Zainudin MZ, Khairun Nadiah Kamaruzaman,
Nur Athirah Mohammad Yanis, Bibi Nurul Alia Mustafa Kamal, Siti Nur Athirah Basri
1.0 Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara
yang berbilang etnik dan semua etnik tersebut dapat hidup dengan harmoni.
Antara tiga etnik utama di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Etnik-etnik
ini telah menetap di Malaysia sejak lebih lima abad yang lalu. Selain itu,
Malaysia juga merupakan tanah air kepada sebanyak kira-kira 80 etnik yang lain,
terutamanya di bahagian Malaysia Timur.
Malaysia mempunyai pelbagai jenis
kain dan pakaian tradisional yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan warna
bermula daripada tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu hinggalah kepada
kain songket diraja yang antik. Seperti masyarakat Malaysia yang lain, etnik
India juga mempunyai unsur pemakaiannya yang tersendiri. Terdapat pelbagai cara
pemakaian pakaian tradisional India yang mana sesuatu cara pemakaian itu dapat
menonjolkan etnik dan ras bagi si pemakai.
Pemakaian pakaian tradisional pelbagai etnik boleh
dijadikan sebagai satu cara bagi menyuntik semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Sikap saling bertolak-ansur dan hormat-menghormati dapat mengeratkan hubungan
sekaligus mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai etnik.
Tidak kira Melayu, Cina, India atau masyarakat pelbagai etnik di Sabah dan
Sarawak, masing-masing mempunyai pakaian tradisional masing-masing. Cara paling
mudah untuk saling menghargai adalah dengan mengenakan pakaian kaum lain.
1.1 Objektif Kajian
Terdapat tiga objektif yang
diketengahkan dalam kajian ini. Objektif pertama ialah mengetahui persepsi
masyarakat tentang pakaian tradisional India Malaysia. Objektif kedua ialah
mengenal pasti kepelbagaian pakaian tradisional India Malaysia dan objektif ketiga
ialah mengkaji kesan pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di
Malaysia.
1.2 Skop Kajian
Skop kajian yang dilakukan ini melibatkan
tiga etnik yang terbesar di Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina, dan India yang
telah menetap di Malaysia, tidak mengambil kira peringkat umur kerana setiap
individu mempunyai pandangan yang berbeza mengenai hubungan etnik seiring
dengan taraf pemikiran bagi peringkat umur masing-masing dan memfokuskan kepada
pelajar dan staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
2.0 Sorotan Kajian
Istilah pakaian tradisional
merupakan fokus utama yang perlu diberi perhatian sepenuhnya dalam menjalankan
kajian ini. Menurut Maruwiah Ahmat (2012), beliau menyatakan bahawa kedatangan
kaum India di Tanah Melayu menyaksikan bermulanya gaya pemakaian dari benua
India khususnya dalam kalangan Hindu-Sri Lanka-Tamil dan juga keturunan
Punjabi-Sikh. Pakaian tradisional kaum India lebih dikenali dengan warna terang
dan kaya dengan tenunan dan sulaman benang emas, perak, labuci juga batu-batu
permata. Pakaian-pakaian tradisional biasanya ditemui semasa majlis kebudayaan
atau perkahwinan.
Selain itu, terdapat juga artikel
yang menjelaskan mengenai salah satu pakaian tradisional masyarakat India iaitu
sari. Uthaya Sankar SB (2013) menyatakan bahawa untuk menyaksikan pelbagai sari
yang menawan adalah menerusi filem-filem Tamil dan Hindi. Sama ada disedari
atau tidak, sari berfungsi sebagai media komunikasi tanpa lisan. Mesej tertentu
berupaya disampaikan oleh pemakai sari berdasarkan warna dan corak kain, cara
pemakaian, jenis kain dan tempat sari dipakai.
Mengulas mengenai pakaian
tradisional masyarakat India, ama penting bagi pengkaji untuk mengetahui
mengenai asal usul masyarakat India itu sendiri. Menurut Azharudin Mohd Dali
(2012), orang India merujuk kepada golongan yang pada asalnya datang dari
India, sama ada utara mahupun selatan. Dalam sejarah sebelum kemerdekaan, orang
India dirujuk kepada mereka yang datang dari India, Pakistan, Bangladesh dan
Sri Lanka.
Terdapat juga pandangan daripada
tokoh lain mengenai istilah etnik. Menurut Mansor Mohd Noor (2006), konsep
etnik berkaitan dengan amalan budaya yang hampir seragam yang diamalkan oleh
sekelompok manusia. Mereka yang mengamalkan kebudayaan yang hampir seragam di antara
anggota-anggota kelompok manusia itu, disatukan oleh pengalaman sejarah, sistem
nilai, sikap dan tingkah laku.
3.0 Metodologi Kajian
Kajian mengenai kepentingan pakaian
tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia dilakukan melalui soal
selidik secara atas talian terhadap 30 responden di Universiti Teknikal
Malaysia Melaka (UTeM) bagi mengetahui sejauh mana kefahaman mereka mengenai
pakaian tradisional India. Terdapat empat bahagian dalam soal selidik tersebut.
Bahagian A adalah untuk mengetahui latar belakang responden seperti jantina,
umur, bangsa, fakulti serta status responden. Bahagian B adalah soalan untuk
mengetahui persepsi masyarakat tentang pakaian tradisional India Malaysia.
Bahagian C pula merupakan soalan yang berkaitan dengan objektif kedua iaitu
mengenal pasti kepelbagaian pakaian tradisional India Malaysia. Bahagian D
pula, soalannya adalah berkaitan objektif ketiga iaitu mengkaji kesan pakaian
tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia.
4.0 Analisis Kajian
Bahagian A: Responden
Carta 1A: Berdasarkan carta ini,
jumlah keseluruhan responden adalah seramai 30 orang terdiri daripada 13 lelaki
dan 17 perempuan.
Carta 2A: Berdasarkan carta ini,
responden yang menjawab soalan ini terdiri daripada pelbagai bangsa. Seramai 19
responden adalah berbangsa Melayu. Selain itu, jumlah bangsa Cina dan India
yang menjawab soal selidik ini adalah sama banyak iaitu seramai empat orang
diikuti bangsa lain seramai tiga orang.
Carta 3A: Seorang responden
tergolong dalam peringkat umur 20 tahun dan ke bawah. Bagi mereka yang berumur
20-25 tahun, seramai 26 orang telah menjawab soal selidik ini. Mereka juga
merupakan responden yang paling ramai menjawab soal kaji selidik ini diikuti
mereka yang berumur 25 tahun dan ke atas iaitu seramai tiga orang.
Graf 1A: Berdasarkan graf ini,
seramai 14 responden terdiri daripada pelajar FKP. Selain itu, terdapat juga
responden daripada FTK iaitu seramai tujuh orang diikuti responden dari FKM dan
KEKK masing-masing seramai empat orang dan dua orang. Selebihnya, FKE, FTMK
serta FPTT mencatat jumlah yang sama iaitu seorang.
Carta 4A: Seramai 28 responden
adalah terdiri daripada kalangan pelajar UTeM manakala responden yang terdiri
daripada staf universiti adalah seramai dua orang.
Bahagian B: Persepsi Masyarakat
Tentang Pakaian Tradisional India
Graf 1B: Berdasarkan graf ini, seramai
23 responden sangat bersetuju bahawa setiap etnik di Malaysia mempunyai pakaian
tradisional yang tersendiri. Namun begitu, terdapat juga responden yang sangat
tidak bersetuju dan tidak pasti iaitu seramai tiga orang daripada kesuluruhan
jumlah responden. Hal ini mungkin disebabkan oleh pakaian tradisional setiap
etnik turut dipakai oleh etnik lain. Terdapat juga responden yang bersetuju
bahawa pakaian tradisional ini dimiliki oleh setiap etnik di Malaysia iaitu
seramai empat orang.
Graf 2B: Berdasarkan graf ini,
seramai sembilan orang daripada jumlah responden setuju bahawa pakaian
tradisional India hanya dipakai ketika musim perayaan. Manakala, seramai enam
orang yang sangat bersetuju dan majoritinya adalah seramai 11 orang yang tidak
pasti. Walau bagaimanapun, seramai dua orang responden sangat tidak setuju dan dua
orang lagi responden tidak setuju bahawa pakaian tradisional India hanya
dipakai ketika musim perayaan. Majoriti yang tidak pasti adalah disebabkan oleh
pakaian tradisional turut dipakai ketika majlis yang tidak formal seperti
majlis perkahwinan.
Graf 3B: Berdasarkan graf ini,
majoriti responden tidak setuju bahawa pakaian tradisional India hanya boleh
dipakai oleh masyarakat India sahaja iaitu seramai 12 orang. Seramai lima orang
responden sangat tidak bersetuju dan sembilan orang adalah yang tidak pasti.
Hal ini kerana, pakaian tradisional India turut
dipakai oleh etnik-etnik lain seperti Punjabi. Namun begitu, terdapat juga
responden yang sangat bersetuju bahawa pakaian tradisional India hanya boleh
dipakai oleh masyarakat India sahaja iaitu seramai empat orang.
Bahagian C: Kepelbagaian Pakaian
Tradisional India
Graf 1C: Berdasarkan graf ini,
majoriti responden tidak pasti bahawa pakaian tradisional India mempunyai
persamaan dengan pakaian tradisional Melayu dan Cina iaitu seramai 11 orang
responden. Manakala, seramai tujuh orang dan enam orang responden masing-masing
tidak setuju dan sangat tidak stuju. Namun begitu, terdapat juga masyarakat
yang bersetuju dan sangat bersetuju bahawa pakaian tradisional India mempunyai
persamaan dengan pakaian tradisional Melayu dan Cina iaitu seramai enam orang.
Hal ini mungkin disebabkan pakaian tradisional India ini turut dipakai oleh
kebanyakan etnik yang lain.
Graf 2C: Graf ini menunjukkan
jumlah responden yang menjawab penyataan dhoti merupakan pakaian
tradisional utama masyarakat India berbanding sari. Seramai empat orang
responden menjawab sangat setuju dengan penyataan tersebut dan seramai tiga
orang responden menjawab setuju. Manakala seramai 14 orang responden menjawab
tidak pasti. Di samping itu, seramai tujuh orang responden menjawab tidak
setuju dan dua responden menjawab sangat tidak setuju. Mengikut kajian dhoti
dan sari kedua-duanya merupakan pakaian tradisional utama masyarakat India. Dhoti
dipakai oleh kaum lelaki, manakala sari pula dipakai oleh kaum wanita.
Graf 3C: Berdasarkan graf ini,
seramai 16 orang responden sangat setuju dan seramai lapan orang responden
bersetuju dengan kenyataan kurta hanya dipakai oleh golongan lelaki
sahaja. Seramai empat orang responden menjawab tidak pasti manakala responden
yang menjawab tidak setuju dan sangat tidak setuju mempunyai jumlah responden
yang sama iaitu seorang.
Mengikut kajian kurta dipakai oleh kaum lelaki, manakala untuk pakaian
kaum perempuan pula bernama kurti.
Carta 1C: Jumlah responden yang
bersetuju adalah yang paling ramai iaitu seramai 13 orang manakala jumlah responden
yang sangat setuju adalah seramai sepuluh orang. Hal ini kerana responden
sangat memahami konsep baju sari. Seramai tiga orang responden tidak pasti dan
seramai empat orang responden sangat tidak setuju Responden yang menjawab
sangat tidak setuju berkemungkinan tidak memahami konsep sebenar sari.
Carta 2C: Berdasarkan carta ini,
hanya seorang responden yang sangat tidak setuju dengan kenyataan setiap jenis
pakaian tradisional India masing-masing melambangkan agama si penganut dan hanya
dua orang responden yang tidak bersetuju. Responden paling ramai menjawab tidak
pasti iaitu seramai 13 orang. Responden yang bersetuju pula adalah seramai sembilan
orang dan yang menjawab sangat setuju adalah seramai lima orang. Mengikut
kajian, sesetengah pakaian tradisional India melambangkan agama si penganut
contohnya sari. Sari dan agama Hindu mempunyai kaitan yang rapat bermula di
subbenua India iaitu sebuah patung paderi Lembah Indus yang memakai tabir.
Bahagian D: Kesan Pakaian
Tradisional India Terhadap Hubungan Etnik
Graf 1D: Berdasarkan graf ini,
majoriti responden iaitu seramai 20 responden bersetuju
bahawa pemakaian pakaian
tradisional India mampu mengeratkan perpaduan antara etnik di Malaysia. Selain
itu, terdapat lima responden yang tidak pasti. Namun begitu, seramai lima
responden lagi menyatakan bahawa mereka sangat bersetuju dengan kenyataan
pemakaian pakaian tradisional India sememangnya mampu mengeratkan perpaduan
antara etnik di Malaysia. Tiada responden yang
tidak bersetuju dan sangat tidak setuju mengenai kenyataan di atas. Jelas ternyata
bahawa majoriti responden memahami konsep perpaduan antara etnik di Malaysia
dari segi pemakaian pakaian tradisional India berbanding yang tidak memahami.
Graf 2D: Graf ini menunjukkan
jawapan responden mengenai kepelbagaian pakaian tradisional India memaparkan
keunikan masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Seramai 13 responden sangat
bersetuju berkemungkinan kerana apabila tiba musim perayaan, mereka dapat
melihat dengan jelas terdapat pelbagai jenis pakaian tradisional India di
Malaysia. Seramai enam responden menyatakan bahawa mereka tidak pasti adakah
pakaian tradisional India ini dapat memaparkan keunikan masyarakat berbilang
etnik di Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat seorang responden sahaja yang
tidak bersetuju manakala tiada responden yang menyatakan sangat tidak bersetuju
mengenai kenyataan ini.
Graf 3D: Berdasarkan graf ini,
pemakai pakaian tradisional India yang terdiri daripada etnik lain dapat
menzahirkan penghormatan terhadap masyarakat India. Seramai 13 responden
merupakan majoriti daripada keseluruhan responden bersetuju bahawa pemakai
pakaian tradisional India yang terdiri daripada etnik lain dapat menzahirkan
penghormatan terhadap masyarakat India. Selain itu, seramai enam responden
tidak pasti dan seramai 11 responden daripada keseluruhan responden sangat
bersetuju.
Graf 4D: Graf ini menunjukkan
kenyataan hubungan sesama etnik dapat dipupuk dengan cara berkongsi budaya dari
segi pemakaian pakaian tradisional India. Majoriti responden menyatakan mereka
bersetuju iaitu seramai 12 responden dan seramai 11 responden menyatakan mereka
sangat setuju. Walau bagaimanapun, terdapat dua responden menyatakan bahawa
mereka sangat tidak bersetuju mengenai kenyataan ini.
5.0 Kesimpulan
Terdapat pelbagai budaya dan adat
resam di Malaysia bergantung kepada amalan setiap etnik di negara ini
terutamanya amalan pemakaian pakaian tradisional ketika majlis dan hari
perayaan. Oleh itu, Malaysia mampu mejadi “role model” kepada negara-negara
jiran yang lain dalam aspek pemakaian pakaian tradisional.
Rakyat Malaysia perlu mempelajari
mengenai kepentingan pakaian tradisional terutamanya pakaian tradisional India
terhadap hubungan etnik di Malaysia. Pemakaian pakaian tradisional inilah yang
merupakan tunggak utama perpaduan etnik di negara kita dan sekiranya perkara
ini diamalkan selalu, ia mampu membuka mata negara-negara luar untuk mencontohi
Malaysia.
Rujukan
Azharudin Mohd Dali. (2012). Sejarah masyarakat India di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Mansor Mohd Nor. (2006). Hubungan etnik di Malaysia. Petaling Jaya: Prentice Hall.
Nir Aimidiyana Zuher, “Pakaian tradisional suntik semanat muhibah” diakses dari http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1154299.
Kisah sehelai sari, http://uthayasb.blogspot.my/2013/02/kisah-sehelai-sari.html.
Pakaian tradisi kaum Semenanjung Malaysia, https://maruwiah.com/category/budaya/pakaian- tradisional-budaya/.
Azharudin Mohd Dali. (2012). Sejarah masyarakat India di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Mansor Mohd Nor. (2006). Hubungan etnik di Malaysia. Petaling Jaya: Prentice Hall.
Nir Aimidiyana Zuher, “Pakaian tradisional suntik semanat muhibah” diakses dari http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1154299.
Kisah sehelai sari, http://uthayasb.blogspot.my/2013/02/kisah-sehelai-sari.html.
Pakaian tradisi kaum Semenanjung Malaysia, https://maruwiah.com/category/budaya/pakaian- tradisional-budaya/.