Wednesday, August 05, 2015

Pembelajaran utama









Semasa saya belajar di universiti dulu, seorang pensyarah saya selalu merumuskan setiap sesi kuliah atau kelas dengan meminta pelajar memberikan tiga pembelajaran utama kelas hari itu. 

Saya selalu berfikir kenapa beliau hendakkan pembelajaran utama ini. Lama selepas itu barulah saya sedar kaedah yang digunakan ialah pemikiran reflektif. 

Ada tiga nilai yang sangat penting apabila kita menggunakan kaedah ini iaitu memberi kesedaran untuk memahami satu dua perkara penting, peluang memantau dan menilai semula pengalaman pembelajaran dan memberi pengetahuan dan sentuhan pengalaman untuk kita merancang masa hadapan. 

Sehingga sekarang saya masih gunakan kaedah ini sebagai alat bantu dalam kemajuan hidup dan kerjaya saya.


Tuesday, August 04, 2015

Peranan sukan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia








1.0 Pengenalan

Sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan, dan sebagainya. Perbezaan tujuan inilah yang membezakan sifat sesuatu sukan itu. Misalnya, berenang secara bersaingan di hadapan ribuan penonton akan dikira sebagai sukan tetapi berenang bersendirian di kolam atau laut dilihat sebagai aktiviti rekreasi. Terdapat pelbagai jenis sukan, dan kebanyakannya mengorbankan masa, wang, dan keinginan manusia sama ada sebagai peserta atau pun sebagai penonton. Sukan ialah salah satu aktiviti riadah.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui peranan sukan utama ke atas perpaduan pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

1.2 Penyataan Masalah

Secara amnya, rakyat Malaysia mengamalkan sukan dalam kehidupan harian masing-masing terutamanya pada waktu petang. Tujuan mereka melakukan aktiviti tersebut adalah bukan sahaja untuk menjaga kesihatan malah adalah untuk mengeratkan hubungan sillaturrahaim antara keluarga dan kawan-kawan. Tetapi persoalanya adalah adakah sukan ini dapat mengeratkan perpaduan kaum di antara satu sama lain. Contohnya orang Cina bermain bola sepak bersama orang Melayu ataupun orang Melayu sendiri bermain bola keranjang dengan orang Cina pada waktu petang. Bagi generasi muda sekarang, ramai yang masih bersukan atau beriadah mengikut kaum masing-masing, tanpa menghiraukan kaum lain. Ini dapat dibuktikan sendiri di kawasan-kawasan perumahan dan sebagainya.

1.3 Kepentingan Kajian

Kajian ini penting untuk mengetahui sejauhmanakah perpaduan antara kaum terjalin ketika bersukan. Selain itu ia juga dapat mengetahui kaum manakah akan mendominasikan sukan pada waktu petang. Di samping itu, ia juga dapat menganal pasti masalah-masalah yang menyebabkan perpaduan tidak berlaku dalam kalangan pelajar UTeM.

2.0 Sorotan Kajian

Sukan tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan massa. Zaman bola sepak negara tahun 1980-an pasti tidak akan lupa kepada Allahyarham Mokhtar Dahari, Hassan Sani, V Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong, Torai Raju, Wan Jamak, V Gunalan, Zainal Abidin dan Khalid Ali. Walaupun tidak dinafikan sukan juga menjadi ancaman provokasi perkauman sebagaimana yang berlaku dalam liga bola sepak luar negara, namun sering kali kita melihat sukan akan menjadi alat perpaduan dalam kalangan masyarakat umum walaupun mempunyai pelbagai perbezaan termasuk fahaman politik masing-masing. Ketika Perang Dunia Kedua, sukan menjadi alat untuk mengetepikan perbezaan masing-masing dan tempat penyatuan negara-bangsa yang boleh bersama walaupun mempunyai latar belakang pemerintahan dan struktur tadbir urus berbeza.

Di samping mengutamakan dasar dan pembentukan agenda pembangunan sukan, Malaysia juga berjaya dari penganjuran sukan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini termasuklah Sukan Malaysia (Sukma) yang diperkenalkan olehnya dan kini menjadi temasya sukan terbesar dalam negara. Sukma XV baru-baru ini diadakan di Pahang bertemakan 'Sukan Menjana Perpaduan'. Begitu juga dengan kejayaan menganjur Sukan SEA 1989 yang melihat Malaysia memenangi pingat emas terbesar (69 pingat emas) untuk sukan itu; yang juga merupakan pencapaian terbaik yang pernah diduduki oleh Malaysia di arena antarabangsa.

Di samping itu, dalam sukan badminton, Malaysia melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1988 dan 1990; sejarah yang masih terpahat dalam pencapaian secara keseluruhan aktiviti sukan negara. Perpaduan dalam negara yang rencam menjadi indikator penting agar sukan tidak menjadi alat politik tetapi menjadi alat 'penghubung' keseluruhan warganya. Sukan sebagai alat perpaduan harus diketengahkan dengan lebih tersusun di pelbagai ruangan termasuk sekolah dan kawasan penempatan. Pencapaian di kesemua peringkat yakni kampung, daerah, negeri dan nasional serta antarabangsa mesti diperluaskan supaya Malaysia akan menjadi gah sebagaimana Jepun dan Korea Selatan yang satu ketika dahulu di belakang Malaysia. Mutu pencapaian di peringkat antarabangsa banyak bergantung kepada organisasi dan bukan semata-mata atlet yang terlibat.

Maka, perpaduan bukan sekadar dalam kalangan masyarakat; tetapi juga segenap lapisan stratifikasi kepimpinan dan organisasi sukan agar perpaduan tidak dikompromi tetapi dijadikan sebagai benteng pembinaan jati diri menyeluruh. Ini kerana sukan merupakan antara mekanisme penting dalam melentur semangat 'kekitaan'. Dalam membangunkan prestasi sukan, ia sekali gus juga dapat memaparkan usaha memupuk penerimaan ke atas kepelbagaian sukan yang wujud dari masyarakat pelbagai etnik. Sukan mampu memecah tradisi dominasi oleh sesuatu etnik terutama dengan penampilan 'kemajmukan' bukan sahaja dari segi penyertaan tetapi lebih dari itu, menghargai dan mencipta 'semangat satu negara, satu matlamat'.

Sukan mempunyai nilai murni yang boleh melahirkan generasi cergas, sihat bukan sahaja dari segi fizikal dan rohani tetapi keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai masyarakat dalam memastikan perpaduan terus utuh juga mampu menjadi sebahagian dari proses meraikan kepelbagaian kelompok etnik yang ada di negara ini. Sukan adalah 'penjana' dalam mempertahankan keharmonian, kemuafakatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini di bawah prinsip 1Malaysia.

Dasar Sukan Negara. Matlamat utama penggubalan Dasar Sukan Negara adalah untuk mewujudkan budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia. Budaya sukan ini merangkumi penyertaan dalam aktiviti sukan dan kegiatan fizikal melalui Sukan Untuk Semua2, Sukan Prestasi Tinggi dan sukan sebagai industri. Dasar Sukan Negara menggariskan matlamat, objektif, strategi, peranan dan tanggungjawab setiap agensi kerajaan, bukan kerajaan, persatuan-persatuan sukan, rekreasi dan kecergasan, majlis-majlis sukan, institusi-institusi pengajian serta badan dan individu yang terlibat dengan sukan. Dasar Sukan Negara merupakan dasar pembangunan sukan ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan integrasi nasional menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh dan pencapaian kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Dasar ini adalah untuk semua lapisan masyarakat, merangkumi program-program Sukan Untuk Semua dan Sukan Prestasi Tinggi. Penggubalannya  adalah berlandaskan rancangan pembangunan negara. Sukan diberi pengiktirafan, penghormatan dan penggalakan yang sama penting dengan sektor sosial yang lain bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan dan kestabilan yang berterusan. Sukan mampu menggalakkan pertandingan yang sihat, sikap muhibah dan toleransi yang tinggi, persefahaman dan pembinaan kualiti moral dan fizikal yang berterusan. Sukan memberi peluang dan ruang untuk mengintegrasikan pelbagai kaum kepada satu masyarakat yang bersatu padu ke arah pemupukan maruah bangsa dan negara. Sukan memberi manfaat yang amat besar terhadap aspek kemanusiaan sejagat yang melibatkan peranan individu, masyarakat dan negara. 

Di peringkat individu, sukan menyumbang kepada pembentukan sahsiah positif, kesedaran diri dan berdaya saing, peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal menerusi penggunaan masa senggang secara berfaedah, pengukuhan interaksi sosial dan penguasaan kemahiran pergerakan asas dan kompleks. 

Di peringkat masyarakat, sukan menyumbang kepada peningkatan jalinan perhubungan di antara pelbagai kaum, peningkatan tahap kesihatan komuniti dan produktiviti, peningkatan semangat kesukarelaan, penyertaan, kerjasama dan sokongan.

Di peringkat antarabangsa, sukan menyumbang kepada pemupukan jalinan dan kerjasama antarabangsa, peningkatan ketahanan dan daya saing; dan peningkatan kecemerlangan dan imej negara. 

Dalam konteks pembangunan ekonomi, sukan adalah satu sektor ekonomi yang dapat menjana pendapatan dan peluang pekerjaan, bukan sahaja kepada atlet tetapi juga kumpulan sokongan, pengeluar peralatan sukan, media dan lain-lain pihak yang berkaitan.

Objektif Dasar Sukan Negara

1. Memperkasakan budaya penglibatan dalam sukan dalam kalangan masyarakat; 
2. Meningkatkan pengetahuan dan amalan bersukan ke arah mewujudkan budaya sukan di kalangan masyarakat;  
3. Menggalakkan penyertaan aktiviti sukan yang lebih luas di semua peringkat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berdisiplin dan bersatu padu; 
4. Menyediakan peluang, insentif dan kerjaya bagi memenuhi keperluan asasi individu melalui sukan; 
5. Menyediakan kemudahan sukan bagi keperluan di semua peringkat; 
6. Memperkukuhkan badan dan organisasi sukan dengan amalan tadbir urus yang profesional;  
7. Membangunkan sukan sebagai satu industri; dan  
8. Mencapai kecemerlangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan semangat kesukanan yang tulen.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini dilakukan ke atas pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Dalam kajian ini, ia merangkumi satu aspek sahaja iaitu pemikiran dan nilai (peringkat idea). Kajian in menggunakan kaedah kuantitatif iaitu menggunakan instrumen soal selidik ke atas 40 orang reponden di UTeM.

Selain itu, kajian juga telah dilaksanakan di Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Di situ kita mendapat bahan bahan tentang kajian kita termaksud arkib tentang sukan, yang disimpan sejak 20 tahun yang lalu. Di situ juga dapat difahami bahawa perpaduan sukan di Malaysia terbentuk sementak 20 tahun yang lalu.


4.0 Hasil Kajian

Bahagian A soal selidik merujuk kepada latar belakang responden yang telah diselidiki. Jumlah responden ialah seramai 40 pelajar yang kebanyakannya terdiri daripada golongan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Majoriti borang soal selidik yang kami edarkan kepada responden terdiri daripada pelajar  yang berumur 20 hingga 24 tahun, berbangsa Melayu dan terdapat beberapa responden berbangsa Cina, India dan lain-lain etnik.

Bahagian B terdiri daripada enam soalan yang berbentuk pertanyaan tentang masa untuk bersukan. Misalnya adakah mereka biasa bersukan di UTeM dan adakah mereka memperuntukkan masa yang panjang untuk beriadah. Di samping itu, mereka ditanya tentang tempat bersukan dan dari mana mendapat informasi tentang sukan.

Bahagian C pula difokuskan soal selidik pada dasar perpaduan antara kaum. Ia terdiri daripada tujuh soalan. Tujuannya adalah untuk mengetahui sama ada perpaduan antara kaum wujud ketika bersukan.                    

Rajah 1: Peratusan responden mengikut kaum

Berdasarkan Rajah 1 di atas, diketahui bahawa responden paling ramai adalah responden Melayu iaitu 52 peratus manakala paling sedikit adalah kaum India iaitu 20 peratus.

Rajah 2: Peratusan pelajar UTeM yang pernah bersukan

Berdasarkan Rajah 2 di atas, kita dapat melihat bahawa 70% menyatakan bahawa mereka pernah bersukan manakala 30 peratus menyatakan tidak.

Rajah 3: Peruntukan masa yang panjang untuk bersukan

Berdasarkan Rajah 3 di atas, 62% responden menyatakan mereka memperuntukkan masa yang agak panjang untuk bersukan.

Rajah 4: Tempoh bersukan di UTEM

Berdasarkan Rajah 4 di atas, kebanyakan pelajar tidak pernah bersukan di UTeM sebaliknya pergi beriadah di tempat luar yang disediakan.

Rajah 5: Informasi tentang sukan

Berdasarkan Rajah 5 di atas, kebanyakan responden mengetahui informasi tentang sukan dari rakan-rakan.

Rajah 6: Tempat melakukan aktiviti sukan

Berdasarkan Rajah 6 di atas, pelajar-pelajar UTeM tidak menggemari bersukan di dalam kompleks UTeM. Sebaliknya mereka memilih untuk pergi ke kompleks sukan yang lain seperti gelanggang futsal.

Rajah 7: Sukan kegemaran di UTeM

Berdasarkan Rajah 7 di atas, 18% pelajar tidak bermain di UTeM dan bermain selain sukan yang disediakan dalam borang soal selidik. Di samping itu hanya 7% sahaja pelajar UTeM yang bermain bola keranjang.

Rajah 8: Tujuan bersukan

Berdasarkan Rajah 8, 21% iaitu majoriti menyatakan bahawa tujuan mereka bersukan adalah untuk menyihatkan badan manakala 7% sahaja menyatakan bahawa mereka bersukan hanya untuk mencari pasangan.

Rajah 9: Bersukan bersama pelbagai kaum

Berdasarkan Rajah 9, 52% daripada responden pernah bersukan dengan pelbagai kaum.


Rajah 10: Menghabiskan masa yang panjang untuk bersukan dengan kaum lain

Berdasarkan Rajah 10, 68% daripada responden tidak meluangkan masa yang lama untuk bersukan dengan pelbagai kaum.

Rajah 11: Sukan dapat mengeratkan perpaduan kaum

Berdasarkan Rajah 11 di atas, majoriti responden bersetuju dengan sukan dapat menyatupadukan seluruh kaum.

Rajah 12: Pernah bertanding sukan dengan kaum lain

Berdasarkan Rajah 12 di atas, 62% responden pernah bertanding sukan dengan kaum lain.


5.0 Kesimpulan

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan, sukan merupakan aspek yang penting untuk memupuk perpaduan antara kaum. Selain itu, dapat diketahui tokoh sukan dalam semua aspek kaum. Kajian ini dilakukan untuk mengetahui perpaduan sukan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Sukan amat bagus untuk kesihatan kerana ia dapat mencergaskan otak dan juga mencergaskan anggota badan kita selain menyatupadukan pelbagai etnik di Malaysia. Sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan untuk pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan, dan sebagainya.

Sukan tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan mahupun kepercayaan. Di peringkat individu, sukan menyumbang kepada pembentukan sahsiah positif, kesedaran diri dan berdaya saing selain peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal menerusi penggunaan masa senggang secara berfaedah. Di peringkat masyarakat, sukan menyumbang kepada peningkatan jalinan perhubungan di antara pelbagai kaum, peningkatan semangat kesukarelaan, penyertaan, kerjasama dan sokongan. Selain itu, ia meningkatkan kecemerlangan imej negara dan jalinan kerjasama antarabangsa.


Rujukan

Mohd Salleh Aman. (2004). Sukan Dalam Masyarkat Malaysia. Johor Bharu: Penerbitan Pelangi.
Arkib Sukan, 1992, Majlis Sukan Negara Malaysia
Wikipedia sukan, ensiklopedia bebas
'Sukan Alat Perpaduan Di Malaysia', Kolum Pena Dr. Siva, Utusan Malaysia, 7 Ogos 2012.


MZ Zainudin, Fadzrul Ikhwan Mohd Zaid, Mohd Firdaus Halim, Dailami Mansor, Muhamad Faiz Che Pa @Mustapa, Mohamad Hafiz Mat, Ahmad Tharmizi Md. Sukhaimi, Tee Hoo Yeow


Monday, August 03, 2015

Pembangunan belia abad ke-21: Isu dan cabaran






Penulis: Nobaya Ahmad dan rakan-rakan
Tahun: 2009
Penerbit: Penerbit Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
Muka Surat: 258

Buku Pembangunan Belia Abad Ke-21: Isu dan Cabaran ini adalah satu siri bacaan yang ditulis oleh pengkaji sains sosial yang arif serta berminat dengan isu dan cabaran yang dihadapi generasi belia kontemporari Malaysia.

Umum mengetahui, transformasi sosial yang berlaku dalam negara pada abad ke-21 memberi implikasi besar kepada gaya fikir dan gaya hidup generasi belia. Justeru, penerbitan buku ini sangat bertepatan sebagai siri bacaan umum bagi masyarakat Malaysia khususnya dalam mendapatkan gambaran tentang realiti yang dihadapi oleh generasi belia masa kini.

Penulisan sebahagian besar bab buku ini adalah berasaskan hasil penemuan kajian saintifik serta analisis empirikal yang berkaitan pembangunan belia sekali gus menjadikan buku ini juga sangat bersesuaian untuk dijadikan rujukan oleh para akademik, pelajar universiti dan pembuat dasar.

Buku ini diharap dapat membuka minda pembaca dalam memahami, menghayati dan merealisasikan pembangunan belia positif khususnya di Malaysia.




Sunday, August 02, 2015

Pemimpin mewah rakyat sengsara








Pemimpin yang baik, amanah dan ikhlas lebih disukai daripada pemimpin yang jahat, pecah amanah dan bermuka-muka. Sikap dan corak pentadbiran kepimpinan sesebuah negara menentukan kekuatan dan kelemahan masyarakat dan negara tersebut pada masa hadapan. Kejatuhan empayar dan negara-negara besar sejak dahulu ditentukan oleh keupayaan bakat kepemimpinan yang dimiliki oleh mereka.

Sikap pemimpin yang boros dan mementingkan diri juga menjadi pemangkin kepada kejatuhan sesebuah masyarakat dan negara.

Dalam sebuah artikel yang bertajuk, “Kemanusiaan dan dinamika semula jadi: Pemodelan ketaksamaan dan penggunaan sumber dalam keruntuhan atau kelestarian masyarakat” terbitan University of Maryland dan University of Minnesota mengatakan lima faktor risiko yang menyebabkan keruntuhan masyarakat iaitu pencemaran, iklim, air, pertanian dan tenaga. Kajian ini merumuskan dua punca utama kejatuhan masyarakat sejak 5000 tahun lalu iaitu ekologi dan ekonomi.

Kelompok elit dalam struktur sosial masyarakat mengawal pengaliran sumber yang dapat diakses oleh kelompok massa. Mereka mengumpul lebihan sumber ini untuk diri mereka sehingga dapat mengekang sumber-sumber sedia ada. Akhirnya keadaan ini menyebabkan kehancuran masyarakat.

Dalam lain perkataan, manfaat teknologi mempercepat kejatuhan tersebut.

Malaysia juga tidak dapat lari daripada berhadapan dengan keadaan runcing seperti ini. Pemimpin yang mendapat kuasa menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk meraih pelbagai sumber yang mengalir ke dalam masyarakat untuk kepentingan peribadi seperti jumlah wang yang banyak dalam akaun peribadi. Sesuatu yang sangat janggal apabila sejumlah billion ringgit berada dalam akaun peribadi pemimpin dan individu yang mendedahkan kejanggalan ini pula diburu dan dihukum.

Ramai pemimpin dalam sejarah telah menjadi diktator untuk memerintah negara mereka dengan tangan besi. Pemimpin kuasa yang laparkan kuasa ini berada di puncak kuasa dengan cara kekerasan dan taktikal yang tidak berperikemanusiaan menyebabkan ramai yang mati. Sejarah juga telah menunjukkan kepada kita nasib pemimpin-pemimpin itu yang berakhir dalam kegagalan.

Beberapa pemimpin moden seperti Hitler, Stalin, Mussolini dan lain-lain yang melaksanakan pemerintahan diktator dengan menyekat hak asasi manusia dan menggunakan keganasan terhadap rakyat mereka sendiri.

Demokrasi adalah satu konsep yang agak moden dan telah membantu dalam memindahkan kuasa daripada raja kepada rakyat. Banyak negara telah berjaya beralih daripada monarki kepada demokrasi. Kegagalan pelaksanaan sistem ini telah membantu beberapa pemimpin penyangak untuk merebut kuasa dan berpegang kepadanya tanpa persetujuan rakyat mereka sendiri. Sebahagian daripadanya menggunakan sistem raja berpelembagaan, sosialis dan republik untuk kekal berkuasa. Pemimpin seperti ini sering kali menekan pemimpin pembangkang dan menindas apa-apa juga suara yang cuba untuk melemahkan rejim mereka.

Di Malaysia, barisan pemimpin sedia ada dilihat mempunyai visi yang menarik, strategi dan dasar yang kehadapan, mahir berkomunikasi, wawasan yang dinamik dan inovatif serta sebuah pasukan yang bersatu selepas penyingkiran timbalan perdana menteri dan menteri.

Namun, imej dan persepsi barisan kepimpinan ini tercemar kerana beberapa isu-isu besar melibatkan integriti peribadi dan tadbir urus negara yang melibatkan berbilion hutang.  Isu-isu ini menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan kepada mereka. Satu ciri yang menyebabkan mereka hilang kepercayaan sedikit demi sedikit ialah lunturnya sifat amanah.

Salah satu kesilapan terbesar pemimpin adalah menganggap bahawa rakyat percaya kepadanya kerana terpengaruh dengan jawatan dan cakap-cakapnya. Amanah tidak datang bersama dengan papan tanda atau nama pada pintu bilik seorang pemimpin. Ia mesti diperolehi dan mengambil masa.

Mendapat kepercayaan rakyat tidak boleh dibina dalam sekelip mata. Ia memerlukan masa, usaha, ketekunan dan keperibadian. Kepercayaan umpama hutan. Ia mengambil masa yang lama untuk berkembang dan boleh membakar dengan hanya sentuhan kecuaian. Dalam hal ini, cuai mentadbir negara dan mengurus masyarakat bakal menjadikan pilihan raya akan datang sebagai medan pertembungan kepercayaan yang sangat dahsyat.