Sunday, January 12, 2025

Perubahan sikap dan mindset ke arah penyelesaian kekal kemalangan jalan raya


Kemalangan maut jalan raya yang mengorbankan tujuh orang baru-baru ini mengingatkan kembali kepada kejadian kemalangan di laluan yang sama kira-kira 14 tahun lalu. Ketika itu 13 orang penumpang bas Ekspres Delima telah meninggal dunia apabila bas bertukar laluan secara tiba-tiba dan terbalik. Kejadian kemalangan berlaku sekitar pukul 6 petang pada 10 Oktober 2010, tidak jauh dari plaza tol Simpang Ampat, Lebuhraya Utara Selatan arah utara. Kejadian ini menggemparkan negara.

Kemalangan terbaharu ketika ini melibatkan laluan yang sama iaitu Ayer Keroh-Simpang Ampat, tiga kenderaan terlibat dan menyebabkan kesesakan lebuh raya selama empat jam.

Kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan besar dan lebar sering berlaku di Malaysia malah jumlahnya semakin meningkat (Harian Metro, Sinar Harian). Antara puncanya adalah keadaan kenderaan itu sendiri yang tidak diselenggara dengan berkala di samping usia kenderaan yang ‘makan tahun’. Pemandu juga memainkan peranan kerana terdapat pemandu uang tidak endah dengan had laju lebuh raya dan cara pemanduan yang tidak beretika.

Senarai alasan semakin bertambah jika hendak dibuat.

Berbalik kepada persoalan utama, kenapa kemalangan jalan raya masih meningkat di sebalik pelbagai usaha pencegahan dilakukan?

Infrastruktur jalan telah dinaik taraf, perangkap had laju juga telah menggunakan teknologi lebih canggih, kempen dan iklan pemanduan berhemah juga disiarkan malah setiap kali musim perayaan kadar tol berbayar ditukar kepada percuma.

Kajian-kajian yang telah dilaksanakan juga telah menyenaraikan pelbagai punca kemalangan dan juga langkah-langkah penambahbaikan yang dilakukan sepanjang masa.

Apakah masalah yang sebenarnya? Adakah kemalangan berpunca daripada kesilapan manusia atau kegagalan jentera?

Jika dilihat perbandingan statistik kemalangan jalan raya antara Malaysia dan negara-negara Eropah, kita sudah dapat menjangka terdapat jurang bilangan kemalangan jalan raya yang berlaku setiap tahun. Katakan kita ambil negara Norway sebagai perbandingan.

Kadar kemalangan jalan raya di Norway pada tahun 2023 adalah 110 kematian dan sehingga November 2024 terdapat lima kematian.

Manakala di Malaysia, jumlah kemalangan yang dicatatkan adalah 598,632 yang melibatkan kematian sebanyak 6,443 orang. Jumlah kematian melibatkan penunggang motosikal iaitu 65 peratus daripada jumlah kematian keseluruhan.

Statistik ini menunjukkan bahawa jumlah kemalangan dan kematian di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding Norway. Faktor-faktor seperti jumlah kenderaan yang lebih banyak, sikap pengguna jalan raya dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang mungkin menyumbang kepada perbezaan ini.

Dalam kalangannegara-negara ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan ketiga selepas Thailand dan Vietnam apabila dibandingkan bilangan kematian per 100,000 orang. Pada tahun 2022, dicatatkan lebih 545,000 kemalangan jalan raya akibat pemandu terlalu rapat mengekori kenderaan di hadapan, mengambil selekoh bahaya dan kaedah memintas yang bahaya serta memandu laju.

Negara yang paling ramai meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ialah Arab Saudi iaitu 36 kematian per 100,000 orang. Puncanya ialah ramai yang boleh memandu kerana harga petroleum yang murah di negara itu.

Biarpun kadar kemalangan yang menyebabkan kematian terus berlaku, bilanganya semakin berkurangan sejak 2012 kerana Malaysia bertekad melaksanakan Sustainable Development Goals (SDG) iaitu memastikan kehidupan yang sihat dan mempromosi kesejahteraan untuk semua peringkat umur. Dalam satu kajian, 58 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan infrastruktur jalan raya. Justeru, indikator ini boleh menjadi asas yang kuat untuk melepasi matlamat SDG ini.

Pada tahun 2023, sebanyak 600,000 kes kemalangan telah dilaporkan yang melibatkan 65 peratus penunggang motosikal dengan jumlah kematian sebanyak 6443 orang. Merujuk Statistica.com, bilangan jalan raya dari tahun 2013 hingga 2022 adalah seperti berikut:



                                                  (Dalam 1,000)

2013

477.2

2014

476.2

2015

489.61

2016

521.47

2017

533.88

2018

548.6

2019

567.52

2020

418.24

2021

370.29

2022

545.59




Berdasarkan angka-angka ini, tahun 2019 merupakan tahun yang paling berbahaya kepada pengguna jalan raya di Malaysia kerana jumlah kemalangan yang sangat tinggi.

Punca kemalangan ini disebabkan sebagai faktor yang dikaitkan dengan sikap dan tingkah laku pemandu. faktor manusia menjadi punca utama kemalangan ini di seluruh negara. Apa tidaknya, kenapa di jalan yang lurus sebuah bas ekspres boleh terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan 13 orang meninggal dunia?

Pelbagai cara yang boleh dibuat untuk membetulkan sikap dan tingkah laku pemandu ketika berada di jalan raya. Dalam penilaian umum tentang cara pemanduan orang Malaysia, laman sesawang CIA WorldFactBook mencatatkan bahawa pemandu di Malaysia cenderung bersikap agresif semasa memandu.

Membaiki kaedah pemanduan harus bermula dengan perubahan minda yang boleh dimasukkan dalam silibus kursus pemanduan. Kandungan silibus ini wajar menekankan aspek emosi dan intelektual supaya calon pemandu dapat berfikir dan menjiwai kepentingan pemanduan berhemah jalan raya, di samping membentuk emosi supaya bersabar dan meraikan keselesaan perjalanan.

Kementerian Pengangkutan juga boleh membuat pelaburan iklan kempen-kempen keselamatan jalan raya yang ketika ini agak jarang disiarkan di media. Dahulu, iklan seperti ini diulang-ulang khususnya ketika musim perayaan untuk memberi mesej yang jelas kepada pemandu bagi memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan berfungsi.

Kementerian juga boleh menggunakan mempengaruh untuk mendidik pengguna jalan raya tentang kaedah memandu yang selamat dan cara memarkir kenderaan yang betul.

Kesimpulan

Kemalangan jalan raya yang sering berlaku, termasuk tragedi yang mengorbankan nyawa di laluan Ayer Keroh-Simpang Ampat, adalah cerminan isu yang kompleks melibatkan sikap pemandu, keadaan kenderaan dan penguatkuasaan undang-undang. Walaupun pelbagai langkah pencegahan telah diambil, seperti penambahbaikan infrastruktur jalan raya dan kempen kesedaran, statistik kemalangan masih membimbangkan.

Perubahan bermula dengan usaha kolektif untuk mendidik dan membentuk minda pemandu melalui pendekatan berstruktur dalam kursus pemanduan dan kempen keselamatan yang lebih kreatif serta berterusan. Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan pelaburan dalam teknologi keselamatan dapat memperkukuhkan usaha ini.

Hanya melalui gabungan tindakan proaktif oleh kerajaan, masyarakat dan setiap individu, kita dapat mengurangkan tragedi jalan raya serta mencapai matlamat kehidupan yang lebih selamat dan sejahtera di bawah agenda pembangunan lestari negara.


Rujukan

Road traffic accidents involving personal injury. Akses dari
https://www.ssb.no/en/transport-og-reiseliv/landtransport/statistikk/trafikkulykker-med-personskade

Almost 600k road accidents reported in 2023, 12,417 of those were fatal - Selangor top in cases and deaths. Adkses dari
https://paultan.org/2024/01/03/almost-600k-road-accidents-reported-in-2023-12417-of-those-were-fatal-selangor-top-in-cases-and-deaths/

Angka kematian akibat kemalangan membimbangkan. Akses dari https://api.hmetro.com.my/mutakhir/2022/10/898060/angka-kematian-akibat-kemalangan-membimbangkan

Kemalangan jalan raya, insurans bayar RM15.1 juta sehari. Akses dari https://www.sinarharian.com.my/article/664594/berita/nasional/kemalangan-jalan-raya-insurans-bayar-rm151-juta-sehari

No comments:

Post a Comment