Penulis: Michel Gilquin (terjemahan oleh Michael Smithies)
Tahun: 2002 (edisi English 2005)
Penerbit: Silkworm Books, Chiang Mai, Thailand
Muka surat: 164
Thailand kerapkali dirujuk sebagai negara yang kuat dengan nilai-nilai Buddhisme tetapi sejak 1998, ia menjadi salah sebuah negara yang bertaraf pemerhati dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Terdapat juga pegawai-pegawai dan menteri yang beragama Islam dalam kabinet kerajaan.
Kira-kira lapan peratus penduduk Thailand beragama Islam di mana majoriti bertumpu di Pattani, Yala dan Narathiwat. Jumlah keseluruhan penduduk Islam di selatan Thailand ialah 6,297,800 orang (bancian tahun 2000). Satu soalan yang menarik ialah bagaimana Islam boleh berada di Thailand bersama-sama dengan agama Buddha?
Hari ini kelibat masyarakat Islam mula kelihatan di ibu kota Bangkok, mewarnai kehadiran mereka di Thailand.
Michel Gilquin adalah seorang ahli sosiologi yang mengkhususkan kajiannya ke atas masyarakat Islam dan menetap di Maghribi. Beliau menghuraikan dengan terperinci asal usul Islam di Siam, proses integrasi masyarakat Islam ke dalam bangsa Thai dan mengkaji kesan-kesan globalisasi dan pemodenan ke atas tradisi dan masyarakat luar bandar.
Dalam buku ini beliau menerangkan sejarah kesultanan Patani, kehadiran masyarakat Melayu di selatan Thailand dan keadaan pergolakan di bahagian itu sejak 2004.
Buku ini tidak memberi sebarang penyelesaian ke atas konflik di antara masyarakat Islam dan pentadbiran Bangkok sebaliknya hanya memberi penerangan dan latar belakang bagaimana proses integrasi kelompok minoriti berlaku. Dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kefahaman Islam, muslim di selatan Thailand dan Islam dan bangsa Thai.
Maklumat yang dibentangkan dapat memberi kefahaman kepada pembaca sedikit sebanyak tentang masyarakat Islam dan Melayu. Jika pembaca ingin mengetahui lebih lanjut mengenai dasar dan pencapaian masyarakat Islam Thailand, mereka perlu mencari buku-buku lain dalam topik berkenaan.
Hadiah Nobel yang dianugerahkan kepada pemenang-pemenang yang merangkumi beberapa bidang telah dimulakan sejak tahun 1901 berdasarkan wasiat pencipta dan ahli kimia terkemuka Sweden, Alfred Nobel.Beliau yang juga seorang ahli perniagaan serta pencipta bom dinamit berkuasa tinggi telah menulis beberapa wasiat sebelum kematiannya sebagai menebus kesilapannya akibat dari penciptaan dinamit.Oleh itu beliau mewasiatkan 94 peratus dari hartanya yang berjumlah 31 juta kronors bersamaan dengan AS$ 186 juta (RM595 juta) pada waktu sekarang untuk membiayai lima kategori hadiah Nobel iaitu keamanan, kimia, fizik, kesusasteraan dan perubatan.Bagi tahun ini bekas Presiden Finland, Martti Ahtisaari diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan kerana usaha beliau untuk menghasilkan perdamaian berkekalan di seluruh pelosok dunia termasuk Aceh, Timor Leste dan rantau Balkan.Ahtisaari, 71, menjadi perantara dalam rundingan yang membawa kepada perjanjian damai antara kerajaan Indonesia dengan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Aceh pada 2005.Jawatankuasa Nobel Norway memilih Ahtisaari untuk menerima hadiah bernilai AS$1.4 juta (RM4.76 juta) daripada senarai 197 calon kerana “usaha penting yang dilakukannya di beberapa benua dalam tempoh lebih 30 tahun untuk menyelesaikan konflik antarabangsa.’’Menurut jawatankuasa itu lagi, usaha tersebut telah menyumbang ke arah mewujudkan dunia yang lebih aman selain mengeratkan ‘persaudaraan antara negara’ sejajar dengan semangat yang ditunjukkan oleh Alfred Nobel.Usaha Ahtisaari di Afrika, Eropah, Asia dan Asia Barat mendapat sanjungan daripada Jawatankuasa lima anggota itu.“Sejak 20 tahun lalu, beliau memainkan peranan utama dalam usaha untuk menyelesaikan beberapa konflik besar dan berlarutan, dari Namibia dan Aceh sehingga ke Kosovo dan Iraq,” menurut pengumuman itu.SumbanganAhtisaari juga telah memberi sumbangan membina ke arah menyelesaikan konflik di Ireland Utara, di Asia Tengah dan di Tanduk Afrika.Presiden Finland dari tahun 1994 hingga 2000 itu berkata, beliau sangat gembira dan berterima kasih kerana mendapat penghormatan sebagai penerima hadiah berprestij tersebut.Hadiah Nobel akan disampaikan di Oslo pada 10 Disember ini, sempena hari ulang tahun kematian Alfred Nobel pada 1896 tokoh yang bertanggung jawab mewujudkan anugerah itu.Akademi Sains Diraja Sweden turut mengumumkan dua saintis Jepun dan seorang ahli sains Amerika Syarikat (AS) berkongsi Hadiah Nobel 2008 dalam bidang fizik.Saintis AS kelahiran Jepun, Yoichiro Nambu dari Universiti Chicago itu memenangi separuh daripada hadiah tersebut kerana menemui mekanisme yang dikenali sebagai simetri pecah spontan dalam fizik subatom.Makoto Kobayashi dan Toshihide Maskawa berkongsi separuh lagi hadiah kerana menemui asal usul simetri pecah yang meramalkan kewujudan sekurang-kurangnya tiga famili quark dalam alam.Bagi Hadiah Nobel dalam bidang kimia, Akademi Sains Diraja Sweden menamakan dua warga AS Martin Chalfie dan Roger Tsein dan seorang warga rakyat Jepun Osamu Shimomura sebagai pemenang bersama.Penemuan protein berkenaan telah menjadi satu peralatan yang amat penting dalam bidang bio sains.Kejayaan mereka menemui protein cerah dalam ubur-ubur yang membantu saintis mengesan penyakit seperti kanser dan Alzheimer dan hadiah berjumlah 10 juta kronor akan dikongsi bersama pemenang.Bagi Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan, penulis terkenal dari Perancis Jean-Marie Gustave Le Clezio diumumkan sebagai pemenang.Ujar Le Clezio, kemenangan ini telah menjawab segala kritikan yang menyatakan bahawa kesusasteraan Perancis kini sudah semakin suram.“Penulis bukan seorang ahli falsafah dan bukan seorang juruteknik bahasa, mereka merupakan seseorang yang menulis dan sering bertanya soalan kepada diri sendiri,” kata beliau.Hadiah Nobel dalam bidang perubatan pula dikongsi oleh tiga pengkaji seorang dari Jerman Harald zur Hause dan dua dari Perancis iaitu Francoise Barre-Sinoussi dan Luc Montagnier.Penemuan mereka mengenai virus AIDS dan peranan virus dalam kanser serviks telah melayakkan mereka memenangi hadiah ini yang diiktiraf paling berprestij di dunia.Kesemua pemenang dalam lima kategori terpilih akan menerima hadiah wang tunai, sijil dan jemputan ke majlis penyampaian hadiah yang akan diadakan di Stockholm.[Utusan Online, 12/10/2008]
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang menginfakkan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka." (Al-Anfal:2-3)
Al-quran disusun indah oleh Allah. Penerangannya jelas dan ada unsur-unsur memberi harapan, panduan dan merangsang ke arah matlamat yang jelas.
Dari ayat surah al-anfal di atas, ia adalah petikan ringkas mengenai sifat-sifat orang yang beriman. Al-quran menerangkan sifat-sifat yang perlu ada pada orang beriman, yang patuh dan taat kepada perintah Allah dengan ciri-ciri khusus iaitu hatinya berdetik ketakutan, risau dan bimbang apabila mendengar nama Alah.
Banyak sebab kenapa timbul keadaan demikian. Salah satu daripadanya ialah takwa. Adanya takwa di dalam diri membuahkan iman yang kuat dan mantap. Melakukan apa sahaja yang diperintahkan Allah dan tinggalkan yang dilarang adalah maksud mudah bagi takwa.
Tahap iman semakin bertambah apabila ayat-ayat al-quran dibacakan. Maksudnya, sebarang ayat yang dibacakan dengan keterangan yang jelas dan nyata mengundang pertambahan keyakinan kepada Allah tanpa mengira maksud dan ertinya. Namun ia akan lebih menambah keyakinan apabila ayat-ayat berkenaan dibaca khusus terhadap realiti hidup orang-orang beriman.
Di sinilah yang dikatakan al-quran sebagai petunjuk dan mukjizat. Dengan membaca sahaja, ia memberi kesegaran dan kekuatan terhadap keyakinan diri, menghidupkan hati yang lesu dan mati, merangsang fikiran yang lemah dan menyegarkan tindakan yang bertangguh-tangguh.
Berusaha adalah ciri-ciri bagi mereka yang inginkan kejayaan. Di penghujung usaha berkenaan ialah tawakal iaitu menyerahkan hasil usaha kepada ketentuan Allah. Jika usaha berkenaan diizinkan Allah dengan mendapat habuan yang besar dan berjaya, ia sangat baik untuk kehidupan dan dapat membantu menambahkan kualiti solat. Jika dalam ekonomi, ia membantu orang lain dengan menginfakkan harta yang ada.
Tidak mengapa jika Allah tidak izinkan kejayaan kerana setiap perkara ada sebab dan musabab. Allah menghalang kejayaan kerana Dia tahu yang terbaik untuk kita.
Sewa buku ada pasarannya. Tetapi tidak banyak yang boleh kita jumpai lebih-lebih lagi di kawasan perumahan. Mungkin tidak ramai orang yang minat membaca buku-buku terpakai.
Di Indonesia, buku-buku terpakai ada banyak pilihan, banyak tajuk. Jika kita bernasib baik, dapat menyewa buku-buku yang terkini kerana si pembacanya sudah jemu membaca lalu dijual kepada kedai buku sewa. Lagi pun, dalam banyak keadaan, buku yang topiknya berat kurang mendapat sambutan.Apa yang orang hendakkan dari perkhidmatan sewa buku ini?Pertama, harganya. Buku yang disewa bukannya mahal sangat, lebih kurang RM2 hingga RM10 bergantung kepada jenis dan berapa lama hendak disewa. Kalau sekejap saja, RM 2 sudah cukup. Berbanding membeli buku baru, harganya jauh lebih mahal. Masalahnya pula tidak ada tempat menyimpan.Kedua, untuk buat mini perpustakaan di rumah. Kadang-kadang rakan-rakan yang datang ke rumah akan rasa teruja melihat rumah anda ada perpustakaan keluarga. Jadi secara tidak langsung mengesahkan bahawa anda sekeluarga minat membaca.Ketiga, kepuasan diri. Ada pembaca yang terlepas membeli buku kegemaran mereka dan tidak ada lagi dalam simpanan pengedar. Jadi, tempat terbaik untuk mencari buku berkenaan ialah di kedai sewa buku ini. Manalah tahu kot-kot ada bukunya di situ. Kalau buku yang diinginkan itu berjaya diperoleh, ia bagaikan satu nikmat yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.Apa syaratnya untuk membuka tempat menyewa buku di kawasan tempat tinggal anda?Sebaik-baiknya ia telah menjadi hobi anda untuk membeli dan mengumpul buku. Paling baik jika anda tahu kumpulan sasar yang mudah didekati seperti remaja (pastilah dengan novel kegilaan mereka), pelajar sekolah (buku rujukan dan soalan tahun-tahun lepas) ataupun suri rumah dan wanita bekerja (buku resepi atau motivasi). Terpulang kepada anda kumpulan sasaran yang ingin diberi perhatian. Untuk kanak-kanak, buku cerita yang mudah atau komik sangat sesuai. Semakin besar jumlah buku yang hendak disewa dan ramai pelanggan, pastilah anda goyang kaki untuk menerima wang setiap hari kerana bisnes sewa buku tidak akan habis jika pembaca sangat rakus untuk menyewa buku-buku anda.Kalau bisnes anda sudah maju, bolehlah diperkenalkan pula sewa VCD atau DVD. Sekurang-kurangnya dapat menampung belanja bil air dan elektrik rumah anda.
Perjalanan pulang ke kampung halaman sempena hari raya merupakan pengalaman yang paling manis setiap tahun. Susana meriah, riang dan gembira ketika menyambut pagi syawal tidak akan dapat dilupakan oleh sesiapa sahaja yang benar-benar menghayati puasa sebulan Ramadhan.
Bagi yang berkeluarga, bercuti untuk pulang beraya di kampung akan menjadi detik terpenting untuk diuruskan. Perjalanan jauh sebaik-baiknya dimulakan dengan menempah tiket bas yang sememangnya menjadi rebutan setiap kali musim perayaan ini. Mendapat tiket pada tarikh yang dikehendaki merupakan satu peluang yang sangat berharga walaupun terpaksa berebut di kaunter.
Terdapat banyak perkhidmatan bas ekspres yang memberi perkhidmatan. Di musim perayaan, pengguna tidak begitu memilih jenis bas yang disediakan asalkan selesa dan sampai ke rumah. Di pihak penyedia perkhidmatan, mereka tentunya akan memberi khidmat yang terbaik supaya bas mereka sentiasa menjadi pilihan.
Dari aspek kebersihan, keselesaan, ketepatan dan mesra, setiap syarikat bas ekspres berbeza-beza. Ada yang menyediakan bas yang sangat moden, canggih dan selesa. Penghawa dinginnya sejuk, tempat duduk yang luas dan ruang kaki yang lebih panjang namun pemandunya kurang mesra. Ada yang mesra tetapi bas yang disediakan tidak menepati ciri-ciri keselesaan yang dikehendaki. Ada yang selesa, menarik dan mesra namun datang lambat walaupun waktu bertolak telah tertera pada tiket.
Perkhidmatan bas ekpres di Malaysia masih boleh dibaiki perkhidmatannya kerana nilai dan sikap penyedia perkhidmatan yang belum lagi berfikir secara profesional. Di Jepun umpamanya, perkhidmatan yang disediakan sangat berpatutan dengan harga yang dibayar dan pengguna jarang merungut. Ini terjadi kerana pemandu bas dan penyelia bas berfikir dan bertindak secara profesional selaras dengan nilai-nilai di dalam diri mereka.
Apabila bas telah mula bergerak dan penumpang mulai menikmati pengalaman perjalanan mereka, isu yang mula menimbulkan keresahan ialah tempoh masa berhenti yang pendek iaitu 20 hingga 30 minit. Ketika musim perayaan, biasanya tempat rehat utama dipenuhi dengan ramai pengunjung yang mahu makan, berehat dan solat. Ada kalanya ia mengambil masa juga untuk mendapat satu pinggan nasi kerana terpaksa beratur panjang. Di surau keadaan yang sama turut berlaku.
Kadangkala penumpang hanya sempat makan tanpa menunaikan solat khususnya zohor dan asar. Di sinilah kita dapat melihat nilai dan pegangan yang ada pada pemandu bas ekspres. Jika pemandu itu seorang yang faham keutamaan menunaikan solat, dia akan sensitif dengan waktu solat. Dua pilihan yang ada, pertama ialah mempercepatkan perjalanan supaya masih ada waktu untuk solat, dan kedua memberhentikan bas di tengah jalan bagi penumpang menunaikan solat.
Umumnya kedua-dua pilihan berkenaan jarang dibuat sebaliknya pemandu lebih suka meneruskan perjalanan tanpa mengira kepentingan penumpang.
Sepanjang pemerhatian dan pengalaman penyelidik, pemandu bas ke utara lebih kerap tidak sensitif dengan waktu solat dan keutamaan solat. Mereka suka buat kerja sendiri tanpa berfikir bahawa penumpang turut menilai perkhidmatan mereka untuk berhenti solat. Berbeza dengan pemandu bas ke pantai timur. Mereka lebih mementingkan solat dan tidak mengapa untuk memberhentikan bas bagi jangka waktu yang lebih panjang sedikit asalkan penumpang dapat menunaikan solat jama’ mereka.
Dibandingkan kedua-dua jenis pemandu ini, perkhidmatan bas ekspres ke utara seperti Kedah dan Perlis wajar melihat kepentingan solat dalam urusan kerja mereka. Kesannya sangat besar kepada pengguna kerana solat itu merupakan amalan yang sangat diutamakan bagi seorang muslim. Perkhidmatan bas ekspres yang tidak melihat perkara ini sebagai penting akan hilang pengguna mereka yang setia dan sentiasa memberikan sokongan.
Tanpa mengira bas ekspres itu selesa atau tidak, solat mesti diberi keutamaan oleh pemandu bas.
oleh Jeniri Amir
Apakah kesannya jika Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum tidak bersatu padu? Mungkinkah negara ini dapat mencapai kemerdekaan dan seterusnya kemajuan seperti dinikmati sekarang?
Bayangkan kesannya terhadap sistem politik, ekonomi dan sosial negara jika masyarakat berpecah-belah dan negara huru-hara? Mungkinkah kita dapat meraih kecemerlangan pada masa depan jika keadaan sedemikian berlaku, dan terdapat jurang besar antara kerajaan dengan rakyat?
Mengikut Wawasan 2020, salah satu cabaran utama negara ialah "membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan".
Cabaran itu memperlihatkan kesedaran kerajaan betapa pentingnya kesepaduan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Cabaran membentuk bangsa Malaysia yang kukuh perpaduannya dianggap sebagai cabaran utama.
Untuk itu, rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu memiliki keperibadian dan rasa kekitaan yang kental. Sebenarnya, sikap tamak, tidak bertimbang rasa, tidak bersedia untuk berkorban dan bertolak ansur, dan hanya mementingkan diri dan kaum sendiri akan hanya meruntuhkan tembok perpaduan yang telah dibina untuk sekian lama. Sesungguhnya, bersatu teguh, bercerai roboh.
Sebanyak 327 kes konflik sosial di seluruh negara antara 1996 hingga 2002 berpunca daripada nilai dan sikap tersebut. Sebanyak 81 konflik ialah kes pergaduhan antara kaum, 76 ialah konflik politik, 65 konflik agama, dan 36 kes keselamatan. Konflik seperti ini merupakan musuh utama keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.
Perpaduan ialah satu bentuk penyatuan penduduk pelbagai kaum daripada pelbagai kawasan dan wilayah, dengan pelbagai kepercayaan, budaya, dan nilai di bawah satu bentuk identiti nasional yang mencerminkan wajah, dengan aspirasi yang sama untuk mencapai matlamat memajukan negara.
Malaysia yang memiliki perpaduan ialah negara yang rakyatnya mengamalkan budaya hidup ingin bersatu dalam semua bidang, tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya demi keharmonian dan kemakmuran bersama di mana-mana pun mereka berada, sama ada di Semenanjung Malaysia atau di Sabah dan Sarawak.
Mereka berjalan seiring dan sejalan, ke bukit sama didaki, dan ke lurah sama dituruni. Mereka meletakkan kepentingan masyarakat dan negara di atas kepentingan diri dan kaum masing-masing, dengan falsafah bahawa di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Mereka tidak harus bimbang kerana hak masing-masing sentiasa terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa curiga dan sangsi.
Meskipun bermula dengan sejarah dasar pecah dan perintah pada zaman penjajahan untuk sekian lama, rakyat pelbagai kaum di negara ini telah menerima hakikat bahawa mereka berkongsi wilayah, ekonomi, tanah air, dan masa depan bersama.
Perpaduan dari segi wilayah, kaum, ekonomi, budaya, sosial, pendidikan, sukan dan seumpamanya menjadi mangkin yang akan menggerakkan negara ini ke hadapan. Kecemerlangan negara pada masa depan bergantung pada sejauh mana kita dapat mengekalkan dan mengukuhkan perpaduan.
Perasaan kekitaan akan mengikat jiwa dan minda rakyat sehingga mempunyai daya ketahanan yang tinggi, dan akhirnya sukar digugat oleh ancaman dalaman dan luaran. Kejayaan pelbagai dasar, terutama dasar politik, pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dan sosial telah memungkinkan pelbagai kaum beransur-ansur mengakui bahawa mereka mempunyai identiti sepunya, dan nama kolektif sebagai rakyat Malaysia.
Dari segi politik, sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman hinggalah era pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sistem perkongsian kuasa dan pemerintahan secara permuafakatan di bawah Barisan Nasional sentiasa menjadi pegangan.
Kita perlu menerima hakikat bahawa perpaduan antara kerajaan dan rakyat juga penting bagi menentukan segala dasar dan rancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Perpecahan dan jurang antara kerajaan dan rakyat hanya akan menimbulkan banyak masalah dan hambatan yang tidak menguntungkan.
Dalam membangunkan dan memakmurkan negara, rakyat pelbagai kaum, tanpa mengira fahaman hendaklah berdiri di belakang kerajaan. Sokongan padu daripada rakyat terhadap kerajaan juga akan dapat menjamin bahawa segala ancaman dari luar dan dalam dapat ditangkis.
Lagipun, jika konflik tercetus antara kerajaan dan rakyat, banyak masa akan dibuang untuk menangani dan menyelesaikan konflik itu.
Justeru, rakyat perlu patuh dan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan. Kejayaan negara bergantung pada kesepakatan dan perpaduan tersebut. Singkatnya, antara individu dengan individu, kelompok dengan kelompok, kaum dengan kaum, dan rakyat dengan kerajaan, perlu wujud perpaduan dan kerjasama padu.
Negara yang tanpa perpaduan akan mendedahkan dirinya kepada pelbagai kelemahan. Kelemahan itu akan mengakibatkan kedaulatannya terancam kerana tidak berupaya menghindarkan pencerobohan dan gugatan dalaman dan luaran.
Perpaduan jitu akan menjadi tunjang ketahanan bangsa dan kemajuan negara. Perkembangan ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya akan terbantut jika tidak terdapat perpaduan atau jika negara kita dalam keadaan huru-hara.
Dalam pada itu, pelabur asing manakah yang akan mempunyai keyakinan untuk melabur di sebuah negara yang kacau-bilau? Itulah sebabnya melalui teras kedua Misi Nasionalnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berusaha untuk 'menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif'.
Semangat esprit de corps, bersedia untuk bertolak ansur, bekerjasama dan bermuafakat akan menentukan masa depan negara. Bangsa dan negara bangsa bukan sahaja terbentuk dan terbina melalui perjalanan sejarah, tetapi ditentukan oleh bangsa itu sendiri.
Kita tidak mempunyai negara lain untuk berlindung dan mencari rezeki. Malaysia ialah tanah air kita, tempat kita hidup dan mati. Jadi, mengapakah kita harus berkelahi dan bermusuh-musuhan sesama sendiri?
[Utusan Online, 4/10/2008]
Pejabat pendakwa raya Rusia menyalahkan Internet kerana menyebarkan permusuhan kaum dan perselisihan agama di negara itu. Terdapat kira-kira 500 laman web yang menghasut pelayar Internet dan mewujudkan pertelingkahan kaum di peringkat antarabangsa.
Laman web yang lain mempunyai maklumat untuk membuat bahan letupan dan memberi penerangan terperinci untuk meletakkan bom ketika melakukan serangan. Rangkaian puak pelampau dan penyerang di negara itu mendapatkan maklumat serangan daripada laman web di Internet dan membuat serangan ke atas pekan dan bandar di Rusia.
Bagi pelayar Internet yang aktif, mereka mungkin dapat mengumpulkan catatan tentang keganasan dari Internet yang boleh dibukukan.
Pendakwa raya juga menyalahkan permainan dalam talian yang ganas kerana berperanan menyebarkan dakyah permusuhan di antara kaum dan negara.
Para pegawai di jabatan itu juga mencadangkan aktiviti Internet mesti diletakkan di bawah peraturan undang-undang bagi menghalang penggunaan teknologi terkini yang mendorong kepada keganasan dan kebencian kaum.
Moscow telah menjadi sasaran kepada jenayah kebencian di Rusia di mana 19 kes jenayah yang berlaku di negara itu adalah berasaskan kaum dan agama. Daripada jumlah ini, 17 kes berlaku di Moscow yang melibatkan kumpulan pemuda yang berumur di antara 16 hingga 22 tahun. Mereka ini datang dari Uzbekistan, Tajikistan, Azerbaijan, Armenia dan Kyrgyzstan.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 250 kes jenayah pelampau dilaporkan berlaku di Rusia. Di Moscos sahaja terdapat 73 jenayah seperti ini.
Pihak berkuasa tempatan telah mengambil tindakan terhadap beberapa laman web dengan cara menyekat capaian ke laman tersebut.
Selain keganasan, ada juga laman web yang meminta perlembagaan Rusia ditukar dan mencadangkan Rusia diserang dengan cara keganasan.
Populariti Internet di Rusia semakin meningkat dua kali ganda sejak tiga tahun terakhir ini. Walau bagaimanapun 69 peratus penduduk negara itu tidak menggunakan World Wide Web dan hanya 20 peratus menggunakan Internet sebagai sumber maklumat.
Udara wangi pengaruhi mutu tidur: PenyelidikPercayakah anda jika dikatakan mimpi yang indah ada kaitan dengan bunga? Inilah hasil kajian sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat serta Jerman yang mendakwa mereka yang mahukan mimpi yang indah, perlu meletakkan bunga dalam kamar tidur.
Ini berdasarkan hasil kajian ke atas sekumpulan sukarelawan yang mengakui bermimpi indah selepas tidur dengan bau-bauan bunga ros atau mawar diletakkan di bawah hidung mereka. Keadaan sebaliknya menimpa kumpulan 15 sukarelawan wanita yang tidur bertemankan bau telur busuk, seperti dicatatkan penyelidik Jerman. Hasil kajian Amerika dan Jerman itu dibentangkan pada mesyuarat Persatuan Otolaryngology Amerika di Chicago, semalam.
Berikutan itu, penyelidik terbabit kini berminat mengkaji mereka yang tidak nyenyak tidur dan sering mengalami mimpi buruk. "Apa yang pasti, kita boleh katakan pendedahan individu kepada bau-bauan di sekitarnya kemungkinan besar mempengaruhi mimpi mereka. "Jika mereka tidur dengan ditemani bau-bauan wangi, sudah pasti mimpi mereka juga lebih indah," kata penyelidik dari Hospital Universiti Manheim, Profesor Boris Stuck. Katanya, penyelidik menunggu sehingga responden memasuki fasa tidur paling nyenyak yang menjadi tempoh mimpi sering berlaku. Responden itu kemudian didedahkan dengan udara busuk selama 10 saat sebelum dikejutkan seminit kemudian.
Mereka ditanya mengenai bentuk mimpi dialami serta perasaan mereka. Sukarelawan wanita yang didedahkan dengan bau busuk tidak menyedari bau busuk, tetapi mengakui mengalami mimpi buruk. Kajian sebelum ini menunjukkan stimulasi lain seperti bunyi, tekanan dan getaran boleh mempengaruhi jenis mimpi serta emosi mereka ketika itu.
[Berita Harian Online, 3/10/2008]
Kemalangan jalan raya ketika musim perayaan telah menjadi lumrah di negara kita. Setiap tahun pihak berkuasa menjalankan kempen dan memberi panduan kepada pengguna jalan raya di seluruh negara supaya berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung halaman masing-masing.Hari raya aidilfitri pada tahun ini disambut dalam suasana meriah dan orang ramai berkesempatan pulang awal ke kampung kerana cuti sekolah yang dipanjangkan. Di samping itu ramai kakitangan awam dan swasta turut mengambil cuti lebih awal bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan dapat membeli-belah dengan bebas.Bonus separuh bulan yang diterima bagi menyambut hari raya juga menjadikan kakitangan awam lebih bersedia untuk mengatur perbelanjaan dan bergembira.Kali ini kita tidak lagi mendengar kematian yang melibatkan bas ekspres seperti tahun-tahun sebelum ini. Persediaan awal pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggerakkan perjalanan yang teratur telah memberi keselesaan kepada pengguna dan mempastikan keselamatan mereka terjamin. Cuma kematian yang melibatkan pekerja dari Indonesia kerana tongkang yang digunakan untuk pulang ke kampung mereka telah karam.Kerapkali kita mendengar rungutan daripada pihak pengguna sendiri yang mereka ditipu dengan berbaga-bagai cara. Salah satu daripadanya ialah 'ulat' tiket yang sentiasa merayau mencari mangsa. Seminggu sebelum hari raya, seorang ulat tiket ini telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara kerana terlibat dalam kegiatan ini. Kesan utama ulat tiket ialah mencemarkan imej sistem pengangkutan awam negara dan menjejaskan pendapatan syarikat bas.Bagi mereka yang pulang ke kampung dengan motosikal, keselamatan diri mesti diutamakan. Kenderaan besar yang lebih banyak di atas jalan ketika ini sebenarnya mengundang padah jika tidak berhati-hati.Dalam kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan lori di Batu Berendam, Melaka pada hari raya kedua baru-baru ini, seorang penunggang motosikal dirempuh oleh lori berkenaan dan penunggangnya jatuh terhentak di atas jalan raya. Tangannya patah dan kepalanya berdarah. Walaupun memakai topi keledar, kesan hentakan menyebabkannya cedera parah di bahagian kepala. Keadaannya serius tetapi masih lagi sedarkan diri. Bantuan orang ramai telah mempercepatkan proses penghantarannya ke hospital Melaka.Kejadian di Taman Merdeka itu menyedarkan kita betapa penunggang motosikal sering menjadi mangsa. Dalam keadaan ini pun masih ramai penunggang yang tidak sedarkan diri dan mengabaikan aspek keselamatan diri sendiri.Justeru, pihak berkuasa wajar memperhebatkan langkah penguatkuasaan jalan raya ketika musim perayaan ini supaya kadar kemalangan yang melibatkan motosikal dapat dikurangkan.
Allahhu Akbar, Allahhu Akbar, Allahhu Akbar. Tiada Tuhan melainkan Allah, tepatlah janjiNya dan memberikan kemenangan kepada hambaNya, memuliakan tenteraNya dan menghancurkan musuhNya bersendirian. Tiada Tuhan melainkan Allah meskipun orang-orang kafir membenci.
Hari raya aidilfitri disambut sebagai tanda meraikan kemenangan kerana dapat mengikut perintah dan larangan Allah swt. Kemenangan yang sangat bermakna dan menjadi ujian paling getir selama sebulan.
Menjadi kebiasaan kepada masyarakat Islam untuk ziarah menzirahi sesama sendiri meminta ampun dan maaf. Kesalahan dan kesilapan selama setahun yang lalu terlerai. Kini semuanya sifar, memulakan episod baru dalam hidup selama setahun yang akan datang.
Silaturrahin diperkukuhkan dengan kunjung mengunjung, melihat kehidupan saudara mara dan bertanya khabar. Keharmonian keluarga kembali dipertaut supaya kasih kembali mekar. Suami dan isteri kembali ceria dan keluarga kembali bahagia.
Di samping ghairah untuk menyambut syawal, lebih baik kita melihat amalan-amalan sunat yang digalakkan pada pagi hari raya.
Sebelum keluar rumah, mandi sunat hari raya dapat memperbaharui azam dan tekad untuk bersama-sama dengan masyarakat Islam menyambut kemenangan. Kebersihan diri menjadikan personaliti diri bertambah hebat.
Setelah mandi sunat, menghiasi diri dengan pakaian baru dan bersih, mengenakan wangi-wangian dan bersarapan pagi.
Seterusnya memohon maaf kepada ahli keluarga yang hampir.
Apabila bergerak ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya, kenal pasti jalan yang dipilih dan apabila pulang kelak, adalah lebih baik memilih jalan yang lain.
Takbir adalah memuji dan membesarkan Allah swt. Sunat diperbanyakkan kerana pada hari ini kita telah bebas untuk makan dan minum sepanjang masa.
Bagi yang mampu, sediakan makan dan minum kepada fakir miskin supaya mereka juga turut merasai kegembiraan pada hari ini.
Di masjid, tunaikan solat sunat hari raya dan dengarkan khutbah raya kerana di situ terlalu banyak pengajaran yang akan diperoleh.
Lengkapkan amalan sunat hari raya kita dengan ziarah menziarahi saudara, kenalan dan sahabat handai.