Selamat tahun baharu 2023, kita sambut baru-baru ini. Sebagai sebahagian daripada perjalanan kehidupan kita, boleh dikatakan setiap orang memiliki azam tahun baharu yang dirancang dan cuba untuk melaksanakannya sepanjang tahun.
Azam tahun baharu adalah satu keperluan kepada kita yang memiliki keazaman untuk berjaya pada tahun ini.
Jadi, kenapa azam tahun baharu ini perlu?
Mahu ataupun tidak mahu, keperluan azam tahun baharu ini sangat penting kerana ia menjadi dorongan kepada kita untuk kuat bekerja, lebih bersemangat dan juga berusaha untuk memenuhi pencapaian yang telah pun ditetapkan pada tahun ini.
Ada orang bercadang untuk berjalan atau merantau ke negara luar sepanjang tahun 2023 ini. Persediaan awal mengumpul duit yang banyak pada tahun lepas akan direalisasikan pada tahun ini dengan menjelajah dan mengembara ke negara yang belum pernah pergi.
Kepentingan kedua adalah azam ini memberikan satu getaran yang positif dalam hidup. Apabila kita memiliki azam untuk melaksanakan satu-satu perkara, ia akan mendorong kita mencari suasana dan persekitaran yang kondusif untuk kita berusaha supaya apa yang kita hendak lakukan pada tahun ini akan dapat dicapai.
Dan kepentingan yang ketiga adalah azam kita ini sangat berkait rapat dengan orang yang berada di sekitar kita. Dengan tercapainya azam kita pada tahun ini, kita membantu orang-orang yang berada di sekitar kita mencapai azam mereka.
Adalah sangat penting dalam hidup untuk kita membentuk azam dengan memiliki dua ataupun tiga azam yang berkait rapat dengan kehidupan kita.
Saya ambil contoh kalau dapat kita penuhi azam yang telah pun dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW, dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.
Yang pertama adalah sedekah seperti banyakkan kebajikan dan infaq supaya kita dapat melihat hasilnya nanti di akhirat. Di akhirat tidak ada wang seperti yang kita gunakan pada hari ini untuk berjual beli. Yang ada hanyalah output sedekah jariah.
Yang kedua adalah memanfaatkan ilmu yang kita ada supaya dapat digunakan oleh orang lain. Kalau kita bekerja sebagai pensyarah atau guru, ilmu yang kita sampaikan kepada pelajar dan kepada anak murid kita yang diamalkan oleh mereka akan menjadi pahala yang berganda ganda kepada kita di akhirat kelak.
Yang ketiga adalah doa anak yang soleh. Jadilah seorang anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapa dia.
Dan juga pesanan Imam Hassan Al Banna yang mana salah satu daripada 10 pesanan beliau ialah bersolat apabila mendengar azan. Kita berhenti daripada kerja yang kita sedang kita lakukan. Kita fokus kepada menunaikan solat, hentikan apa sahaja kerja yang sedang dilakukan dan pergi menunaikan solat sama ada berjemaah atau solo.
Azam tahun baharu tidak perlu terlalu banyak dan sukar dicapai. Sebaiknya biarlah dapat memenuhi jangka panjang untuk mengubah tabiat lama yang tidak produktif dan membebankan. Selamat tahun baharu.
No comments:
Post a Comment