Namun, ahli keluarga telah memaklumkan bahawa lelaki itu sedang menjalani rawatan mental.
Selain daripada masjid, rumah-rumah ibadat juga turut menjadi tempat pencerobohan yang sering dikaitkan dengan pelaku yang menghadapi masalah mental.
Penistaan terhadap tempat-tempat ibadat berlaku dari semasa ke semasa khususnya dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Keadaannya lebih parah apabila sikap hormat-menghormati yang nipis dalam masyarakat sehingga menyebabkan isu-isu kecil yang berkaitan agama diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk meraih populariti. Banyak pihak yang berminat kerana ia dapat menonjolkan nama dan organisasi yang ingin diangkat sebagai jaguh.
Di sesetengah negara, konflik agama ini menjadi lebih parah kerana melibatkan kes jenayah. Antaranya masjid dibakar dan dirobohkan, gereja dimusnahkan dan laluan ke rumah ibadat dihalang. Di Gaza, Palestin, masjid dan gereja dibom oleh tentera Yahudi atas nama menentang pengganas.
Langkah terbaik untuk menangani pencerobohan ke atas tempat-tempat ibadat adalah dengan menghubungi pihak polis supaya tindakan menahan pelaku menjadi sah di sisi undang-undang. Anggota polis memiliki pengalaman dan keupayaan untuk menghadapi sebarang keadaan luar jangka termasuk kecederaan parah dan kematian.
Kajian berterusan oleh penyelidik dan pasukan polis berkaitan peyelesaian yang melibatkan kesihatan mental menunjukkan kaedah memujuk atau berunding adalah langkan terbaik untuk meleraikan tingkah laku di luar kenormalan. Jika ia melibatkan tingkah laku ganas, penggunaan alatan tambahan dapat mengurangkan risiko kecederaan yang mungkin membahayakan diri dan orang lain.
Tipu helah juga boleh menjadi kaedah melemahkan yang hanya dapat dilakukan oleh anggota yang mahir dalam psikologi atau yang sudah biasa dengan memberi janji-janji kosong.
Dalam kes penistaan agama dan pencerobohan rumah ibadat, kaedah penyelesaian wajar mengambil kira latar belakang pelaku kerana dalam beberapa keadaan sebelum ini, pelaku kelihatan normal, boleh bercakap dan memberi respons, boleh juga diajak bertenang dan duduk. Namun bagi sesetengah pelaku yang kurang siuman dan agresif, ia memerlukan dua atau tiga orang untuk memegang kaki dan tangan sementara menunggu kehadiran anggota polis.
Orang awam yang bertindak keras dengan memukul pelaku hingga cedera boleh dikenakan tindakan jika dia mendapat kecederaan parah atau meninggal dunia. Keadaan ini boleh sahaja berlaku ketika emosi orang ramai yang meluap-luap di samping ada juga yang tanpa usul periksa memukul pelaku.
Dalam isu pencerobohan masjid atau tempat-tempat ibadat ini, banyak pihak boleh bersama-sama menyediakan peraturan dan tindakan yang patut diambil semasa pencerobohan. Ia boleh diperjelaskan satu per satu, langkah demi langkah dan diberi pertanggungjawaban.
Arahan ini boleh dibuat dalam bentuk grafik dan ditampal pada papan notis dan sekali-sekala boleh diadakan simulasi.
Jemaah masjid atau pengunjung rumah ibadat mungkin sudah biasa dengan latihan kebakaran namun latihan berhadapan dengan penceroboh mungkin belum pernah dibuat. Di sinilah ahli-ahli jemaah masjid dan rumah ibadat dapat melihat tindakan neutralisasi yang betul, pantas dan berkesan yang mereka boleh lakukan.
Apabila pihak masjid dan rumah ibadat telah mahir dan sentiasa dalam keadaan berwaspada, tindakan memukul dan mencederakan penceroboh tidak lagi timbul. Akhirnya dapat mengurangkan kegemparan dalam masyarakat.
Kesihatan mental, kemiskinan, konflik dan pengabaian dalam pengambilan ubat yang berlaku dalam masyarakat kerap kali menjadi sebab sesuatu insiden mendapat perhatian masyarakat. Jika masalah kesihatan mental tidak dirawat, penceroboh bukan sahaja memberi masalah kepada masjid, malah premis yang lain juga akan menghadapi masalah. Yang kita belum dengar sehingga kini adalah penceroboh ini belum dipukul sehingga mati.
Justeru, bagi mengelakkan keadaan ini berlaku, jemaah masjid dan pengunjung rumah ibadat wajar diberi pengetahuan tentang cara terbaik untuk mengamankan penceroboh. Latihan secara simulasi juga boleh membentuk mereka lebih memahami aspek-aspek taktikal yang perlu diberi perhatian.
No comments:
Post a Comment