Wednesday, January 22, 2025

Pendidikan sebagai kunci transformasi masyarakat dan negara


Pelajar-pelajar tingkatan lima telah selesai mengambil peperiksan Sijil Pelajar Malaysia 2024 (SPM) dengan meraikannya melalui pelbagai cara. SPM merupakan peperiksaan awam yang sangat penting kepada semua pelajar di Malaysia. Ia menjadi tiket untuk proses pengajian seterusnya sama ada ke Tingkatan Enam, Kolej Vokasional, matrikulasi atau pengajian peringkat diploma [1]

Pelajar yang cemerlang ditawarkan pengajian ke universiti terkenal dengan penajaan penuh dalam bidang-bidang kritikal yang diperlukan negara.

Impak pembangunan masyarakat bermula dengan pendidikan dari sekolah rendah. Ketika merdeka, negara kita mengambil langkah tepat dengan memberi tumpuan kepada pembangunan sekolah, kemudahan pembelajaran dan merangka laluan pelajar ke peringkat universiti di dalam dan luar negara.

Hasilnya, kini terdapat 20 buah universiti awam tempatan yang sebahagiannya telah mendapat tempat sebagai berkedudukan sepuluh universiti terbaik Asia [2]. Universiti-universiti luar negara juga berlumba-lumba membuka cawangan di Malaysia dengan pengkhususan bidang-bidang yang dapat meningkatkan kualiti graduan tempatan.

Dari semasa ke semasa, silibus pembelajaran juga sering ditambah baik supaya pelajar dapat menyelesaikan keperluan hidup dengan lebih matang. Contohnya, terdapat topik-topik dalam mata pelajaran Matematik Tambahan yang 25 tahun lalu diajar kepada pelajar tingkatan lima, kini pelajar tingkatan dua telah mula belajar perkara yang sama [3].

Ia berlaku kerana ilmu sentiasa berkembang dengan perbagai pendekatan, teori dan praktikal. Pelbagai kursus sentiasa diperkenalkan supaya pelajar-pelajar hari ini didedahkan dengan ilmu terkini yang sesuai dengan cabaran hidup mereka pada masa hadapan.

Nelson Mandela, tokoh pejuang pembebasan apartheid Afrika Selatan telah dipenjarakan untuk tempoh yang lama kerana memperjuangkan hak sama rata untuk semua penduduk tanpa mengira warna kulit. Beliau berkata, “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world” [4], suatu ungkapan yang sarat dengan harapan masa hadapan satu-satu generasi.

Kesamaan hak dalam mendapat pendidikan adalah hak setiap kanak-kanak dalam sesebuah negara. Pada era moden, sekatan ke sekolah sepatutnya sudah tidak ada kerana dunia hari ini memerlukan orang-orang yang pintar dan berbakat sama ada lelaki atau perempuan, berambut hitam atau perang, bandar atau luar bandar malah di negara-negara dunia ketiga masih bergelut dengan kemiskinan dan konflik agama.

Sekitar tahun 60-an hingga 70-an, banyak negara membangun yang membataskan akses pendidikan kepada kanak-kanak perempuan di kawasan luar bandar kerana kepercayaan terhadap tradisi dan budaya yang meletakkan wanita hanya berperanan di rumah, bukannya dalam masyarakat dan negara. Perspektif budaya ini berubah sedikit demi sedikit apabila keperluan terhadap pembangunan negara memerlukan sumber manusia yang lebih ramai selepas pembukaan kawasan industri, perkembangan ekonomi dan usaha-usaha pembasmian kemiskinan di peringkat global.

Agensi-agensi pembangunan antarabangsa telah melaksanakan aktiviti perdampingan sosial yang agresif dengan memberi bantuan makanan, pendidikan dan kesihatan kepada negara-negara membangun ini supaya mereka dapat melahirkan generasi muda yang tidak lagi mewarisi kegawatan hidup ibu bapa [5].

Bantuan dana, kepakaran dan sokongan moral kepada pemimpin-pemimpin negara ini telah membantu ramai penduduk untuk keluar dari kategori negara-negara dunia ketiga ke negara-negara membangun.

Di Asean, kelompok negera Singapura, Brunei, Malaysia dan Thailand telah memiliki struktur pendidikan yang terbaik untuk rakyat negara masing-masing. Kadar kemiskinan yang rendah adalah salah satu kayu ukur terbaik untuk mengiktiraf sistem pendidikan yang dilaksanakan. Negara-negara ini berjaya menjadikan kanak-kanak mereka lebih pintar dan mampu bersaing di peringkat antabangsa kerana mendapat guru yang terbaik, strategi pembelajaran yang betul dan makanan berkhasiat untuk perkembangan mental dan fizikal.

Apabila bilangan murid sekolah rendah yang berjaya semakin ramai, persaingan pendidikan di peringkat sekolah menengah semakin sengit, justeru persaingan kemasukan ke universiti turut bertambah. Lama-kelamaan peratusan penduduk yang celik huruf meningkat kepada 100 peratus dan bilangan pelajar yang mendapat pendidikan peringkat tertiari juga mencapai 50 peratus dalam jumlah keseluruhan penduduk.

Jika jumlah ini dicapai, impaknya dapat dilihat pada pertumbuhan ekonomi negara, cara hidup, sistem pegangkutan dan tadbir urus negara.

Andai dibuat ketimbangan, negara-negara Scandinavia telah mencapai angka-angka ini dan tersohor di peringkat global. Dalam era moden dan pascamoden, pencapaian sebegini adalah kebanggaan setiap warganegara. Tidak ada apa-apa lagi yang hendak dicapai selain daripada menikmati hasil usaha yang dilakukan sebelum ini.

Apakah kesudahan hidup bernegara berakhir di situ?

Banyak lagi negara di benua Afrika yang masih ketinggalan dalam banyak aspek seperti pendidikan ini. Negara-negara ini tidak dapat membangun kerana banyak cabaran seperti perang, konflik kepimpinan, pertembungan etnik dan cengkaman kuat bekas negara penjajah. Umumnya negara-negara ini mempunyai bahan mentah berharga tetapi hasilnya tidak dimiliki oleh negara sendiri, sebaliknya dikuasai oleh kapitalis dari Barat yang mengeksploitasi kekayaan negara.

Terdapat beberapa buah negara di Afrika yang akhir-akhir ini mulai sedar dan membuat perubahan sama ada menyingkirkan pemimpin terdahulu melalui pilihan raya ataupun melakukan rampasan kuasa tentera [6]. Apabila politik menjadi stabil, proses pendemokrasian pendidikan menjadi lebih mudah dan pantas.

Justeru, negara-negara Afrika yang masih berfikir untuk mencari model pembangunan negara yang terbaik, mereka boleh mencontohi negara-negara Asean yang telah berjaya keluar dari perangkap kemiskinan untuk menjadi negara perindustrian.

Semua kejayaan ini bermula dengan adanya sekolah. Betul kata Nelson Mandela, “I want to add my voice, therefore, to the call made at the beginning of the year that all students must return to school and learn" [7].



Rujukan

[1] SPM sebagai tiket untuk pengajian seterusnya: https://www.moe.gov.my/program/spm-pengajian-seterusnya
[2] Universiti awam Malaysia dalam 10 universiti terbaik Asia: https://www.timeshighereducation.com/rankings/asia-universities
[3] Perubahan silibus Matematik Tambahan: https://www.moe.gov.my/kurikulum/kemaskini-silibus
[4] Petikan Nelson Mandela mengenai pendidikan: https://www.brainyquote.com/quotes/nelson_mandela
[5] Agensi pembangunan antarabangsa membantu negara membangun:
https://www.un.org/sustainabledevelopment/global-partnerships
[6] Negara Afrika berubah melalui pilihan raya atau rampasan kuasa:
https://www.bbc.com/news/world-africa
[7] Petikan Nelson Mandela mengenai pelajar kembali ke sekolah:
https://www.nelsonmandela.org/quotes/education


No comments:

Post a Comment