang ahli parti yang memegang kuasa di peringkat negeri.

Jadi, adakah proses dakwah dan tarbiah yang dilalui oleh Hassan Ali tidak cukup kuat untuknya menjadi disiplin dan patuh kepada kehendak jemaah? Atau Hassan Ali tidak pun melalui manhaj tarbiah ketika berada di dalam PAS- suatu keadaan yang sangat mengejutkan sebagai ahli jemaah Islamiah.

Hassan Ali wajar menilai kembali menilai tindak-tanduknya yang mengkritik keputusan parti secara terbuka kerana beliau berpotensi untuk maju dalam politik. Prinsip mempertahankan agama, bangsa dan institusi raja di Malaysia bukannya tugas individu semata-mata sebaliknya tugas jemaah.

Beliau harus kembalikan idea dan usahanya kepada jemaah supaya usaha-usaha berkenaan dibuat secara tersusun, kemas dan ada strategi yang mantap. Bergerak seorang diri hanya meletihkan di samping mendedahkan diri kepada terlalu banyak kritikan sehingga mengundang kemunculan musuh yang tidak disangka-sangka.

Hassan Ali masih ada waktu untuk membaiki diri dalam politik. Keikhlasannya memperjuangkan agama Islam dan masyarakat Islam memang difahami tetapi beliau harus juga tahu bahawa PAS adalah sebuah parti politik dan seseorang dalam organisasi itu memiliki kuasa yang lebih banyak dan boleh membuat keputusan yang hebat. Lagi pun jika kita lihat, pengaruh kelompok dari Pantai Timur sukar digugat ketika ini, justeru beliau menjadi contoh mangsa yang terbaik buat masa ini.

  

Monday, January 09, 2012

Menanti politik matang rakyat





Keputusan liwat II Datuk seri Anwar Ibrahim telah diketahui. Beliau dilepas dan dibebaskan kerana sabitan kesalahan tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada saksi utama kes, Saiful.

Masyarakat umum memberi perhatian kepada keputusan kes ini kerana perbicaraan yang terlalu panjang (tiga tahun) dan ditangguh berkali-kali. Selepas ini politik Malaysia dijangka beralih kepada persediaan parti-parti politik untuk pilihan raya umum yang akan datang.

Kematangan rakyat dalam membuat penilaian terhadap pemimpin dijangka semakin meningkat kerana perubahan situasi dunia dan lambakan maklumat melalui media alternatif memberi ruang yang sangat besar kepada perubahan pemikiran rakyat Malaysia sendiri.

Selepas ini, kedua-dua gabungan parti komponen, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat boleh bertanding dengan memberi hujah yang lebih rasional, bertaraf dunia dan melihat keadaan rakyat sebagai keutamaan, bukannya lagi isu peribadi yang dilondeh dan ditayangkan kepada umum.

Kita hendak melihat ketinggian ilmu dan kepintaran kepimpinan Malaysia yang boleh membawa kemakmuran kepada negara kita.

 

Wednesday, January 04, 2012

Tahun baru, kematian menjadi-jadi

Mati- akhir sebuah kehidupan
Tahun baru 2012 hanya empat hari, tetapi kematian sudah hampir 20 orang. Kemalangan jalan raya, pembunuhan, bunuh diri dan mati mengejut mewarnai minggu  awal tahun ini. Harapan kita untuk melihat suasana negara yang aman dan selamat agak kabur kerana prinsip ‘semakin maju rakyat semakin bermasalah’ seakan menjadi realiti.

Ditambah pula kebangkitan golongan mahasiswa yang punya kesedaran politik menuntut kebebasan dan keadilan. Sudah lama juga kita tidak melihat senario ini dan sekali-sekala membuatkan kita terfikir ke mana hala tuju mahasiswa dan institusi pengajian tinggi ketika ini. Sembilan Januari ini juga menjadi medan kepada penyerlahan politik matang di negara kita.

Apabila kita berfikir tentang masyarakat dan negara kita, apakah asas yang hendak diletakkan? Bangsa, agama, status sosial, kekayaan atau Satu Malaysia? Bagi mereka yang gusar terhadap apa yang sedang berlaku dalam negara, tentulah tidak dapat melelapkan mata kerana takut-takut ada orang yang menceroboh rumah dan memukul anak-beranak. Bagi yang terlibat dalam bisnes, mungkin takut dipukul kalau tidak bayar ‘wang selamat’. Bagi pelajar sekolah yang baru memulakan sesi pengajian, buli dan pukul sesama sendiri mungkin semakin galak.

Jika kita memikirkan masalah, jiwa dan fikiran akan tertekan kerana punca kepada penyelesaian tidak diurus dengan betul. Kita ambil satu kes yang sering kali memeningkan kepala pegawai dan guru iaitu ponteng kelas dan lari ikut pintu pagar. Rata-rata sekolah di bandar malah di kampung menghadapi masalah ini. Walaupun didirikan pagar tembok, pelajar masih dapat melompat keluar secara bersahaja seolah-olah sekolah itu bapa mereka yang punya. Walaupun ada pengawal dan pengawas sekolah, ia tidak memberi banyak perubahan ke atas pelajar yang memang tidak mahu belajar dan bermasalah.

Berbeza pula dengan sesetengah sekolah yang dibina atas dasar taqwa dan iman kepada Allah swt. Kalau dilihat dari jauh, sekolah-sekolah ini kelihatan uzur dan daif, kemudahan pembelajaran juga sederhana, gurunya lebih banyak berkorban daripada mengejar wang ringgit dan tempat tinggal pelajar (jika ada) amat jauh beza daripada sekolah bantuan kerajaan. Namun, pelajar-pelajar di sini tidak menghadapi masalah ponteng kelas, makan dan minum sekadar menghilangkan lapar dan yang anehnya, sekolah tidak ada pagar!  Pegawai pendidikan yang membuat lawatan juga hairan bagaimana sekolah tanpa pagar boleh diurus dengan sempurna. Pelajar-pelajar juga tidak ingin hendak ponteng atau lari dari kelas.

Saya menceritakan soal sekolah ini kerana pendidikan adalah asas kepada pembentukan sebuah masyarakat yang aman dengan persekitaran yang selamat. Pelajar yang ponteng kelas ada hubungan dengan pencapaian akademik. Kajian yang dilakukan ke atas pelajar UiTM Kedah oleh Norhidayah pada tahun 2009 merumuskan bahawa pelajar yang sering kali ponteng kuliah kerap kali mendapat keputusan peperiksaan yang merosot. Situasi ini berlaku kerana pelajar tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dengan aktiviti pembelajaran.

Kenapa ponteng kelas? Soalan ini menarik kerana soalan ini ada jawapannya. Satu jawapan yang tegas dan kukuh ialah sikap atau sick up.  Zainab (2010) telah melihat sikap sebagai penyumbang utama kepada gejala ponteng kelas dalam kalangan pelajar. Zainab mengkaji gejala ponteng pelajar-pelajar di kolej komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mengesahkan betapa malas, kurang minat mengikuti pelajaran dan keluarga yang memaksa untuk belajar menjadi punca kepada kegagalan akademik yang bermula dengan ponteng.

Saya melihat masalah yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada masyarakat hari ini adalah kerana kegagalan pembuat polisi untuk mengenal pasti dengan jelas dan tepat masalah sebenar yang sedang dihadapi oleh keluarga. Pembuat polisi tidak boleh mengikut telunjuk ahli politik yang sentiasa ingin menjadi jaguh dan memaksa idea mereka ke atas sistem keluarga dan pendidikan negara. Ahli politik tidak boleh mengerahkan ibu bapa menghantar semua anak mereka ke sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan semata-mata ingin melahirkan modal insan yang berkualiti dalam kecerdasan intelektual tetapi akal dan budi di letak tepi. Kita tidak mahu anak-anak yang mendapat 17A atau 20A tetapi apabila dihantar ke luar negara, habis tudung ditanggal, rambut hitam bertukar perang dan tanpa segan silu berpeluk dengan lelaki bukan muhrim. Bukan anak jenis ini yang ibu bapa mahukan.

Masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat setiap hari mesti ada sebab-musababnya. Pembuat polisi harus mengambil kira banyak perkara untuk merancang dan melaksanakan penambahbaikan yang terbaik.

Tuesday, January 03, 2012

AIM sasar salur bantuan RM2.1 bilion

Oleh Zuraidah Mohamed
Amanah Ikhtiar Malaysia telah
banyak membantu mengatasi kemiskinan
di Malaysia

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasar menyalurkan pembiayaan berjumlah RM2.1 bilion pada 2012 ini sejajar usahanya melahirkan kira-kira 100,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang 2015.

Pengarah Urusannya, Datuk Zabidah Ismail, berkata sejak penubuhannya 25 tahun lalu, sekitar 20 peratus atau 49,000 daripada 294,426 peminjam AIM telah mencapai status usahawan mikro dengan menjana pendapatan lebih RM3,500 sebulan.

Katanya, pada 2012 ini, tumpuan adalah bagi membantu usahawan mikro ini untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“AIM bukan saja bermatlamat mengeluarkan kalangan peminjam daripada kepompong kemiskinan, tetapi kami juga berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya sehingga mencapai tahap PKS.

“Inisiatif ini akan kami laksanakan secara agresif pada 2012 menerusi pelbagai program dan aktiviti keusahawanan yang berasaskan pengetahuan, kemahiran tinggi, inovasi dan pemasaran,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, AIM turut merancang untuk meningkatkan had pinjaman yang ditawarkannya susulan kejayaan program latihan keusahawanan serta pembiayaan yang diberikan kepada peminjam.

Pada masa ini, AIM menawarkan pembiayaan dari RM3,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik antara setahun hingga lima tahun, menerusi kaedah bayaran balik secara mingguan.


Zabidah berkata, setakat ini, AIM telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM6.2 bilion kepada 294,426 peminjam.

Pada 2011 saja, sekitar RM1.4 bilion disalurkan bagi pelbagai aktiviti perniagaan kecil-kecilan.

“Ketika ini, lebih 60 peratus pembiayaan disalurkan bagi sektor peruncitan, manakala 40 peratus lagi membabitkan pengeluaran produk berasaskan pertanian dan perikanan selain perkhidmatan merangkumi perniagaan seperti spa dan salun, perkhidmatan komputer, serta menjahit baju yang dijalankan secara kecil-kecilan,” katanya.

Beliau juga berkata, sudah ada di kalangan peminjam AIM yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei menerusi produk ikan pekasam walaupun mereka hanya bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan.

Dalam pada itu, katanya AIM kini dalam perancangan menubuhkan akademi usahawan bagi melatih lebih ramai golongan miskin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan, seterusnya mewujudkan usahawan berdaya saing.

Katanya, akademi berkenaan akan menyediakan latihan serta memberikan bimbingan bukan saja untuk usahawan tempatan tetapi juga dari negara di rantau Asia.

“Kami kini masih mengenalpasti lokasi sesuai bagi akademi usahawan itu kerana memerlukan kawasan yang besar bagi menjalankan pelbagai program latihan keusahawanan ini,” katanya.

Beliau juga berkata, AIM yang ketika ini beroperasi menerusi 106 cawangan di seluruh negara, merancang memperluaskan capaiannya dengan membuka tujuh cawangan baru tahun depan khususnya di lokasi luar bandar di Sabah, Sarawak, Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, AIM menyasarkan memiliki 132 cawangan menjelang 2015.


(Berita Harian, 3 Januari 2012)

Sunday, January 01, 2012

Tahun baru, nilai baru




 
Suka dan duka tahun 2011 kita telah tinggalkan sebagai pengalaman yang mematangkan diri. Naik pangkat, naik gaji, rumah baru dan kesihatan yang baik menjadi matlamat yang sentiasa diburu. Selagi belum menjadi kenyataan, itulah yang akan dikejar. Insya Allah bagi mereka yang telah mendapat kemurahan rezeki daripada Allah SWT, saat-saat yang indah itu tentunya telah dikongsi bersama keluarga dan rakan-rakan dengan penuh kesyukuran. nikmat seperti itu menjadikan kita lebih bahagia dan menguatkan impian pada masa hadapan.

Tahun baru yang akan menjelang mesti diisi dengan azam dan seribu impian baru. Kita boleh memikirkan apa sahaja yang ingin dicapai kerana azam dan impian tidak ada sempadan. Ia boleh melangkaui dunia cakerawala kehidupan. Namun azam hanya tinggal azam, impian hanya berlegar-legar dalam fikiran jika kita tidak pernah bertindak merealisasikannya.

Selain azam berbentuk material, wajar juga kita berfikir tentang pembinaan nilai diri yang perlu diisi dalam minda dan hati. Umpamanya bagaimana hendak membina nilai rajin, berdisiplin dan rendah diri dalam diri sendiri. Lebih jauh dari itu, bagi ibu bapa, apakah nilai yang hendak dibina dalam diri anak-anak supaya mereka boleh berdikari, aktif dan cemerlang dalam hidup? Sebagai orang yang bekerja, apa pula nilai kecemerlangan yang hendak diterapkan dalam diri supaya mendapat anugerah pekerja cemerlang tahun depan?

Kita wajar memiliki seribu azam dan impian untuk tahun 2012 nanti supaya hidup kita sentiasa membara dengan usaha dan ikhtiar yang berterusan. Biarkan minda dan spiritual kita dipenuhi dengan kesungguhan dan tekad untuk mencari perubahan dan kejayaan. Sebahagian besar daripada kita mampu melakukan apa yang telah dilakukan oleh mereka yang telah berjaya. 

“Setiap orang mempunyai keupayaan sebenarnya untuk melakukan apa yang telah saya lakukan dan lebih daripada itu. Sesetengah daripada anda akan melakukannya dan sesetengah lagi tidak. Bagi yang tidak melakukannya, ia disebabkan oleh anda sendiri yang menghalangnya bukan kerana dunia tidak membenarkannya” -Warren Buffet.

Tahun-tahun akan datang penuh dengan cabaran. Namun azam dan impian mesti diteruskan kerana Allah SWT telah menjanjikan kejayaan kepada orang yang berusaha di dunia dengan kehidupan yang lebih baik di akhirat sebagai dorongan paling hebat untuk kita berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap masa.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qasas ayat 77).