Sunday, May 01, 2016

Didik nilai dan sikap anak-anak







Mendidik anak-anak yang berumur empat hingga enam tahun perlukan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan. Ketika usia inilah anak-anak peringkat itu mula meneroka dunia dan mereka kerap membingungkan ibu bapa.

Keletah anak-anak ini menjadikan ibu bapa tidak senang duduk kerana pergerakan anak-anak sudah menjangkau pandangan ibu bapa.

Ramai ibu bapa hari ini memilih taska dan tadika sebagai pusat pembelajaran anak-anak mereka. Selama lapan jam sehari anak-anak ini bersama pengasuh dan rakan sebaya untuk diperkenalkan kepada persekitaran sosial mereka.

Ada anak-anak yang cepat menyesuaikan diri dan ada juga yang perlu dipujuk dan dimanja, barulah mereka mahu berinteraksi.

Ketika persaingan menjadi keutamaan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak, ada sesetengah ibu bapa ini yang berbelanja besar mahukan anak-anak cepat membaca, petah bercakap dan pantas membuat keputusan. Bagi anak-anak yang berbakat besar, mereka mudah diajar dan boleh berdikari sendiri. Minat mereka juga bertambah seiring dengan pertambahan pengalaman. Biasanya anak-anak seperti ini boleh membaca seawal usia tiga hingga empat tahun.

Ada juga anak-anak yang sukar menerima pembelajaran sebaliknya sangat mudah memahami aktiviti pembelajaran dalam bentuk permainan. Malangnya anak-anak jenis ini agak lambat menguasai kemahiran membaca. Namun sangat tangkas apabila diminta melakukan sesuatu tugasan yang melibatkan pergerakan seperti mengambil air atau membuang sampah.

Ada juga anak-anak yang bersifat sederhana dalam serba-serbi sama ada pembelajaran, perwatakan atau sikap. Saya percaya setiap anak-anak memiliki keupayaan dan kelebihan masing-masing.

Contohnya, ada anak-anak yang suka membaca dan belajar perkara-perkara baru. Mereka suka bertanya dan meneroka apa sahaja yang baru. Jika menonton video di internet, jari mereka lebih pantas daripada jari ibu bapa kerana corak berfikir mereka sangat singkat. Mereka suka apa yang mereka suka dan tidak mahu apa yang mereka tidak suka.

Keghairahan ibu bapa yang memaksa anak-anak belajar kadangkala merosakkan bakat dan kemahiran anak-anak. Jika anak-anak tidak suka membaca, ibu bapa wajar perkenalkan perpustakaan kepada mereka supaya suasana di perpustakaan menjadi kebiasaan kepada anak-anak. Mungkin lama-kelamaan mereka akan suka membaca kerana wujud budaya perpustakaan dalam minda dan sikap mereka.

Ada juga ibu bapa yang menghantar anak-anak ke kelas tambahan supaya anak-anak mahir membaca dan mengira serta dapat bersaing dalam kelas di sekolah. Biaya kelas tambahan amat besar dan sudah tentu ibu bapa mahukan anak-anak mereka dapat menguasai kemahiran tersebut.

Namun satu perkara yang sering diketepikan dalam pembelajaran anak-anak ialah pembentukan nilai, adab dan akhlak. Tidak rungi sekiranya ibu bapa dapat membuat pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan diri anak-anak ini kerana elemen nilai, adab dan akhlak yang banyak menentukan ke mana hala tuju dan haluan masa hadapan anak-anak mereka. Melakukan pengorbanan dalam tiga elemen ini memerlukan kesabaran dan kesanggupan kerana hasil akhirnya tidak dapat diliaht dalam tempoh yang singkat malah mengambil masa lebih panjang.

Contohnya, berapa ramai dalam kalangan ibu bapa yang sanggup bersusah payah membangunkan anak-anak untuk solat subuh, solat jemaah dan makan bersama-sama? Berapa ramai juga yang selalu mengingatkan anak-anak untuk bersolat pada awal waktu dan sebagainya?

Di Malaysia tidak banyak pusat pembentukan nilai, adab dan akhlak yang beroperasi secara profesional kerana kita beranggapan kemahiran yang ada pada kita sudah memadai. Kita membiarkan sekolah, institusi agama atau masyarakat sendiri yang menanam nilai-nilai kepada anak-anak kita. Akhirnya, wujud fragmentasi dalam diri anak-anak terhadap pegangan dan cara berfikir mereka yang menjadikan diri mereka tidak berupaya, menggunakan potensi secara maksimum.

No comments:

Post a Comment