Telefon yang berada dalam poket seluar saya tiba-tiba berdering. Kuat bunyinya. Waktu itu sekitar 2 petang. Saya sedang membeli beberapa item untuk kegunaan kuliah esok.
Tidak sempat menjawab, deringan telefon berkenaan terus berhenti.
"Tak mengapalah, mungkin tersalah nombor".
Saya ke kaunter untuk membuat bayaran dan menuju ke restoran mencari makanan tengah hari.
Selepas makan, saya teringat untuk menelefon pemanggil itu bertanyakan hal terlepas panggilan tadi.
"Ya, ada apa telefon tadi?"
Terketar-ketar suara pemanggil memperkenalkan diri, tidak tahu apa yang hendak dicakapkan. Berpusing-pusing untuk menerangkan tujuannya.
"Dr, saya tak tahu nak cakap apa. Sebenarnya saya nak pinjam duit, api rumah dah nak kena potong".
Oh.. ini puncanya yang cakap berpusing-pusing tadi.
Saya bertanya, "Berapa nak tu?"
Suaranya agak tenang sedikit semasa menjawab, "450 saja, nak kena bayar sebelum 4.30 petang ni".
Ketika ini saya berfikir panjang untuk memberi hutang. Tiga pengalaman lepas memberi pengajaran kepada saya untuk berhati-hati dengan penghutang kerana ketiga-tiganya tidak bayar hutang yang dipinjam. Malah liat hendak membayar.
Biar pun begitu, saya bersedia untuk memberi hutang kali ini kerana berasa sangat kasihan dan yakin beliau berada dalam kesusahan.
Tidak mengapalah kali ini. Barangkali dengan sedikit bayaran hutang itu beliau akan berasa sedikit tenteram dan gembira elektrik di rumahnya akan terus menyalakan lampu rumah dan menghidup kipas angin mendinginkan rumahnya.
Saya berdoa kepada Allah swt supaya perasaan resah dan gelisah yang ada kepada pemuda tadi digantikan dengan rasa tenteram apabila beliau dapat membayar tunggakan bil elektrik.
Saya juga berharap perasaan gembira itu akan hadir dalam kehidupan saya apabila berhadapan dengan detik-detik cemas.
Semoga Allah swt sentiasa merahmati pemuda tadi.
No comments:
Post a Comment