Friday, October 10, 2008

Kekuatan ayat-ayat al-quran

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang menginfakkan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka." (Al-Anfal:2-3)

Al-quran disusun indah oleh Allah. Penerangannya jelas dan ada unsur-unsur memberi harapan, panduan dan merangsang ke arah matlamat yang jelas.

Dari ayat surah al-anfal di atas, ia adalah petikan ringkas mengenai sifat-sifat orang yang beriman. Al-quran menerangkan sifat-sifat yang perlu ada pada orang beriman, yang patuh dan taat kepada perintah Allah dengan ciri-ciri khusus iaitu hatinya berdetik ketakutan, risau dan bimbang apabila mendengar nama Alah.

Banyak sebab kenapa timbul keadaan demikian. Salah satu daripadanya ialah takwa. Adanya takwa di dalam diri membuahkan iman yang kuat dan mantap. Melakukan apa sahaja yang diperintahkan Allah dan tinggalkan yang dilarang adalah maksud mudah bagi takwa.

Tahap iman semakin bertambah apabila ayat-ayat al-quran dibacakan. Maksudnya, sebarang ayat yang dibacakan dengan keterangan yang jelas dan nyata mengundang pertambahan keyakinan kepada Allah tanpa mengira maksud dan ertinya. Namun ia akan lebih menambah keyakinan apabila ayat-ayat berkenaan dibaca khusus terhadap realiti hidup orang-orang beriman.

Di sinilah yang dikatakan al-quran sebagai petunjuk dan mukjizat. Dengan membaca sahaja, ia memberi kesegaran dan kekuatan terhadap keyakinan diri, menghidupkan hati yang lesu dan mati, merangsang fikiran yang lemah dan menyegarkan tindakan yang bertangguh-tangguh.

Berusaha adalah ciri-ciri bagi mereka yang inginkan kejayaan. Di penghujung usaha berkenaan ialah tawakal iaitu menyerahkan hasil usaha kepada ketentuan Allah. Jika usaha berkenaan diizinkan Allah dengan mendapat habuan yang besar dan berjaya, ia sangat baik untuk kehidupan dan dapat membantu menambahkan kualiti solat. Jika dalam ekonomi, ia membantu orang lain dengan menginfakkan harta yang ada.

Tidak mengapa jika Allah tidak izinkan kejayaan kerana setiap perkara ada sebab dan musabab. Allah menghalang kejayaan kerana Dia tahu yang terbaik untuk kita.

No comments:

Post a Comment