Dari semasa ke semasa, kita
dikejutkan dengan kematian pembantu rumah warga asing. Kes terbaru melibatkan
kematian pembantu rumah dari Indonesia, Adelina Lisao yang mati
didera majikannya. Biarpun beliau diselamatkan polis daripada didera di Taman
kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, keadaannya terlalu parah untuk
diselamatkan.
Penderaan ke atasnya telah menyebabkan kecederaan di
kepala. muka dan kedua-dua kaki.
Kes penderaan pembantu amah kerap
mendapat liputan media dan menjadi perhatian ramai. Tanpa mengira latar
belakang majikan yang mendera, kebanyakan amah tidak berupaya lari daripada
deraan berkenaan.
Pelbagai bentuk deraan ini seperti
ditampar pada muka, dipukul pada badan dan ditendang. Selain itu, bentuk deraan
yang tidak dapat dikesan serta-merta adalah disuruh tidur di luar rumah atau
dikurangkan jumlah makanan yang sepatutnya.
Ada juga yang diminta bekerja lebih masa
tanpa rehat yang cukup.
Penderaan yang bersifat fizikal lebih
berat daripada mental kerana pembantu rumah ini kadangkala tidak tahu di mana
hendak mendapatkan rawatan. Mungkin kerana mereka tidak tahu di mana farmasi
atau klinik yang berdekatan atau tidak mempunyai wang untuk membeli ubat kerana
majikan tidak pernah memberi gaji.
Nasib pembantu rumah seringkali
tidak dibela jika mereka sendiri tidak bertindak awal. Ada dalam kalangan
mereka yang baru kali pertama ke negara ini hanya mengharapkan majikan
menguruskan segala keperluan makan minum, pakai dan sakit. Jika majikan
buat-buat tidak tahu, kesihatan mereka sudah pasti terjejas dan tidak lagi
produktif. Akibatnya mereka tidak berdaya untuk bekerja.
Berbalik kepada majikan yang
mendera ini, biasanya mereka menganggap pembantu rumah boleh dieksploitasi
melakukan pelbagai kerja malah hingga lebih masa tanpa ada masa rehat
secukupnya.
Kerenah majikan yang sebegini
mengundang bahaya kepada pembantu rumah yang benar-benar mengharapkan pekerjaan
supaya dapat menghantar wang kepada keluarga. Peringkat awal mungkin ditawarkan
pelbagai janji manis namun lama-kelamaan tidak dibayar gaji yang sepatutnya
diterima.
Punca kepada penyelesaian masalah
ini boleh bermula pada akta atau undang-undang yang lebih tegas dan memihak
kepada keadilan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pembantu rumah. Persepsi
majikan bahawa pembantu rumah umpama “hamba” wajar ditukar kerana pada
hakikatnya pembantu rumah sama seperti pekerjaan yang lain iaitu menguruskan
hal ehwal domestik rumah tangga.
Walaupun majikan mempunyai
kawalan yang meluas ke atas corak kerja pembantu rumah, akta yang digubal
sepatutnya berupaya mengehadkan tingkah laku majikan dan menunaikan hak-hak
pembantu rumah yang sepatutnya ada pada mereka.
Media juga berperanan menyebarkan
maklumat dan berita berkaitan penderaan pembantu ini. Dalam kes Yim Pek Hua
dengan Nirmala Bonat, majikan Nirmala telah dikenakan hukuman 18 tahun penjara.
Ada juga kes yang melibatkan kemarahan pembantu rumah akibat tidak tahan didera
dan tidak dibayar gaji berbulan-bulan. Sekurang-kurangnya liputan yang meluas
ini menjadi peringatan kepada majikan yang mahu mendera pembantu rumah supaya
berjaga-jaga kerana jika tidak mereka juga akan menerima nasib yang seperti Pek
Hua yang merengkok dalam penjara.
Penderaan pembantu rumah bukan
sahaja memberi persepsi negatif kepada industri ini malah menjejaskan imej
negara dan hubungan diplomatik antara negara. Tindak balas negara pengeksport
pembantu rumah boleh sahaja berlaku bila-bila masa sebagai hukuman kepada
negara penerima supaya lebih tegas ke atas majikan yang mendera ini.
No comments:
Post a Comment