Wednesday, August 17, 2016

Personaliti menjulang: Kerani pos ke Profesor








Tidak ada yang mustahil dalam hidup kita. Apabila masanya tiba, doa dan hajat yang telah dipohon bertahun-tahun, akhirnya menjadi kenyataan. Profesor Dr Izaidin Abdul Majid, asalnya bekerja sebagai seorang kerani pos selama sebelas tahun, hari ini beliau melangkah masuk ke auditorium sebagai seorang profesor.

Pakar motivasi, Datuk Mohd Fadzillah Kamsah sering berkata, Allah swt bertindak seiring dengan apa yang difikirkan oleh hambaNya. Kata-kata ini tepat sebagaimana yang diperolehi oleh Izaidin kerana beliau sentiasa mengharapkan Allah swt memudahkan hajatnya untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Izaidin bukanlah pelajar pintar atau memiliki otak geliga. Dalam peperiksaan MCE pada 1977 beliau hanya mendapat gred tiga aliran sains. Berbekalkan keputusan ini, beliau memberanikan diri memohon pekerjaan sebagai kerani pos. Tempat kerja pertama beliau adalah di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Bekerja sebagai kerani pos bukannya duduk seharian di bilik berhawa dingin, sebaliknya beliau perlu melakukan banyak pergerakan fizikal seperti memasukkan surat ke dalam bungkusan, menolak dan menarik bungkusan surat serta bergelumang dengan pelbagai jenis bungkusan kecil atau besar. Keadaan kerja sebegini memerlukannya memakai baju-t berbanding kemeja. Keadaan tempat kerja juga agak panas.

Semangat untuk berubah juga sangat menebal dalam diri Izaidin. Siang beliau bekerja, malamnya belajar di Yayasan Anda selama dua tahun.

Penat lelah bekerja dan belajar akhirnya berbalas apabila Izaidin mendapat empat prinsipal dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Selepas itu beliau memohon Universiti Malaya pada tahun 1983. Bagi melengkapkan keiginannya dalam pencarian ilmu, beliau memohon cuti tanpa gaji selama tiga tahun semata-mata hendak memberi fokus kepada pelajarannya.

Pada tahun 1986, beliau kembali ke pejabat pos selepas menamatkan pangajian di Universiti Malaya. Antara pejabat pos yang pernah mendapat khidmatnya adalah Brickfields, Taman Bilion Cheras dan Lapangan Terbang Subang. Tempat kerja terakhir beliau ialah di Kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur.

Fikiran Izaidin sentiasa ligat memikirkan bagaimana menjadikan hidup lebih baik. Beliau merasakan peluang untuk mendaki tahap yang lebih tinggi di pejabat pos agak sukar lalu beliau memberanikan diri mendaftarkan diri di universiti. Kegigihannya belajar disambung lagi dengan mengambil Diploma Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kerana beliau begitu teringin hendak belajar di universiti tersebut.

Mearasakan pendidikan boleh memberi peluang yang lebih cerah, Izaidin mengambil keputusan berhenti kerja sebagai kerani pos dan menjadikan bidang pendidikan sebagai laluan baru kerjayanya.

Tempat pertama beliau mengajar ialah di Sekolah Menengah Selandar, Melaka. Seterusnya ke Sekolah Tinggi Perempuan Melaka selama dua tahun. Di sekolah ini beliau perlu menjadi “gentleman” kerana guru lelaki tidak ramai.

Sementara mengajar, Izaidin mengintai-ngintai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Kebetulannya ketika itu terdapat program berkembar antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan universiti awam, beliau membuat keputusan mengambil jurusan Sarjana Pengurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ini merupakan kali kedua Izaidin ke universiti itu.

Selepas menamatkan pengajian peringkat sarjana, Izaidin kembali ke sekolah lamanya tetapi tempatnya dulu sudah diisi oleh guru lain. Justeru, beliau ditempatkan di Sekolah Menengah Yok Bin, Melaka. Di sini beliau mengajar Bahasa Melayu, Sejarah dan Sastera Melayu.

Izaidin sangat gembira di sekolah ini kerana dapat belajar nilai-nilai yang ada pada pelajar Cina khususnya dari segi kesungguhan, ketabahan dan sanggup mengharungi kesusahan. Beliau menegeaskan bahawa menjadi guru penuh dengan cabaran tetapi “enjoy”, mungkin jiwa pendidik begitu menebal dalam dirinya.

Perjalanan hidup Izaidin dalam dunia akademik di universiti bermula sebagai pensyarah DS45 di Kolej Universiti Teknikal Malaysia Melaka (KUTKM) ketika berusia 41 tahun. KUTKM merupakan institusi pengajian tinggi awam yang baru beroperasi dan perlukan ramai tenaga pengajar. Di universiti, tanpa ijazah kedoktoran, sukar untuk pergi lebih jauh dalam tempoh yang singkat. Di KUTKM, Izaidin melihat sendiri bagaimana rakan-rakannya yang memiliki kedoktoran ini bergerak pantas dalam penyelidikan dan penerbitan seterusnya mendapat gelar profesor madya.

Izaidin beriltizam suatu hari nanti beliau juga akan mendapat ijazah kedoktoran dan bergerak seiring dengan rakan-rakan yang telah berjaya itu. Akhirnya pada tahun 2002, beliau berangkat ke United Kingdom bagi melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah dalam bidang keusahawanan. Bidang ini masih baru ketika itu dan masih ramai yang belum memahami bidang ini.

Izaidin juga berusaha keras meyakinkan profesor di universiti beliau supaya bersetuju dengan pilihannya sebagai pelajar kedoktoran dalam bidang keusahawanan.

Izaidin tidak ada pengalaman bisnes tetapi penyelianya sentiasa memberi sokongan dan galakan untuknya memahami subjek pengajian beliau supaya dapat mempelajari bidang keusahawanan dengan cepat. Semasa melanjutkan pelajaran ini beliau juga mengambil Post Graduate Diploma in Research Methodology selama sembilan bulan.

Kesungguhan, ketabahan dan fokus menjadi azimat penting Izaidin untuk melengkapkan pengajian beliau dalam tempoh tiga tahun tujuh bulan. Beliau cukup yakin bahawa perkara yang susah boleh diselesaikan dan bersyukur kerana telah diberi peluang untuk belajar dan akhirnya berjaya.

Selepas kembali ke Malaysia pada tahun 2006, Izaidin dilantik memegang jawatan timbalan dekan kepada beberapa buah pusat pengajaran dan fakulti seperti Pusat Pembangunan Akademik dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan. Rezeki untuk beliau berjaya dalam akademik sentiasa ada. Pada tahun 2010, beliau mendapat profesor madya.

Kepakaran Izaidin sangat dihargai oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia apabila menjadi pakar rujuk dalam bidang keusahawanan di peringkat pengajian tinggi. Justeru, beliau berulang-alik selama dua tahun antara Melaka dan Putrajaya bagi memberi panduan, bimbingan dan perundingan untuk memajukan keusahawanan dalam kalangan pelajar di seluruh negara.

Kemajuan Izaidin dalam kepimpinan diiktiraf lagi apabila beliau dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM pada tahun 2013 hingga kini. Beliau tidak pernah tidak ada jawatan selama berada di UTeM justeru sikapnya yang mudah didekati dan bersedia berkongsi pengalaman.

Dalam menjejak kecemerlangan, Izaidin dilihat memiliki selonggok karektor yang melayakkannya untuk cekal dalam perjuangannya untuk mengubah hidup. Beliau juga merupakan orang yang memiliki sifat bersedia mencuba banyak kali dan bersedia juga untuk menerima kegagalan atau penolakan.

Dalam proses mendaki tangga-tangga kejayaan dalam dunia akademik, Izaidin pernah membuat permohonan sebanyak tiga kali untuk jawatan profesor namun hanya berjaya pada tahun 2015 selepas memenuhi semua syarat dan kelayakan yang dikehendaki.

Pada Izaidin, mendapat gelar profesor bukan satu-satunya disandarkan pada usaha sahaja malah doa yang berterusan di samping taufik dan rahmat Allah swt.

Keupayaan Izaidin mengubah haluan hidup daripada seorang kerani pos kepada profesor sangat mengagumkan. Beliau percaya bahawa tekanan yang dihadapi dari semasa ke semasa meningkatkan semangatnya untuk melangkah lebih jauh dalam mencari kejayaan.

Selain daripada tekanan, Izaidin juga fokus dalam tindakan. Hal ini kerana beliau tidak mempunyai bakat-bakat lain yang boleh disandarkan, justeru beliau memberi tumpuan kepada perjalanan akademik sehingga ke tahap sekarang. Pada beliau, kuat bekerja boleh mengatasi bakat manakala kecekalan hati dapat mengubah impian kepada realiti.

Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan (Al Mujadalah ayat 11).



No comments:

Post a Comment