Tuesday, August 23, 2016

Sukan Antara Fakulti pupuk perpaduan etnik di UTeM







1.0 Pengenalan

Sukan adalah salah satu aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan. Sukan juga dilakukan bagi tujuan pertandingan, keseronokan, mengisi masa lapang, pembangunan, kemahiran dan sebagainya. Sukan juga ditakrifkan sebagai aktiviti yang mengandungi latihan kemahiran berguna secara rekreasi serta mengandungi peraturan-peraturan tertentu dalam mengejar kecemerlangan.

Perpaduan pula bermaksud satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. 

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengkaji persepsi pelajar UTeM tentang Sukan Antara Fakulti (SAF), mengkaji sejauh mana Sukan Antara Fakulti dapat mengekalkan perpaduan dalam kalangan pelajar UTeM dan mengkaji kerjasama antara etnik dalam menjayakan Sukan Antara Fakulti dalam kalangan pelajar UTeM.


2.0 Sorotan Literatur

Mohd Saleh Aman (2004) menjelaskan tentang isu berkaitan perpaduan antara kaum di dalam bukunya yang bertajuk Sukan Dalam Masyarakat Malaysia terbitan Universiti Malaya, beliau menekankan terhadap isu sukan berdasarkan “Dasar Sukan Negara dan peranan institusi pendidikan di dalam pembangunan sukan di Malaysia dan membincangkan manfaat sukan di peringkat individu dan masyarakat”.

Adam Kadir (2008) menjelaskan tentang isu berkaitan perpaduan melalui sukan menegaskan bahawa “Apa yang ingin dikemukakan di sini ialah bagaimana sukan boleh membawa kebanggaan dan perpaduan rakyat dan negara.

Utusan Online (2009) turut menjelaskan tentang isu berkaitan sukan dan perpaduan yang bertajuk Merialisasikan Gagasan 1 Malaysia melalui sukan menegaskan, “Pelajar perlu dididik agar memupuk semangat kesukanan serta menghargai sukan sebagai alat untuk berinteraksi, menjalinkan perpaduan dan memperluaskan pergaulan antara kaum”.


3.0 Hasil Kajian

3.1 Mengkaji persepsi pelajar UTeM tentang Sukan Antara Fakulti.

1. Pernahkah anda didedahkan dengan SAF?
Berdasarkan hasil kajian, sebanyak 95.8% responden menyatakan mereka pernah didedahkan dengan SAF, manakala responden yang menjawab “tidak” dan “tidak pasti” masing-masing sebanyak 2.1%.

2. Adakah anda pernah terlibat dalam menjayakan SAF?
Berdasarkan hasil kajian, sebanyak 80%  responden yang menjawab borang soal selidik pernah terlibat dalam menjayakan sukan antara fakulti manakala 14% responden yang menjawab “tidak pernah” dan enam peratus “tidak pasti” dengan penglibatan mereka dalam menjayakan SAF.

3. Adakah perlu SAF diteruskan?
Berdasarkan carta pai diatas sebanyak 90% daripada responden yang menjawab SAF perlu diteruskan manakala 8% menjawab “tidak pasti” dan dua peratus “tidak bersetuju untuk meneruskan SAF.

3.2 Mengkaji sejauh mana SAF dapat mengekalkan perpaduan antara kaum dalam kalangan pelajar UTeM.

1. Benarkah terdapat pelbagai jenis etnik yang menyertai SAF ini?
Berdasarkan hasil kajian, sebanyak 90%  responden menyatakan bahawa terdapat pelbagai kelompok etnik yang menyertai SAF, manakala sebanyak sepuluh peratus menyatakan “tidak pasti” dan tiada seorang responden pun yang menyatakan “tidak”.

2. Pada pandangan anda, adakah SAF ini mampu mengekalkan perpaduan antara etnik di kalangan pelajar UTeM.
Berdasarkan hasil kajian, sebanyak 90% daripada responden menyatakan bahawa SAF ini mampu mengekalkan perpaduan antara etnik dalam kalangan pelajar UTeM, manakala sebanyak dua peratus responden menyatakan” tidak” dan lapan peratus “tidak pasti”.

3. Adakah terdapat isu-isu berbaur perkauman di dalam SAF?
Berdasarkan hasil kajian, majoriti iaitu sebanyak 66% responden menyatakan bahawa tidak ada sebarang isu-isu yang berbaur perkauman di dalam SAF ini manakala sebanyak 32% “tidak pasti” bahawa adanya isu-isu perkauman dan dua peratus iaitu minoriti menyatakan bahawa ada sedikit isu perkauman.

3.3 Mengkaji kerjasama etnik dalam menjayakan SAF.

1. Adakah semua etnik berganding bahu dalam melancarkan perjalanan SAF?
Berdasarkan hasil kajian, seramai 88% mengatakan semua etnik berganding bahu bagi melancarkan perjalanan SAF, 12% lagi mengatakan “tidak” kerana mungkin mereka tidak melibatkan diri dengan SAF atau acara yang mereka sertai hanya melibatkan satu kaum sahaja.

2. Sejauh manakah penglibatan etnik lain dalam SAF?
Berdasarkan hasil kajian, 78% responden menunjukkan penglibatan etnik lain dalam SAF, 22% pula mengatakan “tidak pasti”.

3. Bagaimanakah interaksi antara kaum semasa menjayakan SAF?
Berdasarkan hasil kajian, 80% responden bersetuju bahawa interaksi antara etnik adalah baik semasa SAF berlangsung. Hanya sepuluh peratus mengatakan “kurang baik” dan  “tidak pasti”.


4.0 Rumusan dan Cadangan

Sukan Antara Fakulti merupakan salah satu medium yang mana perpaduan di antara etnik dapat dipupuk. Hal ini kerana melalui hasil kajian yang telah dilaksanakan, majoriti daripada responden menyatakan sukan ini dapat mengekalkan perpaduan antara etnik selain itu kerjasama antara etnik juga wujud di antara pelajar UTeM.

Melihat kepada aktiviti sukan yang berlangsung di UTeM, sukan dan permainan yang telah diadakan sama ada sukan fakulti ataupun sukan antara universiti telah disertai oleh pelajar-pelajar yang terdiri daripada kaum India, Cina, Melayu dan lain-lain. Hal ini menunjukkan kebersamaan kaum dalam aktiviti-aktiviti tersebut boleh dikatakan pemangkin perpaduan etnik. Kajian ini membuktikan bahawa sukan adalah pemangkin perpaduan di kalangan pelajar berbilang kaum di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Aktiviti sukan sangat berharga kerana menjadi medan untuk memupuk disiplin, semangat bekerjasama dalam satu pasukan selain mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan peserta. Peserta sukan juga yang terdiri daripada pelbagai etnik dalam beberapa aktiviti sukan seperti bola sepak, pertandingan sukan yang pelbagai di sekolah serta perlawanan besar antara negara-negara dapat mengeratkan lagi persahabatan. Lantas, menjadi pemangkin perpaduan etnik di UTeM.


Rujukan

Mohd Saleh Aman.  (2004). Sukan Dalam Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Adam Kadir. (2008). Isu ekonomi, politik, sosial, budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Utusan Online, 27 September 20093. Merealisasikan Gagasan 1 Malaysia melalui Sukan.



Zainudin MZ, Mohd Fikri Amsyar Ahmad, Muhammad Zackriell Zahari, Muhammad Fidzilah Mohd Aseri, Muhammad Shamil Alif Marzuki, Muhammad Asyraf Noor Zelan

No comments:

Post a Comment