Monday, January 22, 2024

Seragam sekolah bina jati diri pelajar


Kelonggaran berpakaian seragam sekolah selama dua hari di sepanjang minggu persekolahan di Malaysia menjadikan suasana sekolah jauh berbeza daripada era persekolahan sebelum ini. Kelonggaran ini bermula apabila keadaan cuaca yang telah berubah menyebabkan ada masanya kawasan-kawasan yang menerima hujan yang lebih banyak menyebabkan sekolah banjir.

Terdapat juga kawasan yang agak panas dan pelajar menerima ancaman haba yang melampau.Kedua-dua faktor ini menyebabkan pelajar diberikan keizinan memakai pakaian sukan yang bersesuaian dan sopan.

Selepas merdeka sehingga baru-baru ini, pakaian seragam putih biru di sekolah rendah dan putih hijau dan biru di sekolah menengah diwajibkan kepada pelajar di seluruh negara. Salah satu sebabnya ialah keseragaman antara kelas sosial iaitu sama ada pelajar dari keluarga kaya atau miskin, bandar atau luar bandar, mereka adalah sama dalam sistem persekolahan. Jadi, tidak ada rasa berbeza atau wujudnya 'kasta kelas sosial' dalam kalangan pelajar.

Di sesetengah negara maju, pelajar sekolah bebas memilih jenis pakaian yang hendak mereka pakai asalkan menepati peraturan pakaian di sekolah masing-masing. Ia boleh berlaku kerana kebanyakan keluarga mempunyai pendapatan yang lebih tinggi, dasar sosial negara yang memberi tumpuan kepada perolehan cukai yang lebih berkesan dan liberalisasi pendidikan.

Terdapat pelbagai jenis pakaian seragam sekolah di seluruh dunia yang mempunyai ciri-ciri yang unik dan berbeza-beza mengikut budaya, cuaca dan peraturan sesebuah negara. Pakaian seragam sekolah boleh terdiri daripada pakaian formal hingga tidak formal. Berikut adalah contoh umum pakaian seragam sekolah di beberapa buah negara.

Malaysia: Pelajar perempuan memakai baju kurung dan berskirt labuh manakala pelajar lelaki berseluar panjang dan berkemeja.

Amerika Syarikat: Pakaian seragam sekolah di Amerika Syarikat mempunyai banyak rekaan.

England: Pakaian seragam sekolah di England terdiri daripada warna hitam dan kemeja putih.

Filipina: Pelajar memakai kemeja putih dan skirt separas lutut dengan rekaan berkotak-kotak.

Indonesia: Pelajar lelaki memakai batik atau kemeja putih dengan seluar panjang atau seluar seragam manakala pelajar perempuan mengenakan kebaya sebagai seragam sekolah.

Arab Saudi: Pelajar lelaki memakai jubah panjang putih manakala pelajar perempuan mengenakan abaya yang panjang dan sekali-sekala disertakan niqab.

Afrika Selatan: Pakaian pelajar lelaki dan perempuan umumnya hampir sama iaitu baju kemeja atau t-shirt dengan seluar panjang atau skirt. Warna dan reka bentuk bergantung pada sekolah.

Pakaian seragam sekolah mempunyai kebaikan dan keburukan. Kebaikannya adalah membina disiplin dalam kalangan pelajar, memupuk rasa bangga dalam membentuk imej sekolah terbaik, mengelakkan kelompok-kelompok tertentu dalam sekolah, mengurangkan kecurian pakaian dan kasut sekolah dan menyemai sifat kebersamaan sesama pelajar dan guru.

Namun, terdapat juga keburukan yang dikaitkan dengan pakaian seragam sekolah seperti gangguan ketika sesi pembelajaran kerana perubahan cuaca, kurang selesa apabila melibatkan aktiviti lasak dan keluarga yang tidak mampu akan merasa tertekan kerana perlu menyediakan pakaian seragam berserta kasut.

Dasar pakaian seragam sekolah memiliki falsafah yang unik bagi setiap negara. Kejayaan persekolahan bergantung kepada kesungguhan pelaksana dasar menterjemahkan semua perancangan ke dalam pelaksanaan di peringkat sekolah yang memberi impak kepada keluarga pelajar. Walaupun warna atau jenis pakaian ke sekolah tidak memberi impak langsung kepada pencapaian pelajar, ia dapat memberi kebanggaan kepada pelajar apabila mereka tidak lagi berada di sekolah.

No comments:

Post a Comment