Monday, March 14, 2011

Erti nilai

Setiap keputusan yang kita buat atau lakukan dalam hidup tidak dapat dipisahkan daripada unsur-unsur nilai yang ada dalam diri.

Contohnya, seorang pelajar yang baru menamatkan pengajian di universiti mempunyai dua pilihan. Pertama, terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti master atau doktor falsafah. Kedua, mula mencari kerja. Keputusan sama ada hendak meneruskan pengajian atau bekerja ditentukan oleh niai yag ada dalam dirinya selepas menimbangkan banyak perkara.

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan nilai? Nilai adalah satu set kepercayaan atau keyakinan dalam diri sebagai sumber kekuatan dan tenaga untuk bertindak. Nilai inilah yang akhirnya membentuk sikap yang akan menentukan personaiti, karakter dan tingkah laku.

Friday, March 11, 2011

Lelaki tanpa hati (2)

Jawapan Imam Hasan al-Banna

Wa’alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.

Saya telah membaca suratmu dan sangat terkesan dengan kejujuran bahasamu, keindahan keberanianmu, lembutnya kesedaranmu dan hidupnya hatimu.

Saudaraku, engkau bukan orang yang hatinya mati seperti mana yang engkau fikirkan. Akan tetapi, engkau adalah seorang pemuda yang perasaannya tajam, jiwanya bersih dan nuraninya lembut. Seandainya tidak bersifat demikian, tentulah engkau tidak menuduh dirimu dan tidak engkau ingkari perasaanmu. Akan tetapi besarnya semangat dan jauhnya tujuan, membuatmu menganggap kecil urusanmu yang besar dan engkau mengharapkan tambahan untuknya. Tidak ada masalah dalam hal itu dan memang itu harus terjadi.

Saya merasakan apa yang engkau fikir, saya berjalan sebagaimana engkau berjalan dan saya akan berusaha untuk mengajukan beberapa nasihat. Jika nasihat tersebut bermanfaat bagimu dan dengan melaksanakannya engkau lihat dapat menghapus dahaga serta mengubati sakitmu, maka Alhamdulillah, di atas taufik-Nya. Namun jika tidak demikian, maka saya senang untuk bertemu denganmu agar kita saling bekerjasama bagi mengenal pasti penyakit dan menentukan ubatnya.

Berteman dengan orang-orang khusyuk yang selalu merenung, bergaul dengan orang-orang yang selalu berfikir dan menyendiri, dekat dengan orang-orang yang bertaqwa dan soleh, dari mereka terpancar hikmah dan dari wajah mereka terpancar cahaya, hati mereka bertambah dengan makrifat dan jumlah mereka yang sedikit adalah ubat yang mujarab. Berusahalah untuk menjadi teman mereka, selalu bersama mereka, kembali kepada mereka dan engkau sambung ruhmu dengan ruh mereka, jiwamu dengan jiwa mereka serta engkau habiskan kebanyakan waktu kosongmu bersama mereka. Hati-hatilah dengan orang yang ‘mengaku-mengaku.’

Carilah orang yang pengaruhnya membuatkan engkau bangkit, perbuatannya membuatkan engkau baik dan jika engkau melihatnya maka engkau mengingat Allah.

Berteman dengan orang-orang seperti ini adalah salah satu ubat yang paling mujarab kerana watak seorang manusia adalah sering mencuri sehingga hati terpengaruh oleh hati dan jiwa pun mengambil dari jiwa. Oleh itu, berusahalah untuk menemukan jiwa-jiwa yang soleh sebagai teman.

Saudaraku, berfikir dan berzikir pada waktu yang bersih, menyendiri, bermunajat, merenungi alam yang indah serta menakjubkan, menggali rahsia keindahan dan keagungan alam, meneliti dengan hati dan berzikir dengan lisan tentang pengaruh keagungan yang mencengangkan serta hikmah yang agung ini, termasuk hal yang memberi kehidupan kepada hati dan menyinari pokok-pokok kalbu dengan keimanan dan keyakinan.

Allah swt berfirman, ‘Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta silih berganti siang dan malam terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.’ (Ali Imran:190)

Saudaraku, selanjutnya berfikir tentang masyarakat, melihat pelbagai penderitaan, kebahagiaan dan kemakmuran serta menjenguk orang sakit, menghibur orang-orang yang ditimpa bencana dan mengenali sebab-sebab kesengsaraan yang berupa protes, kekafiran, kezaliman, melanggar aturan, sikap mementingkan diri sendiri, ego, terpedaya oleh hal-hal yang melalaikan, semua ini merupakan sentuhan bagi dawai-dawai hati yang menyatukan cerai-berainya dan menghidupkannya dari kematian. Maka berusahalah agar keberadaanmu menjadi penghibur bagi orang-orang yang sengsara dan ditimpa bencana. Tidak ada hal yang pengaruhnya lebih kuat terhadap perasaan daripada berbuat baik kepada orang-orang yang sangat memerlukan, membantu orang-orang teraniaya atau berkongsi kesedihan dengan orang susah dan menderita.

Saudaraku, hati ada di tangan Allah. Dia mengubahnya sesuai kehendak-Nya. Oleh itu bersungguh-sungguhlah dalam berdoa agar Dia memberikan kehidupan kepada hatimu, membuka dadamu dengan iman dan melimpahkan keyakinan kepadamu sebagai anugerah serta nikmat dari-Nya. Berdoalah di waktu mustajab dan waktu sahur kerana doa di waktu sahur umpama anak panah yang meluncur dan tidak berhenti sehingga sampai ke ‘arasy. Saya tidak meragukan keikhlasanmu dalam mencapai tujuan dan kejujuran dalam pengakuanmu.

Allah swt berfirman, ‘Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertaqwa.’ (Al-Maidah:27)



Saudaramu Hasan al-Banna

Thursday, March 10, 2011

Lelaki tanpa hati (1)

Seorang pemuda kesedihan kerana merasakan ada perpisahan di antara kewajipan dan realiti, akal dan hati serta ilmu dan amal. Lalu dia mengirim surat kepada Imam Hassan al-Banna untuk bertanyakan ubat penawar dengan terlebih dahulu menjelaskan keadaan hatinya. Pemuda itu telah mengirimkannya sejak berpuluh tahun lalu tetapi seakan-akan dia mencerminkan keadaan sebenar hati kebanyakan orang yang membaca suratnya, serta merasakan hal yang sama dengan surat pemuda tersebut.

Yang dihormati Ustaz Hasan al-Banna,

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Apakah anda pernah mendengar tentang lelaki tanpa hati? Maaf, jika hati yang dimaksudkan adalah salah satu anggota tubuh dari daging yang berwarna merah, yang menarik dan melepaskan darahnya, sudah tentu lelaki itu memilikinya. Dengannya dia dapat hidup dan menjalani kehidupannya. Akan tetapi hati yang bersemangat, kuat dan hidup, sayang sekali dia tidak memilikinya.

Dia mengetahui kebaikan meskipun kecil, dia juga mengetahui tempat-tempat keburukan meskipun samar-samar.

Seringkali dia berasa benar jika membaca perilaku seseorang bersama wajahnya. Akan tetapi, dia tidak memiliki hati. Jika bertemu dengan temannya yang sudah lama tidak bersua, dia menyalaminya dan menggenggam tangannya dengan kuat, bahkan memeluknya. Namun hatinya tetap beku, sama sekali tidak terpengaruh. Dia memberi nasihat kepada orang lain, ‘Jadilah kalian begini dan jadilah kalian begitu,’ serta menyebutkan berbagai-bagai dalil dan alasan, namun hatinya semakin keras dan tidak terpengaruh.

Dia tersenyum semasa menerima berita gembira. Dia juga mengerutkan dahi ketika menerima berita sedih. Akan tetapi, kegembiraan dan kesedihannya hanyalah reaksi alam, sedangkan hatinya tetap diam dan tidak tergoncang.

Dia menyatakan cinta dan benci kepada seseorang. Ketika melihat hatinya, hati itu tetap diam tanpa memberi penjelasan.

Dia berdiri menunaikan solat dan berusaha khusyuk, membaca al-quran dan berusaha memusatkan perhatiannya ketika menunaikan solat, membaca bacaan solat dengan nada-nadanya sehingga orang pun berkata, ‘Dia jenis orang khusyuk.’ Akan tetapi dia meraba hatinya dan mendapatinya tuli dan tidak khusyuk walaupun memahami apa yang dibaca.

Ini adalah gambaran yang sebenarnya terjadi pada hati lelaki tersebut. Saya tidak melebih-lebihkan atau menguranginya. Menurut anda, apakah anda mengatakan bahawa hati sama seperti hati orang-orang pada umurnya.


Saya dianugerahi akal tetapi hati saya hilang. Saya merasakan fikiran saya menyala-nyala bekerja, hidup dan menunjukkan kehadirannya. Akan tetapi, ketika saya ingin merasakan hal tersebut pada hati saya, sama sekali tidak berjumpa dengannya. Ketika ini, anda telah mendengar tentang seorang lelaki yang tidak memiliki hati.

Dia adalah seorang pemuda yang membai’at anda dan anda mengambil sumpah setia darinya. Apakah anda rela jika seorang tentera anda hidup tanpa hati? Apakah anda dapat membantu menghidupkan hatinya agar bergerak dan merasakan apa yang diucapkan oleh lisannya?

Ini adalah penyakit salah seorang tentera yang akan membuat anda sedih jika mengetahuinya. Oleh kerana itu, saya tidak menyebutkan namanya hingga saya memberitahu anda akan kesembuhannya.

Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Surat ini menceritakan keadaan majoriti dari umat manusia walaupun kita tidak berani mengutarakannya seperti pengirim surat ini. Akan tetapi, inilah satu realiti yang menyedihkan yang kita alami dan yang ingin kita perbaiki. Apabila keadaan seperti ini terjadi pada hati kita, lantas apakah sifat-sifat hati yang hidup yang dapat sampai kepada Allah?

Wednesday, March 09, 2011

Berapa cik? 4 ringgit

Macam tidak percaya. Kalau di Kuala Lumpur mahu sepuluh ringgit. Di Melaka, sangat murah, belum pernah saya dapat harga macam ini.

Seorang rakan menayang rambut barunya ketika kami minum di restoran Jalan Hang Tuah. Selepas agak lama tidak berjumpa, kami berborak panjang. Katanya dia gagal dalam usahanya untuk mendapat geran penyelidikan universiti. Alasannya kerana tidak menepati kehendak universiti. Masalahnya, permohonan yang dihantar telah ditolak di peringkat fakulti, macam mana hendak lulus di peringkat universiti. Lalu saya mempelawanya untuk menjadi sebahagian daripada co-researcher kerana saya dapat geran penyelidikan dari universiti- tanpa pindaan ke atas proposal. Bangga rasanya.

Selepas minum, kami menuju ke kedai gunting rambut yang dimaksudkan. Petang-petang macam ini memang tidak ada pelanggan. Lalu saya dipersilakan duduk untuk dipangkas rambut. Sekejap saja sudah siap. Saya bertanya berapa harganya. Jawab tukang gunting: empat ringgit.

Saya rasa macam salah dengar. Saya tanya sekali lagi. Berapa cik? Jawabnya: empat ringgit. Ya, betullah, empat ringgit saja. Saya seluk saku baju dan hulurkan sekeping wang lima ringgit. Rasa ringan saja mulut hendak beritahu: 'saya bayar lima ringgit' tapi tidak sampai hati sebab tukang gunting sudah tetapkan empat ringgit.

Rupa-rupanya dalam kita membazirkan wang berbelanja besar untuk memotong rambut, ada juga kedai gunting rambut yang tidak mengambil untung yang besar. Insya Allah kedai gunting rambut ini akan menjadi pilihan saya pada masa depan.

Tuesday, March 08, 2011

Ramai kawan, hati senang

Jaringan atau networking menjadi nadi dalam bisnes kerana lebih banyak jaringan, lebih ramai orang yang tahu bisnes yang dilakukan. Seorang kenalan saya merupakan usahawan yang berjaya. Dalam masa 20 tahun, beliau telah membina empayar perniagaan dengan memiliki 10 buah anak syarikat yang memberi fokus kepada industri kimia.

Saya bertanya kepadanya bagaimana dia boleh maju dalam bisnes dan masih bertahan sehingga kini? Bagi usahawan ini, salah satu daripada sifatnya dari dulu hingga sekarang ialah menyertai ekspo di seluruh dunia. Bermula dengan ekspo, syarikatnya telah membuat jaringan kerjasama dengan usahawan dalam dan luar negara. Ada tiga tip untuk menambahkan jaringan ini.

Pertama, peramah. Ringan mulut untuk menegur atau menyapa orang lain. Wajah mesti sentiasa menunjukkan keceriaan dan gembira supaya emosi positif dapat sampai kepada orang lain. Seterusnya bercakap dengan senang hati.

Kedua, hulur bantuan. Ada masanya kenalan baru menghadapi masalah, ketika ini bolehlah kita memberi bantuan supaya dia berasa senang hati.

Ketiga, ambil peluang berkenalan dengan orang di sebelah kita. Berikan business card, bertukar-tukar nombor telefon atau apa saja yang dapat membina jaringan bisnes kita.

Monday, March 07, 2011

Hayati prinsip penerimaan dalam 1Malaysia

oleh A.AZIZ DERAMAN

Gagasan 1Malaysia itu, sesungguhnya satu cetusan idea Datuk Seri Najib Tun Razak yang jauh merentasi zaman. Gagasan itu berada di hadapan gagasan dan wawasan terdahulu mengadunkan Wawasan 2020, masyarakat Islam Hadhari dan konsep negara cemerlang, gemilang dan terbilang. 1Malaysia boleh bertahan seberapa lama selagi rakyat menghayati prinsip-prinsipnya. Memang benar apabila Najib mengatakan gagasan itu suatu kesinambungan dari perjalanan sejarah negara sejak kemerdekaan. 1Malaysia tegak bersandarkan prinsip-prinsip penerimaan, teras Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip itu hendaklah dihayati sepenuhnya.

Soalnya apakah seluruh lapisan rakyat memahami dan menghayatinya? Apakah setiap peringkat kepemimpinan baik politik mahupun organisasi swasta, awam dan sosial berpegang teguh dan sedia mempertahankannya? Permainan politik corak baru dan gangguan dari kesuburan rimba perkauman, cauvinisme dan penolakan tonggak-tonggak kenegaraan oleh golongan tertentu sekarang kian menjadi ancaman.

Apakah makna penerimaan itu, jika tidak mengenai perihal perbuatan, sikap, anggapan dan pandangan terhadap hakikat sesuatu kebenaran fakta, misalnya hakikat sejarah Malaysia dan sifat kepelbagaian yang ada. Prinsip penerimaan itu ditandai oleh suatu perlakuan yang positif, menerima sesuatu kebenaran dengan hati yang tulus dan terbuka.

Bagaimanakah penerimaan hakikat sejarah dan kepelbagaian kita? Sejarah Malaysia sejak ribuan tahun adalah sebahagian daripada sejarah Asia Tenggara, sebelum kedatangan pengaruh asing atau setelah diganggu pemerintahan kolonial. Jika Indonesia dengan pengaruh Belanda, maka Malaysia dengan Inggeris. Kolonial itu bukan sahaja membawa pengaruh ke atas sistem pemerintahan atau kehidupan ekonomi kerana memenuhi revolusi industri abad ke-19 di barat, bahkan mendatangkan pengaruh budaya baru melalui sistem pendidikan. Kedatangan orang Cina dan India secara besar-besaran dua abad lalu tidak sama konteksnya dengan hubungan antara empayar pada abad ke-15.

Rantau ini sejak zaman berzaman mewarisi tradisi kesultanan dan institusi Raja-raja Melayu. Kecemerlangan kerajaan-kerajaan awal Melayu dari sejak awal Masihi itu diakuri timur dan barat. Dunia Melayu adalah milik azali umat Melayu dan bangsa serumpunnya di serata gugusan kepulauan. Konsep ibu pertiwi atau tanah air (motherland/paterland) terletak di situ.

Fenomena terkemudian dapat dianalogikan sebagai sebuah rumah besar yang menerima kedatangan 'tetamu' yang kini telah memilih hidup bermastautin dan menjadi rakyat di rantau ini. Di Malaysia, penerimaan rakyat asalnya yakni bangsa serumpun Melayu terjelma melalui sikap merai, menyediakan peluang dan tapak kehidupan untuk 'rakan-rakan' baru tadi. Jika realiti ini dihayati, maka rakyat akan lebih memahami makna 'orang memberi kita menerima, orang berbudi kita berbahasa'. Tanggapan dan penerimaan tidak menjadi mudah, jika rakyat menolak hakikat sejarah.

Rakyat asal Malaysia sedia berkongsi kuasa politik, ekonomi dan sama-sama membina kesejahteraan sosial. Malaysia selama ini sangat menghormati kepelbagaian dan perbezaan rakyatnya. Selain daripada mementingkan kedudukan bangsa serumpun Melayu atau pribumi secara adil sesuai dengan aspirasi perlembagaan, Malaysia tidak meminggirkan rakyatnya dari keturunan Cina dan India. Kini mereka sudah berstatus warga Malaysia. Dasar-dasar negara digubal untuk kepentingan semua demi mencapai matlamat perpaduan. Kita harus menerima hakikat golongan manakah yang berada di lembah kemiskinan dan kedaifan!.

Lihat bagaimana status ekonomi, pendidikan, taraf kesihatan, prasarana luar bandar? Majoriti penduduk luar bandar itu terdiri daripada Melayu dan suku bangsa serumpunnya seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Bajau, Melanau, dan puluhan yang lain di Sabah dan Sarawak. Jadi, formula tentu perlu dicari bagaimana membina 'Kesatuan Dalam Kepelbagaian' tadi.

Kepelbagaian itu sewajarnya berada di dalam penerimaan segenap lapisan rakyat. Di Malaysia, keturunan Cina dan India mempunyai ciri budaya, bahasa, adat resam, agama, kepercayaan, warisan seni masing-masing. Nilai-nilai hidup yang terbaik bersifat universal akan dipupuk menjadi nilai-nilai nasional. Penerimaan apa yang terbaik daripada bangsa induk Melayu dan suku bangsa serumpunnya dan menyaring nilai-nilai budaya positif masyarakat Cina atau India boleh dilakukan untuk tujuan perkongsian nilai-nilai bersama.

Malahan sebahagian unsur-unsur warisan budaya kaum itu sudah terserap ke dalam kebudayaan nasional di bidang bahasa, pakaian, perhiasan, makanan, kesenian dan sebagainya. Amalan asal bersumberkan kaum dan sukuan itu, suatu waktu dalam proses masa akan mengambil tempatnya yang baru pula. Contoh amalan 1Malaysia sudah lama terdapat di Sabah. Soalnya, bagaimana masing-masing saling mengenali dan memahami!.

Di dalam Islam kepelbagaian itu sudah menjadi fitrah kehidupan. Ia adalah anugerah Tuhan. Justeru itulah agaknya, umat Islam tahu menilai dan meraikan kepelbagaian. Prinsip penerimaan dalam 1Malaysia tidak lari dari ketentuan Islam.

Pendekatan 1Malaysia jika benar-benar dihayati pasti akan memperkukuh konsep perpaduan dan kesatuan negara. 1Malaysia, diibaratkan sebatang sungai besar, maka akan ada pertemuan alirannya, beza anak sungai dengan sungai induk yang arusnya sehingga ke muara. 1Malaysia bukannya retorik politik atau agenda politik, tetapi cita-cita kenegaraan untuk kemajuan dan kesejahteraan semua. Jadi, jangan jadikan ia diterjemah dalam konteks bersimpang siur. Pegang sistem pemerintahan yang satu, dipayungi perlembagaan yang satu. Bukankah Malaysia itu tidak lahir dari sesuatu yang vakum, ada kesepakatan asal berlandaskan kontrak sosial?.

Setiap perkara sudah terkanun dalam Perlembagaan. Maknanya penerimaan akan sebuah Perlembagaan menunjukkan hakikat kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Itu prinsip utama. Parti-parti politik manapun yang menguasai pemerintahan, keluhuran Perlembagaan mesti dijunjung. Rakyat Malaysia perlu memahaminya benar-benar.

Konsep dan falsafah 1Malaysia dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan penerapan nilai-nilai murni itu bukannya sukar untuk difahami. Jadi, prinsip penerimaan itu tidak boleh lari dari undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan Persekutuan dan pada masa yang sama dengan penuh rasa kecintaan negara, patriotisme, kesetiaan politik dan keikhlasan, rakyat Malaysia akan mempertahankan negara sendiri sebagai sebuah negara bangsa, bukannya 'kaki di sini, akal di sana'.

Datuk A. Aziz Deraman ialah bekas Ketua Pengarah Kebudayaan 1981-1989/Ketua Pengarah DBP 1994-2004 dan AJK GAPENA


(Utusan Malaysia 7 Mac 2011)

Friday, March 04, 2011

Libya digantung keahlian

Pada 1 Mac 2011, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengundi bagi menggantung keahlian Libya kerana melanggar hak asasi manusia. Duta Amerika Syarikat ke PBB, Susan Rice menyifatkan keputusan berkenaan merupakan sejarah kerana semua ahli bersetuju untuk menggantung keahlian Libya dari Majlis Hak Asasi Manusia yang juga merupakan kali pertama tindakan itu dilakukan ke atas ahlinya.

Tindakan ini juga merupakan satu pengiktirafan ke atas majlis berkenaan yang menunjukkan ia mempunyai kuasa dan tindakan.

Apabila disoal berkenaan peranan negara-negara Arab, beliau berkata ia merupakan perkembangan yang penuh makna kerana Libya juga dianggap sebagai sebahagian negara-negara Afrika.

Libya digantung kerana tindakan presiden, Muamar Ghadafi yang berterusan menggunakan kekerasan ke atas rakyatnya dan menyebabkan kematian. Di sebalik keganasan yang berlaku di Libya, Amerika telah lama mengidam hendak memusnahkan Ghadafi kerana siri serangan telah dilakukan sejak Ronald Reagen menjadi presiden negara itu. Sehingga kini semua usaha telah gagal. Kesempatan ini tidak mungkin dilepaskan oleh Amerika yang telah mula menghantar kapal perang dengan berselindung di sebalik membantu membebaskan rakyat Libya yang sedang dibunuh oleh pemimpinnya.

Thursday, March 03, 2011

Belajar menabung

Apa sahaja yang berkaitan dengan diri kita, wang menjadi perkara yang paling penting. Jika tinggal di bandar, serba-serbi perlukan wang: bayar sewa rumah, sewa kereta, makan, minum, bil air, parking kereta dan belanja keluarga. Kadang kala wang gaji bulanan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan dan terpaksa membuat kerja tambahan.

Satu cara praktikal untuk sentiasa ada wang belanja ialah menguruskan wang dengan betul. Sebaik sahaja menerima wang gaji, simpan dahulu bahagian yang perlu. Biasanya dan sebaik-baiknya, satu per tiga wang gaji perlu disimpan. Selebihnya boleh digunakan untuk berbelanja.

Kita perlu belajar untuk menyimpang wang walaupun dalam jumlah yang kecil supaya tabiat menabung menjadi budaya hidup. Kita perlu ada simpanan untuk masa depan kerana kita tidak dapat menjangkakan dengan tepat keperluan kesihatan masa hadapan.

Hari ini ramai orang yang berumur 50 tahun sudah mendapat dua tiga penyakit serius. Tentulah perbelanjaan untuk kos rawatan juga meningkat. Jadi, kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini kerana lambat-laun ia akan datang juga dalam hidup kita.

Wednesday, March 02, 2011

Jangan serik untuk gagal

Orang yang berputus asa dalam hidup adalah orang yang sedang gagal. Orang yang berputus asa juga telah silap membuat pertimbangan kerana putus asa tidak memberi apa-apa makna.

Kenapa tidak ada makna? Putus asa menghalang cita-cita berkembang maju. Putus asa membunuh perasaan syukur, redha dan terima kasih, malah boleh memudaratkan diri.

Tuhan menjadikan manusia lengkap dengan masalah dan jalan keluarnya. Kalau ada penyakit, tentu ada ubatnya. Pentingnya di sini ialah kita mesti sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakkal secara berterusan.

Kita ambil kisah cubaan para saintis dalam kajian yang mereka lakukan. Di dalam diri mereka tidak timbul perasaan takut gagal kerana mereka memiliki keupayaan diri yang hebat untuk mencuba dan tidak serik untuk gagal selepas mencuba. Sebaik sahaja berjaya, mereka akan cuba kaedah lain lagi dengan cara inovasi.

Dalam hidup kita, putus asa wajar diketepikan daripada kamus diri supaya kita sedar bahawa setiap kali gagal, kita tidak akan gagal selama-lamanya.

Tuesday, March 01, 2011

Sentiasa lebih tinggi daripada standard biasa

‘People never improve unless they look to some standard or example higher than themselves.’ Tryon Edwards

Cara untuk kita tahu sama ada kita menunjukkan penambahbaikan atau tidak ialah melalui proses menilai. Jika di sekolah, prestasi kemajuan dinilai dengan peperiksaan, kuiz atau tugasan. Jika di jabatan dan organisasi, sasaran kerja tahunan menjadi tumpuan. Kemajuan usahawan dan mereka yang bekerja sendiri diukur dengan peningkatan keuntungan atau pertambahan dalam permintaan produk jualan.

Semuanya dikatakan ada perubahan dan penambahbaikan jika lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Kecenderungan kita menilai semakin lama semakin penting kerana ‘track record’ sangat penting. Kita harus tahu bahawa perbandingan terbaik ialah kita mencapai tahap yag lebih baik daripada standard atau piawaian yang menjadi kayu ukur kepada kita.

Contohnya, untuk mendapat A dalam subjek matematik, ia perlukan 80 peratus kejayaan dalam ujian. Kalau kita dapat 81 atau 90 peratus, ia menunjukkan perubahan yang sangat baik dan melepasi standard yang ditetapkan.