Tuesday, October 01, 2019

Beradab dengan lagu kebangsaan







Warganegara yang patriotik menjadi kebanggaan negara. Aspek patriotik ini ditunjukkan melalui simbol seperti mengibarkan bendera di hadapan rumah, meletakkan bendera kecil di kereta atau berdiri tegak ketika lagu kebangsaan dimainkan.

Patriotisme dan nasionalisme mempunyai maksud yang berbeza. Patriotisme adalah perasaan sayang, pengabdian dan rasa terikat kepada negara yang dikongsi bersama-sama dengan orang lain. Keterikatan ini boleh jadi kombinasi pelbagai perasaan yang merujuk kepada tanah air termasuk bangsa, budaya, politik atau sejarah. Ia bermaksud pengabdian kepada tempat dan hidup tertentu yang mana seseorang percaya ia merupakan yang terbaik di dunia tetapi tidak ada keinginan untuk memaksa orang lain mengikut idea tersebut.

Nasionalisme pula tidak dapat dipisahkan daripada keinginan untuk berkuasa. Setiap orang nasionalis berusaha mendapat lebih banyak kuasa dan prestij untuk negaranya (Orwell, 1953).

Apabila seseorang warganegara memiliki sifat patriotisme, beliau akan menyayangi negara dan ditunjukkan melalui sumbangan kepada negara atau mengibarkan bendera negara.

Sebenarnya banyak kaedah yang boleh diguna pakai untuk menunjukkan patriotisme kepada negara. Antaranya ialah berdiri semasa mendengar lagu kebangsaan, mendaftar nama sebagai pengundi, mengikut peraturan, undang-undang dan membayar cukai serta memahami hak, kebebasan dan tanggungjawab yang termaktub dalam perlembagaan.

Menyentuh soal adab ketika mendengar lagu kebangsaan, seseorang warganegara mesti menunjukkan adabnya apabila lagu kebangsaan dimainkan lebih-lebih lagi dalam majlis yang dirancang seperti majlis perhimpunan, keraian atau sebelum perlawanan bola sepak di stadium.

Adab ini wajar dididik ketika masih kecil supaya sepanjang proses membesar mereka dapat memahami kepentingan menjadi warganegara yang beradab dan sayang kepada negara.

Apabila anak-anak menjadi dewasa dan berkeluarga, mereka akan mendidik generasi muda menjadi seorang warganegara beradab di dalam negara berdaulat.

Justeru tindakan sekumpulan warganegara Malaysia di Sarawak yang tidak berdiri sebagai tanda hormat lagu kebangsaan boleh dikatakan sebagai tidak beradab dan tidak patriotik biarpun pelbagai alasan diberikan. Mereka menunjukkan contoh kebiadapan seorang waganegara yang tidak sayang kepada negara sendiri. Perbuatan mereka harus dihukum supaya menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia yang sayang kepada negara.


Rujukan

Orwell, G. (1953). Notes on Nationalism. Diakses dari http://www.orwell.ru/library/essays/nationalism/english/e_nat

No comments:

Post a Comment