Saya bertanya kepada pelajar tentang keinginan
mereka untuk berhijrah ke negara luar. Soalannya begini: Sekiranya kamu diberi
pilihan memilih negara luar untuk
berhijrah, negara manakah yang menjadi pilihan?
Berbagai-bagai ragam jawapan yang saya dapat. Antaranya
ialah Amerika Syarikat, Jerman dan Australia. Kebanyakannya meletakkan sasaran
negara maju, jauh sekali negara-negara dunia ketiga atau negara membangun.
Lalu seorang pelajar merumuskan begini: Jika
kita memilih negara yang rakyatnya lebih bijak, kita akan terasa lebih dungu.
Jika kita memilih negara yang rakyatnya dungu, kita akan terasa lebih bijak.
Daripada rumusan ini, kami membuat
perbincangan tentang ciri-ciri negara yang rakyatnya lebih bijak. Perbincangan
ini lebih kepada menguji kecerdasan minda supaya pelajar-pelajar dapat berfikir
negara manakah yang sepatutnya menjadi piihan mereka.
Perbezaan antara negara yang rakyatnya bijak
dan dungu terletak pada tiga komponen iaitu kadar rasuah, bilangan universiti
dan tahap pendapatan.
Negara yang memiliki kadar rasuah yang rendah
menunjukkan rakyatnya mengamalkan nilai hidup yang hebat iaitu bersabar untuk
mencapai kejayaan dan mementingkan moral hidup.
Bilangan universiti yang banyak menunjukkan
rakyat negara itu suka kepada ilmu dan mahu mencetuskan perubahan. Negara itu
juga mungkin lebih maju dalam inovasi dan teknologi.
Tahap pendapatan tinggi berkait dengan dua
ciri sebelum ini. Ia menunjukkan impak terhadap masyarakat dan negara apabila
kadar rasuah menjadi rendah dan lebih
banyak rakyat yang mahu belajar sehingga ke universiti.
Ketiga-tiga komponen ini, anehnya wujud dalam
kebanyakan negara yang umat Islam bukan majoriti dan Islam tidak pun menjadi
agama rasmi negara mereka. Finland, sebuah negara yang hebat dalam pendidikan
di dunia memiliki kadar rasuah paling rendah dan tahap pendapatan penduduk yang
tinggi.
Rangsang minda kita untuk berfikir tentang
masyarakat yang bukan Islam tetapi mengamalkan nilai-nilai yang digalakkan oleh
Islam, kehidupan mereka lebih maju kehadapan berbanding kehidupan masyarakat
Islam yang seringkali dikaitkan dengan rasuah, tahap pendidikan yang rendah dan
tidak mempunyai wang yang banyak unutk kehidupan mereka.
No comments:
Post a Comment