Pemeriksaan kesihatan sangat penting lebih-loebih lagi kepada mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Ia boleh dilakukan di hospital dengan jumlah bayaran serendah RM125 mengikut bentuk pemeriksaan yang dikehendaki.
Seorang rakan saya yang berusia 50-an lebih prihatin. Beliau akan mengambil cuti rehat pada hari ulang tahun kelahirannya untuk membuat pemeriksaan kesihatan menyeluruh di hospital. Setakat hari ini, beliau kelihatan ceria dan dapat mengekalkan kecergasan tubuh badan dengan baik sekali.
Antara pemeriksaan yang perlu dilakukan ialah pemeriksaan fizikal, tinggi dan berat (BMI), tekanan darah, kolesterol, saringan barah dan ujian gula dalam darah. Semua ujian ini perlu kerana tabiat dan budaya makan di negara ini menyebabkan kualiti kesihatan mudah merosot. Masyarakat kita mengambil makanan antara empat hingga enam kali sehari, Ia bermula dengan sarapan pagi, minum pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan makan lewat malam.
Giliran makan begini menyebabkan banyak sumber tenaga terkumpul dalam badan seperti karbohidrat, protein dan vitamin yang tidak sempat digunakan. Apatah lagi masyarakat kita juga kurang mengambil berat keperluan bersenam menyebabkan Malaysia dikenal pasti sebagais alah satu negara yang mempunyai penduduk berlebihan berat (obes) yang tinggi.
Kesedaran umum terhadap pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh perlu ditingkatkan dalam kalangan rakyat Malaysia dari semasa ke semasa melalui kempen yang berterusan. Hal ini kerana budaya makan yang sinonim dengan masyarakat perlu diubah sedikit demi sedikit. Budaya makan makanan segera juga wajar dimasukkan ke dalam kempen ini supaya masyarakat dapat menilai kesan dan akibat mengambil makanan jenis berkenaan.
Selain itu, kewujudan pusat rekreasi di kawasan perumahan sama ada di bandar atau luar bandar dapat mengenengahkan idea hidup sihat sepanjang hayat.
No comments:
Post a Comment