Friday, June 22, 2007

Cabaran mahasiswa di institusi pengajian tinggi

Institusi pendidikan di Malaysia memberi peluang yang luas dan saksama kepada pelajar lelaki dan perempuan untuk berjaya sehingga ke universiti. Keadaan ini sangat berbeza pada tahun-tahun sebelum dan 30 tahun selepas merdeka. Kini, persaingan untuk mendapat tempat di menara gading, kolej atau institusi pengajian tinggi swasta mengalami gelombang pelajar yang lebih bijak dan mempunyai keupayaan intelek yang lebih baik.

Kelompok pelajar atau mahasiswa yang rata-ratanya di bawah umur 25 tahun berkembang sebagai kelompok yang sangat istimewa di dalam masyarakat kerana mereka bakal mencetuskan hala tuju baru dalam era kepimpinan Malaysia 50 tahun yang akan datang. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika membentangkan impiannya bagi 50 tahun yang akan datang turut ingin melihat masyarakat Malaysia yang lebih maju, dinamik dan mampu meraih kejayaan di peringkat dunia. Harapannya kini sebenarnya berada di bahu mahasiswa masa sekarang yang diberi dengan pelbagai kemudahan, sama ada secara fizikal, mental ataupun spiritual melalui bantuan kewangan, infrastruktur yang selesa dan motivasi dari semasa ke semasa.

Mohamad Sofee Razak (Berita Harian, 20 Jun 2007) ketika mengulas keadaan mahasiswa berkata:

"Kelompok masyarakat ini sebenarnya masih ada yang keliru dan hilang arah tujuan serta masih lagi mencari-cari identiti dan entiti mereka sebagai mahasiswa sebenar di mana mereka menjadi insan harapan nusa dan bangsa.


Mereka kadangkala seolah-olah tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dan mungkin juga ada yang langsung tidak mengambil berat dan endah tak endah berkenaan perkara itu sehinggakan terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan.

Keadaan ini menyebabkan mereka masih tidak yakin pada diri sendiri; hilang rasa bangga sebagai seorang mahasiswa; malu berhadapan masyarakat; takut kepada cabaran; kurang persediaan dan persiapan yang amat ala kadar; tidak bersungguh di dalam melaksanakan sesuatu tugasan; hilang arah tujuan dan matlamat hidup; semangat kerja yang mundur dan tiada motivasi serta pelbagai lagi sikap negatif yang sering kali menghantui mahasiswa semasa pengajian dan selepas tamat pengajian."

Peringkat hidup mahasiswa juga ada identiti tersendiri. Agak malang jika di peringkat ini mereka masih lagi tidak dapat membentuk identiti yang mantap sebagai persediaan ke alam pekerjaan. Kematangan amat penting bagi menjamin kejayaan dalam pencarian kerja selain daripada keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Ketika mengendalikan kursus peningkatan diri kepada sekumpulan mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam tempatan baru-baru ini, saya juga melihat terdapat aspek yang sangat ketara kelemahannya pada diri seorang mahasiswa. Sebahagian besar peserta lelaki begitu pendiam, takut untuk mencuba dan lebih gemar menunggu soalan daripada cuba untuk bertanya. Berbanding peserta perempuan, semuanya menunjukkan tahap penglibatan yang sangat aktif dan mampu menghidupkan suasana perbincangan dalam kumpulan.

Keupayaan mahasiswa perempuan mendepani halangan dalam kursus seperti ini mendedahkan realiti betapa pelajar perempuan di peringkat sekolah menengah lebih matang, sedia menempuh cabaran dan enggan mengalah. Manakala pelajar lelaki masih lagi dibuai mimpi indah mendapat keputusan cemerlang di peringkat sekolah menengah sedangkan realiti belajar di universiti sangat berbeza.

Perbezaan pelajar lelaki dan perempuan di universiti sangat ketara lebih-lebih lagi apabila diminta untuk membentangkan hasil kerja kumpulan. Ketika mahasiswi bersungguh-sungguh untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan, mahasiswa lebih banyak membebel dan hilang tumpuan apabila diminta menjawab soalan yang berada di luar daripada kursus seperti isu-isu semasa. Namun semuanya mempamerkan sikap yang tidak wajar apabila tidak tahu nama naib canselor atau rektor universiti mereka sendiri.

Apa yang difikirkan oleh mahasiswa juga agak sukar diramal. Jika dikatakan mereka tidak punya idealisme, susah juga diramal kerana keadaan persekitaran yang semakin bersifat global mendedahkan mereka kepada pelbagai sumber maklumat. Apakah ketiadaan sensitiviti dan kesedaran terhadap dunia luar kampus menjadikan mereka kaku, tidak sedar dan leka dengan dunia sendiri.

Semakin ramai pelajar yang dapat menjejakkan kaki ke universiti bererti persaingan dalam pekerjaan akan bertambah. Jika mahasiswa masih hanya dengan bidang pelajarannya tanpa ada nilai tambah, sukar bagi mereka untuk bersaing. Kemahiran yang ada, sama ada ditambah atau ditingkatkan, bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri. Keputusan kerajaan untuk mengkelaskan empat buah universiti menjadi universiti penyelidikan membantu Malaysia melahirkan lebih ramai bijak pandai yang lebih dinamik. Justeru, bersediakah mahasiswa hari ini untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi?

Cabaran yang hebat sedang menunggu mahasiswa yang memenuhi institusi pengajian tinggi hari ini. Perancangan masa depan wajar dibuat ketika hari pertama melangkah ke universiti dan secepat mungkin mencari nilai tambah yang bersesuaian. Tidak ada siapa yang akan mengambil tahu nasib diri mahasiswa jika diri sendiri tidak bersedia untuk mencarinya.

No comments:

Post a Comment