Tindakan seorang bapa
merantai seorang anak lelaki tanpa berpakaian di susur tangan tangga
berhampiran rumahnya selama lima jam tidak dapat diterima sama sekali.
Bapa menambat anaknya dari pukul
10 malam hingga tiga pagi.
Bagaimana keadaan kanak-kanak
yang berusia lapan tahun duduk selama lima jam dengan keadaan dingin, sejuk,
badan dikerumuni nyamuk dan menggeletar. Beliau juga terpaksa buang air kecil
di situ.
Apakah sebenarnya yang
dikehendaki oleh si bapa terhadap anaknya?
Kes yang melibatkan
kanak-kanak dirantai dan dibogelkan serta dibiarkan seorang diri telah berlaku
di banyak tempat. Di Pulau Pinang, sepasang kanak-kanak berumur enam tahun dan
dua tahun dirantai dan dikurung di dalam bilik air rumah kedai dari jam tiga
petang hingga lapan malam pada tahun 2011.
Di Bidor, Perak, seorang
kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dirantai dan dikunci pada tiang papan
tanda oleh neneknya kerana nakal dan tidak melakukan kerja sekolah.
Di China, kanak-kanak lelaki
berusia 12 tahun dirantai selama tiga tahun kerana dikhuatiri akan lari dan
tersesat jalan. Kanak-kanak itu tidak boleh bercakap tetapi penampilan
fizikalnya seperti kanak-kanak normal. Dunianya hanya di sekitar rumah.
Kanak-kanak ini juga dibiarkan berbogel.
Sangat sedih apabila melihat
kanak-kanak yang tidak berdaya dibuat begitu oleh ahli keluarga sendiri.
Memang menjadi tabiat kanak-kanak
berumur tujuh atau lapan tahun untuk meneroka kehidupan mereka. Tentulah sifat
ingin tahu mereka itu diselang-seli dengan sedikit sifat agresif dan tidak mahu
mendengar kata.
Mereka leka dengan dunia mereka,
menguji sedikit tahap kesabaran ibu dan bapa di samping menanam minat dengan
aktiviti lasak sama ada di dalam atau di luar rumah.
Anak-anak adalah anugerah
yang paling hebat dikurniakan kepada keluarga. Mereka adalah waris kehidupan
yang akan mendoakan kesejahteraan ibu bapa sepanjang hayat mereka. Sewajarnya
anak-anak ini diberi didikan agama dan adab yang menjadi pemangkin kepada
kejayaan kehidupan mereka.
Dalam kes-kes yang melibatkan
pengabaian dan penderaan kanak-kanak, hukuman yang setimpal harus dikenakan
kepada ibu atau bapa kanak-kanak itu supaya menjadi pengajaran kepada
masyarakat.
No comments:
Post a Comment