Saturday, March 11, 2017

Ihsan dan kecemerlangan kerjaya








Alangkah indahnya kalau kita dapat masuk ke syurga tanpa ada apa-apa halangan seperti mudahnya kita keluar dan masuk di dalam rumah sendiri. Ia bukanlah mustahil kerana ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk masuk ke syurga yang dikenali sebagai "tanpa hisab".

Syarat paling utama ialah memahami isi al-quran.

Rasulullah saw meninggalkan kita sebuah hadiah yang sangat bernilai kepada umat manusia khususnya umat Islam. Di dalamnya terdapat panduan hidup yang menjadi obor kepada kehidupan seorang Islam meliputi semua aspek hidup dari sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya, yang mudah dan susah serta yang remeh dan rencah. 

Selepas beriman dengan al-quran, kita perlu pula memahami dan melaksanakan isinya dalam kehidupan, barulah dikatakan sebagai faqeh.

Ayat 133 surah ali-Imran menyeru supaya kita bersegera memohon taubat kepada Allah swt. Ketika usia muda inilah kita perlu perbanyakkan doa memohon keampunan Allah swt  kerana hari ini suasana sekitar menjadikan kita lebih mudah mendapat dosa. Banyak dosa yang kita dapat seperti mengumpat dan mengeji biarpun hanya mengetik papan kekunci komputer atau telefon pintar, membantah cakap ibu dan bapa atau bersangka buruk kepada rakan-rakan sekerja.

Memohon keampunan adalah kunci kepada laluan ke syurga. Makan dengan tiga jari, menyimpan janggut atau memakai celak tidak dapat membantu kita untuk masuk ke syurga kerana ada kunci lain yang lebih utama.

Keindahan syurga tidak dapat digambarkan. Luasnya syurga dikatakan sebesar bumi dan langit. Syurga ini disediakan untuk orang yang bertakwa, justeru tidak boleh berbangga dengan bangsa atau keturunan. Antara bait-bait dalam lirik lagu Iman Mutiara kumpulan Raihan adalah, "iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa, ia tak dapat dijual-beli, ia tiada di tepian pantai, walau apapun caranya jua, engkau mendaki gunung yang tinggi, engkau merentas lautan api, namun tak dapat jua dimiliki, jika tidak kembali pada Allah".

Kenapa takwa begitu penting?

Takwa umpama visa ke syurga. Abdullah bin Mas'ud r.a berkata takwa adalah, "hendaklah Allah itu ditaati jangan dimaksiati (taat), hendaklah Allah selalu diingat jangan dilupakan (zikir), hendaklah Allah selalu disyukuri jangan diingkari (syukur)". 

Mendapatkan takwa perlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Kita wajar bertindak seperti termostat yang dapat mengawal perubahan suhu, bukannya seperti termometer yang hanya boleh memberi bacaan suhu. Bersikap seperti termostat bererti mengetahui senario dan mengambil pendekatan proaktif. 

Contoh bersikap seperti termostat ialah "dakwah kepada non-muslim masih kurang", "KPI kerja kita masih jauh, perlu berusaha lebih gigih" atau "kita kena buat sesuatu supaya iman dan amal kita bertambah". Manakala contoh bersikap seperti termometer ialah "biar pi kat depa lah", "apa pula orang kata" atau "tak boleh buat apa dah".

Menjadi seperti termostat bermakna mengubah diri dan nasib diri seperti membaiki akhlak dan adab, akidah dan memperkasa syariat. Dalam hal ini, akhlak jauh berbeza daripada moral kerana akhlak ada elemen ketuhanan, terbit dari hati yang dibuat secara spontan dan mempengaruhi tindakan kita. Membetulkan akhlak ini melibatkan riadah akhlak iaitu praktis membina akhlak yang benar-benar menuruti al-quran dan sunnah.

Kecemerlangan kerjaya bergantung kepada dua ciri iaitu kuat dan amanah. Kedua-dua ciri ini mempengaruhi prestasi organisasi dan menambah baik iman dan takwa. Al-quran dalam surah al-Qasas ayat 26 menjelaskan perkara berkenaan, "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".


*Petikan daripada ceramah Dato Dr Danial Zainal Abidin di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka pada 10 Mac 2017.




No comments:

Post a Comment