Friday, January 17, 2025

Tahun baharu 2025: Cabaran, harapan dan peranan

Isu dan masalah yang berlaku setiap hari tidak bergantung kepada mana-mana tahun. Melangkah ke tahun 2025, semakin menghampiri minggu ketiga, berbagai-bagai masalah hidup yang muncul, bersambung dari tahun sebelumnya. Perang, sengketa, konflik, pertelagahan dan jenayah mewarnai media.

Semua ini menggambarkan perjalanan tahun 2025 ini dipenuhi dengan banyak cabaran.

Pemimpin dengan cabaran untuk mengekalkan kuasa, rakyat pula dengan cabaran untuk menempuh keadaan hidup yang tertekan kerana kenaikan kos hidup. Kategori rakyat pula dipecahkan kepada tiga iaitu B40, M40 dan T20. Ada pula cadangan kategori ini dipecahkan kepada B20, M50 dan T30.

Sepatutnya sambutan tahun baharu ini memberi pengalaman yang menarik tetapi lain pula jadinya. Ia menjadi hari yang malang dan menderita. Kita yang membaca laporan berita sudah pun berasa sedih apatah lagi keluarga dan rakan-rakan mangsa. Empat orang kehilangan nyawa dalam tempoh yang sama bukanlah suatu kematian biasa sebaliknya adalah tragedi yang menyayat hati.

Hidup dan mati akan terus berlaku setiap hari dalam bentuk dan suasana yang berbeza. Tidak ada seorangpun yang boleh menjangkakan bila akan meninggal dunia. Namun, sebaliknya adalah kita menjaga perjalanan hidup kita dengan pengurusan diri yang paling baik dan berkesan.

Jika kita berumur 50 tahun dan tidak ada sebarang penyakit atau simptom penyakit kronik, lebih baiklah menambahkan pengetahuan dalam penjagaan kesihatan. Usia 50-an tidak sama dengan usia 30-an atau 40-an. Sistem badan sedikit demi sedikit semakin berubah. Pertama, lihat rambut, janggut dan misai. Dahulu semua berwarna hitam, sekarang bertukar warna putih. Dahulu, langkah ayunan kaki amat cergas, kini terasa sangat berat dan melelahkan.

Dahulu, semua makan hendak dimakan, kini memilih-milih, itu pun jika makan hanya cukup-cukup untuk merasa bukannya hendaknya kenyang.

Satu-satunya tabiat baik adalah waktu tidur semakin pendek. Meletakkan kepala di atas bantal pada pukul 10 malam, kemudian bangun pada pukul 3 pagi untuk solat tahajjud dan qiamullail. Ketika hampir subuh, beliau bersiap-siap untuk ke masjid.

Tidak banyak yang hendak difikirkan tentang harta kerana semua keperluan asas telah ada. Rumah mungkin dua atau tiga buah, kereta pun sudah ada. Pekerjaan sudah stabil dan mungkin boleh fikirkan duit pencen, sudah tentu lebih daripada mencukupi. Anak-anak pula telah berdikari dengan sendiri.

Cara hidup orang yang biasa-biasa begini bentuknya sedangkan orang yang beragama berbeza sama sekali. Dalam ayat 56 surah az-Zariyat Allah SWT berkata yang maksudnya, “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”, jadi umur 50-an masih lagi perlu terus berusaha untuk menjadi khalifah dengan melakukan ibadah untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan umat.

Terlalu banyak ladang amal untuk kita usahakan jika mengambil idea orang senang membawa rasa bahagia kepada orang susah. Jadikan setiap amal sebagai niat ibadat. Yang ada duit lebih boleh diberikan dalam bentuk sedekah, infaq dan derma kepada sesiapa sahaja yang perlu dibantu.

Sebaik-baik bantuan ialah membantu anak-anak yang sedang belajar kerana pendidikan akan mengubah masa hadapan mereka. Malah pendidikan boleh mengubah satu generasi. Jika kita hendakkan generasi akan datang menjadi kuat dan hebat, infaqkan wang dan harta untuk mendidik mereka.

Permulaan tahun baharu 2025 seharusnya menjadi titik tolak untuk membina generasi yang kuat bagi masyarakat dan negara. Generasi yang kuat mencari ilmu, memiliki akhlak yang dipuji dan bijak mengurus hidup sendiri. Ruang dan peluang masih terbuka luas untuk kita menambah baik pengetahuan dan kemahiran sedia ada supaya kita sentiasa mengumpul amal dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment